Wajah-Wajah Maharaja Rom Dibentuk Oleh Komputer Berdasarkan Patung Mereka

3,490

Pra-tempah hanya di Shopee

Kredit: Daniel Voshart

Selalunya untuk melihat rupa asal maharaja-maharaja Rom, kita melihat sama ada keterangan penulis-penulis Rom atau ukiran patung yang dihasilkan untuk mereka. Begitupun, kebanyakan ukiran patung dilihat tidak lengkap kerana sudah dimamah usia. Tetapi terima kasih kepada seorang pereka Kanada bernama Daniel Voshart, imej 54 kaisar Rom dapat direalisasikan menerusi kecerdasan buatan (AI).

Menerusi rangkaian neural yang dipanggil Artbreeder, algoritma komputer menganalisis 800 ukiran patung sebelum membentuk model rupa maharaja-maharaja ini. Algoritma turut mengambil kira bentuk muka, ciri-ciri pada wajah, warna kulit dan rambut bagi menghasilkan model rupa yang realistik.

Selepas Artbreeder selesai menghasilkan model rupa maharaja yang dimahukan Voshart, imej tersebut akan ditambahbaik menerusi Photoshop. Di sini, lebih banyak perincian ditambah yang diambil daripada duit syiling, hasil seni dan catatan bertulis tentang maharaja-maharaja Rom. Hasilnya, imej sebenar maharaja-maharaja seperti Nero, Claudius dan Caligula tidak lagi menjadi teka-teki.

Bila ditanya bagaimana dia memilih ukiran patung mana yang sesuai untuk projeknya itu, Voshart dalam satu temubual bersama LiveScience memberitahu dia memilih ukiran patung yang masih elok sebagai model. Dari segi pemilihan warna kulit pula, dia memberi imej berwarna seseorang maharaja sebagai rujukan atau membiarkan AI meneka warna kulit agar ia kelihatan realistik.

Begitupun, merealisasikan projek ini bukan sesuatu yang mudah dengan kerja mengesan semua hasil seni dan teks bertulis berkenaan mereka mengambil masa dua bulan. Sementara kerja menghasilkan imej kaisar pula mengambil masa purata 15 hingga 16 jam sehari. Untuk imej Caligula misalnya, Voshart menggunakan kertas kerja Personal Appearance in the Biography of the Roman Emperors yang diterbitkan pada 1928 sebagai rujukan.

Rajah 1: Imej Maharaja Caligula. Sumber: Daniel Voshart/Muzium Kesenian Metropolitan

Pada awalnya, Projek Maharaja Rom yang diusahakan Voshart bersifat suka-suka dan sebagai cara mengalih perhatian daripada situasi pandemik Covid-19. Malah, dia turut mengakui pengetahuannya berkenaan maharaja-maharaja ini sebagai kosong semasa memulakan projek. Tetapi rasa ingin tahunya mendorong Voshart menghasilkan 54 imej maharaja Rom dari 54 SM hingga 285 Masihi.

Dia turut menyifatkan kekurangan pengetahuannya berkenaan Tamadun Rom membolehkan semua imej dihasilkan tanpa sebarang unsur prejudis dan bias. Voshart menambah, unsur bias dan prejudis terhadap sesetengah kaisar seperti Caligula dan Nero boleh merosakkan imej yang cuba dihasilkan.

Kesemua 54 imej maharaja Rom yang dihasilkannya boleh dilihat menerusi laman sesawang ini: https://voshart.medium.com/photoreal-roman-emperor-project-236be7f06c8f

RUJUKAN:

Weisberger, M. (2020). AI ‘resurrects’ 54 Roman emperors, in stunningly lifelike images. LiveScience.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.