“Remember, remember!
The fifth of November,
The Gunpowder treason and plot;
I know of no reason
Why the Gunpowder treasom!
Should ever be forgot!”

Topeng Guy Fawkes dan sajak di atas merupakan ikon utama yang dibawa oleh Alan Moore, penulis buku komik DC/Vertigo yang turut menulis From Hell dan The League of Extraordinary Gentlemen. Versi filem bagi naskah V for Vendetta pula telah dihidupkan oleh James McTeigue, pembantu pengarah bagi Matrix Trilogy. Diinspirasikan daripada gambaran masa depan yang anti-utopia, filem ini sarat dengan falsafah politik berat yang berkisar pada watak utamanya, V, lakonan Hugo Weaving, dan seorang wanita yang terjerat oleh takdir untuk bersama-sama dengan V, iaitu Evey Hammond, lakonan Natalie Portman.

SEJARAH RINGKAS GUNPOWDER TREASON DAN GUY FAWKES

Gambar 1: Gambaran Guy Fawkes

Gunpowder plot merupakan rancangan sekumpulan pengikut ajaran Katolik yang merancang untuk membunuh raja England pada tahun 1605, King James I. King James, mengikut perancangan, akan dibom di dalam House of Lords, bersama-sama dengan beberapa orang pembesar yang lain. Watak yang ditugaskan untuk menghidupkan api letupan tersebut, tidak lain tidak bukan, adalah Guy Fawkes, yang akhirnya ditangkap apabila rahsia rancangan itu sampai ke pengetahuan pihak berkuasa. Tujuan asal mereka ingin mengebom King James I adalah kerana ingin mengembalikan takhta pemerintahan England kepada waris yang berpegang pada ajaran Kristian Katolik.

Mengikut khabar angin, sewaktu Fawkes ditangkap dan ditanya namanya, dia menyatakan bahawa namanya adalah John Johnson, suatu nama samaran yang agak ganjil untuk orang pada zaman tersebut. Dikatakan bahawa salah satu sebab kenapa rancangan ini terdedah adalah kerana sewaktu membuat perancangan membunuh ahli kongres, mereka tidak tergamak untuk membunuh anggota Katolik yang lain. Suatu surat rahsia telah dikirimkan kepada Lord Monteagle, yang isinya meminta Lord Monteagle berhati-hati dengan situasi di parlimen.

Salah satu perkataan di dalam surat tersebut tertulis perkataan ‘blow’, yang menyebabkan Lord Monteagle mengarahkan orang gajinya untuk pergi memberitahu kepada pihak berkuasa, dan pada malam tersebut, kawalan keselamatan diketatkan dan Guy Fawkes ditemui di ruang bawah tanah di House of Lords. Beberapa konspirasi masih lagi bertebaran sama ada Gunpowder Plot sebenarnya memang digagalkan oleh ahlinya sendiri, berikutan fakta bahawa bahan letupan mampu diseludup masuk ke bawah House of Lords tanpa pemeriksaan keselamatan yang sewajarnya.

Gambar 2: Surat yang membocorkan rahsia.

Berikutan daripada penangkapan Guy Fawkes, dia telah ditahan dan diseksa untuk mendapatkan maklumat mengenai semua sekutu dalam Gunpowder Plot tersebut. Dia pada awalnya tidak memberikan sebarang nama, namun pada akhir hukumannya, setelah dia teruk diseksa, dia mengaku bersalah atas pertuduhan cubaan membunuh raja bersama dengan tujuh orang rakan subahat, di mana mereka semua dihukum gantung. Pada saat kematiannya, tubuhnya dibahagikan kepada empat, sebagai tanda amaran terhadap seluruh rakyat England bahawa itu merupakan balasan terhadap mereka yang cuba untuk menderhaka, dan hasil dari nyawa King James I yang terselamat, dia telah menetapkan 5 November sebagai Malam Guy Fawkes.

V, ANTIWIRA YANG MISTERI

Evey: Remember, remember, the Fifth of November, the Gunpowder Treason and Plot. I know of no reason why the Gunpowder Treason should ever be forgot… But what of the man? I know his name was Guy Fawkes and I know, in 1605, he attempted to blow up the Houses of Parliament. But who was he really? What was he like? We are told to remember the idea, not the man, because a man can fail.

He can be caught, he can be killed and forgotten, but 400 years later, an idea can still change the world. I’ve witnessed firsthand the power of ideas, I’ve seen people kill in the name of them, and die defending them… but you cannot kiss an idea, cannot touch it, or hold it… ideas do not bleed, they do not feel pain, they do not love… And it is not an idea that I miss, it is a man… A man that made me remember the Fifth of November. A man that I will never forget.

Dalam adaptasi komik V for Vendetta, United Kingdom merupakan sebuah negara yang ditadbir oleh kerajaan kuku besi yang diketuai oleh Adam Sutler. Dalam prospek dia untuk mendapatkan kuasa, dia telah menggunapakai kuasa kebencian yang kuat terhadap golongan imigran, lawan politik, muslim, yahudi dan minoriti yang dia tangkap dan simpan di suatu kem tahanan.

Pada malam 4 November, sewaktu watak utama Evey sedang dalam perjalanan pulang, dia telahpun diganggu oleh ahli kumpulan polis bantuan “Fingermen” kerana dia telah melanggar perintah berkurung yang ditetapkan kerajaan. V datang dengan aksi penuh dramatik, menewaskan beberapa orang penjahat sambil menunjukkan kemahiran pertarungan jarak dekat beliau yang agak hebat. Setelah menyelamatkan Evey, V mengajak Evey untuk pergi menonton orkestra di atas bumbung, di mana V ternyata telah mengebom salah satu mahkamah jenayah, Old Bailey, sambil ditambah dengan pancuran bunga api serta berlatarbelakangkan lagu 1812 Overture.

V: A building is a symbol, as is the act of destroying it. Symbols are given power by people. Alone, a symbol is meaningless, but with enough people, blowing up a building can change the world.

Setelah kecoh mengenai bangunan yang dibom, pihak berkuasa menyatakan dalam kenyataan rasmi mereka bahawa ia adalah suatu “pemusnahan bangunan yang terpaksa dilakukan”, dan sewaktu sedang bersiaran dalam rancangan berita, V telah mengambil alih stesyen TV dan mengakui dirinya adalah orang yang bertanggungjawab mengebom Old Bailey. Polis dengan serta merta cuba untuk menangkap V, namun akibat terhutang budi, Evey telah bertindak membantu V, dan dalam cubaan dia membantu V, berlaku kemalangan kecil dan dia tidak sedarkan diri.

Setelah dia menyelamatkan V, Evey mendapati dirinya berada di rumah V, dan V melarang dia keluar selama setahun kerana dia telahpun merancang pengeboman pada tahun hadapan, dan tidak ingin berlakunya kebocoran maklumat. V kemudiannya membunuh seorang demi seorang ahli kumpulan parti Adam Sutler, Parti Norsefire seperti Lewis Prothero dan Anthony Lilliman, paderi London.

Dalam cubaan V membunuh paderi tersebut, Evey telahpun menawarkan pertolongan dan melarikan diri sewaktu dia sempat. Dari situ, Evey kemudiannya sedar bahawa dia telahpun dituduh bersubahat dengan V, dan dia menumpang teduh kepada satu-satunya orang yang mempercayainya iaitu bosnya sendiri Gordon Deitrich. Disebabkan Evey mempercayainya, Gordon kemudian bertindak untuk menceritakan juga rahsia dirinya di mana dia mempertontonkan kepada Evey bahan larangan yang dia simpan, antaranya adalah naskah al-Quran lama. Pada masa yang sama, V berjumpa semula dengan salah satu kenangan masa silamnya, Dr. Delia Surridge, yang berada di kem tahanan yang sama dan telah melakukan eksperimen terkutuk terhadapnya dan ramai lagi tahanan kem tersebut.

Delia Surridge: Is it meaningless to apologize?

V: Never.

Delia Surridge: I’m so sorry.

Melihat kepada ketabahan Evey, Gordon kemudian meneruskan niatnya untuk melawan kerajaan sedia ada dengan mengeluarkan rancangan berbentuk satira yang mengutuk kerajaan di dalam salah sebuah rancangannya, rumah Gordon telahpun digeledah oleh tentera, dan Evey telahpun ditangkap. Sewaktu di dalam tahanan, Evey terjumpa nota daripada seorang bekas tahanan lain yang bernama Valerie Page, salah seorang bekas banduan yang ditahan di kem tersebut akibat daripada perilaku lesbian. Setelah berkali-kali ditanya berkenaan lokasi V, Evey pada akhir hukumannya menunjukkan rasa tidak takut terhadap hukuman yang bakal dia terima, dan dia akhirnya dilepaskan dari tahanan.

V kemudian mendedahkan bahawa selama ini dia yang telahpun memerangkap Evey dalam penjara yang dia bina, replika kepada penjara asal sewaktu dia di dalam kem tahanan. V sebenarnya telahpun menangkap Evey sebelum Evey sempat ditangkap oleh tentera Adam Sutler. Dia bertindak untuk membuang segala ketakutan yang ada dalam diri Evey, di mana Evey yang pada awalnya berasa amat marah akan tindakan V, akhirnya memberi kemaafan dan memahami niat sebenar V.

Evey: “…artists use lies to tell the truth while politicians use them to cover the truth up.”

Dalam pada masa yang sama, salah seorang anggota polis yang ditugaskan menyiasat V, Inspektor Finch mendapati V sebenarnya adalah tahanan daripada kem Sutler. Nama V itu diambil dari nombor bilik kurungan mereka, iaitu bilik kurungan bernombor lima (tulisan Roman). Mereka melakukan pelbagai eksperimen untuk membuat senjata biologi untuk dilepaskan kepada orang ramai. Dalam usahanya untuk mendapat kuasa, Adam Sutler telah menggunapakai virus tersebut yang dipanggil sebagai virus St. Mary, dan dalam proses dia mendapatkan kepercayaan rakyat, dia telah menyediakan gula-gula berupa perjanjian keselamatan terhadap penduduk sekiranya mereka diberi kuasa.

Pada 5 November, V mengedarkan topeng Guy Fawkes kepada orang ramai, setelah orang ramai mula bangun dan menolak rejim ketenteraan yang cuba dibawakan oleh parti Norsefire dan mereka mula bersatu menghilangkan ketakutan masing-masing. Salah satu propaganda ucapan V untuk menarik orang ramai adalah “People should not be afraid of their governments. Governments should be afraid of their people.

Dalam babak terakhir di mana V bertemu dengan Creedy, salah seorang orang kanan Sutler yang bertanggungjawab membina virus St. Mary dan memenjarakan V di kem tahanan. Sebagai ganti membunuh Sutler. V kemudiannya bertemu dengan Creedy di suatu lokasi landasan keretapi bawah tanah, di mana anak buah Creedy cuba menembak V, namun setelah kehabisan peluru, V bertindak membunuh mereka satu persatu, dan kemudiannya menunjukkan plat besi yang digunakan sebagai baju besi.

Meskipun dengan baju besi, V ternyata cedera parah dan memberi peluang kepada Evey untuk memilih sama ada ingin meletupkan bangunan Parlimen ataupun tidak, sama seperti kisah Guy Fawkes. Inspektor Finch, yang turut berada di situ kemudiannya hanya berpeluk tubuh, menunjukkan bahawa dia sebagai rakyat biasa sendiri telah hilang kepercayaan terhadap kerajaan Sutler. Dalam babak-babak akhir, Evey meletakkan mayat V di dalam keranda keretapi bawah tanah dan membenarkan bom tersebut bergerak menuju ke Parlimen, memusnahkan Parlimen dan mengotakan apa yang V telah janjikan setahun yang lalu.

V: What was done to me was monstrous.

Evey: And they created a monster.

Gambar 4: Antara babak dalam filem V for Vendetta.

Filem ini merupakan sebuah naskah berat, dan penulis asalnya, Alan Moore mengatakan bahawa filem ini amat lari dari tema utama yang ingin dia bawa. Dia mengatakan bahawa filem ini telahpun diubah untuk menjadi berat sebelah, dan dia tidak ingin mengakui adaptasi filem ini dan tidak mengambil sebarang kredit atau royalti dari filem ini.

Yang pasti, V kini merupakan lambang kepada revolusi, revolusi yang dicipta oleh seorang lelaki, memakai topeng, yang namanya tidak diketahui.

Sumber:

V For Vendetta, (2006). http://www.bfi.org.uk/films-tv-people/4ce2b8b0df5be

Review by metacritic community – https://www.metacritic.com/movie/v-for-vendetta

“Guy Fawkes’ Day”, Life, Time Inc, 19 (24), p. 43, 10 December 1945, ISSN 0024-3019

“V for Vendetta’s Press Conference”. Newsarama. 2005. Archived from the original on 12 October 2007. Retrieved 7 January 2006.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Universe in a Nutshell, salah satu video yang membuka minda pemikir muda ini untuk mula meminati fizik. Setelah menamatkan pengajian di peringkat Sarjana, dia kini sedang berusaha untuk merakyatkan sains kepada pelajarnya dan masyarakat umum. Minat utamanya adalah fizik moden, termasuk relativiti dan teori kuantum, di samping falsafah, ekonomi dan tasawuf

Comments are closed.