ASEAN merupakan gabungan negara-negara yang terletak di Asia Tenggara di mana kebanyakannya adalah negara membangun kecuali Singapura yang dikenali sebagai negara maju. Tidak terkecuali Vietnam juga adalah sebuah negara yang menganggotai pertubuhan ASEAN dan ekonomi negara itu sedang melonjak naik. Vietnam merupakan salah sebuah negara di ASEAN yang sedang membangun dengan rancak sejak beberapa tahun yang lalu.

Selama lebih 2 dekad lamanya, Menara Berkembar Petronas telah memegang gelaran menara tertinggi di ASEAN dengan megahnya. Terbinanya Menara Berkembar Petronas yang siap pada tahun 1997 menjadi lambang kepada sumber petroleum dan gas asli sebagai ekonomi utama negara pada ketika itu. Namun, kini gelaran menara tertinggi itu telah diambil alih oleh Vietnam iaitu Menara Vincom Landmark 81 dengan ketinggiannya mencecah 461.2 meter, iaitu lebih kurang 10 meter lebih tinggi daripada Menara Berkembar Petronas yang mempunyai ketinggian 451.9 meter.

Gambar 1 Gambaran perspektif Vincom Landmark 81 (Sumber: atkinsglobal.com)
Gambar 2 Vincom Landmark 81 siap pada April 2018 (Sumber: thetowerinfo.com)

Manakala Arup pula menjadi perunding jurutera di dalam membina struktur Landmark 81. Landmark 81 dimiliki oleh pemaju tempatan yang dikenali sebagai Vingroup. Landmark 81 ini bakal menjadi destinasi tarikan baru untuk pelancong yang datang melawat ke Vietnam.

Menara Vincom Landmark 81 atau lebih dikenali dengan Landmark 81 telah siap dibina pada April 2018. Pembinaan Landmark 81 mengambil masa 3 tahun yang bermula pada tahun 2015. Atkins merupakan firma arkitek yang bertanggungjawab mereka bentuk Landmark 81 yang menjadi mercu tanda baru buat Ho Chi Minh City dan Vietnam secara umumnya.

Gambar 3 Vincom Landmark 81 terletak di tebing Sungai Saigon (Sumber: thetowerinfo.com)

Terletak di tebing sungai Saigon, Landmark 81 mempunyai 81 tingkat yang mengandungi kompleks membeli-belah, hotel, apartment servis, pejabat-pejabat, bar, restoran, dek pemerhatian (observation deck) dan taman kemudahan awam.

Kompleks membeli belah terletak di bahagian 3 tingkat paling bawah menara, diikuti kawasan residensi 37 tingkat dan paling atas mempunyai ruang hotel 30 tingkat yang dikenali sebagai Vinpearl Hotel. Landmark 81 ini berada di kawasan yang dikenali sebagai Vinhomes Central Park, terletak kira-kira 200 meter daripada Jambatan Saigon (Saigon Bridge).

Gambar 4 Vincom Landmark 81 ketika dalam pembinaan (Sumber: thetowerinfo.com)

Pembinaan Landmark 81 ini telah mengambil alih sebagai menara tertinggi di Vietnam yang mana sebelum ini, Menara Bitexco Financial yang mempunyai ketinggian 262.5 meter merupakan menara tertinggi di Vietnam sejak 2010. Ketinggian seni bina Landmark 81 ini adalah 461.2 meter dan dengan pemasangan antena yang mempunyai ketinggian 8.3 meter menjadikan ketinggian Landmark 81 mencecah 469.5 meter, iaitu hampir 470 meter.

Walau bagaimanapun, menurut Council on Tall Building and Urban Habitat (CTBUH), ketinggian sebenar sesebuah menara tidak mengambil kira antena, bendera atau segala sesuatu alat teknikal yang diletakkan di atas menara tersebut. Ini disebabkan ianya adalah struktur yang tidak kekal dan boleh dicabut dan dibuang. Maka, disebabkan itu, ketinggian Landmark 81 yang sebenar hanyalah 461.2 meter.

Seni bina Landmark 81 mengambil inspirasi daripada gugusan batang buluh yang memberi simbolik akan kekuatan dan kesatuan di dalam budaya rakyat Vietnam. Inspirasi ini telah diterjemah melalui struktur menara tersebut yang dibina menggunakan sistem struktur yang dikenali sebagai ‘sistem tiub-digabungkan (bundled-tube system)’. Sistem ini mula diperkenalkan dan dipopularkan oleh seorang arkitek dan jurutera terkenal di Amerika, iaitu Fazlur Rahman Khan.

Gambar 5 Struktur Sistem Tiub-Digabungkan digunakan dalam pembinaan Landmark 81 (Sumber: atkinsglobal.com)

Struktur sistem tiub-digabungkan di dalam Landmark 81 terdiri daripada 36 tiub petak yang mempunyai ketinggian yang berbeza dengan gugusan matrik 6×6. Di setiap atas tiub tersebut, terdapat taman di atas bumbung kecuali untuk tiub yang mempunyai ketinggian paling tinggi. Tiub yang paling tinggi diletakkan di tengah-tengah menara tersebut.

Antara menara lain yang pernah menggunakan sistem ini ialah Menara Willis atau dahulu dikenali sebagai Menara Sears yang siap dibina pada tahun 1974. Menara Willis merupakan menara pertama yang menggunakan sistem struktur tiub-digabungkan dan akhirnya menjadi perkembangan kepada pembinaan menara-menara yang lebih tinggi.

Landmark 81 mempunyai beberapa dek pemerhatian dan dek pemerhatian yang paling tinggi adalah di tingkat 81. Dek pemerhatian ini yang juga dikenali sebagai Sky View bakal memberikan pemandangan 360˚ bandar Ho Chi Minh kepada para pengunung. Sky View ini telah dibuka kepada orang awam pada April 2019 yang lalu.

Gambar 6 Penggunaan ‘High Perforated Glazing’ sebagai bahan binaan utama Landmark 81 (Sumber: atkinsglobal.com)

Penggunaan bahan binaan kaca banyak digunakan di dalam pembinaan Landmark 81 ini. Bermula daripada asas menara yang menggunakan bahan binaan batu-bata, semakin tinggi, hampir seluruh menara akan menggunakan bahan binaan kaca untuk menara ini.

Penggunaan ‘High Perforated Glazing’ adalah untuk mengurangkan daya beban angin (wind load force) terhadap menara tersebut. Semua bahan binaan kaca ini mempunyai ciri-ciri jenis kecekapan tenaga yang mampu mengawal suhu di dalam bangunan, membenarkan cahaya matahari menembusi ke dalam bangunan dan dapat mengurangkan penggunaan tenaga.

Landmark 81 (Vietnam) yang mempunyai ketinggian 461.2 meter kini menjadi menara tertinggi di Asia Tenggara dan diikuti Menara Berkembar Petronas (Malaysia) dengan ketinggian 451.9 meter serta Menara The Exchange 106 (Malaysia) dengan ketinggian 445.5 meter.

Kemunculan Vietnam di dalam menyaingi pembinaan menara tertinggi menunjukkan bahawa kemampuan negara tersebut serta perkembangan pesat eknomi negara Vietnam tidak boleh dipandang rendah. Ini juga menunjukkan bahawa Vietnam yang sebelum ini agak ketinggalan dalam pembangunan ekonomi disebabkan perang dan pergolakan politik dahulu juga mampu bergerak seiring dengan negara-negara membangun yang lain seperti Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Namun begitu, gelaran menara tertinggi di Asia Tenggara yang diberi kepada Landmark 81 bakal hilang apabila siapnya pembinaan Menara PNB 118 di Malaysia yang bakal mempunyai ketinggian sekitar 644 meter pada tahun 2021. Sejak hampir 20 tahun yang lalu, hanya Vietnam yang mampu mencabar Malaysia di dalam mendapatkan sebuah menara yang mempunyai gelaran menara tertinggi di Asia Tenggara.

RUJUKAN:

  1. Vincom Landmark 81. Retrieved from http://www.skyscrapercenter.com/building/id/18192
  2. (2020). Landmark 81, Ho Chi Minh City. Retrieved from https://www.designbuild-network.com/projects/landmark-81-ho-chi-minh-city/
  3. (2020). Vincom Landmark 81 Facts and Information. Retrieved from https://thetowerinfo.com/buildings-list/vincom-landmark-81/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan graduan Sarjana Seni Bina daripada UiTM Puncak Alam (LAM and RIBA Part II). Mempunyai minat yang mendalam di dalam bidang agama, seni bina dan sains telah menjadikan bidang penulisan sebagai medium menyebarkan ilmu dan mendidik masyarakat.

Comments are closed.