Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak isu yang memperlihatkan masyarakat umum atau sebahagian tokoh agama mengutarakan pandangan dan kritikan yang dilihat tidak beradab dan tidak sewajarnya terhadap institusi fatwa bahkan mufti. Hal ini lebih membimbangkan kerana kritikan dan tindakan seolah “memperlekeh” institusi fatwa dan mufti tersebut dilakukan secara terbuka melalui medium media sosial.

Sikap seumpama ini memberi imej yang tidak sihat dalam masyarakat Islam, apatah lagi tindakan mereka terdorong oleh sikap agamawan sendiri. Pada asasnya, perkara yang perlu diberi penekanan adalah kedudukan mufti atau institusi fatwa dalam Islam dan bagaimana adab terhadap mereka. Di Malaysia, golongan mufti ditempatkan kedudukan yang tinggi dalam agama Islam. Mereka adalah golongan intelektual dan agamawan yang mewakili institusi ulama.

Pada hakikatnya kedudukan mufti adalah orang alim yang menjadi rujukan kepada masyarakat. Al-Juwayni menjelaskan bahawa seorang mufti itu adalah seorang yang alim dalam fiqh sama ada furu’ atau usul fiqh, perkara khilaf, mazhab , mempunyai alat ijtihad yang lengkap serta mengetahui apa yang diperlukan untuk mengistinbat hukum daripada ilmu nahu, Bahasa Arab, ilmu rijal, ilmu tafsir ayat dan hadis-hadis hukum. Justeru, kedudukannya yang mulia ini hendaklah diiktiraf dan dihormati.

Hal ini selari dengan penekanan al-Quran dan sunnah tentang kedudukan orang yang alim, firman Allah SWT;

”Allah mengangkat orang-orang yang beriman dari kalangan kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat.” (Surah al-Mujadalah, 58: 11).

Begitu juga sabda Rasulullah SAW;

”Sesungguhnya kelebihan orang yang berilmu keatas orang yang hanya beribadah (’abid) seperti kelebihan bulan keatas sekalian bintang-bintang. ” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Justeru, dalam konteks Malaysia, masyarakat seharusnya memahami kedudukan institusi fatwa dan mufti. Institusi fatwa adalah syiar kedaulatan Islam di Malaysia. Ia merupakan tempat bagi mereka yang diiktiraf keilmuan agamanya untuk memberi pandangan berkenaan hukum Islam. Kedudukan mereka adalah mulia di sisi agama dan masyarakat. Oleh kerana itu, kaedah berinteraksi terhadap institusi ini mempunyai perbezaan dan terdapat keutamaan khusus yang perlu diberi perhatian.

Berpaksikan kemuliaan yang telah Allah SWT berikan kepada mereka, begitu juga pengiktirafan Rasulullah SAW kepada mereka sebagai perwaris para Nabi, hendaklah berinteraksi dengan mereka penuh adab serta menitik beratkan elemen kesantunan dan penghormatan. Hal ini sebagaimana yang ditekankan sendiri oleh Rasulullah SAW dalam berinteraksi dengan para ulama. Sabda Baginda SAW:

“Sesungguhnya di antara bentuk mengagungkan Allah -Ta’ālā- ialah menghormati orang Muslim yang tua, pembawa Alquran yang tidak berlebih-lebihan dan tidak menjauh darinya, dan menghormati penguasa yang adi.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Dan sabda Baginda SAW lagi;

”Bukanlah dari kalangan kita sesiapa yang tidak mengasihi orang muda di kalangan kita, tidak menghormati orang tua di kalangan kita dan tidak memberikan hak kepada orang alim.” (Hadis riwayat Ahmad).

Beradab dan menghormati ulama ataupun mufti adalah satu bentuk penjagaan kepada Agama. Kerana benteng kepada agama adalah golongan ulama. Penjagaan kepada agama ini adalah satu elemen dalam daruriyat al-khamsah (kepentingan yang lima) di samping penjagaan kepada jiwa, akal, keturunan dan harta. Oleh itu, mendatangkan kesan negatif kepada lima daruriyat ini, khususnya penjagaan terhadap agama adalah sesuatu yang dilarang.

Jika terdapat perselisihan atau merasakan tidak bersetuju dengan pandangan yang dikeluarkan oleh institusi fatwa atau mufti, seseorang itu hendaklah mengemukakan pandangannya itu secara tertutup dan menghubunginya secara peribadi untuk mendapatkan kepastian dan bertukar pandangan. Luahan di tempat awam atau dalam media sosial adalah sesuatu yang tidak wajar dan dianggap tidak memuliakan dan menghormati kedudukan mufti atau institusi fatwa. Tambahan pula jika ia boleh menyebabkan persepsi dan implikasi negatif kepada institusi agama di Malaysia.

Antara perkara lain yang juga perlu diberi perhatian adalah kefahaman kepada konsep fatwa serta konteksnya secara menyeluruh. Kerana sesuatu fatwa yang diputuskan adalah dengan mempertimbangkan realiti masyarakat, kemaslahatan semasa dan kemaslahatan jangka panjang serta unsur-unsur keharmonian masyarakat dan negara. Ia bukanlah semata-mata satu jawapan hukum yang semberono dan literal.

Begitu juga dalam memahami sesuatu fatwa atau pandangan yang dikeluarkan, seseorang hendaklah memahami keseluruhan teks fatwa dan konteksnya sebelum membuat kesimpulan. Kekeliruan juga boleh wujud jika seseorang cuba mengaitkan dengan sesuatu isu lain yang hakikatnya tidak menjadi fokus dalam konteks fatwa atau pandangan hukum yang dikeluarkan. Isu yang berbeza hendaklah dikemukakan secara berbeza dan difahami dengan cara yang berbeza.

Sebagai masyarakat Islam, hendaklah memahami kedudukannya sebagai masyarakat awam berbanding kedudukan ulama, mufti atau institusi fatwa. Terdapat ulama menyebutkan bahawa “mazhab orang awam adalah sebagaimana mazhab muftinya” dan “fatwa mufti pada hak orang awam itu seumpama dalil” (Rasyid Rida, 2011). Muhammad Sidqi (t.t.) juga menegaskan “fatwa bagi hak orang jahil itu sebagaimana ijtihad bagi hak seorang mujtahid”.

Kenyataan tersebut menjelaskan kedudukan institusi fatwa dan mufti dalam masyarakat Islam. Oleh itu, ditegaskan lagi bahawa sikap yang tidak baik dan tidak beradab kepada mufti atau institusi fatwa adalah sesuatu yang dilarang, perkara ini selari dengan prinsip sad al-dhari’ah (menutup pintu yang membawa kerosakan) untuk memelihara agama yang merupakan daruriyat al-khamsah.

Wallahu a’lam

Dr. Muhammad Ikhlas Rosele
Pensyarah Kanan
Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

RUJUKAN:

Muhammad Rasyid Rida (2011). Muhawarat al-Muslih wa al-Muqallid wa al-Wehdah al-Islamiyyah. Al-Qahirah: Dar al-Nasyr al-Mujami’at.

Muhammad Sidqi Ahmad Burnu (t.t.). Mawsu’ah al-Qawa’id al-Fiqhiyyah. Bayrut: Muasasah al-Risalah.

Imam al-Haramayn al-Juwayni (1996). Matn al-Waraqat. Al-Riyad: Dar al-Sami’i.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.