Walinong Sari: Puteri Gunung Tahan

2,974

Walinong Sari Walinong Layang Sari
Puteri Yang cantik
Datangnya dari puncak Gunung Tahan
Gunung Ledang, Gunung Banang

Inderapura. Kenangan indah dari kerajaan purba Semenanjung Tanah Melayu – dari anak sungai yang mengalir bagai berlari anak dari gunung-ganang nan menghijau ke arah kuala di mana jelawat, kalui dan patin menari-nari dengan udang galah dan lelabi. 

Bukit-bukau yang riuh rendah dengan kicauan burung murai dan tiong serta ritma hutan belantara yang meluas. Nun di sana, Sang Rimau dan Sang Kancil masih lagi menguji kehebatan masing-masing. Dan jauh di pedalaman, Gunung Tahan berdiri tegak – lambang kerajaan Kayangan yang mencatur peredaran masa. 

Melaka memerintah Dunia Alam Melayu. Patani mengawal pintu utara dan Johor, di selatan. Majapahit pula mulai merunduk  ke arah matahari terbenam. 

Di Inderapura, Bendahara Paduka Raja memerintah kerajaannya yang bersekutu dengan Kesultanan Melaka. Dalam istananya, terdapat bintang timur yang menyinari hidupnya iaitu Puteri Walinong Sari – bukan sahaja ayu menawan sesiapa saja yang terpandang,  Walinong Sari seorang srikandi hebat tanpa saingan, mahir bermain keris, tombak dan lembing. 

Tibalah masanya, Ayahandanya membuka kata-kata kepada puteri, “Anakanda Walinong Sari, sudah tiba masanya anakanda menjadi permaisuri dalam istana kerajaan besar di Nusantara ini.”

Puteri jelita merenung raut wajah ayahanda tercinta. Matanya bersinar penuh kasih sayang terhadap ayahanda yang telah memberi asohan tertinggi sehingga menjadi mahir bersilat dan faham segala manuskrip kuno. Adab pekerti terjaga, dan warisan tradisi dipertahankan mencerminkan nilai murni puteri Melayu ini. 

Walinong Sari begitu arif tentang rahsia kerajaan dan khazanah bumi bertuah. Emas dan perak di gunung  dibawa arus sungai dari Chini ke Semantan ke bukit Segumpal terus ke Pura. Puteri Walinong Sari tidak ingin bersuamikan raja yang hanya tamakkan kekayaan Inderapura lalu dia kerkata,  “Anakanda bertanggungjawab melindungi kerajaan kita, Ayahanda. Hanya seorang yang tinggi ilmunya, yang boleh menundukkan anakanda dalam pertempuran bakal menambat hati anakanda.” 

Mendengar kata-kata puterinya itu, Bendahara Paduka Raja mengadakan pertandingan menjemput perwira di raja seluruh pelusuk kerajaan negeri Melayu dari jauh dan dekat untuk ke Inderapura membuat perhitungan dengan Walinong Sari. Dari Negeri Cham. Kerajaan Sulu. Kerajaan Manila. Kerajaan Patani. Kerajaan Muar. Kerajaan Mataram. Kerajaan Deli. Dari seluruh dunia Nusantara. 

Namun tidak ada seorang pun yang dapat mengalahkan kehebatan puteri Inderapura itu bermain keris mahupun memanah dan membaling lembing.

***

Hari berganti hari
Bulan berganti bulan
Rusa di hutan menjadi jinak
Ayam denak berkeliaran
Tiada yang memburu

Tersohorlah perihal Puteri Walinong Sari di seluruh Nusantara, siang malam asyik bertempur dengan anak raja dan pahlawan perkasa – tiada seorang pun yang dapat mengatasi ilmu persilatan puteri itu. 

Tangkas dan pintar, sangat perkasa tuan puteri dari Inderapura , sehingga  ada putera yang terus berpatah balik ke kerajaan masing-masing mendengar kehebatan Walinong Sari. Dikhabarkan tuan puteri itu boleh meluncur angin, kadang-kala ghaib di-tengah-tengah pertempuran, dan muncul pula bersama deruan angin di sebalik rumpunan buluh memberikan tamparan akhir.

Maka pulanglah  semua pria yang gagah  dan tampan yang telah datang membelah lautan, meredah padang luas saujana mata memandang untuk sampai ke Inderapura dalam kebelengguan. Masing-masing tidak percaya bukan saja mereka gagal meminang Puteri Walinong Sari malah, wajahnya yang ayu pun tidak terlihat kerana terlindung di sebalik selendang cindai yang begitu halus buatannya. 

Ayahanda Walinong Sari mula merasa  bimbang bahawa tiada siapa yang akan dapat menandingi ketangkasan Walinong Sari. 

Selang beberapa bulan, akhirnya, berita perihal Walinong Sari sampai ke pengetahuan Sultan Melaka dan Baginda  mengutuskan rombongan untuk meminang Walinong Sari untuk putera sulong Dato Bendahara, Tun Putih Alam. Bendahara Paduka Raja begitu gembira dan menerima rombongan Melaka dengan upacara gilang-gemilang. Lapan ekor kerbau dan empat puluh ekor ayam denak dijamukan para rakyat jelata. 

Bendahara yang begitu risau puterinya akan memalukan rombongan Melaka itu terus menerima pinangan  tersebut tanpa memberitahu Walinong Sari. Malah Bendahara berjanji untuk mengadakan majlis perkahwinan dalam masa empat bulan selepas  musim menuai. 

Apabila Walinong Sari mendengar khabar berita tersebut, puteri terus tidak berkata-kata. Namun, sebaik saja mengalihkan pandangan, bergelinangan air matanya, menitis membasahi pipi. Hanya Mak Inang seorang yang faham hati naluri Puteri Walinong Sari itu. 

Pada bulan-bulan seterusnya, Walinong Sari membiarkan saja majlis keramaian dirancang. Padi dan kapok selesai dituai.  Ayam dan kambing sudah terkumpul.  Emas dan perak penuh di perbendaharaan.  Persiapan persandingan dari songket dan jong sarat serta tudung chindai tersedia. Namun semakin hari semakin muram durja tuan puteri mengenangkan titah ayahanda untuk berkahwin dengan Tun Putih Alam dari Melaka. 

Pada suatu hari, Mak Inang mohon perkenan memberitahu tuan puteri bahawa ia ingin ke Pura kerana ada tongkang di pengkalan membawa segala barangan yang baru tiba dari negeri China. Walinong Sari segera meminta perkenan ayahanda nya ingin mengambil angin mengikut Mak Inang ke Pura.  Bendahara terus memberi izin. 

Perjalanan mengambil masa seminggu menaiki Balai Gambang ke kuala sungai membuatkan Walinong Sari ceria mengembara bersama Mak Inang dan dayang dayang sekelian. Apabila matahari naik tinggi di atas kepala, tuan puteri terasa panas dan keletihan.

Lalu Mak Inang mengarahkan rombongan melabuhkan sauh dan mengiringkan Walinong Sari naik ke darat. Terdapat satu lembah yang sangat cantik dan nyaman, terletak di antara dua bukit, Bukit Kertau dan Bukit Bota. Tasik yang begitu jernih airnya bagaikan cermin memanggil-manggil Tuan Puteri untuk bersiram menyegarkan semangat. 

“Tempat ini bagaikan syurga di dunia, Mak Inang.” kata Walinong Sari, “marilah kita berihat sehari di sini. Kita panggillah tempat ini Pengkalan Balai.” 

Habis sahaja Walinong Sari berkata-kata, burung rajawali dan tiong berkicau-kicauan seolah-olah bersetuju dengan cadangan puteri itu. Bunga seroja putih terus kembang di atas tasik dan bau wangi-wangian menyelubungi kawasan itu. Dayang-dayang menyediakan permainan gamelan dan Walinong Sari turut bermain gambang lagu Timang Burung dan Lambang Sari.

Pada masa itulah, Putera  Kayangan, Raja Mambang Segara, tiba-tiba  turun ke bumi terpegun mendengar bunyi-bunyian merdu. Putera tersebut terus menukarkan dirinya menjadi burung merpati berwarna biru, dan terbang ke bumi berdekatan tempat Walinong Sari bermain bunyi-bunyian. 

Adab dan adat
Hati dan nurani
Langit dan bumi

Hari silih berganti. Sinar naik dan sinar runduk mewarnakan alam semesta persis warna-warna keemasan. Kemerahan tembaga. Keagungan cakerawala. Namun, Walinong Sari, puteri Inderapura yang bakal dikahwinkan dengan kerabat di raja Melaka terasa diri terperangkap oleh percaturan adab dan adat.

Kesedihan yang terasa terubat sedikit apabila Mak Inang membawanya melawat keindahan dan kekayaan negeri Inderapura. Di Pengkalan Balai, puteri begitu asyik bermain gambang dan bonang tiba-tiba tersedar ada seekor burung merpati biru terbang berhampiran dengannya. Sebaik saja Walinong Sari melihat merpati yang bertenggek di pohon liar itu, hatinya berdebar-debar tidak menentu.  Entah kenapa, dengan segera, Walinong Sari menutup wajahnya dengan selendang cindai di sisi.

Tidak disangka-sangka, merpati itu terus terbang semakin dekat dan turun ke tapak tangan puteri. “Wah, Mak Inang, lihat ni. Begitu jinak merpati biru ini.”

“Benar, Tuan Puteri…. “ Mak Inang ingin menyambung tetapi tiba-tiba kelu lidah untuk berkata. “Takpalah. Tuan Puteri nampak begitu gembira,” bisik hati kecilnya. Sebenarnya Mak Inang juga dapat merasakan burung itu bukan sebarang burung, ia seolah-olah faham hati nurani Tuan Puteri.

Walinong Sari terus jatuh kasih tidak terhingga pada burung itu. Namun, tidak beberapa lama kemudian, rombongannya terpaksa meninggalkan Pengkalan Balai. “Tidak ku sanggup untuk mengurung mu, wahai merpati. Terbanglah kau dari sini,” bisik Walinong Sari. Burung merpati mengangguk seolah-olah tanda setuju dan terus terbang di sebalik pokok bunga tanjung yang ada di situ. Tanpa disedari tuan puteri, merpati kecil itu terus mengekori Balai Gambang di Raja ke Pura.  

Apabila tiba di Pura, Raja Mambang Segara menyamar sebagai pengemis, dan menghampiri puteri. Ia dapat mengenali bauan air mawar yang dipakai tuan puteri dari jauh lagi.  Raja Mambang sebagai pengemis membawa  hadiah di hari pertama, sebuah dulang tembaga kecil dengan ukiran yang sangat halus dan cantik dan menyerahkan pada Mak Inang. “Untuk Tuan Puteri,” katanya. “Mak Inang tolong sampaikan salam hamba yang hina.”

Puteri Walinong Sari menerima hadiah tersebut dari Mak Inang, dan melihat ke arah pengemis. Walaupun hanya mata yang terlihat, Raja Mambang Segara dapat melihat bahawa Puteri tersenyum.

“Begitu jernih air muka pengemis ini. Dan begitu cantik dulang ini, Mak Inang,” kata tuan Puteri. Tiba-tiba, entah kenapa Walinong Sari terkenang burung merpati biru yang ditemui di Pengkalan Balai.  Puteri terus mengukir  tersenyum di belakang lindungan selendangnya itu.

Keesokan harinya, pengemis itu hampir sekali lagi dengan rombongan tuan puteri itu. “Tuan Puteri, terimalah hadiah dari patik ini – sebuah batil tembaga kecil, kenang-kenangan untuk perjalanan kembali ke istana.”

Pada saat itu, tuan puteri terus merasa gundah gulana. Walinong Sari secara spontan, terus mempelawa, “Adakah Tuan Hamba pandai bermain silat?

“Bolehlah, tuan puteri. Tidaklah sehebat Puteri Walinong Sari yang tersohor itu,” kata pengemis itu.

Berderau darah Walinong Sari mendengar kata-kata pengemis itu. “Rupanya dia tidak mengenali diri ini,” bisik hati Walinong Sari.

Raja Mambang Segara tersenyum nakal. Sebenarnya anak raja Kayangan itu sudah mengetahui bahawa puteri di hadapannya itu adalah Walinong Sari. Tetapi tak sempat berkata-kata, tuan puteri telah mengorak langkah membuka gelanggang.

Langkah dimulakan. Buka. Tinggung. Kilas. Tangan mengasak. Calit. Golek. Geser. Terbang ke udara. Pusar. Empang. Bagai gelombang dua belas. Rimau dan Naga bertembung.

Mak Inang memerhatikan kedua insan bersilat itu. Sekali pandang, puteri dan pengemis, bagai langit dan bumi. Namun, kehebatan mereka sama pantas. Sama pintar. Sama perkasa.

Buku bertemu ruas.

Tiba-tiba pengemis hilang dari penglihatan serta-merta. Walinong Sari cemas. Tidak mungkin dia akan tewas pada pengemis yang sedikit sebanyak telah mencuit hatinya. Di saat itu, selindang cindainya terjatuh ke bumi, dan Raja Mambang Segara kagum dengan kecantikan luarbiasa Walinong Sari, langsung terlupa jampi halimunannya.

Secara spontan, naluri srikandi Walinong Sari membuka ruang untuk memberi tumbukan padu dan sepakan layang pada lawan. Raja Mambang Segara jatuh ke bumi.

Di saat itu, seluruh semesta alam gelap gulita, kilat sabung menyabung. Halilintar membelah bumi. Tidak mungkin putera kayangan itu dikalahkan oleh manusia biasa. Ayahanda putera itu murka dan mengutuskan hulubalangnya untuk segera membawa pulang Raja Mambang Segara ke persinggahan di Gunung Tahan.

Puas Walinong Sari  cuba menyiasat siapakah gerangan putera atau pengemis itu – Walinong Sari yakin dia telah jatuh cinta padanya. Akhirnya ia pulang ke istana, hatinya remuk redam bagai kaca jatuh ke batu. Sehingga pada satu malam … seorang pendita bijaksana muncul dalam mimpinya, “Wahai Puteri Walinong Sari. Lelaki yang berlawan dengan Tuan puteri tempohari adalah Raja Mambang Segara putera Raja Laksamana Petir. Kalau benar tuan Puteri kasihkan dia, segeralah ke Gunung Tahan.”

Pada keesokan harinya, terdapat kekecohan yang besar, puteri telah menghilangkan diri. Bendahara memerintahkan semua pembesar dan hulubalang mencari puterinya. Namun tiada sebarang kesan – hilang bagai ayam disambar helang. Daun dibawa angin. Sabut ditolak laut.

Dikatakan bahawa Walinong Sari telah pergi mencari kekasih hatinya dan hidup bahagia selama-lamanya di Gunung Tahan.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.