Uruk – Antara Kota Terawal Dunia Berusia 6000 Tahun

1,644

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Sebagai kota halaman tempat Gilgamesh lahir dan memerintah, Uruk merupakan sebuah pusat urbanisasi dan pembentukan negara pada milenium ke-4 Sebelum Masehi. Dalam Epik Gilgamesh, Raja Gilgamesh direkodkan telah membina tembok monumental bagi kota ini. Berkemungkinan terdapat kebenaran di sebalik legenda itu, memandangkan tembok-tembok tersebut serta struktur-struktur kota yang lain telah pun ditemui oleh ahli-ahli arkeologi.

DI MANAKAH URUK?

Uruk merupakan salah sebuah kota yang paling penting di Mesopotamia Selatan. Kota ini terletak kira-kira 241km (150 batu) arah selatan dari Baghdad, ibu kota Iraq moden. Di zaman purba, Uruk berlokasi di tebing timur bagi sebuah selat dari Sungai Furat. Namun, merentas milenium, selat tersebut mengering dan laluannya berubah menjauhi kota itu sekitar 19km (12 batu).

Pemandangan umum tapak arkeologi Uruk di Warka, Iraq

Kota purba Uruk turut dikenali dalam Bahasa Arab sebagai Tell al-Warka dan dalam Bahasa Aramia/Ibrani pula disebut sebagai Erech. Tapak Uruk dipercayai telah dihuni seawal zaman Ubaid (yang berlangsung pada milenium ke-7 sehingga milenium ke-4SM). Walapun sejarah Uruk mungkin dapat dijejak kembali secara arkeologinya pada milenium ke-6SM, atau mungkin sedikit jauh lebih awal, kegemilangan kota ini hanya berlaku pada tahun 3800SM. Memandangkan Uruk menjadi pusat utama urbanisasi dan pembentukan negara bagi tamadun Mesopotamia, maka tempoh yang bermula secara kasar dari tahun 3800 sehingga 3200 Sebelum Masehi dikenali sebagai Zaman Uruk.

ZAMAN URUK

Zaman Uruk dicirikan dengan pembentukan negara-negara kota pertama di Mesopotamia. Pada zaman Ubaid yang berlangsung lebih awal, kampung-kampung didirikan di Mesopotamia selatan. Kampung-kampung ini kemudiannya berkembang menjadi pekan ataupun bandar. Pengurbanisasian sebegini terus berlanjutan dengan Uruk mendahului kesemua pekan atau bandar lain. Urbanisasi kota purba ini dapat dibuktikan menerusi penghasilan seni bina monumentalnya.

Sebagai contoh, raja legenda Gilgamesh secara tradisinya dikreditkan sebagai raja yang bertanggungjawab membina tembok kota Uruk. Tembok-tembok kota yang ampuh ini ada disebutkan di dalam Epik Gilgamesh, di mana si raja-perwira itu meminta Ur-shanabi (versi Mesopotamia bagi Charon dalam mitologi Yunani) untuk memeriksa keindahan tembok berkenaan.

Sebahagian daripada bahagian hadapan kuil Inanna di Kara Indasch, Uruk

Sebahagian daripada tebok kota itu berjaya ditemukan semasa ekskavasi-ekskavasi yang dilakukan pada awal abad ke-20. Struktur-struktur monumental lain yang terdapat di Uruk antaranya seperti Ana Ziggurat, beberapa buah kuil besar yang lain, dan juga bangunan-bangunan pentadbiran.

EKSKAVASI DI KOTA MESOPOTAMIA

Uruk telah menjalani penggalian dan ekskavasi terutama oleh pasukan-pasukan arkeologi Jerman. Kerja-kerja arkeologi mereka di tapak berkenaan telah membantu meningkatkan lagi kefahaman kita tentang kota purba tersebut. Selain daripada seni bina monumental yang terdapat di tapak kota itu, bukti-bukti arkeologi lain yang ditemukan turut membuktkan kegemilangan Uruk pada milenium ke-4SM. Misalnya, di dalam kota inilah dijumpai bukti awal penulisan dalam bentuk gambaran ringkas yang diukir pada tablet-tablet tanah liat.

Patung lelaki, mungkin Lugal-kisal-si, raja Uruk. Batu kapur, zaman awal Dinasti Ke-III, dari Adab (Bismaya)

Barangan mewah dari wilayah-wilayah jauh turut ditemui sekaligus mengisyaratkan kepada kita bahawa kota purba Uruk telah pun menjalinkan hubungan perdagangan dengan kuasa-kuasa luar. Tambahan lagi, artifak-artifak yang dijumpai memberikan petanda bahawa para pemerintah Uruk menjalankan suatu polisi perluasan pengaruh secara agresif.

BUKTI PERLUASAN PENGARUH URUK

Pada mulanya, perluasan pengaruh Uruk hanya bertumpu pada bahagian barat daya dataran Iran yang terletak di sebelah timur Mesopotamia. Di Susa (sebuah kota yang terletak kira-kira 250km atau 155 batu arah timur dari Uruk) misalnya, dijumpai mohor-mohor seramik dan bullae (alat pengira). Objek-objek ini dipercayai digunakan bagi tujuan pentadbiran dan konsep kefungsian objek sebegini mungkin dibawa masuk ke situ oleh penduduk Uruk.

Ahli arkeologi turut berpendapat bahawa perluasan pengaruh Uruk melebar lebih jauh. Sebagai contoh, bukti-bukti kebudayaan Uruk ada dijumpai di tapak-tapak yang terletak di kawasan sejauh Syria dan bahagian tenggara Anatolia. Status petempatan-petempatan ini masih lagi menjadi subjek perdebatan dalam kalangan sejarahwan, memandangkan terdapat pelbagai pandangan yang dilontarkan berkenaan tapak-tapak tersebut.

Sebahagian sejarahwan berpandangan bahawa tapak-tapak tersebut merupakan koloni atau pos-pos perdagangan yang dibangunkan oleh penduduk Uruk, manakala sebilangan sejarahwan lain pula berpendapat bahawa petempatan tersebut didirikan sendiri oleh penduduk tempatan yang cuba meniru kebudayaan Uruk.

Dewata lelaki mencurahkan air mauhul hayat dari sebuah bekas dan dewata yang memegang kendi pada tangannya. Dari Kuil Inanna di Uruk, Iraq. Kuil ini dibina oleh pemerintah Kassite yang bernama Kala-indash, lewat kurun ke-15SM. Muzium Pergamon, Berlin, Jerman

Kegemilangan Uruk kemudiannya mengalami pasang surut pada milenium berikutnya. Pada suatu waktu, Uruk berupaya mengekalkan kemerdekaannya sementara dalam tempoh lain pula, kota purba itu terpaksa tunduk di bawah kekuasaan para pemerintah asing. Uruk terus menjadi sebuah kota yang signifikan bagi pelbagai ketamadunan yang datang memerintah Mesopotamia, seperti bangsa Akkadia, Assyria, Achaemenid dan Seleucid. Kota itu kemudiannya ditinggalkan sepenuhnya pada kurun ke-2 Masehi.

TERJEMAHAN:
Wu Mingren. (25 Ogos 2018). The Great City of Uruk Became Sumerian Powerhouse of Technology, Architecture and Culture. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/uruk-sumerian-003653

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.