Vibrio Vulnificus – Kulit Udang Yang Membawa M*ut

2,481

Baru-baru ini, terdapat satu laman berita yang melaporkan mengenai satu kes kem4tian yang melibatkan seorang lelaki Cina yang berasal daripada Hangzhou. Lelaki ini berumur 60 tahun berada di dalam keadaan tidak sedar, dan setibanya dia di hospital, dia segera dikejarkan ke unit rawatan rapi, ICU untuk meneruskan rawatan kepadanya yang kritikal.

Mengikut anaknya, sehari sebelum kejadian tersebut, lelaki ini yang dikenali sebagai Wang sedang menyiang udang untuk dimasak. Walau bagaimanapun, dia secara tidak sengaja melukakan jarinya semasa dia mengupas kulit udang tersebut. Pada awalnya, jarinya yang luka itu tidak menunjukkan apa-apa yang serius, namun, dalam masa beberapa jam sahaja, dia mulai demam dan bahagian kakinya mula membengkak.

Bukan itu sahaja, kulit di tangannya mula melepuh dan sel ototnya mula mengalami necrosis, iaitu tisunya m4ti daripada dalam. Selepas 24 jam, dia pengsan dan semasa itu, dia dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Organnya mengalami kegagalan, bermula dengan buah pinggangnya, hati dan disusuli dengan kegagalan jantung untuk menstabilkan tekanan darah. 3 hari selepas kejadian, dia disahkan meninggal dunia walaupun dia telah dirawat dengan 3 jenis antibiotik dan pelbagai rawatan sokongan diberikan. 

Pada bulan Julai tahun 2018 pula, seorang lelaki yang berasal daripada Florida, Amerika Syarikat m4ut selepas dia makan tiram mentah di sebuah restoran yang bernama Sarasota. Lelaki berusia 71 tahun ini mengalami gejala muntah-muntah dan cirit birit sebelum kulitnya mulai melepuh dan bahagian ototnya mula mengalami necrosis, dan dalam masa tidak sampai 2 hari kemudian, dia men!nggal dvnia di hospital.

Terdapat beberapa kes yang melibatkan sama ada pemakanan makanan laut yang mentah mahupun buat mereka yang terluka semasa menyiang hidupan laut seperti tiram, udang dan kepah di mana mereka akan mulai demam, atau mengalami gejala yang melibatkan salur pemakanan dan usus seperti cirit birit dan muntah, diikuti dengan bahagian kulit yang mulai melepuh dan berakhir dengan kegagalan organ-organ penting yang menyebabkan m4ut.

Salah satu tanda kemunculan lepuh pada bahagian yang dijangkiti – NEJM

Apakah persamaan buat semua pesakit ini? Persamaannya adalah kesemua mangsa ini mempunyai ujian darah yang menunjukkan bahawa mereka dijangkiti dengan sejenis bakteria yang kita namakan sebagai Vibrio vulnificus. Apakah bakteria ini dan bagaimana ianya boleh menyebabkan kem4tian? Apakah risiko untuk seseorang mendapat jangkitan ini? 

Bakteria ini mempunyai kecenderungan untuk meyerang mana-mana individu yang mempunyai sistem imuniti yang rendah seperti bayi yang baru dilahirkan, para penghidap penyakit Human Immunodeficiency Virus (HIV), para pesakit yang memerlukan rawatan yang merendahkan imuniti mereka seperti pesakit kanser yang berada dalam fasa rawatan kemoterapi dan juga mereka yang sudah tua.

Faktor risiko yang lain adalah seperti pesakit yang mempunyai masalah hati, sama ada penyakit hati yang dihidapi secara kronik iaitu yang disebabkan oleh jangkitan kuman Hepatitis, kanser mahupun pesakit yang mengambil minuman keras pada jangka masa yang lama (alcoholic liver disease).

Vibrio vulnificus characteristic – Sani Professional

Bakteria ini sebenarnya berasal daripada kumpulan bakteria yang sama yang menyebabkan penyakit kolera atau taun. Sifat Vibrio vulnificus yang halophilic ini, iaitu secara literalnya diterjemahkan kepada “menyukai garam” menjadikan laut sebagai habitatnya untuk membiak. Keadaan laut yang mana airnya sedikit panas seperti di negara yang bercuaca panas atau bertropika seperti negara kita ini sebenarnya menjadikan pembiakan bakteria ini menjadi semakin optimum.

Bakteria ini memasuki badan manusia melalui beberapa cara:

  • Kecederaan semasa memproses atau menyiang hidupan laut.

Tidak kira apa jenis hidupan laut sekalipun, terutama sekali hidupan yang berada di lautan yang tidak sejuk seperti Laut Cina Selatan, Teluk Aden, Selat Melaka dan Mexico, mana-mana haiwan yang berada di kawasan tersebut mempunyai risiko untuk membawa bakteria ini bersamanya.

Dalam beberapa kes, seperti kecederaan terkena bahagian haiwan ini yang tajam seperti semasa memproses tiram, menyiang ikan dan kulit udang, bakteria ini boleh masuk ke dalam badan seseorang melalui luka tersebut, walaupun kecederaan yang dialami itu amat kecil dan dianggap tidak signifikan.

Baik suri rumah, tukang masak di warung mahupun di hotel bertaraf 3 Michellin Star sekalipun, langkah berjaga-jaga perlu diambil demi mengurangkan risiko untuk luka seperti memakai sarung tangan dan menggunakan perkakasan dapur yang sesuai.

Sebenarnya, jangkitan bakteria ini amat kecil risikonya, dan bagi mana-mana orang yang mempunyai imuniti yang normal, jangkitan kuman ini tidaklah membawa kesan yang serius, akan tetapi, langkah berjaga-jaga harus diambil untuk mengelakkan jangkitan ini berlaku.

  • Luka yang terdedah ketika menyelam

Untuk penyelam pula, terdapat beberapa kes yang melibatkan kem4tian apabila seorang penyelam yang mempunyai luka di bahagian kakinya mula menyelam sebagai satu bentuk aktiviti rekreasi ketika dia berkunjung ke Bahamas. Selepas itu, beberapa jam kemudian, dia tiba di hotel miliknya. Tiba-tiba dia mula mengalami demam panas. Luka kecil yang terletak pada lututnya mulai melepuh dan menjadi kebiruan.

Tidak sampai 24 jam, kedua-dua kakinya mula menghitam, menandakan sel-sel otot dan fascia dimamah oleh bakteria ini. Kemudian, setelah dia tiba di hospital, para doktor memulakan antibiotik dan membuat perancangan untuk membedah, malangnya, keadaannya terlalu kritikal. Seketika kemudian, dia meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang disusuli dengan kegagalan jantung.

  • Pemakanan makanan laut yang tidak dimasak

Untuk makanan yang selalu dimakan mentah-mentah, seperti ikan salmon, dan yang paling popular adalah tiram (oyster), seseorang itu boleh mendapat jangkitan kuman melalui sistem pemakanannya. Diagnosis acute gastroenteritis ini bermaksud terdapat keradangan kepada sistem saluran pemakanan seseorang itu, sama ada di perut (gastro) mahupun di usus (enteric).

Walaupun jangkitan sebegini jarang-jarang sekali berlaku, namun, untuk beberapa jenis orang yang mempunyai sistem pertahanan badan yang rendah, mereka akan menjadi semakin kritikal apabila jangkitan kuman ini mulai memasuki sistem peredaran darah atau terma perubatan yang kita panggil adalah septicaemia (septi – jangkitan kuman, aemia – di dalam darah). Adakalanya, golongan kanak-kanak mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat dehidrasi akibat gejala cirit-birit dan muntah.

Sekarang, mari kita lihat sedikit sebanyak terhadap bagaimanakah kes jangkitan kuman sebegini boleh menyebabkan kelepuhan pada kulit dan pada masa yang sama, menyebabkan otot seseorang manusia itu m4ti. Saya tidak akan memfokuskan kepada gejala yang berkaitan dengan salur pemakanan, sebaliknya, mari kita fokuskan perhatian kita kepada mengapakah jangkitan kuman sebegini menyebabkan kaki, atau tangan pesakit menjadi hitam, dan akhirnya m4ut.

Graphical explanation of Necrotizing Fasciitis – MedicineNet.inc

Penyakit ini kita namakan sebagai necrotizing fasciitis. Necrotizing fasciitis ini dikenali sebagai flesh-eating disease di mana jangkitan kuman ini bergerak dengan sebegitu pantas dan agresif. Untuk sesetengah kes, ubat-ubatan dan antibiotik sahaja tidak mencukupi untuk menghentikan jangkitan ini, kadangkala, doktor terpaksa melakukan pembedahan bagi mengelakkan kuman ini merebak dengan pantas.

Necrotizing itu bermaksud sel-sel di dalam badan m4ti, yang berasal daripada perkataan necrosis. Fasciitis pula merupakan gabungan dua perkataan, iaitu fascia, yang bermaksud satu selaput membran untuk memisahkan satu otot dengan otot yang lain, dan meletakkannya ke dalam bahagian yang berasingan (compartmentalization) dan -itis pula bermaksud keradangan.

Struktur fascia yang menyelaputi otot – restore-pt.com

Fascia ini tiada kaitan dengan Fasha Sandha, dan struktur inilah yang akan mengalami keradangan akibat terkena serangan bakteria Vibrio vulnificus. Disebabkan bakteria ini amat agresif, maka, pergerakkannya menyerang struktur ini berlaku dengan kadar yang sangat pantas. Struktur fascia ini sebenarnya mempunyai satu fungsi lain selain daripada mengurangkan geseran di antara gentian otot iaitu struktur ini menyediakan sokongan untuk bahagian saraf dan salur darah melaluinya.

Superficial fascia, iaitu lapisan yang terletak ke arah luar anggota badan kita melindungi salur darah yang membekalkan darah untuk kulit. Apabila terkena jangkitan kuman, bahagian ini akan mengalami necrosis, dan menyebabkan bekalan darah ke bahagian kulit kita terhenti. Apabila kulit kita tidak mendapat bekalan darah yang secukupnya, sel-sel kulit ini mulai m4ti dan kelihatan kebiruan sebelum bertukar menjadi hitam.

Sememangnya, diagnosis necrotizing fasciitis ini memerlukan rawatan secepat mungkin. Untuk CDC, mereka menyatakan bahawa masa adalah segala-galanya untuk membezakan sama ada pesakit yang mengalami necrotizing fasciitis ini hidup ataupun m4ti. Hal ini adalah kerana kadar penyakit ini merebak adakalanya berlaku secepat 1 – 1.5 sentimeter sejam. Kebanyakkan pembedahan akan berakhir dengan pemotongan kaki mahupun tangan yang mendapat jangkitan kuman ini. Kajian juga mendapati bahawa sekiranya kuman ini telah berada di dalam sistem peredaran darah pesakit, terdapat risiko setinggi 50% untuk pesakit tersebut meninggal dunia.

Satu persoalan mulai timbul, iaitu mengapakah kes ini, walaupun jarangkali berlaku, iaitu sebanyak 45 kes setahun, dan menyebabkan 15 kem4tian setiap tahun menunjukkan peningkatan? Hal ini adalah kerana faktor utama kejadian ini adalah disebabkan oleh kesan pemanasan global. Kajian menunjukkan sememangnya, suhu laut di seluruh dunia sedang meningkat setiap tahun. Keadaan suhu yang tinggi inilah yang membolehkan bakteria ini membiak dengan cepat, dan mula terdapat pada hidupan laut yang secara amnya, selamat untuk dimakan sebelum ini.

Justeru, langkah berjaga-jaga harus diambil untuk mana-mana individu yang ingin menyelam (elakkan menyelam sekiranya terdapat luka pada bahagian badan anda – perlu ditutup dengan pelekat kalis air) dan jika boleh, pastikan anda mengurangkan pengambilan makanan laut yang mentah. Patikan anda masak sepenuhnya makanan tersebut dan elakkan perbuatan menyentuh makanan laut yang mentah kepada makanan yang telah siap dimasak.

RUJUKAN:

  1. Laporan kes pesakit Vibrio sp di Malaysia http://www.e-mjm.org/2009/v64n3/Vibrio_vulnificus_Cellulitis.pdf
  2. Diagnosis dan Rawatan https://www.aafp.org/afp/2007/0815/p539.html
  3. Laporan Kes Daripada Journal of Clinical Microbiology https://jcm.asm.org/content/45/3/1058
  4. Artikel mengenai Vibrio vulnificus di CDC https://www.cdc.gov/groupastrep/diseases-public/necrotizing-fasciitis.html

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.