Vaksin: Apa Yang Orang Awam Perlu Tahu?

333
views

Peradaban manusia secara umum nya sudah sampai pada satu tahap kemajuan dalam bidang perubatan. Kini boleh dikatakan taraf kesihatan meningkat & kesihatan pada tahap optimum. Tetapi di sebalik kemajuan ini, kemunculan golongan anti-vaksin “antivax” dengan teori-teori atau terma yang lebih baik iaitu hipotesis-hipotesis konspirasi mengenai vaksin.

Golongan “antivax” ini mengatakan vaksin dibuat dari bahan tidak halal/najis, menyebabkan kecacatan otak seperti autisme dan sebagainya. Malah ada yang “pergi lebih jauh” dengan mengatakan vaksin HPV menjadi penyebab mengapa remaja menjadi ‘miang’ dan mudah terangsang. Oleh itu mereka menolak, malah mentertawakan mereka yang memvaksin anak-anak dan mengatakan bahawa “lebih alami” jika bergantung pada sistem imunisasi asal badan.

Maka saya secara sukarela tanpa ditaja oleh Rockefeller & Rothchilds menjawab tuduhan-tuduhan tidak berasas ni dengan artikel di bawah.

Apakah itu vaksin?

Vaksin itu adalah bahan persediaan biologi bagi menentang penyakit-penyakit tertentu yang disebabkan oleh sama ada bakteria ataupun virus.

Vaksin diperbuat sama ada daripada bakteria atau virus yang dilemahkan (tidak mampu memberi jangkitan), mati (organisma yang dimatikan), toksin bakteria (penyebab jangkitan), atau protein di permukaan bakteria atau virus.

*akan diterangkan lebih mendalam dibawah*

Antigen di dalam vaksin ini berfungsi seperti berikut;

1. Merangsang sistem pertahanan imun badan seterusnya menghasilkan antibodi.

2. Antibodi akan mengenal pasti bakteria/virus ini sebagai ancaman.

3. Antibodi bersama-sama sel darah putih lain akan membunuh bakteria/virus tersebut.

4. Akhir sekali, membolehkan sistem imun badan “ingat” (memory cell), bahawa bahawa bakteria/virus ini adalah ancaman luar yang perlu dihapuskan jika badan diserang sekali lagi.

Jenis-jenis Vaksin.

1. Live Attenuated Vaccine (LAV).

Vaksin ini diperbuat daripada bakteria/virus yang sama dengan penyebab penyakit. TETAPI, bakteria/virus yang digunakan telahpun dilemahkan (tidak mampu memberi jangkitan).

Oleh kerana ianya sama dengan bakteria/virus penyebab penyakit, vaksin ini mempunyai kelebihan tersendiri iaitu membuat respon sistem imun badan lebih kuat dan tahan lama.

Hanya 1-2 dos vaksin sahaja, boleh bertahan sepanjang hayat.

Contoh penyakit yang dicegah vaksin jenis ini:

– Measles(campak)
– Mumps (beguk)
– Rubella.
– Rotavirus
– Smallpox
– Yellow fever
– Chicken pox
– Shingles @ Kayap

2. Inactivated Vaccine (IV).

Vaksin jenis ini pula diperbuat daripada bakteria/virus yang telah dimatikan. (Juga tidak mampu memberi jangkitan).

TETAPI, vaksin jenis IV ini tidak bertahan lama dan memerlukan beberapa dos (booster) untuk membolehkan sistem imun badan sentiasa pada tahap yang terbaik.

Contoh penyakit yang dicegah vaksin ini:

– Flu/Influenza
– Hepatitis A
– Polio
– Rabies

3. Subunit, Recombinant, Polysaccharide, Conjugate Vaccine.

Vaksin jenis ini tidak menggunakan bakteria/virus itu secara menyeluruh, tetapi menggunakan sebahagian struktur daripada bakteria/virus tersebut seperti protein, gula, dan capsid (kapsul yang melindungi bakteria/virus tersebut).

Oleh kerana vaksin ini diperbuat begitu, ia menyebabkan respon sistem imuniti badan bertindak secara spesifik dan akan terus menyerang struktur bakteria/virus yang masuk ke dalam badan. Vaksin ini juga boleh digunakan kepada sesiapa yang memerlukan termasuk mereka yang lemah sistem imun badan seperti pesakit HIV/AIDS, ibu mengandung dan sebagainya.

TETAPI, seperti Vaksin IV, ia perlu mendapatkan dos tambahan (booster) demi menjamin perlindungan imuniti berterusan dari penyakit-penyakit ini.

Contoh penyakit yang dicegah vaksin ini:

-Haemophilus influenza type B
-Whooping Cough(Bordetella pertussis)
-Hepatitis B
-HPV (Human Papilloma Virus)
-Meningococcal disease
-Pneumococcal disease

4. Toxoid Vaccine

Vaksin ini, tidak diperbuat daripada bakteria/virus hidup ataupun yang telah dilemahkan. Ianya diperbuat daripada toksin yang dilepaskan bakteria/virus ini. Meskipun diperbuat daripada toksin, toksin tersebut telah “disucikan” supaya tidak memudaratkan penerima vaksin.

Oleh sebab itu, sistem imun badan hanya akan bertindak jika terdapat toksin dilepaskan oleh bakteria/virus ini. Justeru, jika pesakit yang telah divaksin dijangkiti, ia tidak akan memberi mudarat kepada pesakit oleh kerana toksin tersebut telah dimusnahkan oleh sistem imun badan.

Vaksin ini juga memerlukan dos tambahan (booster).

Contoh penyakit yang dicegah vaksin ini:
-Difteria
-Tetanus (kancing gigi)

Mekanisma Sistem Imun Badan Manusia.

Untuk mengenal mekanisma vaksin, anda perlu mengenal bagaimana sistem imun badan anda beroperasi terlebih dahulu.

Sistem imun adalah jaringan sel, tisu dan organ badan yang bertindak mempertahankan badan anda dari penyakit. Jadi sekiranya terdapat bakteria / virus masuk ke dalam badan, mereka akan bertambah jumlah (“multiply”) dan menyerang badan anda dengan cara melepaskan toksin. Pencerobohan ini diberi terma infeksi. Sebarang infeksi akan menyebabkan anda jatuh sakit.

Jadi bagaimana sistem imun badan berfungsi?

Sel sistem imun anda sentiasa beredar di dalam saluran darah untuk mencari & menghapuskan organisma yang tidak dikenali (“foreign organism”) yakni bakteria dan virus.

Apabila organisma ini ditemui, sistem imun badan akan menyerang dan cuba membunuh mereka, ini yang dinamakan sebagai respon sistem imun.

Cara respon imun bekerja;

1. Apabila bakteria/virus ditemui, sistem imun akan menghantar ‘isyarat’ kepada sel darah putih yang fungsinya melawan jangkitan, bahawa terdapat organisma asing di dalam badan. “Wei, ada makhluk asing dekat sini”

2. Ini menyebabkan sel limfosit (B cell) bertindak menghasilkan antibodi bagi melawan bakteria/virus tersebut. Anggap lah bahawa antibodi ini sebagai askar yang melindungi badan anda dari anasir jahat. Proses ini akan mengambil masa beberapa hari. “Tunggu, aku akan hantarkan askar-askar untuk membunuh mereka”

3. Antibodi-antibodi (askar) ini kemudian akan melekatkan diri pada permukaan bakteria/virus, melemahkan, membunuh bakteria/virus tersebut.

4. Selepas jangkitan/ancaman berjaya dineutralkan, sistem imun badan akan “kenal/ingat” bakteria/virus spesifik yang menyerang anda. Jika bakteria/virus ini menyerang lagi, antibodi telahpun bersedia tanpa mengambil masa beberapa hari untuk bertindak.

5. Respon sistem imun inilah yang diberi nama imuniti.

Bahan kandungan vaksin dan fungsinya

Vaksin mengandungi bahan aktif dipanggil antigen. Antigen-antigen ini sama ada dalam bentuk berikut;

– Bakteria atau virus hidup tetapi dilemahkan.
– Bakteria atau virus yang telah dimatikan.
– Protein virus yang telah disucikan.
– Toksin bakteria yang telah dilemahkan.
– Sebahagian dari struktur bakteria.

Vaksin juga mengandungi komponen tambahan seperti pengawet, penstabil, adjuvant dan beberapa komponen lain.

Setiap bahan yang terkandung di dalam vaksin mempunyai fungsi tersendiri dan menyumbang kepada kualiti, keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin. Vaksin TIDAK mengandungi bahan yang boleh membahayakan tubuh badan.

● Pengawet (Thiomersal)

Pengawet di dalam sesetengah vaksin berfungsi untuk menstabilkan vaksin serta
mencegah pembiakan bakteria dan kulat dalam vaksin.

Pengawet yang selalu digunakan ialah thiomersal. Ia mengandungi sejenis raksa/merkuri yang dinamakan ethylmerkuri. Ia TIADA KAITAN dengan sebarang kesan toksik methylmerkuri.

Thiomersal yang telah digunakan dalam vaksin sejak 80 tahun lalu, wujud dalam kuantiti yang amat sedikit di dalam vaksin. Sehingga ke hari ini TIADA sebarang BUKTI SAINTIFIK yang menunjukkan bahawa ia berbahaya.

Ethylmerkuri diproses dan dibuang oleh badan secara alami. Tambahan pula, terdapat banyak kajian yang telah dijalankan mendapati bahawa TIADA BUKTI menunjukkan kecacatan sistem saraf atau perkembangan seperti autisme disebabkan oleh penggunaan vaksin yang mengandungi thiomersal.

*Ethylmerkuri = (tidak bahaya)
*Methylmerkuri = (bahaya)

PS: Oleh sebab tanggapan orang awam mengenai thiomersal terjejas, pada tahun 2001, penggunaan thiomersal di dalam vaksin untuk kanak-kanak telah dihentikan.

● Bahan Penstabil (Stabilizer)

Bahan penstabil berfungsi mencegah komponen vaksin dari melekat di dinding botol vaksin. Ia mengekalkan keselamatan dan keberkesanan vaksin di dalam keadaan dan suhu yang pelbagai.

Gelatin dan lactose-sorbitol adalah diantara contoh bahan penstabil. Dan apabila gelatin digunakan, pasti ramai yang menyangka ia dihasilkan daripada gelatin khinzir, tetapi bovine gelatin dari lembu yang banyak digunakan oleh pasaran vaksin semasa oleh kerana lembu saiznya lebih besar daripada khinzir. Bovine sendiri membawa maksud :”relating to or affecting cattle.”

Selain gelatin, laktosa & sukrosa (gula) turut digunakan sebagai penstabil. Selain itu glycine dan monosodium glutamate turut digunakan.(keduanya adalah asid amino / garam kepada asid amino)

● Adjuvan

Adjuvan adalah bahan yang meningkatkan respon sistem imun badan terhadap antigen(bakteria/virus di dalam vaksin).

Adjuvan ditambah ke dalam vaksin untuk meningkatkan tindakbalas system ketahanan
tubuh terhadap vaksin. Bahan adjuvan yang sering digunakan adalah garam aluminium (dikenali sebagai alum).

Pengambilan aluminium dari vaksin adalah lebih rendah berbanding dengan pengambilan harian dari makanan atau ubat-ubatan seperti antasid.

Penelitian semua kajian yang ada berkaitan vaksin difteria, tetanus dan pertussis yang mengandungi aluminium (sama ada secara berasingan atau kombinasi) menunjukkan bahawa tiada bukti garam aluminium di dalam vaksin menyebabkan sebarang kesan sampingan serius atau kesan sampingan jangkamasa panjang.

Kemerahan pada tempat suntikan selalunya berkait dengan vaksin yang mengandungi
aluminum berbanding vaksin yang tiada kandungan aluminium, namun kesan ini
selalunya ringan dan sementara.

● Formaldehid

Formaldehid adalah bahan sampingan yang terhasil dari proses pembuatan vaksin. Formaldehid digunakan dalam proses penghasilan sesetengah vaksin untuk melemahkan virus (seperti virus polio dan hepatitis A) atau toksin bakteria (seperti
toksin difteria dan tetanus).

Hampir semua formaldehid dinyahkan semasa proses penghasilan vaksin dan yang tinggal hanya dalam kuantiti yang amat sedikit.

Formaldehid juga boleh ditemui dalam saluran darah manusia kerana ia merupakan bahan sampingan sintesis protein dan DNA. Kuantiti formaldehid dalam darah adalah sepuluh kali lebih tinggi berbanding kandungannya dalam vaksin.

● Antibiotik

Antibiotik digunakan semasa proses penghasilan beberapa jenis vaksin untuk
mencegah pencemaran bakteria dari luar.

Terdapat kebimbangan “orang ramai” sekiranya antibiotik ini boleh mendatangkan bahaya seperti tindakbalas allergik apabila mengambil antibiotik untuk rawatan jangkitan.

Walaubagaimanapun, jenis antibiotik yang digunakan dalam vaksin seperti neomycin, streptomycin, polymixin B, chlortetracycline dan amphothericin B, BUKANLAH antibiotik yang lazimnya menyebabkan kesan allergik.

● Sel Janin (Mengundang Kontroversi)

Sengaja saya letakkan dibahagian akhir kerana ini menyebabkan ramai orang merasakan geli atau mual oleh kerana ianya menggunakan sel manusia (janin).

TETAPI. Ianya bukan lah diperbuat dari janin yang baru dan memerlukan janin lain jika sel tersebut habis. Ini kerana sel janin tersebut dikultur dan janin tersebut digugurkan secara elektif (pilihan ibu sendiri & bukanlah untuk pembuatan vaksin)

Kembali ke sejarah penggunaan sel janin;

Pada tahun 1941, pakar oftalmologi Australia, Norman Gregg mula menyedari bahawa kondisi katarak kongenital pada bayi adalah disebabkan ibu yang mengandungkan mereka terdedah kepada jangkitan virus Rubella.

Selain daripada katarak, turut dikenalpasti bahawa Sindrom Kongenital Rubella atau congenital rubella syndrome (CRS) turut menyebabkan bayi berpotensi menjadi pekak, masalah jantung, ensefalitis (radang otak), terencat akal, paru-paru berair (pneumonia) dan pelbagai masalah kesihatan lain.

Akibat dari epidemik wabak virus rubella pada waktu itu, ibu-ibu yang menghidapi jangkitan rubella semasa mengandung ini mengambil keputusan menggugurkan kandungan mereka oleh kerana masalah kesihatan yang bakal dihidapi bayi mereka disebabkan oleh sindrom kongenital rubella ini.

Daripada salah satu pengguguran tersebut, janin tersebut dihantar kepada makmal Stanley Plotkin, seorang pakar perubatan dan saintis yang mempunyai makmal penyelidikan khas virus rubella.

Berdasarkan ujian yang dilakukan kepada ginjal janin tersebut, Plotkin mendapati bahawa terdapat virus rubella dan mengasingkannya.

Plotkin kemudian membesarkan virus rubella yang diasingkan di dalam sel WI-38, yang disimpan pada suhu 30°C supaya tumbesaran virus tersebut terencat/terhenti apabila dimasukkan (vaksin) ke dalam badan manusia suhu normal 37°C. Proses ini adalah untuk melemahkan virus tersebut (live atenuated vaccine)

Selepas virus rubella dibesarkan dalam suhu yang rendah, ia tidak lagi dapat bertambah jumlah (multiply) dan menyebabkan penyakit. Tetapi cukup untuk merangsang respon sistem imun badan manusia untuk menghasilkan antibodi.

Pengguguran janin baru tidak perlu dijalankan lagi kerana sel janin yang diperoleh dalam tahun 1960an tersebut masih dikekalkan dalam kultur makmal.(tidak akan kehabisan)

Saintis memilih untuk menggunakan sel janin atas beberapa sebab, iaitu:

1. Virus berbeza dari bakteria kerana ia memerlukan sel hidup untuk membiak. Sel manusia adalah media/bahan yang lebih baik bagi menggalakkan pembiakan virus manusia, berbanding dengan sel haiwan.

2. Sel janin kebal dan boleh membiak banyak kali sebelum mati, berbeza dari sel lain (haiwan) yang hanya membiak secara terhad sebelum mati.

Pandangan dari segi agama

Islam:

Islam amat mementingkan umatnya agar sentiasa berwaspada dengan bahaya dan menyarankan agar kita mengambil langkah pencegahan “al-wiqayah” dalam mendepani isu seumpama ini.

Oleh itu, tindakan mengambil vaksin merupakan satu kemestian agar dapat membendung penyakit-penyakit merbahaya dari peringkat awal. Walaupun terdapat sesetengah dakwaan mengatakan vaksin mengandungi bahan terlarang seperti najis dan sebagainya, namun jika tiada pilihan yang lain maka ia tetap diharuskan kerana darurat.

Jakim berpendapat suntikan vaksin ini bukan sahaja bertepatan dengan nas-nas syarak, bahkan ianya turut selari dengan prinsip maqasid al syariah dalam menjaga nyawa manusia.

Kristian:

The official position according to the National Catholic Bioethics Center is that individuals should, when possible, use vaccines not developed with the use of these human cell strains. However, in the case where the only vaccine available against a particular disease was developed using this approach, the NCBC notes:

One is morally free to use the vaccine regardless of its historical association with abortion. The reason is that the risk to public health, if one chooses not to vaccinate, outweighs the legitimate concern about the origins of the vaccine. This is especially important for parents, who have a moral obligation to protect the life and health of their children and those around them.

Kesimpulannya, masyarakat khususnya perlu berfikir secara kolektif dan waras apabila isu vaksin kembali hangat oleh kerana dipropagandakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab sebagai konspirasi.

Tiada kajian kukuh mengatakan bahawa vaksin menyebabkan penyakit autisme atau penyakit-penyakit lain dikalangan penerima vaksin.

Tanggapan bahawa sistem imunisasi badan asal manusia adalah lebih baik daripada vaksin sangat meragukan, oleh kerana badan manusia perlu “bertemu” dan berjaya melawan jangkitan bakteria/virus ini untuk memperoleh imunisasi, dan penyakit-penyakit ini pula sangat merbahaya dan boleh membawa maut.

Oleh sebab itu vaksin adalah satu ikhtiar terbaik bagi meningkatkan sistem imun pertahanan badan.

Jika individu-individu “antivax” ini masih berdegil, kemungkinan wabak endemik untuk kembali sangat tinggi di dalam negara ini. Justeru merosakkan kesejahteraan dan taraf kesihatan individu yang lain.

Mungkin depa nak sangat black plague atau spanish flu datang balik. Saya mohon anda semua tatap gambar-gambar pesakit ni dan tanya diri sendiri,

Nak ke anak sakit macam ni?
Nak ke anak orang lain sakit macam ni?

Rujukan:

Health Topics: Vaccines. Retrieved from:
http://www.who.int/topics/vaccines/en/

Bovine Derived Materials Used in Vaccine Manufacturing Questions and Answers. Retrieved from: https://www.fda.gov/…/…/QuestionsaboutVaccines/ucm143521.htm

Vaksin-Apakah yang berlaku dalam badan anda?. Retrieved from: http://www.myhealth.gov.my/vaksin-apakah-yang-berlaku-dala…/

Leukocytes (White Blood Cells).Retrieved from:
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmedhealth/PMHT0022046/

Pink Book “Principles of Vaccination”
www.cdc.gov/vaccines/pubs/pinkbook/downloads/prinvac.pdf

Vaccine Ingredients – Thimerosal. Retrieved from: http://www.chop.edu/…/vaccin…/vaccine-ingredients/thimerosal

How Vaccines Protect You. Retrieved from: https://www.vaccines.gov/basics/work/prevention/index.html

Vaccine Ingredients. Retrieved from:
https://www.vaccines.gov/bas…/vaccine_ingredients/index.html

Vaccine components, National Centre for Immunisation Research & Surveillance
(NCIRS) Fact sheet: May 2013 (Content last updated February 2008)
http://www.ncirs.edu.au/provider-resourc…/ncirs-fact-sheets/

Human Cell Strains in Vaccine Development. Retrieved from: https://www.historyofvaccines.org/…/human-cell-strains-vacc…

Kenyataan Media Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Berkenaan Isu Penggunaan Vaksin. Retrieved from: http://www.islam.gov.my/…/kenyata…/596-isu-penggunaan-vaksin

National Catholic Bioethics Center. Retrieved from: https://www.ncbcenter.org/resou…/information-topic/vaccines/