Utimutiraja: Pengkianat Terbesar Dalam Sejarah Melayu

225

Utimutiraja adalah satu watak yang disebut sebagai saudagar Jawa di Melaka yang kaya dan banyak pengaruh. Semasa Portugis menyerang Melaka, dia antara orang yang pertama tunduk kepada Alfonso de Albuqueque. Dia dijadikan ketua masyarakat Muslim di Melaka.

Namun, dia akhirnya dipancung oleh Alfonso kerana didapati memberikan bantuan kepada Sultan Melaka untuk menyekat kemaraan Portugis. Watak ini tidak disebut dalam Sulalatus Salatin tetapi disebut dengan panjang lebar dalam catatan Portugis sebagai watak utama yang mengundang kejatuhan kota Melaka yang masyhur itu.

Utimutiraja atau Sri Utama Raja dikatakan sebagai orang yang sangat kaya dan sangat berpengaruh. Dia disebut sebagai “Utimutiraja, the richest and most influential man in the town”. Dia mempunyai enam ribu orang suruhan yang terdiri daripada orang Jawa termasuk yang dimiliki oleh anak dan menantunya. Sumber lain menyatakan dia mempunyai tidak kurang sepuluh ribu orang suruhan yang boleh dikerahnya pada bila-bila masa.

Dia juga menguasai beberapa kawasan atau wilayah di sekitar Melaka. Orang-orang dari Tuban, Japara, Sunda dan Palembang adalah dibawah kuasa Utimutiraja. Dia juga mempunyai wang yang sangat banyak dan menguasai perdagangan di Melaka. Sumber Portugis mendakwa Utimutiraja adalah orang kedua terkaya selepas Sultan Melaka.

Semasa mula-mula Portugis menjejakkan kaki ke Melaka pada 1509, Utimutiraja telah membuat fitnah bahawa wujudnya perselisihan faham antara Portugis dan pembesar Melaka. Pelayar Portugis bernama Lopez de Sequeira telah dihasut oleh Utimutiraja bahawa Sultan Melaka akan membunuh dirinya. Ini antara punca mengapa terjadinya krisis antara pedagang Portugis dengan kerajaan Melaka.

Kemudian ketika Melaka diserang pada 1511, Utimutiraja telah merasuah Alfonso de Albuqueque dengan memberi hadiah kayu wangi dengan syarat penjajah itu memberi perlindungan kepada keluarga dan orang-orangnya. Dia dikatakan berjanji kepada Alfonso untuk berkhidmat dengan Raja Portugal dengan sebaik mungkin. Dia memberi alasan hanya mahukan keamanan dan menjalinkan hubungan erat dengan Alfonso. Dia telah memberi hadiah beberapa kali kepada Alfonso.

Alfonso bersetuju dengan tawaran persahabatan itu kerana beralasan mahu mengurangkan jumlah musuh. Persetujuan dicapai apabila Utimutiraja berjanji tidak akan membantu Sultan Melaka dalam apa sahaja permintaan baginda. Namun selepas tiga hari persetujuan itu, Alfonso mendengar berita bahawa Utimutiraja telah membantu Sultan Melaka dalam membekalkan pekerja untuk membuat kubu dan membantu musuhnya menentang Alfonso.

Namun, isu tersebut dijawab oleh Utimutiraja. Bahawa dia menghulurkan sedikit sahaja bantuan kepada Sultan Melaka. Dia melakukan itu untuk mengelirukan Sultan. Jika dia tidak melakukan hal tersebut, maka dia tidak akan boleh terus tinggal di kota Melaka. Mendengar alasan itu, Alfonso masih memberi perlindungan kepada Utimutiraja dan orang-orangnya.

Utimutiraja telah diamanahkan oleh Sultan Melaka untuk menjaga suatu kawasan yang bernama Upih untuk menghadapi ancaman serangan Portugis. Namun, dia dan orang-orangnya enggan berperang. Sultan Melaka berasa amat kesal sehingga baginda terpaksa membayar upah kepada mereka untuk menentang Portugis. Bagaimana pun, askar-askar upahan itu tidak bersungguh-sungguh untuk melawan Portugis kerana dihalang oleh Utimutiraja.

Disebalik persetujuan Alfonso untuk memberi perlindungan kepada Utimutiraja. Alfonso mempunyai muslihat lain. Ini kerana dia tahu bahawa Utimutiraja mempunyai orang-orang yang ramai. Yang berkemungkinan akan menambah lagi kekuatan pertahanan Melaka.

Maka dia mempergunakan Utimutiraja untuk menjejaskan sokongannya kepada Sultan Melaka. Inilah muslihat Alfonso yang berjaya memperdayakan Utimutiraja. Pada ketika perang sedang berlangsung, Alfonso memberikan surat laluan atau “surat pas” kepada Utimutiraja berserta isteri, anak-anak dan orang-orangnya untuk mendapat suaka politik dari Portugis.

Utimutiraja telah melihat kemusnahan kota Melaka dengan harapan dia akan mendapat kedudukan dalam pemerintahan Portugis nanti. Namun, Alfonso telah mengungkit kesalahan anak serta menantu Utimutiraja yang telah membantu Sultan Melaka menentang Portugis. Tanpa belas ihsan, pada 27 Disember 1511, Alfonso telah memenggal leher Utimutiraja bersama-sama ahli keluarganya yang lain.

RUJUKAN

  1. Ahmat Adam. Penaklukan Melaka oleh Portugis, tahun 1511. Dewan Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka. 2013
  2. Albuqueque Caesar Timur, Teks-teks Pilihan daripada Alfonso de Albuqueque dan Anaknya. Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur. 1995
  3. Portuguese Documents on Malacca from 1509-1511, translated by M.J. Pintado. Arkib Negara Malaysia. 2012

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.