Pada musim panas tahun 2015, Cecil, seekor singa jantan yang menjadi subjek kajian kesayangan University of Oxford telah berhadapan nasib malang yang telah mencetuskan satu polemik di seluruh dunia – sekurangnya kepada yang kenal singan ini dan sedar tentang isu-isu alam sekitar. Seorang doktor gigi dari US – Walter Palmer, menjadi sasaran kemarahan masyarakat antarabangsa apabila dilaporkan telah membayar sebanyak $54,000 untuk memburu singa di Zimbabwe, dan tetap bertegas mengatakan segalanya telah dilakukan secara sah mengikut undang-undang. Siapa sangka, yang menjadi sasaran pelurunya adalah si Cecil yang telah bertahun dijaga dan dikaji oleh para saintis. Meledaknya kemarahan masyarakat umum terutamanya melalui medium internet, telah membawa kepada kempen secara besar-besaran supaya pemburuan untuk trofi diharamkan secara terus.

Cecil, yang menjadi mangsa aktiviti pemburuan trofi, mati di tangan Walter Palmer (kiri). Gambar oleh Getty Images
Sebagai tanda bantahan ke atas kematian Cecil, gambarnya ditayangkan di Empire State building. Gambar oleh Getty Images

Walaubagaimanapun, ia membawa pula kepada perdebatan yang penuh kontroversi. Di pihak kumpulan pemuliharaan sendiri, mereka menegaskan betapa aktiviti pemburuan trofi menjana kembali keuntungan jutaan dollar yang digunakan semula untuk usaha pemuliharaan hidupan liar di Afrika. Di Tanzania misalnya, usaha pemuliharaan haiwan liar, terutamanya gajah, telah menemui jalan yang semakin buntu. Satu bancian telah mendapati bahawa antara tahun 2009 dan 2014, negara tersebut telah kehilangan hampir  60 % populasi gajahnya, jatuh daripada sejumlah 109,051 kepada hanya 43,330. badak sumbu juga tidak terkecuali. Pemburu haram telah membunuh sejumlah  1,215 badak sumbu di Afrika Selatan pada tahun 2014 sahaja, berbanding hanya 13 pada 2008, menurut Jabatan Pentadbiran Alam Sekitar negara tersebut.

Pemburuan hidupan liar – tidak kira secara haram atau sah, sememangnya menjadi satu aspek aktiviti berasaskan keuntungan yang mampu mengiurkan sesiapa saja. Pasaran untuk gading gajah dan tanduk badak sumbu di Asia sememangnya sangat tinggi. Di China – di mana pasarannya adalah yang paling besar, harga gading mentah mencecah $2,100 sekilogram. Serbuk yang diperbuat daripada sumbu badak, yang dipercayai mempunyai khasiat kesihatan, boleh dijual sehingga  $75,000 sekilogram. Di Vietnam, serbuk tersebut boleh mencecah harga  $100,000 sekilogram.

Jumlah wang yang mampu dijana melalui pemburuan haram bagi gading dan sumbu ini telah meningkatkan ancaman jaringan jenayah dan korupsi dalam kerajaan.  Siasatan yang dijalankan di Kenya pada  2013 mendapati, hanya 4% daripada mereka yang didapati bersalah, dihantar ke penjara. Di Tanzania pula, korupsi di dalam kerajaan dikatakan sebagai punca utama aktiviti pemburun haram gading ini. Dalam satu kes berprofil tinggi pada tahun  2013, menteri sumber semulajadi dan pelancongannya telah menamakan 4 ahli parlimen yang dikatakan terlibat dengan aktiviti pemburuan haram gajah. Susulan itu, beberapa kerajaan telah mengambil tindakan drastik dalam cubaan untuk menyekat pasaran bagi gading dan sumbu ini. Pada musim bunga 2015, China telah meletakkan komitmen untuk menghapuskan perniagaan sah melibatkan pengeluaran dan jualan barangan yang diperbuat daripada gading. Semasa lawatannya ke  Kenya , Presiden Barack Obama telah mengumumkan satu cadangan – yang jika dilaksanakan, bakal meletakkan pengharaman terus ke atas perdangan komersial gading di U.S.

Jadi, apa kaitannya dengan isu pertahanan?

Pertamanya, bancian telah mendapati bahawa hasil perdagangan gading – yang dikenali sebagai blood ivory ini, dan juga sumbu badak, menjadi antara sumber terbesar selain daipada berlian, yang digunakan oleh kumpulan-kumpulan pengganas untuk menaja aktiviti keganasan mereka, terutamanya dalam mencetuskan konflik berterusan di negara-negara Afrika. Keduanya, adalah penglibatan pasukan-pasukan keselamatan dalam usaha mengekang aktiviti sebegini. Disebabkan keuntungan yang dijana, aktiviti pemburuan haram telah sampai ke tahap di mana mereka yang terlibat terdiri daripada jaringan kumpulan jenayah dan keganasan antarabangsa yang tidak segan-silu menggunakan tindakan agresif dan ganas ke atas sesiapa yang menghalang mereka. Kesempitan hidup yang dilalui olehbanyak komuniti di sana pula memberikan mereka medium untuk terus bertindak, setelah mereka libatkan penduduk-penduduk ini ke dalam jaringan tersebut.

Di Tanzania dan lain-lain tempat di Afrika, usaha menentang pemburuan haram kini tertumpu kepada memperkembangkan peranan dan melatih renjer taman yang bertugas, serta kerjasama dengan komuniti tempatan yang tinggal berdekatan habitat hidupan liar dengan memberikan mereka pulangan apabila mereka melindungi haiwan-haiwan ini. Usaha lain termasuklah menetapkan rangkaian perisikan bersama-sama rakan daripada negara barat bagi merungkaikan jaringan organisasi pemburu haram ini. Ada di antara yang terlibat ini adalah pasukan keselamatan negara tertentu yang dijemput oleh kerajaan, dan ada pula yang merupakan organisasi NGO seperti VETPAW.

Ryan Tate – ketua operasi Vetpaw. Gambar : Jason Burke

Veterans Empowered To Protect African Wildlife (Vetpaw), adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NGO) daripada  US yang bergerak di atas sumbangan peribadi, dianggotai bekas-bekas anggota pasukan tentera yang pernah terlibat dengan petempuran di  Iraq, Afghanistan dan lain-lain tempat. Pengasasnya adalah seorang bekas anggota Marin US yang juga merupakan veteran Perang Iraq – Ryan Tate, berusia 34 tahun. Ia bermula dengan keadaannya sendiri yang merasakan kelompangan besar di dalam hidupnya selepas meninggalkan perkhidmatan. Sedikit -sebanyak ia menimbulkan perasaan di dalam dirinya, seolah-olah beliau sudah tidak lagi mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat. Rupa-rupanya, perasaan itu juga dialami oleh ramai bekas anggota keselamatan yang tidak lagi berkhidmat. Ramai di antaranya hidup terumbang-ambing tanpa tujuan, tiada pekerjaan, dibayangi Post Traumatic Stress Disorder (PTSD) dan masalah mental, terlibat dengan jenayah, dan malah ada yang serius terfikir untuk menamatkan hidup sendiri.

Tate mendapat idea untuk menubuhkan Vetpaw selepas menonton sebuah dokumentari tentang pemburuan haram dan kematian renjer taman di   Afrika. Beliau melihat bagaimana meski terdapat kelengkapan seperti kenderaan, motorsikal, rifel sniper, suit sniper, dan radio, pihak renjer ini kekurangan satu aset penting yang merupakan senjata paling penting bagi melawan pemburu haram ini, iaitu kemahiran dan pengalaman seperti yang dimiliki pasukannya, yang diperolehi melalui penglibatan mereka di zon-zon konflik sepanjang lebih sedekad setengah lepas. Di sekelilingnya pula, adalah veteran-veteran yang mempunyai latihan bernilai berbilion dollar, sedangkan khidmat mereka tidak lagi diperlukan oleh kerajaan.

Badak sumbu yang menjadi mangsa pemburu haram yang menetak sumbunya dan membiarkannya mati begitu saja. Foto daripada page FB rasmi Vetpaw
Badak sumbu ini menjadi mangsa. Ironinya, sumbunya dibiarkan di situ, dengan anaknya yang masih menanti ibunya bangun, sambil menunggu mangsa menjadi pemangsa seperti dubuk. Foto daripada page FB Vetpaw

Beliau menghabiskan masa selama lebih daripada setahun untuk menggunakan setiap kenalan di dalam jaringan peribadinya untuk membina sebuah organisasi anti-pemburuan haram. Rancangannya adalah untuk mencari veteran-veteran pasca 9/11 di US dan menggunakan kemahiran dan pengalaman tempur yang dimiliki mereka di Iraq dan Afghanistan untuk melatih renjer-renjer taman di Afrika. Disebabkan keuntungan tinggi yang dijana melalui aktiviti pemburuan haram yang menyokong kumpulan-kumpulan tersebut, aset yang dimiliki mereka ternyata menyedarkan betapa pihak renjer taman sememangnya kekurangan sebenarnya daripada segi aset dan kemahiran melawan pemburu haram yang semakin bersifat ketenteraan.

Di sana, renjer-renjer ini perlu dilatih untuk melakukan rondaan berkesan, mengumpul dan menganalisa risikan, membina hubungan dengan komuniti tempatan, dan menggunakan taktik yang selama ini merupakan tulang belakang ketenteraan US di   Iraq dan Afghanistan. Objektif Tate dan kumpulannya adalah untuk berkumpul di sebuah kawasan simpanan rahsia di utara Afrika Selatan dan memastikan  badak sumbu dan haiwan-haiwan liar lain di kawasan sekitar mereka itu kekal hidup dan selamat.

Pasukan operasi Vetpaw. Foto daripada page FB rasmi Vetpaw

Jadinya, penubuhan Vetpaw menjadi serampang-dua mata. Pertamanya adalah untuk menghadapi ancaman pemburuan haram di Afrika, dan yang kedua, untuk memberikan pengisian kepada hidup seleps perkhidmatan kepada bekas-bekas anggota tempur yang masih membawa parut pengalaman mereka daripada medan. Kata salah seorang daripada anggota kumpulan Vetpaw ini yang juga merupakan bekas anggota pasukan Green Beret US, “After what I’ve done, I couldn’t just go and do a nine to five. I’ve never had nightmares or flashbacks or anything … [but] after years of doing what I’ve done, this is good for the soul. It’s in a good cause and you get to watch the African sunset” (Selepas apa yang telah saya lakukan, saya tidak mampu bekerja pejabat. Saya tidak pernah mendapat mimpi ngeri atau ingatan semula atau perkara-perkara macam tu, tapi, selepas bertahun melakukan apa yang saya lakukan, ini adalah baik untuk jiwa saya. Ianya untuk tujuan yang baik, dan saya boleh melihat matahari terbenam di Afrika)

Pendekatan yang diambil adalah melalui kaedah “jiwa murni” yang lebih menjurus kepada kempen. Menurut Tate, pemburu haram memujuk komuniti tempatan untuk menyediakan rumah selamat atau sokongan lain, sama seperti bantuan yang diberikan kepada pengganas-pengganas di zon bergolak. Kata Francois Meyer, yang membesar di utara  Limpopo dan menguruskan sebuah NGO pemuliharaan tempatan yang bekerjasama dengan  Vetpaw, di sesetengah tempat, pemburu haram ini dianggap sebagai wira, seperti  Robin Hood – kononnya mengambil daripada yang kaya dan memberikan kepada yang miskin. Tetapi, yang mereka berikan itu, dirampas daripada kehidupan lain pula di sesetengah tempat pula, penduduk tempatan tidak menerima kehadiran pemburu haram ini.

Perjalanan operasi yang dijalankan oleh Vetpaw tidak banyak bezanya daripada perjalanan operasi mereka di medan tempur sebelum ini. Terdapat anggota medik, semboyan dan operator, dengan prosedur operasi standard dan kelengkapan yang hampir sama seperti senario pertempuran sebenar. Tetapi, terdapat sedikit perbezaan di situ. Walaupun kelihatan seperti operator sebenar, Tate mengatakan yang beliau telah memilih veteran tempur tertentu sahaja, yang pada pandangannya mampu menepis godaan untuk menggunakan tindakan membunuh apabila berdepan pemburu-pemburu haram tersebut. Mereka sebaliknya ditangkap, dan diserahkan kepada pihak polis sahaja.

“This is textbook counterinsurgency here. It’s unconventional warfare (ini adalah anti-insurgensi di sini. Ianya adalah peperangan bukan konvensional)” kata Kevin, yang merupakan veteran kelahiran Britain yang telah berhenti daripada pasukan selit US pada tahun lepas selepas sedekad setengah berada dalam tugas di barisan hadapan.

“Menembak dan membunuh adalah mudah. Perkara paling susah bukanlah menembak, tapi memikirkan segala perkara kalau kita bunuh seseorang, adakah kita akan mengakibatkan satu keluarga atau satu kampung, kembali menentang kita?” katanya lagi.

Vetpaw di Limpopo, Afrika. Foto oleh Jason Burke

Vetpaw bukan satu-satunya NGO yang berada di Afrika dalam usaha mengekang pemburu haram. Seawal Mac 2015, anggota Marin US telah pun terlibat melatih renjer Tanzania tentang teknik rondaan, operasi malam dan taktik pasukan kecil sebagai sebahagian daripada program pemuliharaan kebangsaan selama 4 tahun melibatkan peruntukan $40 juta. Di Afrika Selatan pula, bekas penembak hendap (sniper) pasukan khas Australia, Damien Mander telah menubuhkan Yayasan Anti-Pemburuan Haram Antarabangsa untuk melatih renjer-renjer taman.

Tate telah menerima keizinan daripada Kementerian Sumber Semulajadi dan Pelancongan Tanzania untuk melatih renjer-renjer di kawasan Pemuliharaan Ngorongoro yang terkenal itu. Pada February 2015, beliau tiba di Tanzania, diikuti 5 lagi ahli Vetpaw, termasuk Kinessa Johnson yang merupakan bekas jurulatih menembak dan mekanik Tentera US, serta Azad “Oz”Ebrahimzadeh – bekas anggota medik pasukan khas Tentera US. Mereka disertai juga oleh kru kamera daripada saluran  Animal Planet, yang merancang menjadikan usaha mereka sebagai satu rancangan TV Mereka banyak dibantu oleh Edward Balele, yang merupakan penolong penguasa polis yang terlibat dengan usaha membasmi pemburuan haram. Selain daripada Ngororo, Vetpaw juga bekerjasama dengan renjer taman di kawasan pemeliharaan binatan buruan Rungwa, melatih kemahiran seperti analisis risikan, pertolongan cemas, perancangan misi dan operasi malam. Walaupun kumpulan tersebut menghabiskan banyak bulan-bulan pertama mereka di Tanzania – menetapkan halatuju mereka dan membina perhubungan dengan masyarakat setempat, menurut Tate, melalui kerjasama dengan pihak penguasa tempatan, Vetpaw telah memberikan nasihat dan membantu dalam penangkapan 25 orang pemburu haram.

Walaubagaimanapun, usaha Vetpaw tidak lari daripada kontroversi. Segalanya bermula dengan kemunculan semula gambar dan klip video Kinessa Johnson, sejurus sebelum beliau bertolak bagi menyertai Vetpaw di Tanzania. Dalam klip video tersebut, beliau berkata “We’re going over there to do some anti-poaching, kill some bad guys and do some good (kami akan ke sana dan menjalankan kerja anti-pemburuan haram, bunuh orang jahat dan buat sesuatu yang baik)”. Klip tersebut kemudian ditularkan oleh pihak tertentu di Reddit. Ia tersebar luas, dan diikuti pula oleh pelbagai gambar yang sebenarnya diambil sebelum penyertaannnya di dalam Vetpaw. Penyokong-penyokongnya mula berkempen di media sosial, mengaitkannya sebagai “pemburu kepada pemburu haram”dan menzahirkan sokongan kepadanya. Tetapi ia adalah contoh bagaimana penularan sesuatu isu atau berita mampu membawa lebih keburukan daripada kebaikan. “Female Army veteran leaves US to join vigilante team hunting down rare wildlife killers in Africa”adalah antara slogan yang dikaitkan dengannya, dan ia mula menimbulkan ketidakselesaan di pihak kerajaan Tanzania kerana dikatakan menggunakan kekerasan melampau dalam usaha pemuliharaannya. Sokongan yang dizahirkan oleh peminatnya di media sosial ternyata menghumbankan Johnson dan Vetpaw ke dalam kancah pergelutan media secara negatif. Memburukkan keadaan adalah apabila kisah itu dipanjangkan lagi oleh suratkhabar Daily Mail tanpa menghubungi sesiapa pun daripada Vetpaw untuk penjelasan.

Seakan tidak cukup dengan publisiti negatif berkisar sekitar Johnson, timbul pula suara-suara sumbang yang tidak menyenangi kehadiran Vetpaw di Tanzania. Antaranya adalah daripada Craig Sawyer – bekas anggota SEAL Team Six yang pernah muncul dalam siri mini “Battleground: Rhino Wars”di saluran Animal Planet pada tahun 2013. dalam salah satu posting di akaun Facebooknya, Sawyer yang mempunyai pengalaman luas dalam usaha anti-pemburuan haram mengutuk Vetpaw yang dikatakan menyedut sokongan terhadap kumpulan yang sedia di rantau itu untuk sekian lama. Kenyataannya disokong oleh Kurt Steiner – seorang pengurus penguatkuasaan untuk Jaringan Taman-taman Afrika yang beroperasi dari Afrika Selatan sejak 2009 . Katanya, selain daripada membazirkan masa dan sumber, komen Johnson telah melukakan setiap ekspatriat dan warga tempatan yang cuba menjalankan tugas di sana.

Sawyer sendiri pula mempunyai isu peribadi dengan Azad “Oz Medic”Ebrahimzadeh, yang pernah berada dalam pasukannya, tapi kemudian beralih menyertai Vetpaw. Sawyer menuduhnya sebagai seorang yang tidak boleh diharap dan penagih dadah. Dalam satu laporan, Oz dikatakan berada di bawah siasatan polis kerana bekas teman wanitanya membuat laporan mengatakan beliau telah dipukul Oz semasa bercuti di Australia, dan polis kemudiannya pula menemui ketamin dan ubat penenang di rumahnya. Oz telah menafikan tuduhan tersebut dan mengatakan bahawa beliau mempunyai kelulusan daripada pihak Drug Enforcement Agency untuk pemilikan bahan-bahan tersebut.

Kinessa Johnson
Azad “Oz Medic”Ebrahimzadeh

Kekalutan yang tercetus akibat semua ini telah menyebabkan kerajaan Tanzania – tanpa sebarang notis atau perbincangan, telah menghalau Vetpaw keluar daripada Tanzania. Tate masih berusaha menyelamatkan inisiatif Vetpaw, meskipun kelihatannya usahanya sudah menemui jalan buntu. Dan setia dengan ikrar persahabatan dalam pasukan tentera, kedua-dua Johnson dan Oz tetap dikekalkan di dalam pasukannya. Perjumpaan secara tidak sengaja dengan Pratik Patel – seorang pakar pemuliharaan terkenal Tanzania, semasa di dalam satu penerbangan sejurus sebelum vetpaw dihalau keluar daripada negara itu, telah memberikan sinar baru. Tate telah menawarkan secara sukarela untuk menguruskan  African Wildlife Trust, yang mana patel adalah pengasasnya. Sejak itu, Patel menjadi rakan baik yang turut berusaha keras membawa Vetpaw kembali ke Tanzania, tapi sebagai sebuah organisasi yang lebih tersusun dan dengan pandangan yang lebih jauh. “The concept is a very good concept. They may have started wrong, but we all make mistakes and learn from it. Let’s bring them back and take it a step at a time (Konsepnya sangat bagmereka mungkin telah bermula dengan salah, tapi kita semua melakukan kesalahan. Kita bawamereka kembali dan mulakannya kembali selangkah demi selangkah),”kata Patel.

Realitinya, usaha menentang pemburuanharam adalah sesuatu yang sangat kompleks, kerana ia melibatkan banyak pihak dan kepentingan. Untuk isu ini diselesaikan, ia akan mengambil masa yang sangat lama, dan usahanya pasti berliku. Tujuan saya menulis artikel ini bukanlah untuk mengagungkan organisasi ini, tetapi saya mahu berkongsi bagaimana mereka ini yang pernah melihat nyawa melayang di medan perang, mula nampak bahawa kehidupan bukan sekitar kepada apa yang kita perjuagkan untuk hari ini semata. Ianya juga tentang menyedari bahawa kehidupan ini sebenarnya dikongsi dengan ciptaan Tuhan yang lain, dankita sebagai khalayak yang diberikan tanggungjawab seharusnya sedar, bahawa apa yang kita punya pada hari iji bukanlah milik kita, tetapi sebaliknya adalah pinjaman daripada anak cucu kita di masa hadapan.

Tanpa warisan alam semulajadi yang ada pada hari ini, apa lagi yang akan tinggal untuk mereka? Keduanya, saya menghormati usaha mereka yang cuba lari daripada konflik sesama manusia dan menghalakan usaha menyelamatkan hidupan yang lain pula. Ketiganya, ianya tentang kisah bagaimana untuk mereka yang pernah berada di dalam pasukan, hidupnya tidak tamat begitu saja. Banyak cara untuk mereka terus menaburkankhidmat bakti, dengan menggunapakai segala kemahiran dan pengetahuan yang mereka miliki, dan pilihan itu tidakhanya terhad kepada menjadi askar upahan atau jaga semata. Bayangkan akalau di Malaysia, ada satu inisitaif seperti ini. Rasanya, kita takkan kehilangan khazanah alam kita, seperti badak jawa yang telah diisytiharkan sudah pupus beberapa minggu lepas. Konfem, ramai pemburu haram, pelombong haram dan peneroka haram yang mengaut keuntungan jutaan ringgit dengan mengorbankan khazanah alam kita ini, akan teus insaf.

 

Kini, Vetpaw masih beroperasi di beberapa kawasan simpanan binatang buruan peribadi, meliputi keluasan 200,000 hektar di yang terletak di utara , menawarkan perlindungan terhadap haiwan-haiwan dipulihara ini daripada ancaman pencerobohan ganas oleh warga Afrika Selatan sendiri, terutamanya di kawasan pedalaman. Pasukan ini juga turut menawarkan kursus untuk jurupandu dan anggota keselamatan tempatan…=WRA=

 

Rujukan:

http://america.aljazeera.com/articles/2015/9/2/anti-poaching-project-misfires-in-tanzania.html, An anti-poaching project misfires in Tanzania, 2 September 2015, Tom A. Peter

https://www.militarytimes.com/veterans/2015/05/07/reports-nonprofit-vetpaw-kicked-out-of-tanzania/, Reports: Nonprofit VETPAW kicked out of Tanzania, 7 Mei 2015, Jon R. Anderson

https://www.theguardian.com/environment/2017/may/30/us-army-veterans-find-peace-protecting-rhinos-poaching-south-africa

https://www.bloomberg.com/news/photo-essays/2017-02-10/vetpaw-u-s-veterans-fight-to-save-african-rhinos-from-poaching

http://www.news.com.au/technology/science/animals/vetpaw-aims-to-end-animal-poaching-in-africa/news-story/eb69be1dee676b448b9ceced379e816c

Vetpaw boleh dihubungi di :

https://www.volunteermatch.org/search/org742918.jsp#more_info_tab

https://www.instagram.com/vetpaw/?hl=en

http://vetpaw.org/vetpaw-team/

https://www.facebook.com/vetpaw/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Aenid Abdullah, berkelulusan B.Ed.TESL ( Hons.) daripada Universiti Of Exeter, United Kingdom dalam bidang Bahasa Inggeris adalah anak desa berasal dari sebuah desa kecil di Kedah. Meski sudah jauh merantau, beliau tidak pernah lekang daripada kesukaannya terhadap sambal belacan,durian,petai dan harum bumi Malaysia tatkala disimbah hujan. Kecintaannya yang paling besar adalah terhadap dunia pertahanan, senjata, motorsikal berkuasa tinggi dan aktiviti-aktiviti mencabar.

Leave A Reply