8 September 2020 tular sekali lagi berita berkenaan adik Veveonah Mosibin, anak kelahiran Sabah yang beberapa bulan lalu, kisah beliau mendapat perhatian meluas di seluruh negara apabila terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan liputan internet bagi mengambil peperiksaan atas talian untuk kursus Asasi Sains yang diambilnya di Universiti Malaysia Sabah.

Bermula dengan kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Zahidi Zainul Abidin pada 03 September 2020 sewaktu menjawab soalan tambahan di Dewan Negara yang menuduh adik Veveonah Mosibin sengaja mencari publisiti dan tidak menjalani peperiksaan pada hari beliau dikatakan terpaksa memanjat pokok. “Tag line” tak pasti jangan kongsi nampaknya tidak benar-benar diamalkan oleh Zahidi.

Seterusnya diikuti permohonan maaf daripada Timbalan Menteri tersebut pada hari yang sama apabila mengakui tersalah menerima info berkenaan adik Veveonah, luahan kekecewaan Veveonah di laman facebook beliau, sehinggalah beberapa hari kemudian Zahidi mendedahkan maklumat yang beliau terima adalah daripada Timbalan Menteri kewangan 1, Datuk Rahim Bakri yang merupakan ahli parlimen dari Kudat.

Malangnya kisah ini tidak selesai disini, ahli parlimen dari Kudat berkenaan berkeras mempertahankan tindakan beliau dan tetap menuduh adik Veveonah Mosibin sebagai penipu. Menerusi kenyataan terbaru yang dikeluarkan, beliau mendakwa pihak mereka sendiri telah pergi menemui ketua Kampung Sapatalang, Edwin Madisa dan Ketua Kampung Bilangau Besar, Edward Upak dari daerah Pitas.

Ahli parlimen Kudat ini turut menyatakan bahawa menerusi pertemuan ini mereka mendapat maklumat kedua ibu bapa adik Veveonah telah lama tidak duduk di kampung Sapatalang sebaliknya telah menetap lama di pekan Pitas yang memiliki kemudahan internet disebabkan bapa pada adik Veveonah, Mosibin Maraun bekerja di Koperasi Pembangunan Daerah, Pitas dan tidak pernah memiliki rumah di kampung Sapatalang.

Rahim Bakri juga menambah, beliau juga telah melakukan siasatan terhadap seorang dekan fakulti dan seorang pensyarah UMS dan dengan yakin mengatakan tidak ada sebarang peperiksaan atas talian dilaksanakan pada tarikh video berkenaan tular walhal penjelasan dapat dilihat pada tarikh yang tertera pada skrin telefon pintar Veveonah beliau mengambil peperiksaan berkenaan pada tanggal 9 Jun 2020 kemudian memuat naik video berkenaan ke platform YouTube pada tanggal 13 Jun 2020.

Tertera jelas tarikh sewaktu Veveonah mengambil peperiksaan atas talian

Pada pembaca yang mengikuti saluran YouTube Veveonah Mosibin dari mula ia tular dahulu pastinya dapat membezakan antara keadaan sebuah pekan yang dikatakan lengkap dengan kemudahan internet dan latar belakang suasana sebuah kampung yang masih memiliki kekurangan infrastruktur asas serta keadaan rumah adik Veveonah Mosibin sendiri.

Bahkan lebih jauh, disebabkan kenyataan Rahim Bakri itu, Zahidi dikatakan akan ke UMS sendiri untuk mengesahkan kisah adik Veveonah Mosibin walaupun satu persatu rakan sekelas pada gadis muda ini tampil memberikan bukti seperti jadual peperiksaan dan kata-kata semangat pada kenyataan gadis itu selain sokongan daripada pihak Universiti Malaysia Sabah sendiri.

Bukti jadual peperiksaan Veveonah Mosibin yang telah tular

Dan pada 08 September 2020, portal berita Awani antara media yang menyiarkan kenyataan daripada abang pada adik Veveonah, Mekvin Mosibin yang ternyata geram dengan tingkah laku kedua timbalan menteri itu sekaligus mencabar mereka untuk bertandang sendiri ke kawasan luar bandar khasnya di Sabah dan melihat sendiri masalah jaringan internet dan kemudahan asas sempurna yang masih tidak dimiliki kebanyakan penduduk kampung.

“Bukan untuk menang dalam undian sahaja, sudah menang kau pilih yang kau suka saja”. Demikian antara ayat luahan kekecewaan Mekvin yang dimuat naik ke status facebook beliau. Difahamkan saudara Mekvin kini sedang menetap dan bekerja di Kuala Lumpur.

Tangkap layar sebahagian status kekecewaan Mekvin Mosibin di facebook beliau

Menerusi tinjauan yang dilakukan penulis di laman facebook saudara Mekvin Mosibin juga, status yang ditulis beliau itu telah meraih lebih 11, 000 tanda suka dan hampir 4 ribu perkongsian pada saat artikel ini ditulis.  Rata-rata komen yang ditinggalkan juga bersetuju dengan pandangan diutarakan beliau.Dalam status yang lain beliau telah menyelar kenyataan diberikan ketua kampung Sapatalang, Edwin Madisa yang dikatakan telah menyalurkan maklumat yang tidak tepat pada pihak berkenaan. Wallahualam.

ADAT SOGIT ETNIK KADAZANDUSUN.

Penulis terpanggil untuk menulis berkenaan hal ini menerusi “sudut pandang” adat lama KadazanDusun yang dikenali sebagai sogit. Sogit dalam bahasa Dusun juga dikenali sebagai ‘sejuk’, ‘bagus’ atau perkataan yang lebih sinonim pada adat ini iaitu ‘denda’.

Sogit merupakan satu bentuk peraturan yang menjadi panduan perundangan kepada etnik KadazanDusun. Fungsinya bagi mengangkat martabat etnik KadazanDusun sendiri sekaligus mendidik mereka untuk lebih berdisiplin dan berhati-hati dalam setiap tingkah-laku dan perbuatan mereka.

Posogit, sejenis ritual yang dilakukan saat bencana gempa gunung Kinabalu tahun 2015 lalu bertujuan ‘menenangkan’ penjaga gunung Kinabalu yang dikatakan marah akibat perbuatan sekumpulan pelancong asing yang berbogel sekaligus melanggar pantang larang adat etnik KadazanDusun sekitar, seekor kerbau telah dikorbankan untuk ritual ini. Kredit foto mStar.

Adat sogit juga turut berperanan sebagai medium bagi mendamaikan kedua pihak yang berbalah, atau membawa kepada penyelesaian yang mampu memuaskan hati semua pihak khususnya kepada pihak yang teraniaya. Pengamalan adat sogit juga turut berbeza bagi satu-satu satu daerah atau kelompok etnik KadazanDusun.

ADAT SOGIT MASYARAKAT PENAMPANG.

Sebagai contoh penulis mengambil adat sogit yang diamalkan masyarakat di Penampang. Secara asas adat sogit di daerah ini menekankan kepada beberapa perkara utama yang menjadi tonggak adat dan kod moral pada masyarakat. Antaranya melibatkan sogit penceraian, hukum nenek dan datuk, hukum lampau, tagal dan banyak lagi.

Sebagai Anak Negeri hak dan keistimewaan etnik KadazanDusun kekal terpelihara dan diperkukuh menerusi penubuhan Mahkamah Anak Negeri. Kredit foto laman facebook Kadazan/Dusun Girls.

Bagi masyarakat Penampang, pampasan yang terlibat lazimnya terdiri daripada haiwan ternakan seperti khinzir, kerbau, lembu, kambing atau ayam. Pada mana-mana daerah pampasan sogit seperti ini adalah lazim. Bayangkan hanya sekadar menganggu seorang wanita baik yang masih belum berkahwin atau sudah berumah tangga, ,mungkin dengan usikan namun dirasakan tidak wajar juga akan dikenakan sogit walaupun lazim dikategorikan sebagai kesalahan kecil.

Kerbau antara haiwan yang sering dijadikan pampasan untuk sogit.

Namun apa yang menarik perhatian penulis, adat atau sogit bagi daerah Penampang juga turut memasukkan hukum nenek dan datuk. Dibawah tatacara sogit ini, hukuman akan dikenakan apabila cucu kepada seorang datuk atau nenek telah dimalukan. Oleh kerana ia melibatkan cucu, nenek atau datuk kepada cucu wajib diberikan pampasan. Keluarga pihak perempuan lebih diutamakan.

Selain itu, di bawah hukum lampau turut menyentuh mengenai kesalahan yang dilakukan pada masa dahulu sekiranya seorang lelaki dan wanita melakukan hubungan kelamin tanpa sebarang ikatan pernikahan. Perbuatan tersebut dianggap aib yang cukup besar dan pasangan yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman m4ti dengan memasukkan pasangan berkenaan ke dalam raga atau bubu gergasi sebelum dihumban ke dalam sungai.

Raga atau bubu gergasi antara bentuk hukuman lampau yang sudah tidak diamalkan hari ini. Kredit foto Harian Metro.

SOGIT PIBABASAN.

Satu contoh penyelesaian salah faham menerusi sogit yang penulis rasakan boleh dijadikan rujukan berlaku antara seorang pengawal keselamatan dikenali sebagai Richerd dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Segalanya berlaku apabila pengawal keselamatan terbabit dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat kepada Madius menerusi aplikasi whatssapp. Akhirnya kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan perselisihan berkenaan di peringkat Mahkamah Anak Negeri.

Mengikut Seksyen 13 dan Enakmen 58 tahun 1992 Mahkamah Anak Negeri, Richerd dikehendaki membayar denda sebanyak RM800 dan seekor kambing masing-masing kepada Timbalan Ketua Menteri dan individu yang melaporkan kejadian tersebut, Johny Upin.

Mahkamah Anak Negeri turut memutuskan kes berkenaan diselesaikan menerusi sogit pibabasan atau perdamaian dengan disaksikan sendiri Ketua Anak Negeri bagi Mahkamah Anak Negeri Tamparuli, Joseph Sabean di kampung halaman Johny di Topokon, Tuaran.

Sogit pibabasan, tanda perdamaian antara Richerd dan Madius Tangau disaksikan Ketua Anak Negeri. Kredit foto Harian Metro.

Selain itu, pada 21 Julai 2020 seorang warga Pakistan dikenakan sogit setelah didapati bersalah menghina etnik KadazanDusun khasnya yang berada di daerah Kota Marudu. Kesalahan berkenaan dibuktikan menerusi rakaman audio lelaki terbabit. Sebaik mengaku bersalah lelaki berkenaan dikehendaki membayar sogit sebanyak lapan ekor kerbau dan lapan agung pulanut atau gong besi dalam bahasa Melayu oleh Mahkamah Anak Negeri.

Lelaki berkenaan turut diingatkan untuk menjaga tutur kata dan fokus pada kesalahan individu sekiranya ingin meluahkan kemarahan dan bukan memukul rata pada seluruh bangsa atau etnik.

PENUTUP

Bagi etnik KadazanDusun di Sabah khasnya, sogit dilihat sebagai salah satu cara untuk mendamaikan kedua pihak yang bertelagah atau satu jalan bagi memberikan keadilan kepada mangsa yang teraniaya dengan jumlah pampasan yang dirasakan wajar. Dalam masa yang sama ia turut berfungsi sebagai satu cara mendidik masyarakat agar lebih berdisiplin dan menjaga hubungan sesame manusia.

Seiring waktu, Mahkamah Anak Negeri diwujudkan bagi menyelaras sistem adat lama ini agar mampu diperkasa dalam memastikan ia tidak luput ditelan zaman. Selain itu sifat sogit juga turut mampu beradaptasi dengan zaman dan senantiasa berubah kesan kemasukan pengaruh dari luar, faktor agama dan sebagainya.

Sebelum menngundurkan diri penulis ingin membawa perhatian pembaca kepada perkara berikut. Menerusi Seksyen 30 enakmen Mahkamah Anak Negeri, Yang Dipertua Negeri telah membuat kaedah-kaedah bagi Mahkamah Anak Negeri.

Antaranya telah menggariskan hukuman atau sogit dikenali sebagai ‘denda malu’ iaitu :

“Satu pampasan adat berkenaan dengan apa-apa perlanggaran undang-undang atau adat Anak Negeri yang berkemungkinan mendedahkan pihak yang terkilan kepada kejatuhan maruah, keaiban, hinaan, atau kehilangan kehormatan di hadapan saudara mara atau masyarakat yang kepadanya pihak yang terkilan tergolong”.

Pelunasan denda boleh jadi terdiri daripada kerbau, itik, ayam, angsa atau sebarang ungags, khinzir dan apa-apa yang senilai dengan mana-mana bentuk hukuman sesuai budi bicara Mahkamah Anak Negeri Sabah.

Dalam adat KadazanDusun permohonan maaf menggunakan air liur sahaja tidak boleh dipakai. Memandangkan maruah dan nama baik adik Veveonah Mosibin selaku Anak Negeri yang dijamin hak nya selaku seorang bumiputera juga Anak Negeri Sabah dari etnik KadazanDusun telah tercemar berkali-kali semenjak 03 September lepas.

Datuk Masidi Manjun selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah juga telah mendahului Zahidi apabila mengesahkan menerima maklumat Veveonah Mosibin sememangnya telah mengambil peperiksaan bermula tanggal 09 sehingga 12 Jun lepas daripada Pengarah Asasi Sains Universiti Malaysia Sabah sendiri menerusi ciapan di twitter beliau pada pukul 05:55 petang 08 September 2020.

Ciapan Datuk Masidi Manjun berkenaan Veveonah Mosibin di akaun twitter beliau.

Penulis secara peribadi merasakan beliau lebih daripada layak untuk membawa kes ini bagi diselesaikan di peringkat Mahkamah Anak Negeri dan menuntut pembayaran pampasan selayaknya daripada pihak-pihak bertanggungjawab yang telah mengaibkan nama beliau.

Bagaimana pendapat anda ?

RUJUKAN:

  • Perubahan pelaksanaan amalan adat sogit dalam masyarakat Dusun di Kampung Sagindai Lama, Ranau, Sabah, Feaddora Janne Rius, Fakulti Seni Guaman dan Kreatif, Universiti Malaysia Sarawak
  • Native Courts Enactment 1992, State Attorney General of Sabah (https://www.google.com/url?sa=t&source=web&rct=j&url=https://sagc.sabah.gov.my/sites/default/files/law/NativeCourtsEnactment1992.pdf&ved=2ahUKEwik-db-3tnrAhVHILcAHTBRDs8QFjABegQIBRAE&usg=AOvVaw0BAps2_A01_fp7yUANFwAN)
  • Adat Penduduk Daerah Penampang, Pejabat Pendidikan Sabah. (http://www.sabah.edu.my/smk.dpmoj/index_files/adat_penduduk.ht)
  • ‘Cuba kau masuk kampung pedalaman’, Abang Veveonah cabar dua Timbalan Menteri, Astro Awani, 08 September 2020 (https://www.astroawani.com/berita-malaysia/cuba-kau-masuk-kampung-pedalaman-abang-veveonah-cabar-dua-timbalan-menteri-258553)
  • Sogit Pibabasan Selesai Perselisihan faham, Fardy Bungga, Harian Metro, 17 Mac 2019 (https://www.google.com/amp/s/www.hmetro.com.my/node/434738/amp)
  • Seorang warga Pakistan di Kota Marudu kena sogit 8 ekor kerbau, 8 agung pulanut hina KDMR, Buletin Sabah, 21 Julai 2020 (http://www.buletinsabah.com/2020/07/seorang-warga-pakistan-di-kota-marudu.html?m=1)

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sekadar orang biasa yang mencintai sejarah dan seni budaya negara. Terutama sekali yang berkaitan dengan Negeri Di Bawah Bayu. Merupakan graduan lepasan Diploma Pengurusan Pelancongan dari Kolej Poly-Tech Mara. Peluang menulis bersama TP dilihat sebagai antara salah satu platform terbaik berkongsi maklumat dan bertukar-tukar pandangan dengan lebih ramai orang-orang hebat di luar sana

Comments are closed.