Semua negara hari ini sedang bergelut untuk melawan pandemik COVID-19. Berkat ilmu saintifik, dunia dianugerahkan dengan beberapa jenama vaksin yang berkesan lagi selamat. Teknologi dan dana turut melicinkan proses.

Dan perlumbaan vaksin pertama dimenangi gandingan Pfizer dan BioNTech, yang memperolehi sebuah vaksin berjenis mRNA.

IKLAN: Anda sedang mencari novel thriller pembunuhan bersiri? The Patriots baru terbitkan novel keempat kami. Boleh beli di Shopee kami: https://shp.ee/47yzq2k

Jenama vaksin ini ialah Comirnaty, yang sungguh berkesan. Bersama dengan vaksin mRNA oleh Moderna, beberapa negara sudah melaporkan kadar kebolehjangkitan yang menurun.

Amerika Syarikat misalnya telah menjadi negara paling teruk dipukul ombak COVID-19. Program vaksin yang pantas (juga perintah pelitup muka) telah melandaikan lekuk pandemik dengan mendadak.

Tetapi pada bila-bila masa, COVID-19 boleh menular kerana masih ramai belum atau enggan menerima vaksin.

Namun ada situasi menarik yang berlaku di Itali. Seorang saintis mendapati bahawa vaksin Comirnaty tidak begitu berkesan pada satu golongan.

Siapakah Golongan Ini?

COVID-19 mendapat perhatian dunia dengan pantas kerana statusnya sebagai penyakit mudah berjangkit.

Berbeza dengan obesiti yang menular secara berperingkat. Saintis hari ini melihat 1950-an sebagai pencetus paling awal yang menyebabkan krisis kegemukan hari ini (Roan, 2011). Jika fikir logik, memang betul 1950-an paling relevan.

Sebelum itu dunia dibelah teruk kerana Perang Dunia Kedua, yang didahului Perang Dunia Pertama dan Pandemik Influenza.

Teknologi pertanian dan perubatan yang semakin maju meningkatkan jumlah populasi yang hari ini sudah mencapai takat semasa.

Hasil daripada peningkatan ini juga datangnya pandemik obesiti. Jangankan orang biasa – pekerja kesihatan yang mengetahui tentang padahnya turut terkesan sama.

Itulah apa yang berlaku di Itali.

Vaksin yang diagihkan dalam kalangan barisan hadapan, khususnya pekerja kesihatan, didapati tidak begitu berkesan jika penerima menghidapi penyakit obesiti.

Comirnaty mengajar tubuh badan cara melawan COVID-19. Tetapi dengan dua dos sekalipun, badan yang gemuk hanya menghasilkan separuh antibodi daripada kadar sepatutnya.

Masih Terlalu Awal

Dapatan ini memanglah terlalu awal. Vaksin COVID-19 baru saja diagihkan. Mungkin terlalu cepat untuk menerima dapatan di Itali sebagai sumber sahih. Tetapi ada satu perkara yang perlu ditekankan di sini.

Dunia Barat berdepan dengan virus Influenza pada setiap masa. Jadi banyak negara menggunakan kaedah vaksinasi untuk mengurangkan kadar kebolehjangkitan.

Setiap tahun, dua kali pengeluar perlu membuat vaksin jenis baru untuk mencegah mutasi virus Influenza (WHO, 2012).

Saintis mendapati bahawa vaksin Influenza tidak begitu berkesan pada orang yang mengalami masalah kegemukan (Harvard Health Publishing, 2017).

Jadi di sini ada dua vaksin yang terbukti “separuh berkesan” pada penerima yang menghidap obesiti.

Ini jelas satu masalah besar. Kerana dengan obesiti boleh datang pula penyakit dua serangkai iaitu kencing manis (diabetes) dan tekanan darah tinggi (hypertension).

Penyakit dua serangkai memang menjejaskan sistem imunisasi (Berbudi, et al., 2020). Sebab itulah pesakit dua serangkai amat berisiko untuk dijangkiti COVID-19 yang teruk (Fang, et al., 2020).

Bendung Masalah Kegemukan

Vaksin Influenza terbukti tidak begitu berkesan dalam kalangan orang bermasalah kegemukan. Jadi tidak pelik jika vaksin COVID-19 begitu juga.

Penyelidik Itali sedang mempertimbangkan tambahan vaksin (atau dos berlebihan) untuk memberikan pelindung (Andrews, 2021).

Menariknya, tanda tanya ini sudah timbul sebelum Comirnaty diluluskan lagi. Kerana ramai penyelidik agak khuatir jika vaksin boleh berkesan sepenuhnya dalam kalangan orang bermasalah kegemukan (Ledford, 2020).

Sebab inilah rakyat perlu mengikuti SOP meskipun sudah menerima vaksin. Kerana kadar kebolehjangkitan perlu diputuskan terlebih dahulu, bagi melindungi semua orang tidak kira kurus atau gemuk.

Akhir kata, satu kisah berkaitan Islam sangat relevan dalam hal ini.

IKLAN: Kalau anda sedang mencari novel Thriller terbaik, maka kami nak cadangkan novel terbaru terbitan The Patriots, Psikopat Nirwajah. Boleh beli di Shopee kami di: https://shp.ee/47yzq2k

Seorang lelaki pernah mewajarkan perutnya yang besar sebagai berkat daripada Allah. Tetapi Saidina Umar (ra) membalas dengan nasihat yang relevan hingga hari ini. Beliau pernah menasihati orang ramai supaya elak makan terlalu banyak.

Kerana perbuatan tersebut akan menjejaskan tubuh badan, dan membawa penyakit. Kata-kata nasihat masih bergema hari ini,  walaupun sudah 1,377 tahun sejak beliau menghembuskan nafas terakhir di kota Madinah.

Madinah merupakan kota yang penting di sisi agama Islam. Cuma ada sedikit ironi. Berdasarkan statistik terbitan 2016, Kuwait merajai takhta dalam carta obesiti. Mengikuti belakang ialah Amerika Syarikat, Jordan, Arab Saudi, Qatar, Libya, Turki, Mesir, Lubnan dan Emiriyah Arab Bersatu.

Yang betul-betul merisaukan… Malaysia ada masalah obesiti juga.

RUJUKAN:

Andrews, L. (2021, Mac 1). Pfizer’s Covid vaccine may not work as well if you’re fat: Obese people make HALF as many antibodies after getting two doses, study claims. The Daily Mail.

Berbudi, A. et al. (2020). Type 2 Diabetes and its Impact on the Immune System. Curr Diabetes Rev. 16 (5): 442-449.

Fang, L. et al. (2020, April 1). Are patients with hypertension and diabetes mellitus at increased risk for COVID-19 infection? The Lancet Respiratory Medicine. 8 (4).

Harvard Health Publishing. (2017). Flu vaccine less effective in obese individuals.

Ledford, H. (2020, Oktober 20). How obesity could create problems for COVID vaccine. Nature.

Roan, S. (2011, Disember 29). 1950s may have triggered obesity pandemic. The Seattle Times.

WHO. (2012). Vaccines against Influenza. Weekly Epidemiological Record. 87 (47): 461-476.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Berbekalkan buku “Perang Salib Pertama: Kelahiran Templar”, Ahmad Faezal mempunyai suatu matlamat bagi Malaysia. Dalam kaca mata beliau, bangsa Melayu perlu bangkit membaham ilmu sepertimana mereka memakan nasi. Seorang pengikut setia bidang astronomi dan isu semasa, beliau mengimpikan bangsa Melayu dalam masa 100 tahun boleh melibatkan diri secara aktif dalam bidang-bidang sains terperinci. Beliau juga seorang penulis dan penterjemah upahan, yang sedia menerima klien.

Comments are closed.