Vermouth – Perwatakan Yang Bercanggah

752
views

Kepada peminat setia komik dan animasi Detektif Conan pasti pernah mendengar tentang seorang watak yang bernama Vermouth. Vermouth ataupun lebih dikenali sebagai Sharon Vineyard dan Chris Vineyard merupakan seorang pelakon dan salah seorang ahli dalam kumpulan gelap.

Sehingga kini, tidak dapat dipastikan sama ada beliau adalah watak protagonis ataupun watak antagonis dalam siri tersebut. Hal ini kerana, terdapat contoh peristiwa yang sama kuat untuk mengaitkan beliau dalam pengkelasan watak tersebut.

Peristiwa pembunuhan bapa kepada Jodie Starling (Kedua-dua merupakan FBI) pada 20 tahun yang lalu, menjadi bukti kepada pengkelasan watak antagonis dalam kalangan peminat siri Detektif Conan. Pembunuhan yang dilakukan terhadap Encik Starling adalah bertujuan untuk menutup mulut. Sebelum kematian Encik Starling, mendiang telah mengumpul maklumat mengenai Vermouth dalam kumpulan kongsi gelap.

Selain itu, peristiwa identiti menjadi bukti kepada pengkelasan watak protagonis. Vermouth telah mengetahui bahawa Kudo Shinichi – Edogawa Conan dan Miyano Shiho – Haibara Ai adalah orang yang sama. Walaupun telah mengetahui tentang selok belok Shinichi-Conan dan Shiho-Ai, tetapi beliau tidak menyampaikan maklumat itu kepada kumpulan kongsi gelap. Sehingga artikel ini ditulis, motif Vermouth berbuat demikian masih tidak diketahui.

Peristiwa pemujukan sehingga maut juga membuktikan bahawa Vermouth adalah watak antagonis. Vermouth merupakan ahli kongsi gelap yang kejam dan tidak berhati perut, beliau memujuk mangsa untuk membunuh diri dan keluarganya serta dengan gembiranya memberitahu seorang ejen FBI; beliau sepatutnya gembira kerana dapat menemui bapanya di syurga.

Pengorbanan Vermouth membuktikan bahawa Vermouth adalah watak protagonis. Sebagai contoh, semasa kes rampasan bas; Vermouth yang disamarkan sebagai doktor Araide telah mempertaruhkan nyawanya untuk menyelamatkan Conan daripada dicederakan oleh penjenayah yang terbabit dalam rampasan bas. Perwatakan Vermouth dipertikaikan oleh doktor Araide yang sebenar.

Peristiwa cubaan membunuh pengkhianat kepada kumpulan gelap menjadi bukti bahawa Vermouth adalah watak antagonis. Haibara Ai ataupun nama sebenarnya adalah Miyano Shiho merupakan salah seorang ahli bergelar Sherry dalam kumpulan gelap . Sherry yang melarikan diri telah dianggap pengkhianat oleh para ahli kumpulan gelap. Vermouth ditugaskan untuk menghapuskan Sherry yang berupa Haibara Ai, pengkhianat kumpulan itu sebelum cubaannya dipatahkan  kerana Mouri Ran.

Akhir sekali, peristiwa saksi muda telah membuktikan bahawa Vermouth adalah watak protagonis. Sebagai contoh, untuk mengesan Kir; beliau telah bertanya dengan seorang budak bernama Funemoto Touji. Touji adalah saksi yang melihat kemalangan melibatkan Kir dengan beberapa orang pegawai FBI. Setelah maklumat mengenai Kir mencukupi, beliau melepaskan budak itu tanpa sebarang kecederaan. Malah, Vermouth tidak membunuh Jodie Starling secara terus kerana tidak sengaja terlihat Vermouth membunuh bapanya. Sebaliknya, meminta Jodie agar berada di rumah tersebut sebelum membakar kediaman keluarga Starling.

 Berdasarkan huraian dan hujahan di atas, jelaslah bahawa pengkelasan watak kepada Vermouth akan menjadi perdebatan. Tidak seperti sesetengah karya tempatan mahupun karya luar, para watak dapat dikelaskan sama ada protagonis mahupun antagonis bergantung kepada tindak-tanduknya terhadap watak utama dan kenalannya.

Sebagaimana banyak watak dalam komik dan animasi dari negara matahari terbit yang lain, perwatakan dan pengkelasan watak Vermouth dalam Detektif Conan dipertikaikan oleh peminat setianya.

Kepada pengikut halaman The Patriots yang pernah/sedang/telah mengikuti komik dan animasi Detektif Conan, adakah anda hendak mengkelaskan Vermouth sebagai watak protagonis ataupun antagonis? Jika telah berjaya mengkelaskannya, apakah peristiwa dalam Detektif Conan yang menjadi bukti dalam pengkelasan watak? Sila huraikan di dalam ruangan komen di bawah.

Artikel ditulis Ahmad Fitry untuk The Patriots.