Volkswagen Beetle – Bagaimana Idea Hitler Menjadi Kenderaan Ikonik

1260
views

Sebutlah kenderaan-kenderaan yang dianggap ikonik, pasti ada peminat yang memujanya. Peminat siri filem James Bond sudah pasti mengenali kereta Aston Martin DB5 yang pernah digunakan dalam Goldfinger dan Skyfall. Rolls Royce dikaitkan dengan status elit dan kemewahan manakala Bugatti Veyron sinonim dengan kelajuan. Tetapi bagi Volkswagen Beetle, walaupun ia tidaklah sehebat kereta-kereta yang lain, ia tetap dianggap satu kenderaan ikonik yang menjadi kebanggaan tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Jerman dan Mexico.

Idea di sebalik Beetle ini merupakan tindak balas kepada kejayaan Ford menghasilkan kereta model T yang dianggap satu kejayaan besar oleh ramai pihak. Untuk meniru formula Ford, syarikat motosikal Jerman NSU menceburkan diri dalam segmen perniagaan kereta kecil dan mengupah lelaki di sebalik Porsche, Ferdinand Porsche untuk mereka kenderaan berkenaan. Hasilnya, NSU menghasilkan prototaip pertama yang dipanggil Type 32 pada tahun 1932 dan ini merupakan siri prototaip kenderaan yang dihasilkan sebelum Volkswagen sebenar dibuat.

Figure 1: Ferdinand Porsche

Mungkin ada menganggap tindakan NSU mengupah Porsche satu kesilapan. Tetapi hakikatnya, beliau bukan calang-calang pereka kereta dan pernah mendapat bimbingan Hans Ledwinka, seorang pereka dan pengasas jenama kereta Tatra. Ledwinka juga antara bertanggungjawab menghasilkan konsep enjin belakang yang disejukkan udara, satu konsep yang diaplikasikan Porsche dalam rekaan Beetlenya bertahun-tahun kemudian. Pada tahun 1900, beliau memperkenalkan kereta hibrid elektrik-petroleum pertama di dunia yang dipanggil Lohner-Porsche-Electrochaise di Paris, sesuatu yang menarik minat ramai pengunjung pameran ketika itu.

Lima tahun selepas itu, Porsche menyertai syarikat Austro-Daimler dan menghasilkan kereta lumba pertamanya, Prince-Heinrich-Wagen. Melalui rekaan kereta lumbanya itu, beliau dapat melihat kepentingan aerodinamik dan ini mempengaruhi rekaan keretanya untuk tahun-tahun mendatang. Ujian terowong angin turut membantunya menghasilkan kereta lumba yang baik untuk Auto-Union. Sebelum memulakan langkah dengan membuka syarikat sendiri pada tahun 1929, Porsche juga pernah bekerja bersama Daimler-Benz dan bertanggungjawab menghasilkan model Mercedes terkenal seperti SS dan SSK.

Selepas Adolf Hitler dan Parti Sosialis Kebangsaan (Nazi) berkuasa, Porsche turut mengumumkan konsep kereta kecil tetapi berpatutan semasa Pameran Kenderaan Berlin tahun 1933. Idea tersebut menarik perhatian Hitler dan beliau melihat ia sebagai kunci untuk mentransformasikan Jerman sebagai sebuah negara berkenderaan moden yang sebenar. Untuk merealisasikan rancangan itu, kedua-duanya bertemu pada tahun 1934 bagi membincangkan konsep ‘Kereta Rakyat’.

Berdasarkan idea Porsche, beliau melihat kereta tersebut mempunyai motor enjin yang boleh disejukkan dengan udara, kuasa brek sebanyak 25 kuasa kuda, berat kurang daripada 1,500 paun dan suspensi bebas pada keempat-empat tayarnya bagi membolehkan ia mencapai kelajuan 100 kilometer sejam. Walaupun pada dasarnya bersetuju dengan gagasan beliau, Hitler mahu menambah sentuhannya pada rekaan Porsche. Hitler mahu kereta tersebut boleh menempatkan empat tempat duduk, boleh bergerak dengan jarak 100 kilometer dan menggunakan amaun minyak kurang daripada tujuh liter, harga ditetapkan 900 Reichsmark dan memberi tempoh 10 bulan untuk menghasilkan prototaip.

Selepas melihat semua cadangan yang dinyatakan, Porsche dan pasukan perekanya mula membina tiga prototaip di sebuah garaj di kediamannya berhampiran Stuttgart. Tatkala memantau perkembangan projek berkenaan seperti seekor helang mengintai pergerakan mangsanya, Die Fuhrer mendapat tahu Porsche bukanlah seorang warga Jerman tetapi memegang kerakyatan Czech. Untuk mengelak ia dari menjadi masalah di kemudian hari, Hitler menukar secara formal kerakyatan pereka Beetle itu kepada Jerman. Namun, bukan itu saja yang menjadi masalah beliau.

Pada masa sama, Tatra mendakwa Porsche sudah melanggar hak cipta beberapa patennya termasuk rekaan milik Ledwinka, pereka yang dikagumi Hitler dan Porsche. Masalah tersebut diselesaikan apabila Nazi Jerman mengilhak Austria, merampas kilang mereka dan melarang prototaip yang dihasilkan Ledwinka ditayangkan kepada umum. Pada tahun 1960-an, Volkswagen membayar sejumlah besar penyelesaian luar mahkamah yang lumayan kepada Tatra untuk menutup terus isu berkenaan.

Pada tahun 1936, ia mula diuji di jalan-jalan Jerman di mana Porsche dan pasukan perekanya menguji pelbagai rekaan termasuk enjin. Enjin yang disejukkan udara dan dibantu kipas mengelakkan ia dari mengalami masalah terlebih panas atau terlebih sejuk, satu masalah yang sentiasa menghantui enjin yang disejukkan cecair. Selain itu, Volkswagen juga dikenali kerana bersifat ringkas dan komponen alat gantinya mudah didapati, satu kelebihan yang sudah pasti menarik perhatian pengguna. Tetapi bagi Hitler, itu masih belum memuaskan hatinya kerana beliau mahukan kereta ini dapat mengatasi model T yang dihasilkan Ford.

Figure 2: Model Opel P-4

Semasa Pameran Kenderaan Berlin 1937, sudah menjadi kebiasaan Hitler melihat kenderaan yang dipamerkan termasuk model P-4 Opel yang dihasilkan Adam Opel. Model berkenaan dijual dengan 1,450 marks dan bagi Opel, calon terbaik untuk Kereta Rakyat yang diidamkan Hitler. Tetapi bagi Hitler, ia seolah-olah mencabar kedudukan Volkswagen yang dianggap seperti anak sendiri dan tiada siapa yang harus masuk campur semasa ia sedang dibentuk kecuali Porsche dan pasukan perekanya. Bagi membolehkan agenda Kereta Rakyat ini tidak tercabar, kepimpinan tertinggi Nazi membentuk sebuah syarikat dipanggil Gesellschaft zur Vorbereitung des Volkswagens yang diberi dana oleh Barisan Buruh Jerman.

Bagi Porsche, ia merupakan satu berita baik kerana itu sekaligus tidak menjejaskan kedudukan kewangannya. Berikutan itu, sebuah kilang kecil dibina Zuffenhausen berhampiran Stuttgart dan hasilnya, 30 unit berjaya dihasilkan di situ. Ini disusuli pula dengan penghasilan 38 unit Volkswagen di kilang berkenaan. Namun, bagi memastikan ia memenuhi aspirasi Hitler, Porsce dan pasukannya kembali ke Amerika untuk merekrut jurutera dan eksekutif serta mendapatkan lebih banyak peralatan diperlukan kilang.

Pada masa sama, Barisan Buruh Jerman turut membentuk satu skim yang membolehkan pekerja dapat membeli Volkswagen lebih awal yang dipanggil Kraft durch Freude (Kekuatan melalui Kegembiraan). Selepas Jerman menceroboh Poland pada September 1939, 210 kereta sedan Volkswagen dihasilkan. Hanya dua sahaja merupakan prototaip tentera manakala bakinya diserahkan kepada pegawai-pegawai tentera sebagai kenderaan peribadi mereka. Hitler sendiri turut mendapat kereta berhud Volkswagen pada tahun 1938.

Selepas Perang Dunia Kedua meletus, apa yang dijanjikan Hitler hanya tinggal janji. Kilang Volkswagen seperti kilang-kilang lain di Jerman diubah fungsinya sebagai kilang menghasilkan kenderaan tentera, senjata api, bom dan roket V-1. Kebanyakan buruh yang digunakan ialah buruh paksa yang diambil dari negara-negara yang dikuasai rejim Nazi. Porsche sendiri direkrut pihak tentera untuk menghasilkan kereta kebal bagi pihak rejim. Satu rekaannya ialah kereta kebal Tiger yang menjadi igauan ngeri tentera Soviet semasa Pertempuran Kursk. Walaupun bilangan kereta kebal dan perisai mereka melebihi bilangan kereta kebal Tiger yang dimiliki Erich von Manstein, ia sangat menakutkan dengan bilangan yang terbunuh akibat diserang Tiger terlalu ramai.

Figure 3: Kubelwagen

Selain kereta kebal dan perisai bagi pihak tentera, Volkswagen secara berasingan turut sibuk membangunkan Beetle mereka sesuai mengikut keperluan pihak tentera. Salah satu daripadanya ialah Kubelwagen yang dianggap Jeep bagi pihak Nazi Jerman. Varian yang diingini pihak Nazi Jerman ialah Type 82 di mana ia diubahsuai mengikut keperluan unit seperti kereta rasmi biasa, kereta perisai dan ambulans. Dan ia amat membantu Erwin Rommel dan Afrika Korpnya semasa kempen mereka di Afrika Utara. Selain Afrika, Kubelwagen juga diminati di Medan Timur kerana tidak dijejaskan dengan cuaca sejuk. Tetapi di Rusia, bilangan kenderaan tersebut terlalu sedikit jika dibandingkan bilangan tentera yang menggunakannya.

Namun, Kubelwagen bukan satu-satunya kenderaan yang dihasilkan Volkswagen. Syarikat tersebut turut menghasilkan Schwimmwagens di mana ia berperanan sebagai kenderaan amfibia. Ada dua jenis varian yang dihasilkan oleh Volkswagen iaitu Type 128 dan Type 166. 60% daripada kenderaan sebegini yang dilihat semasa WWII ialah Type 166 kerana ia dihasilkan pada tahun 1942 dan diserahkan kepada sayap tentera Schutzstaffen (SS), Waffen SS. Kebiasaannya, ia digunakan untuk pergi ke kawasan desa, menyeberangi sungai dan menjalankan aktiviti perisikan di kawasan perairan. Tetapi kebanyakan pegawai lebih suka menggunakannya sebagai platform menembak itik. Selain Schwimmwagens, Volkswagen turut menghasilkan varian traktornya yang dipanggil Traktor Rakyat atau nama lainnya Kettenlaufwerk. Ia juga digunakan dalam jumlah sedikit di Afrika dan Medan Timur.

Seperti mana kilang-kilang lain semasa WWII, kilang Volkswagen tidak terlepas dari menjadi mangsa pengeboman pihak Bersekutu dan mengalami kerosakan teruk. Namun selepas perang, pembuatan kereta tetap diteruskan dengan alat ganti dan komponen yang masih ada. Semua ini berlaku terima kasih kepada Mejar Ivan Hirst. Hirst sudah melihat kemampuan dan kualiti kenderaan tentera yang dihasilkan Volkswagen semasa perang dan percaya apabila sektor pembuatan kembali beroperasi, Beetle ini akan menarik minat ramai orang melangkaui Jerman itu sendiri. Dan pada tahun 1947, pembuatan Beetle kembali diteruskan dengan menggunakan model Type 60 sebelum WWII berlaku.

Selepas tamat perang, Porsche ditahan pihak berkuasa Perancis dan dituduh melakukan jenayah perang. Bagaimanapun selepas siasatan teliti dibuat, beliau dibebaskan hasil usaha keras keluarganya termasuk anaknya Ferry Porsche. Dua beranak itu meneruskan pembangunan kereta sport Porsche pertama yang pada mulaya dibina sebagai prototaip sebelum perang. 50 unit pertamanya mula dibina di Austria pada tahun 1948. Model kereta Porsche 356 ini kemudiannya menjadi penyelamat keluarga mereka dan untuk 17 tahun selepas itu, mereka dapat menghasilkan 78,000 model 356. Porsche juga mendapat bayaran lumayan dalam bentuk royalti bagi setiap kereta Volkswagen yang dikeluarkan di kilang mereka.

Figure 4: Porsche 356

Volkswagen mula bertapak di hati rakyat Amerika selepas ia diperkenalkan dengan gelaran Beetle oleh artikel akhbar New York Times. Bagaimanapun, tidak ramai yang meminati kenderaan ikonik ini. Amati kenyataan laporan pengerusi suruhanjaya pengilang permotoran Britain Sir William Rootes. Rootes dan ahli jawatankuasa berpandangan kenderaan tersebut tidak menarik di mata sesiapa saja dan pada akhirnya menyimpulkan kenderaan tersebut sebagai hodoh dan bising. Ia bagaimanapun dianggap simbol pemulihan ajaib ekonomi Jerman dan siapa sangka menjadi pilihan pelanggan yang menolak elemen materialisme pada tahun 50-an dan 60-an. Populariti Beetle turut dibantu oleh kempen iklan ‘Think Small’ yang diilhamkan oleh sebuah syarikat Yahudi bernama DDB yang turut bertanggungjawab menghasilkan iklan syarikat penerbangan El Al. Maka tidak hairanlah pada akhir tahun 1990-an, apabila ia dilancarkan semula, ia dianggap media sebagai kelahiran semula ikon Amerika.

Tetapi Beetle bukan saja menjadi pujaan di Jerman dan Amerika Syarikat, ia juga popular di Mexico. Model Volkswagen ini menjadi pilihan dalam kalangan anggota kelas pertengahan bawah bukan saja atas sebab harga dan boleh diharap tetapi juga menonjolkan elemen domestik. Sehinggakan pada tahun 1978, model kereta yang digelar vochito oleh penduduk tempatan dianggap ikon oleh warga Mexico. Antara sebab ia menjadi pilihan kerana ia langsung tiada kaitan dengan elemen imperialisme yang dibawa Amerika Syarikat ke Mexico seperti yang dibawa jenama-jenama dari negara Uncle Sam. Kereta Beetle terakhir yang keluar dari kilang di Puebla merupakan kenderaan terakhir daripada lebih 21 juta model Beetle yang dihasilkan dari 1945 hingga 2003.

SUMBER

  1. Mroz, Albert. (2018). WarfareHistoryNetwork. The Volkswagen Beetle. https://warfarehistorynetwork.com/daily/wwii/the-volkswagen-beetle/
  2. Glancey, Jonathan. (2013). BBC. The VW Beetle: How Hitler’s idea became a design icon. http://www.bbc.com/culture/story/20130830-the-nazi-car-we-came-to-love
  3. Keating, Joshua. (2013). ForeignPolicy.com. How the Volkswagen Beetle overcame its Nazi past. https://foreignpolicy.com/2013/04/01/how-the-volkswagen-beetle-overcame-its-nazi-past/