Wakaf Sepanjang Ketamadunan Islam

0
124
views

Bila sebut tentang wakaf, ia merupakan antara cabang kekuatan ekonomi umat Islam bermula dari zaman Rasulullah s.a.w. Institusi ini merupakan tunjang kepada kejayaan jaminan sosial Islam. Peranan wakaf bukan setakat peluang menabur bakti di jalan Allah s.w.t tetapi juga memberi impak kebaikan yang besar kepada umat Islam amnya. Sejarah institusi wakaf ini merupakan sesuatu yang panjang bukan saja pada zaman Rasulullah tetapi sebenarnya bermula pada zaman Nabi Ibrahim a.s.

Allah s.w.t berfirman dalam ayat 96, Surah Ali Imran, “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.” Menurut sesetengah ulama, Kaabah yang dibangunkan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s serta dilestarikan oleh Nabi Muhammad s.a.w merupakan wakaf pertama yang dikenali manusia dan dimanfaatkan bagi kepentingan agama. Ini kerana bangunan tersebut dibina sebagai wakaf pertama demi kepentingan agama Islam dan bersesuaian dengan agama Nabi Ibrahim a.s yang sebenar iaitu Islam.

Ada juga berpandangan permulaan institusi wakaf ini bermula pada era Rasulullah s.a.w. Ianya dimulakan dengan pembinaan masjid pertama Islam iaitu Masjid Quba semasa peristiwa penghijrahan baginda dan Abu Bakar As-Siddiq r.a ke Madinah. Masjid tersebut dibina di atas dasar taqwa dan dianggap wakaf pertama dalam Islam demi kepentingan agama. Selepas baginda sampai di Madinah, Nabi s.a.w membeli tanah anak-anak yatim dari Bani Najjar untuk membangunkan Masjid Nabawi dengan harga 800 dirham. Ini menunjukkan baginda juga mewakafkan tanah untuk pembangunan masjid.

Perintah pensyariatan wakaf berlaku pada tahun kedua Hijrah menerusi firman-Nya dalam ayat 92, Surah Ali Imran, “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” Menurut Rafi’, maksud kebajikan dalam ayat di atas merujuk kepada wakaf, satu-satunya ibadah yang dikelaskan sebagai sedekah jariah kerana kebaikan yang diperolehi pewakaf adalah ganjaran pahala yang berterusan walaupun selepas pewakaf berkenaan meninggal dunia dan selagi harta wakaf tersebut kekal dan terus dimanfaatkan.

Para ulama mempunyai dua pandangan siapa orang pertama yang mewakafkan harta mereka di jalan-Nya. Sesetengah berpandangan ia dilakukan oleh Rasulullah s.a.w sendiri semasa membangunkan Masjid Nabawi. Ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Umar bin Syabah dari Amr bin Saad bin Muaz, “Kami bertanya siapa yang mula berwakaf dalam Islam? Orang Muhajirin mengatakan Umar terlebih dahulu berwakaf manakala orang Ansar mengatakan Rasulullah s.a.w yang terlebih dahulu berwakaf.” Para ulama merujuk kepada dua peristiwa wakaf membabitkan dua tokoh hebat ini. Pada tahun ketiga Hijrah, baginda pernah berwakaf tujuh kebun kurma di Madinah di mana menurut sebahagian ulama, petunjuk Nabi s.a.w berwakaf buat kali pertama.

Ada juga berpandangan ia dilakukan oleh Umar bin al-Khattab r.a berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a, “Umar  telah mendapat sebidang tanah di Khaibar  kemudian dia datang menghadap Nabi S.A.W untuk meminta pendapat berkenaan cara menguruskannya, katanya: Wahai Rasulullah! Saya telah mendapat sebidang tanah di Khaibar. Saya belum pernah memperolehi harta yang lebih baik daripada ini. Baginda bersabda: Jika kamu suka, tahanlah tanah itu (wakafkanlah tanah itu) dan kamu sedekahkan manfaatnya. Lalu Umar mengeluarkan sedekah hasil tanah itu dengan syarat tanahnya tidak boleh dijual dan dibeli serta diwarisi atau dihadiahkan. Umar mengeluarkan sedekah hasilnya kepada fakir miskin, kaum kerabat dan untuk memerdekakan hamba juga untuk orang yang berjihad di jalan Allah serta untuk bekal orang yang sedang dalam perjalanan dan menjadi hidangan untuk tetamu. Orang yang mengurusnya boleh makan sebahagian hasilnya dengan cara yang baik dan boleh memberi makan kepada temannya dengan sekadarnya.”

Perbuatan Umar r.a kemudiannya disusuli oleh seorang sahabat Nabi dari Bani Najjar bernama Abu Talhah al-Ansari r.a. Beliau mewakafkan kebun kesayangannya yang diberi gelaran Bairuha. Ini disusuli oleh beberapa orang sahabat lain yang mewakafkan harta mereka di jalan-Nya. Abu Bakar r.a. mewakafkan sebidang tanahnya di Makkah untuk kegunaan keturunannya yang bertandang ke kota suci itu. Muaz bin Jabal r.a mewakafkan rumahnya yang dikenali dengan nama Darul Ansar. Abdullah bin Umar, Zubair bin Awwam, Anas bin Malik, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf dan Ummul Mukminin Aishah r.a turut mewakafkan harta mereka di jalan-Nya.

Pada satu ketika, Nabi s.a.w turut berwakaf tanah seorang sahabat bernama Mukhairik r.a selepas beliau syahid dalam Perang Uhud. Sebahagian keuntungan kebun diberikan kepada keluarga Mukhairik sebagai kegunaan nafkah mereka manakala bakinya digunakan untuk pembiayaan senjata, kuda perang dan kepentingan umat Islam. Para ulama menyifatkan peristiwa ini juga sebenarnya satu lagi bentuk wakaf. Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w dan perlantikan Abu Bakar r.a sebagai khalifah, kebun tersebut tidak diberikan kepada keluarga Nabi dan sebahagian keuntungan tidak lagi diberikan kepada mereka. Selepas Umar r.a menjadi khalifah, beliau menyerahkan pengurusan kebun kepada Ali bin Abi Talib dan Abbas bin Abdul Mutalib r.a. Namun selepas Umar menyedari kedua-duanya berbeza pendapat, beliau tidak membahagikan pengurusan kebun kepada kedua-duanya kerana bimbang ia akan menjadi harta warisan. Untuk mengelak isu tersebut dari berlanjutan, beliau mengarahkan kebun tersebut diserahkan semula kepada pengurusan Baitulmal.

Semasa pemerintahan Umar juga turut menyaksikan kewujudan institusi wakaf pendidikan yang dikenali sebagai kuttab. Kuttab yang diambil dari perkataan taktib yang bermaksud menulis merupakan pusat pendidikan awal untuk mempelajari kemahiran menulis dan membaca sama ada di masjid atau di tempat lain. Kanak-kanak miskin tidak perlu membayar yuran pengajian manakala selebihnya dikenakan yuran. Pemerintahan Al-Faruq turut menyaksikan perluasan tanah wakaf termasuk tanah-tanah yang dibebaskan hasil usaha perluasan wilayah di beberapa negara seperti Iraq, Syam dan Mesir. Selepas bermesyuarat dengan Majlis Syura, mereka berpandangan tanah-tanah pertanian dari wilayah-wilayah itu tidak boleh diberikan kepada tentera-tentera yang berjuang membebaskan wilayah itu. Dengan mengambil kira firman-Nya dalam ayat 7-10, Surah Al-Hasyr, beliau berpandangan tanah tersebut seharusnya dijadikan wakaf demi kepentingan umat Islam dan generasi seterusnya. Mana-mana petani yang mahu mengerjakan tanah berkenaan akan dikenakan pajak yang dikenali sebagai pajak bumi.

Waqaf Saham

Selepas pemerintahan Khulafa’ Ar-Rashidin, institusi wakaf berkembang dan diperkenalkan dalam pelbagai bentuk. Semasa era pemerintahan Khalifah Hisham bin Abdul Malik, seorang kadi Mesir bernama Taubah bin Ghar al-Hadrami amat tertarik dengan soal pengembangan wakaf. Untuk melicinkan lagi soal pengurusan dan pentadbiran wakaf, Taubah mencadangkan pembentukan sebuah lembaga wakaf sendiri di bawah pengawasan hakim. Lembaga seumpamanya ini ditubuhkan buat kali pertama di Mesir untuk pengurusan wakaf di wilayah berkenaan. Selepas Mesir, Taubah turut bertanggungjawab menubuhkan lembaga wakaf sama di Basrah, Iraq. Memandangkan lembaga ini diletakkan di bawah pengawasan jabatan kadi, ini membantu wakaf diuruskan dnegan baik dan hasilnya diserahkan kepada yang berhak dan memerlukan.

Semasa era kerajaan Abbasiyah di Mesir pula, wujud satu lembaga wakaf dikenali sebagai Shadr al-Wuquf. Lembaga ini bertanggungjawab dalam soal pengurusan wakaf dan memilih individu bertanggungjawab untuk mengelola tanah wakaf. Semasa era ini juga, hampir semua tanah pertanian menjadi harta wakaf, dikendalikan oleh negara dan menjadi milik Baitulmal. Semasa pemerintahan Salahuddin al-Ayyubi, tanah-tanah wakaf milik negara ini diserahkan kepada yayasan agama dan sosial untuk dimanfaatkan. Amalan ini sebenarnya dimulakan pada zaman pemerintahan Fatimiyyah dan diteruskan pada zaman baginda. Bagaimanapun dari segi hukum, ia masih lagi menimbulkan perbezaan pendapat dalam kalangan para ulama. Tanah-tanah ini dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan di mana ia digunakan untuk mengembangkan lagi mazhab-mazhab Ahli Sunnah Waljamaah seperti Syafie, Hambali dan Maliki.

Semasa era kerajaan ini juga, ia merupakan satu tempoh yang digelar Zaman Keemasan Islam. Antara institusi yang dibina di atas tanah wakaf ialah Perpustakaan Baitul Hikmah semasa pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid. Perpustakaan tersebut menjadi pusat penterjemahan pelbagai jenis karya dari timur dan barat seperti Yunani, Rom, Suryani dan Ibrani kepada Bahasa Arab. Selain itu, ia turut berperanan sebagai pusat pengajian ilmu dan penulisan karya-karya ilmiah. Ia menjadi tumpuan ramai tokoh ilmuan ketika itu seperti Jabir ibnu Hayyan, al-Kindi dan al-Khawarizmi. Semasa pemerintahan Khalifah al-Makmun pula, baginda bertanggungjawab menubuhkan badan-badan wakaf untuk pembiayaan pendidikan. Universiti Nizamiyyah turut ditubuhkan semasa era ini dengan tujuan menyebarluaskan lagi ajaran Ahli Sunnah Waljamaah. Universiti yang ditubuhkan oleh menteri Abbasiyah berbangsa Saljuk bernama Nizam al-Muluk diasaskan pada tahun 459 Hijrah bersamaan 1066-1067 Masihi. Selain Universiti Nizamiyyah, beliau bertanggungjawab menubuhkan pelbagai institusi pendidikan lain dengan segala kemudahannya dibiayai dari wakaf pendidikan seperti perpustakaan, gaji para guru dan biasiswa pelajar-pelajar terpilih.

Di Andalusia pula (Sepanyol moden), Cordoba menjadi tumpuan ramai ketika itu kerana ia mempunyai sebuah institusi pendidikan terbesar di dunia dengan menawarkan pelbagai kursus kepada para penuntut. Berikutan ia menjadi tumpuan para pelajar sama ada beragama Islam atau bukan beragama Islam, ia menjadi tempat percambahan dan pengembangan idea dalam pelbagai bidang. Idea penubuhan dan pembinaan institusi ini digerakkan oleh khalifah Bani Umayyah di Andalusia, Abdul Rahman III. Selain Universiti Cordoba, Universiti Granada atau Madrasah An-Nasiriyyah turut menjadi tumpuan kerana menawarkan kursus dalam bidang seperti undang-undang, perubatan dan falsafah.

Semasa era Dinasti Mamluk pula, institusi wakaf menjadi tulang belakang sektor ekonomi Mesir. Meskipun tidak diketahui apa sumbangan mereka terhadap institusi ini, mereka dikatakan bertanggungjawab merangka perundangan wakaf semasa era pemerintahan Sultan Az-Zahir Baybers. Penggubalan undang-undang ini dibuat menerusi pemilihan empat kadi dari empat mazhab Ahli Sunnah Waljamaah. Berdasarkan undang-undang itu, wakaf dibahagi kepada tiga iaitu pendapatan negara dari hasil wakaf yang diberi pemerintah kepada orang yang dianggap berjasa, wakaf membantu pengurusan dua tanah suci (Makkah dan Madinah) dan kepentingan umum.

Semasa pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniyyah, apabila ia dapat meluaskan wilayah jajahannya hingga ke Semenanjung Tanah Arab pada abad ke-15, ia sebenarnya membantu melicinkan lagi proses reformasi undang-undang wakaf. Semasa era pemerintahan Uthmaniyyah atau lebih tepat 1280 Hijrah, mereka menggubal undang-undang pembukuan perlaksanaan wakaf. Antara fasal yang terkandung dalam undang-undang tersebut ialah catatan wakaf, pensijilan wakaf, cara pengurusan wakaf, bagaimana mencapai tujuan wakaf dari segi pentadbiran dan undang-undang. Tujuh tahun selepas itu, satu lagi undang-undang digubal yang menjelaskan status tanah kekuasaan Turki Uthmaniyyah dan status tanah wakaf. Menerusi undang-undang ini, ia membantu negara-negara Arab menguruskan tanah wakaf dan ia masih dipraktikkan sehingga kini.

Tidak ramai tahu impak wakaf bukan saja dirasai dalam bidang pendidikan, ia juga dirasai dalam pelbagai bidang lain. Dalam bidang kesihatan misalnya, perkhidmatan kesihatan, pembinaan hospital dan pembayaran gaji staf diuruskan oleh sistem wakaf. Selain berperanan sebagai pusat kesihatan, hospital turut berfungsi sebagai sebuah universiti perubatan. Antara hospital sebegini yang wujud ialah Hospital An-Nuri di Damsyik, Syria. Hospital ini menjadi saksi penemuan proses peredaran darah dalam tubuh manusia oleh Ibnu Nafis.

Kepelbagaian fungsi wakaf dapat dilihat sepanjang lipatan sejarah tamadun Islam itu sendiri. Selain bertanggungjawab menyediakan utiliti seperti bekalan air dan rumah persinggahan musafir, ada satu wakaf yang tidak diketahui iaitu wakaf zaujah ghadibat (wakaf untuk isteri yang sedang marah). Nampak lucu tetapi wakaf sebegini bertujuan membiayai pusat terapi yang didiami isteri selepas bertengkar dengan suami mereka. Selepas situasi rumahtangga yang tegang kembali tenang dan harmoni, mereka akan duduk di bawah satu bumbung semula. Menurut catatan Ibnu Battuta, selain pusat terapi, ada juga wakaf diwujudkan untuk rumah pengantin baru, pakaian untuk warga emas, makanan haiwan untuk musim sejuk dan modal latihan kemahiran.

Institusi wakaf turut memberi impak besar terutama di tanah besar Eropah. Malah tidak mengejutkan bila sistem ini memberi inspirasi kepada penubuhan sistem pembiayaan di beberapa tempat. Terima kasih kepada sistem itu, ia membawa kepada penubuhan beberapa institusi ilmu ulung dunia seperti Universiti Harvard dan Universiti Oxford. Siapa sangka dengan wakaf, ia sebenarnya memberi kesan yang bukan sedikit kepada perkembangan tamadun dunia.

SUMBER

  1. Majlis Agama Islam Negeri Johor. Dalil Pensyariatan Wakaf. http://www.maij.gov.my/?page_id=432
  2. Jabatan Pengurusan Syariah, Maybank Islamic Berhad. (2016). Harian Metro. Wakaf manfaat sepanjang zaman. http://aibim.com/ver2/images/6_Waqf_Maybank-Islamic.pdf
  3. Tabung Wakaf. (2015). Dompet Dhuafa. Sejarah Wakaf Awal Pewakafan Islam. http://tabungwakaf.com/sejarah-wakaf-awal-perwakafan-islam/

 

 

Previous articlePengagihan Zakat Kepada Golongan Ar-Riqqab
Next articleAsal-Usul Perkataan Sado
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE