Wahai Dong Zong, Kenapa Nak Takut Dengan Seni Khat Jawi?

1,167

1. Assalamualaikum, selamat hari Ahad. Aku perasan, sikap dan sifat ‘hostile’ juga ‘defensive’ segelintir pihak yang menentang pembelajaran Khat Jawi adalah yang pertamanya kerana mereka ini tidak faham manfaat sebenar Khat, atau istilah kontemporari yang lebih umum, iaitu kaligrafi.

2. Keduanya, politikus dan media amat cenderung membawa perbahasan mengenainya dari aspek negatif politik, agama, rasisme hingga membawa kepada kebobrokan akibat ‘xenophobia’ yang sebenarnya sengaja ditimbulkan. Maka dengan mudah mereka ini dimanipulasi dan dimomokkan dengan alasan bahawa ia akan membebankan anak-anak atau lebih teruk lagi jadi menggigil ketakutan dek kononnya ‘creeping Islamisation’ dan Arabisasi oleh Melayu dan Islam di Malaysia ini.

3. Berbalik kepada perkara pokok iaitu manfaat mempelajari seni kaligrafi atau dalam konteks mutakhir iaitu Khat Jawi masih merupakan perkara yang jarang sekali dibincangkan, sedangkan sebenarnya kelompok yang menentang Khat Jawi di sekolah sebenarnya takut kepada apa yang tidak mampu atau tidak mahu mereka faham.

4. Sebelum itu, perlu diketahui bahawa terdapat tiga seni kaligrafi utama yang wujud dalam ketamadunan dunia, iaitu kaligrafi Arab, Barat dan Asia Timur.

5. Di sini, Khat Jawi adalah termasuk di dalam seni kaligrafi Arab yang wujud dalam pelbagai variasi, menggunakan kalam (pen) dari bambu atau handam asalnya, sebelum penciptaan ‘dip pen’ dengan mata lebar. Asalnya karekter Arab dan seni khatnya memang dipraktikkan untuk menyalin semula Al-Quran, sehinggalah apabila tulisan Jawi muncul sebagai medium Bahasa Melayu di Alam Melayu, Khat Jawi juga muncul bersama dalam Alam Melayu.

6. Khat Jawi diaplikasikan sebagai seni yang menghiasi bingkai dan muka-muka awal hampir semua manuskrip lama dan hikayat Melayu, dokumen dan warta kerajaan, surat-surat yang diutus kepada pemerintah kerajaan dalam dan luar Alam Melayu, termasuklah surat dari istana kepada penguasa asing yang pernah menduduki Tanah Melayu.

7. Kaligrafi Barat pula adalah seni ‘penmanship’ yang dipelopori sejak Kristianisasi Eropah. Ia telah wujud seiring dengan kemunculan Latin dengan abjad-abjad Gothic sebelum penciptaan mesin cetak. Ia dipersembahkan asalnya untuk menyalin warkah-warkah Injil dan Kristianisasi, perutusan dan kisah Raja-Raja mereka yang sehingga kini boleh dilihat wujud juga dalam bentuk dokumen Latin di muzium-muzium Barat.

8. Seni kaligrafi yang terakhir ialah kaligrafi Asia Timur, seni kaligrafi yang meliputi seni kaligrafi China, seni kaligrafi Jepun iaitu ‘Shuji’ dan kaligrafi Korea yang digelar ‘Seoye’. Ketiga-tiga varian ini mempunyai persamaan sekalipun tetap dibezakan dengan ketara antaranya. Kaligrafi Asia Timur ini adalah yang paling mudah dijumpai, dek pengaruh kuasa China dan tebaran luas komuniti Cina di seluruh dunia, menjadikan seni kaligrafi ini sangat popular dan mudah dikenali.

9. Ketiga-tiganya ini sekalipun ketara perbezaannya, lebih berbeza pula variasi setiap kaligrafi atau khat ini, semuanya tetap berkongsi manfaat, faedah dan kesan positif yang sama. Manfaat ini bahkan melangkaui perbahasan sempit sempadan politik, agama, bangsa dan kedudukan geografi.

10. Pertamanya, khat bersifat meditasi dan menenangkan. Untuk menjadi seorang ahli khat yang baik, seseorang itu perlu mampu mengawal diri dan gerakan tangannya supaya hasil kerjanya dapat dijayakan dengan baik. Ia termasuklah mengawal pernafasan, emosi dan pemasaan, tekanan pena juga jumlah konsentrasi dakwat. Setiap satu ‘stroke’ memerlukan tumpuan khusus demi hasil khat yang baik. Meditasi seumpamanya adalah apa yang perlu dipupuk dalam kalangan pelajar kita untuk lebih menghargai kehidupan seharian dan sekelilingnya.

11. Khat juga mendorong pembinaan kreativiti. Seni khat mempunyai gaya persembahan yang berbeza berbanding tulisan Jawi yang biasa. Mempelajari khat bermakna anak kita di sekolah akan belajar tentang gaya olahan abjad yang berbeza, kecenderungan, lengkungan, sudut, saiz, dan warna yang berbeza, memupuk keupayaan seseorang untuk menjadi lebih eksperimental dan kreatif secara semulajadi. Kreativiti yang sama boleh digunakan dalam matapelajaran dan aktiviti kokurikulum lain di sekolah kelak.

12. Menemukan minat dan rakan baru melalui khat. Dengan mempelajari khat, seseorang itu akan memiliki kecenderungan untuk berkongsi hasil kerja masing-masing di media sosial atas talian atau melalui perjumpaan sebenar kelompok yang berkongsi minat dan pengalaman yang sama. Melalui sesi perjumpaan berkumpulan sebegini, setiap orang akan dapat memberi maklumbalas terhadap karya masing-masing, sekaligus mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan malah mengembangkan lagi potensi kemahiran Khat Jawi anak kita ke satu tahap yang lebih tinggi dan meluas.

13. Khat mampu menjana pendapatan. Selain memberi kepuasan dan kegembiraan, potensi khat yang dipupuk asalnya hanya kerana tahu dan belajar di sekolah mampu menjadi minat dan hobi yang mampu menjana pendapatan. Seni termasuklah kaligrafi dan dalam perdebatan ini, iaitu khat adalah antara kerja yang tidak mampu diambilalih dengan penciptaan robot dan mesin menjelang Revolusi Industri 4.0. Ia sesuatu yang bersifat abstrak dan kesedaran khusus berkenaan falsafah dan olahan seni yang kompleks dan rumit untuk difahami oleh mesin. Kualiti Khat Jawi jika ada yang dihasilkan oleh robot atau mesin kelak tidak akan dapat sama apatah lagi menyaingi kualiti khat oleh manusia sebenar.

14. Khat mampu membentuk karakter peribadi pelajar yang unik. Seorang pelajar yang mempelajari Khat Jawi kelak mungkin menemukan potensi dan kemahirannya yang tersendiri. Pelajar ini kelak akan mencipta juga mempersembahkan identitinya melalui seni khat. Pelajar sebegini akan terus menghasilkan karya Khat Jawi yang lebih baik pula di masa hadapan, baik melalui kematangan penghasilan seni, atau melalui kematangan personaliti dalam menjalani kehidupan yang bermanfaat di kemudian hari dan luar dari sekolah.

15. Kepuasan yang diperolehi melalui seni khat adalah satu bentuk ganjaran peribadi. Apabila seseorang pelajar Khat Jawi berjaya mencipta atau menyudahkan tugasan, ia mampu memberi kepuasan dan ‘sense of achievements’. Ini satu bentuk motivasi yang baik dalam membentuk keyakinan seorang pelajar untuk menjadi lebih baik pula dalam aspek pelajaran yang lain.

16. Mempelajari khat juga mampu menjadi salah satu cara anak-anak kita mempersembahkan kecintaan dan keghairahan mereka. Seperti seni kaligrafi lain, menguasai kemahiran dan keunikan khat Jawi menjadikan ia boleh dijadikan pemberian bermakna kepada orang tersayang. Sepertimana kita biasa lihat bidalan dan perumpamaan kaligrafi Cina digantung di kedai-kedai dan Kementerian Kewangan negara tertentu, seni umpamanya boleh dijadikan persembahan sama dalam bentuk khat Jawi, untuk digantung dan dijadikan pedoman, tanda cinta dan keghairan mereka terhadap sesuatu atau seseorang.

17. Selain dari itu, khat juga membentuk personaliti pelajar yang lebih sabar. Kerana jumlah masa dan tumpuan yang diperlukan bagi menghasilkan khat, ia lama kelamaan akan membentuk peribadi yang lebih sabar dan tenang. Umpama elemen Zen yang dapat dibentuk melalui pembelajaran kaligrafi Jepun, khat yang memerlukan latihan yang berulangkali menjadikan seseorang itu lebih sabar dalam penghasilan seni sekaligus membentuk personaliti sabar dalam kehidupan sebenar. Dalam kehidupan yang ‘fast paced’ dan moden hari ini, dicelah-celah kesibukan ibu bapa masing-masing mengejar nilai materi, kesabaran yang dipupuk melalui seni seumpama Khat Jawi dapat membantu anak-anak menjadi lebih sabar dan tenang.

18. Seni khat turut membina keupayaan berfikir. Kajian yang berjudul “The Importance of Handwriting Experience on the Development of the Literate Brain” oleh Karin H. James dari Universiti Indiana pada 2017 membuktikan bahawa tulisan tangan yang melibatkan koordinasi tangan-mata mencetuskan lebih banyak aktiviti otak yang lebih baik berbanding menaip menggunakan papan kekunci.

19. Khat sememangnya mampu memberi kelegaan serba sedikit kepada pelajar yang membesar dalam zaman telefon pintar dan papan kekunci komputer. Bilakah kali terakhir kau menulis sendiri dengan tangan, dan jika kau ingat, adakah tulisan tangan kau sendiri seakan semakin baik, atau sebaliknya semakin rendah kualiti dan menjadi makin buruk kerana lebih lama dan kerap menggunakan papan kekunci pada telefon pintar dan komputer?

20. Akhir sekali, seni Khat Jawi juga mampu memberi makna berbeza tentang bagaimana seseorang pelajar itu melihat dunia. Tulisan Jawi biasa melalui abjad yang diolah menjadi khat Jawi akan memberikan perspektif kepada mereka untuk lebih faham dengan jelas maksud dan falsafah apa yang direka atau cuba dipersembahkan melalui khat tersebut. Reprentasi abjad dan aksara yang dipersembahkan melalui gambaran dan ilustrasi memberi lebih makna dan kemudahan untuk orang lain lebih faham sekaligus menghargainya.

21. Aku berpendapat, elemen manfaat inilah yang perlu kita semua sebarluaskan supaya kefahahaman tentang faedah manusiawi dalam mempelajari Khat Jawi ini tidak kekal hanya pada takuk politik, agama dan bangsa semata-mata. Ianya supaya polemik isu Khat Jawi ini tidak ditunggang oleh politikus, atau digeruni oleh Dong Jiao Zong yang sebenarnya mencicit takut pada apa yang mereka tidak nampak atau tidak mahu faham.

22. Sesungguhnya, seni Khat Jawi wajar dilihat sebagai satu lagi medium pelajaran yang positif membentuk sahsiah dan peribadi anak-anak kita di sekolah kelak.

23. Jadi di akhirnya, kita boleh bertanya kembali kepada mereka yang skeptik dan ‘xenophobic’, apa masalah kau sebenarnya?

*Gambar: Perkataan “Muhibbah” pada satu pameran kaligrafi bersama, gabungan ahli khat Persatuan Seni Kaligrafi Jawi dan Persatuan Kaligrafi Cina bertempat di UniKL RCMP sekitar 2016. Ambilan dari BERNAMA.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.