Moving Forward As One

Vaksin Sebabkan Tubuh Badan Bermagnet?

5,499

Jeon So Min (Runningman Eps 357) boleh lekatkan sudu dekat dahi dia. Tak kan la ni pun sebab vaksin? Walaupun sains tentang magnetisme telah difahami oleh manusia sejak 150 tahun yang lalu, masih ada yang mempunyai salah faham tentangnya. Oleh itu, jom fahami tentang magnet dan menyelami persoalan tentang adakah manusia mempunyai daya kemagnetan setelah divaksin?

Kebodohan paling nyata sebuah NGO tempatan yang tak memahami bagaimana sains berfungsi.

Pasti kita semua sudah biasa lihat magnet kekal, iaitu sejenis magnet yang menghasilkan medan magnetnya sendiri. Macam magnet yang kau lekat dekat fridge tu atau yang kau letak bawah meja sekolah, lepastu gerakkan spring pensel tekan Pilot untuk buat ‘magic’.

Tetapi, magnet kekal bukan lah satu-satunya cara bagaimana semua magnet itu sepatutnya berfungsi. Magnet kekal adalah salah satu jenis daripada pelbagai daya magnetisme yang kita tahu. Terdapat tiga jenis daya kemagnetan atau magnetisme yang patut kita tahu, iaitu:

– Diamagnetisme
– Paramagnetisme
– Feromagnetisme

Jadi apabila kita dedahkan medan magnet luaran ke mana-mana bahan atau jirim, kita akan dapat salah satu daripada tindak balas berikut:

Diamagnet:

Apabila didedahkan sesuatu bahan kepada medan magnet, bahan itu akan mempunyai daya kemagnetan lemah yang berLAWANan dengan medan magnet. Setelah bahan itu tidak lagi didedahkan kepada medan magnet, tiada lagi daya kemagnetan dan ia kembali kepada keadaan asalnya.

Paramagnet:

Apabila didedahkan sesuatu bahan kepada medan magnet, ia akan mempunyai daya kemagnetan lemah, tetapi mempunyai TARIKan ke arah medan magnet tersebut. Setelah tidak didedahkan kepada medan magnet, tiada lagi daya kemagnetan dan ia kembali kepada keadaan asalnya.

Feromagnet:

Apabila didedahkan sesuatu bahan feromagnet kepada medan magnet, ia akan mempunyai daya tarikan yang kuat dengan medan magnet. Setelah tidak lagi didedahkan dengan medan magnet, bahan feromagnet akan tetap mempunyai daya kemagnetan sama ada separa atau sepenuhnya.

Jadi daripada tiga tindak balas atau daya kemagnetan tersebut, hanya bahan bersifat feromagnet sahaja yang akan kekal mempunyai kemagnetannya tanpa didedahkan dengan medan magnet luaran. Oleh hal yang demikian, bila kita sebut tentang isu vaksin menyebabkan manusia mempunyai daya kemagnetannya sendiri, sama ada kekal atau tidak, sudah tentulah kita cakap tentang daya kemagnetan feromagnet kan?

Tapi adakah tubuh manusia ini terdiri daripada bahan feromagnet? Seperti yang kita semua sedia maklum, 60-65% daripada tubuh badan kita ini terdiri daripada air.

Kalau kau dedahkan air kepada magnet kekal, kau sendiri boleh tengok yang air itu tidak mempunyai sebarang tindak balas. Menjadi tanda bahawa, air bukanlah bahan feromagnet.

Malah air sebenarnya bersifat diamagnet. Dalam erti kata lain, ia akan menolak atau melawan medan magnet.

Seterusnya, molekul yang kedua paling banyak dalam tubuh manusia adalah lipid atau sebatian organik, misalnya lemak. Lemak disimpan tubuh untuk digunakan sebagai tenaga.

Lemak ini juga sifatnya bukanlah ferromagnet, tetapi boleh menjadi paramagnet dalam keadaan tertentu sahaja.

Terakhir sekali adalah protein. Secara umumnya protein bukan bahan feromagnet. Tetapi kajian pada tahun 2017 telah menemukan protein yang mempunyai sifat magnet.

Saintis menganggap bahawa protein bermagnet ini berfungsi bagi membolehkan haiwan mengesan medan magnet.

Oleh itu, sudah fahamkan bahawa ketiga-tiga komponen iaitu air, lemak dan protein membentuk kira-kira 95% daripada tubuh badan manusia dan juga haiwan.

Namun, majoritinya terdiri daripada air (60-65%) yang bersifat diamagnet, (MELAWAN) medan magnet.

Dah selesai tentang sama ada manusia bersifat feromagnet atau tidak. Jom tengok pula apa yang ada dalam vaksin.

Boleh ke bahan dalam vaksin membuatkan tubuh badan manusia mempunyai daya kemagnetannya sendiri?

Walaupun kaedah pembuatan atau bahan setiap vaksin ini sedikit berbeza, kesemuanya mempunyai satu persamaaan, iaitu tiada kesan (trace amount) bahan berikut:

– besi
– nikel
– kobalt
– litium
– nadir bumi
– cip mikro
– sim kad
– router wifi
– CDI Uma Racing

Bahan-bahan dalam vaksin yang adalah mRNA, virus tak aktif, lipid, garam, gula. Tiada satu pun daripada bahan membuat vaksin ini bersifat magnetik.

Boleh tengok bahan CoronaVac (Sinovac) ni.

Tapi macam mana boleh ada banyak video atau gambar magnet boleh melekat dekat kawasan yang dicucuk vaksin?

Pertama sekali kau perlu tahu bahawa, bukanlah waktu vaksinasi ni sahaja yang ada kewujudan fenomena “human magnet”.

Kalau masa membesar dulu pernah tonton Ripley’s Believe It or Not, banyak sangat kes macam ni. Tapi objek2 itu melekat bukan lah sebab depa ni bermagnet.

Tapi oleh sebab daya Van der Waals dan daya geseran.

Daya Van der Waals timbul apabila dua permukaan yang licin bertemu antara satu sama lain, kedua-duanya akan mempunyai daya tarikan yang lemah.

Ditambah pula dengan kehadiran sedikit lembapan atau sebum (minyak) pada kulit.

Dinamakan bersempena nama seorang ahli fizik dari Belanda iaitu, Johannes Diderik van der Waals.

Dalam erti kata lain, daya tarikan lemah di antara molekul-molekul yang bahagian hujung elektronegatif satu molekul, berorientasi ke arah hujung elektropositif molekul yang lain.

Johannes Diderik van der Waals

 

Dalam isu vaksin “bermagnet” ni, adalah interaksi Van der Waals antara permukaan kulit dengan magnet, besi, sudu dsb.

Daya Van der Waals ini juga tidak terhad kepada manusia sahaja. Terdapat pelbagai jenis haiwan atau serangga yang gunakan daya lemah ini untuk memanjat atau melekap pada permukaan yang licin.

Misalnya labah-labah. Bulu pada badan labah-labah umumnya diperbuat daripada chitin.

Dekat bahagian hujung kaki labah-labah, ada appendage yang dikenali sebagai pad skopula. Pad skpula ini mempunyai sejambak bulu halus yang membolehkannya memanjat & melekap pada permukaan licin dengan efisien.

Secara umumnya daya Van Der Waals ini lemah, tetapi sekiranya setiap satu daripada bulu labah-labah itu berinteraksi atau mempunyai daya tarikan dengan permukaan, bukan ke hal ini akan membuat daya tarikannya menjadi lebih kuat?

 

Ruangan komen telah ditutup.