Kegiatan perisikan semasa Perang Dunia Kedua (WWII) merupakan sesuatu yang cukup merbahaya bagi mana-mana perisik termasuk golongan Hawa. Ini kerana pergerakan mereka sentiasa diperhatikan oleh pihak musuh sama ada Kempeitai (Jepun) atau Gestapo (Nazi Jerman). Jika tersalah langkah, bukan saja operasi mereka terjejas tetapi kematian menanti di ruang seksaan atau pada muncung senapang. Bagi perisik wanita Bersekutu, Virginia Hall, kegiatan perisikannya bukan saja gagal dikesan Gestapo tetapi menjadikannya wira yang tak disanjung semasa perang.

Anak kelahiran Baltimore, Maryland ini dilahirkan pada 6 April 1906 dalam sebuah keluarga berada. Beliau memulakan pembelajaran di Roland Park Country School sebelum menyambung pendidikan di Radcliffe College dan Barnard College (kini Universiti Columbia). Semasa di dua institusi berkenaan, Hall mempelajari Bahasa Jerman, Itali dan Perancis. Selepas mendapat restu kedua-dua ibu bapanya untuk menamatkan pelajaran di benua Eropah, beliau mengembara ke sana dan belajar di Jerman, Perancis dan Austria sebelum diambil sebagai kerani di Kedutaan Amerika di Warsaw, Poland pada tahun 1931 sebelum bekerja di Konsulat Amerika di Smyrna, Turki. Bagaimanapun pada tahun 1932, hasratnya untuk menyertai Perkhidmatan Luar (Foreign Service) tidak kesampaian selepas tertembak kaki kirinya semasa ekspedisi memburu di Turki. Ini menyebabkan kaki kirinya dipotong dan Hall terpaksa menggunakan kaki palsu yang diperbuat daripada kayu.

Jadi bagaimana wanita secekal Hall ini boleh terjerumus dalam dunia perisikan? Ia berbalik semula kepada cubaannya menyertai Perkhidmatan Luar. Penyertaannya pada kali pertama ditolak atas alasan Hall seorang wanita, satu komen yang dianggap mengejutkan menurut Judith Pearson, penulis buku biografinya yang bertajuk The Wolves at the Door: The True Story of America’s Greatest Female Spy. Permohonan Hall buat kali kedua turut ditolak kali ini bukan atas sebab gender tetapi atas faktor kecacatan kaki yang dialaminya.

Kecewa dengan kerenah Perkhidmatan Luar, beliau meletak jawatan dari Jabatan Negara Amerika Syarikat dan mengembara ke Paris sebagai orang awam semasa negara itu diancam serangan tentera Nazi Jerman. Di sini, Hall menjadi pemandu ambulans untuk tentera Perancis tetapi terpaksa melarikan diri ke Britain selepas Perancis jatuh ke tangan rejim pimpinan Adolf Hitler. Dalam sebuah parti koktel, beliau meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap Hitler dengan para tetamu lain. Ketika inilah menurut Pearson, seorang wanita tidak dikenali menyerahkan kad bisnesnya kepada Hall dan memberitahu, “Jika anda berminat untuk menghalang Hitler, datang dan jumpa saya.” Wanita tersebut merupakan inspirasi kepada salah seorang watak pembantu siri James Bond, Miss Moneypenny yang bernama Vera Atkins. Atkins diberi amanah oleh Perdana Menteri Winston Churchill untuk merekrut individu yang berkelayakan sebagai ejen untuk Operasi Khas Eksekutif (Special Operations Executive (SOE)). Atkins tertarik dengan keupayaan Hall bertutur dalam pelbagai bahasa, mempunyai pengetahuan berkenaan lokasi-lokasi perkampungan Perancis dan kemampuannya untuk berfikir pantas.

Selepas mendapat latihan sebagai operator radio, Hall merupakan ejen wanita pertama SOE di Perancis. Untuk mengelakkan kehadirannya dihidu Gestapo atau ejen yang berkhidmat dengan rejim Vichy Perancis, beliau diberi pengenalan dan dokumen palsu sebagai seorang wartawan Amerika untuk akhbar New York Post. Dalam masa singkat, Hall menunjukkan kebijaksanaannya bukan saja dalam mengesan pergerakan tentera dan pos kawalan tentera Nazi malah membentuk rangkaian perisik anti-Nazi di Perancis. Ini berdasarkan objektif SOE yang mahu menjejaskan keupayaan rejim Nazi Jerman dengan taktik ‘Eropah terbakar’. SOE mungkin tiada peralatan perisikan canggih tetapi itu tidak menghalang mereka menjadi kreatif dalam menyampaikan pesanan. Hall akan menghanar berita mengandungi mesej rahsia kepada editor di New York untuk pengetahuan penyelia-penyelianya di London. Dan sekiranya ada penghantaran maklumat, beliau meletakkan pasu bunga geranium pada tingkap semasa menetap di Lyon. Maklumat tersebut tersembunyi di sebalik bata atau arahan pergi ke sebuah kafe di mana pelayan akan menghantar gelas dengan ada sesuatu melekat di bawahnya.

Figure 1: Klaus Barbie

Kerana kecerdikannya itu juga meletakkan Hall dalam radar pihak Nazi Jerman. Ketua Gestapo, Klaus Barbie yang turut dikenali sebagai Penyembelih Lyon menggelarnya perisik pihak Bersekutu paling merbahaya. Selepas Gestapo mengedarkan poster gambaran dirinya kepada orang ramai, Hall terpaksa melarikan diri dengan berjalan sejauh 50 batu merentasi Pergunungan Pyrennes untuk sampai ke Sepanyol. Perjalanan tersebut dianggap mencabar kerana berlaku pada musim sejuk, kesulitan menggunakan kaki palsu dan keengganan pemandunya dari Sepanyol untuk memandunya keluar atas alasan beliau seorang wanita dan menggunakan kaki palsu. Selepas tiba di rumah selamat SOE, Hall berhubung dengan penyelianya di London bahawa beliau selamat tetapi memberitahu kaki palsunya yang diberi nama Cuthbert menyusahkannya. SOE yang menyangka Cuthbert seorang pemberi maklumat membalas, “Sekiranya Cuthbert menyusahkan anda, hapuskan dia.”

Memandangkan situasi merbahaya yang dihadapi Hall sebelum itu, tidaklah mengejutkan mengapa SOE enggan menghantar beliau kembali ke England. Ini memaksa beliau menyertai agensi yang merintis kepada penubuhan Agensi Perisikan Pusat (CIA), Pejabat Perkhidmatan Strategik (OSS). Pada tahun 1944, Hall dihantar kembali ke Perancis bukan menggunakan kaedah payung terjun tetapi menggunakan kapal torpedo British. Untuk mengelak dikesan anak buah Barbie, beliau menyamar sebagai seorang penjual susu wanita berumur 60 tahun. Kakinya sengaja dialihkan untuk menyembunyikan ketempangannya itu dan beliau turut memakai skirt panjang untuk menambah berat. Dan untuk mengelak isyarat radio dikesan pihak Gestapo, Hall bersembunyi di ruang loteng dan bangsal.

Antara tugasnya beberapa bulan sebelum kempen D-Day ialah mengatur kedudukan senjata api dan bekalan dijatuhkan untuk kumpulan penentang dan melaporkan pergerakan tentera Nazi ke London. Semasa D-Day, Hall bersedia menggerakkan tiga batalion pejuang anti-Nazi Perancis untuk melancarkan misi sabotaj ke atas tentera Jerman yang berundur. Menerusi laporan terakhirnya kepada markas operasi di London, pasukan beliau berjaya memusnahkan empat jambatan, mengganggu pergerakan keretapi barang, memotong talian telefon dan memusnahkan landasan-landasan keretapi utama. Mereka juga bertanggungjawab membunuh 150 tentera Nazi dan menawan 500 lagi tentera.

Selepas tamat perang, Hall dianugerahkan pingat Distinguished Service Cross, anugerah kedua tertinggi tentera Amerika Syarikat untuk keberanian. Beliau juga mencipta sejarah sebagai satu-satunya wanita yang mendapat pingat berkenaan semasa WWII. Hall bagaimanapun mahu menerimanya dalam satu upacara kecil di pejabatnya yang disaksikan oleh ibunya dan pengasas OSS, Mejar Jeneral William J. Donovan. Sepupu Hall bernama Lorna Catling berkata, “Beliau sentiasa mengelak publisiti. Beliau sentiasa berkata, ‘Itu cuma enam tahun daripada kehidupan saya.’” Beliau juga jarang berbicara berkenaan kerjanya sebagai perisik termasuk dengan keluarganya sendiri. Catling menceritakan dia ada menerima surat Hall yang dihantar semasa perang. Dalam surat itu, beliau menulis, “Orang Jerman sudah menangkap beberapa orang dan menggantung mereka dengan cangkuk pemotong daging.” Surat tersebut dianggap mengerikan bagi Catling. Malah Pearson menceritakan pada tahun 1950-an, OSS mengeluarkan satu memo yang membenarkan Hall bercerita pengalamannya sebagai perisik semasa WWII. Tetapi beliau tetap tidak menceritakan pengalaman tersebut kepada sesiapa kerana itulah cara hidupnya sebagai perisik.

SUMBER

  1. Lineberry, Cate. (2007). Smithsonianmag.com. WANTED: The Limping Lady. https://www.smithsonianmag.com/history/wanted-the-limping-lady-146541513/
  2. Roos, Dave. (2018). History.com. World War II’s ‘Most Dangerous’ Allied Spy Was a Woman With a Wooden Leg. https://www.history.com/news/female-allied-spy-world-war-2-wooden-leg

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.