Bulan November, tahun 1981, di pinggir bandar Portland, Oregon, terletak sebuah arked permainan yang menjadi tumpuan ramai anak remaja. Suasana di ruang arked yang gelap itu diterangi oleh lampu-lampu neon dan cahaya-cahaya skrin dari mesin arked yang menjadi kegilaan ramai. Cahaya-cahaya skrin menerangi wajah anak-anak muda yang khayal menikmati permainan arked pilihan mereka. Tapi satu konsol arked, menjadi perhatian, iaitu Polybius.

Polybius, menurut kata saksi, menarik paling ramai pelanggan. Ramai anak-anak muda beratur panjang ingin bermain permainan arked ini. Setiap yang bermain tampak ketagih, dan seperti tidak mahu melepaskan joystick. Mereka yang bermain pasti berkelakuan pelik selepas bermain dan ada antara mereka yang merasa loya, tertekan dan mengalami tidur yang terganggu. Tidak kurang juga ada yang mengalami sawan dan ada juga yang ingin cuba membunuh diri seperti tidak boleh mengawal diri mereka. Ramai saksi mendapati yang Polybius adalah satu mesin arked yang pelik.

Walaupun nampak seperti terasing, ia mesin arked yang paling banyak diusik. Kadang-kadang datangnya lelaki bersut hitam (man in black) yang datang memeriksa mesin arked tersebut, merekodkan data dan meninggalkan premis tanpa mengambil peduli duit hasil kutipan mesin arked tersebut. Seperti mana mesin Polybius datang secara tiba-tiba, begitu jugalah caranya ia lesap. Mesin Polybius dibawa keluar dari arked oleh lelaki bersut hitam dan terus lenyap dari sebarang rekod sejarah.

Begitulah kisah Polybius, sebuah urban legend tentang mesin arked yang dikatakan sebenarnya satu projek rahsia kerajaan Amerika Syarikat untuk meneliti kemampuan teknologi kawalan minda. Polybius kononnya dibangunkan oleh sebuah syarikat arked berpengkalan di Jerman, Sinneslöschen dan direka dengan visual yang memukau dan mempunyai keupayaan untuk memanipulasi minda. Urban legend ini sangat popular di kalangan peminat permainan video dimana ramai yang meletakkannya antara misteri terhebat dalam industri. Tapi sejauh manakah kebenaran kisah Polybius? Marilah kita jadi Detektif Conan sekejap hari ni untuk membongkar urban legend popular permainan video.

Menyelusuri Bukti Bertulis

Rekod terawal tentang Polybius hanya boleh didapati melalui laman sesawang Coinop.org. Coinop.org merupakan sebuah laman sesawang yang jelasnya dikendalikan oleh peminat dan pengumpul mesin-mesin arked yang lama. Artikel tentang Polybius pertama kali muncul pada tahun 1998 di laman sesawang tersebut. Ianya kemudian dikongsi di Usenet, sebuah platform perintis kepada forum di Internet pada tahun 2000 yang menyemarakkan lagi cerita tentang Polybius. Pada tahun 2003, kisah tentang Polybius dipaparkan di majalah popular GamePro. GamePro yang dikatakan dibaca oleh lebih 3 juta peminat permainan video menyebarkan lagi kisah tentang Polybius sehingga ia kukuh menjadi urban legend dan menjadi antara sebahagian dari Pop Culture yang pernah dipaparkan dalam The Simpons, Batman dan juga The Goldbergs.

Tapi yang peliknya, walaupun kisah tentang Polybius berlaku pada tahun 1981, tiada satupun rekod tentang Polybius wujud sebelum tahun 1998. Carian yang lebih teliti di luar daripada Internet juga tidak membuahkan hasil. Tiada satupun majalah, surat khabar ataupun sebarang medium pencetakan yang ada menyebut tentang Polybius. Jika ada pun, ianya tentang sejarawan Yunani dan bukannya tentang permainan arked. (Trivia: Polybius sebenarnya adalah nama sejarawan Yunani Abad Ke-2 sebelum masihi yang menulis karya popular The Histories yang menceritakan tentang kebangkitan Republik Rom). Satu keadaan yang pelik jika kisah Polybius tak pernah dipaparkan di mana-mana media cetak bila melihatkan betapa anehnya kisah Polybius itu sendiri.

Menyelusuri Bukti Fizikal

Gambar 2: Polybius seperti yang dipaparkan The Simpsons Sumber: http://www.wweek.com/bars/2016/04/04/massive-vintage-pinball-and-video-game-arcade-is-opening-this-week/

Kebiasannya mesin-mesin arked lama mempunyai ROM (Read-only memory) dalam bentuk fizikal. ROM tersebut boleh dibaca dalam komputer dan dipindahkan ke dalam bentuk aplikasi supaya ia boleh dimainkan semula. Kaedah inilah yang banyak digunapakai oleh peminat permainan arked klasik yang banyak berkongsi ROM permainan arked lama dengan peminat-peminat yang lain. Jadi jika mesin arked Polybius wujud, kemungkinan sekali, ROM-nya ada berlegar-legar di ruang maya.

Carian secara ringkas di enjin carian Google, menunjukkan beberapa hasil carian tentang ROM Polybius. Namun begitu, kebanyakan ROM yang ada hanyalah satu replika atau penciptaan semula ROM Polybius berdasarkan kepada kenyataan “saksi”. Walaupun ramai yang pernah tampil mengaku memiliki ROM Polybius yang sebenar, namun tiada satu pun diantara mereka yang dapat disahkan kenyataannya. Ada juga yang pernah memuat naik gambar ROM fizikal Polybius sebagai bukti yang Polybius itu wujud. Pun begitu, siasatan yang lebih terperinci mendapati yang kebanyakan gambar itu adalah palsu, dimanipulasi melalui gambar ROM fizikal permainan arked yang lain melalui Photoshop. ROM Polybius yang sebenar kekal sebagai objek yang hilang sehingga hari ini.

Jadi wujud ke tak Polybius?

Ketiadaan sumber bertulis yang kukuh dan bukti fizikal, menimbulkan persoalan. Adakah benar wujudnya permainan arked Polybius? Kenyataan saksi juga bercanggah antara satu sama lain. Tiada satu pun saksi (melalui wawancara di komen Internet) yang dapat memperincikan dengan jelas bagaimana reka bentuk permainan Polybius. Sehinggalah pada tahun 2006, apabila ada seorang saksi tampil di Internet (secara spesifiknya di Coinop.org) dan mengakui dirinya sebagai seorang pembangun arked Polybius.

Beliau memperkenalkan dirinya sebagai Steve Roach. Katanya Polybius dibangunkan oleh syarikatnya Sinneslöschen yang berpengkalan di Jerman atas permintaan sebuah syarikat dari selatan Amerika. Tujuan sebenar mereka hanyalah untuk membuat permainan arked versi baharu yang menggabungkan grafik memukau dengan reka bentuk permainan yang menarik perhatian. Namun Steve Roach tidak menyangka yang selepas 6 hari sahaja dilancarkan, seorang kanak-kanak dilaporkan diserang sawan. Perkara itu menyebabkan syarikatnya menghantar wakil untuk mengambil balik mesin arked tersebut untuk dilupuskan.

Kenyataan Steve Roach nampak seperti rasional pada mulanya. Tapi hasil siasatan yang terperinci akan membuktikan yang kenyataannya hanyalah rekaan semata-mata:

  • Pertama sekali, syarikat Sinneslöschen tidak wujud mengikut pangkalan data yang menyimpan data syarikat yang berdaftar di Jerman. Ini hanya boleh membawa kepada dua hipotesis, samaada syarikat itu tidak wujud ataupun ianya beroperasi secara haram.
  • Kedua, Sinneslöschen adalah gabungan dua perkataan Jerman, Sinnes yang membawa maksud deria, dan löschen yang membawa maksud memadam apabila digabungkan sudah tentu membawa maksud “deria yang dipadamkan”. Tetapi, bagi mereka yang fasih berbahasa Jerman, pastinya tidak akan menggabungkan dua perkataan ini begitu sahaja. Ianya adalah sesuatu yang tidak kena. Jadi boleh disimpulkan bahawa, perkataan Sinneslöschen ini dicipta oleh orang yang tidak fasih berbahasa Jerman.

Jadi melalui dua sebab atas, kita boleh simpulkan bahawa kenyataan Steve Roach ini adalah rekaan semata-mata, dan membawa kepada rumusan yang muktamad: Polybius tidak wujud.

Asal kewujudan Urban Legend Polybius

Jadi jika Polybius tak wujud, bagaimana Urban Legend ini boleh mampan berlegar-legar di ruang maya? Perkara ini pernah disiasat dan diterangkan oleh Catherine Despira yang berasal dari Portland, Oregon. Beliau yang merupakan peminat permainan arked sendiri merasa terkejut bila mendengar tentang urban legend itu. Sewaktu remaja, beliau adalah antara orang yang selalu melepak di pusat arked.

Namun begitu, seingatnya tidak ada satu pun arked Polybius yang beliau pernah nampak ataupun main di pusat arked kegemarannya. Oleh kerana itu beliau sendiri yang merupakan seorang wartawan ingin menyiasat tentang asal usul urban legend tersebut. Mengikut hasil siasatannya, walaupun urban legend tersebut, pada pandangannya mitos, ade beberapa perkara dalam urban legend tersebut yang benar-benar berlaku, antaranya:

  • Sebuah permainan video dengan grafik yang memukau dan reka bentuk permainan seperti yang digambarkan “saksi” memang wujud di Portland. Ianya adalah permainan arked popular Tempest yang dikeluarkan oleh Atari.
  • Memang ada dua kes yang dilaporkan pusat kesihatan Portland tentang kesan negatif selepas bermain arked. Namun tiada satu pun di antara dua kes tersebut adalah kes sawan.
  • Benar, ejen FBI ada mengambil dan merekodkan data di pusat-pusat arked. Tetapi ianya lebih kepada untuk merekod high score bagi menjejak pemain yang boleh menjadi saksi bagi satu-satu kes jenayah. Pemain dengan high score sudah tentunya mereka yang meluangkan masa yang lebih lama di pusat arked.
  • Benar, wujudnya ejen FBI yang memeriksa mesin arked. Namun begitu, ia lebih kepada memeriksa jika ada sebarang manipulasi yang dilakukan ke atas mesin arked itu. Ketika itu ramai pemilik pusat arked melakukan pengubahsuaian pada mesin arked untuk mengaut keuntungan yang lebih banyak. Ada juga mesin arked yang diubahsuai menjadi mesin perjudian. Mesin arked inilah yang dirampas dan diangkut keluar oleh ejen FBI.
  • Memang diakui adanya ujikaji yang dilakukan oleh pihak kerajaan di pusat arked. Namun begitu, ianya dilakukan di Texas, bukannya di Oregon. Ujikaji itu sebenarnya lebih kepada ingin melihat sama ada permainan arked benar-benar mewujudkan ketagihan ataupun tidak. Ianya atas permintaan Atari.

Jadi, boleh kita simpulkan di sini bahawa urban legend Polybius wujud hasil gabungan dari fakta-fakta di atas. Disebabkan oleh kebanyakan orang yang berada di pusat arked adalah mereka yang di usia remaja dan juga kanan-kanak, disebabkan itulah urban legend ini dapat kekal dan dimarakkan lagi oleh kenyataan saksi yang sebenarnya tidak mempunyai informasi yang mencukupi. Biasalah, remaja, apa yang kita nampak, itulah yang kita cakap. Polybius hanyalah sekadar khabar angin yang digembar-gemburkan melebihi dari apa yang sebenarnya berlaku.

Siasatan kita tidak berhenti setakat ini sahaja. Setiap khabar angin mesti ada permulaannya. Seorang pengguna YouTube, Ahoy bertekad untuk mencari siapa dalang di sebalik penciptaan urban legend ini. Beliau menghubungi wartawan GamePro (Dan Amrich) yang menulis tentang mitos Polybius untuk mengetahui dari mana beliau mendapat tahu tentang Polybius.

Jawapan dari wartawan tersebut sangat mengejutkan. Dan Amrich menerima tip tentang Polybius dari pemilik laman sesawang Coinop.org sendiri iaitu Kurt Koller. Kurt Koller jugalah orang yang bertanggungjawab menaikkan artikel tentang Polybius di laman sesawang buat pertama kalinya pada tahun 1998. Adakah ini bermakna yang Kurt Koller lah orang yang bertanggungjawab mencipta urban legend ini? Ahoy menghubungi Kurt Koller secara lansung untuk bertanyakannya hal tersebut. Kurt Koller tidak menafikan atau pun mengiyakan tuduhan tersebut, sebaliknya beliau berkata yang artikel itu telah ada di laman sesawang Coinop.org tersebut sejak hari pertama lagi. Jawapan Kurt Koller seolah mengelak dari kenyataan yang sebenar. Pun begitu, ia jelas yang Kurt Koller merupakan salah seorang yang terlibat dalam penciptaan urban legend popular ini.

Kesimpulan

Pengajaran yang paling utama yang kita boleh nampak dalam hasil penyiasatan kita pada hari ini adalah betapa mudahnya sebuah urban legend untuk tercipta. Kurt Koller hanya perlukan satu artikel yang ade sedikit sisi-sisi kebenaran dan sebarkannya melalui platform yang popular (majalah GamePro).

Disebabkan campur aduknya mitos Polybius dengan kejadian sejarah yang memang berlaku, urban legend ini melekat pada pemikiran peminat permainan video sehingga ia dikenali ramai dan diabadikan sebagai antara misteri terhebat industri permainan video. Pun begitu, hasil kajian dan penyiasatan terperinci kita hari ini berjaya membongkar kebenaran. Hanya menunggu masa sahaja untuk Kurt Koller mengaku atas penciptaan urban legend popular ini. Seperti kata Detektif Conan “There is only one truth!”

Rujukan:

Iwaniuk, Phil (2017),” Coin-op conspiracy: uncovering Polybius, the arcade’s enduring urban legend.” PCGamesN. https://www.pcgamesn.com/polybius/polybius-arcade-conspiracy-VR

Despira, Catherine (2015) “REINVESTIGATING POLYBIUS: WITH 2015 UPDATE” . Retro Bitch. https://retrobitch.wordpress.com/2015/10/29/reinvestigating-polybius-with-2015-update/

Polybius”. Coinop.org. http://www.coinop.org/Game/103223/Polybius

Matulef, Jeffrey(2015). “Polybius: The story behind the world’s most mysterious arcade cabinet”. Eurogamer.net http://www.eurogamer.net/articles/2015-05-22-polybius-the-story-behind-the-worlds-most-mysterious-arcade-cabinet

Ahoy (2017), “POLYBIUS – The Video Game That Doesn’t Exist. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=_7X6Yeydgyg


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang jurutera muda yang meminati teknologi, sejarah dan paling utama sekali, permainan video. Motto hidupnya adalah: "Kalau tak perlu buat,jangan harap aku nak layan. Kalau perlu,sepantas kilat aku kerjakan." Beliau berhasrat mengumpul ilmu sebanyak mungkin dan menyebarkannya demi kemajuan bangsa,agama dan tanah air.

Comments are closed.