Upacara Pembunuhan Diri Beramai-Ramai

2,736

Pada tahun 1950 di Indiana, Amerika Syarikat, seorang lelaki bernama Jim Jones, iaitu seorang rakyat Amerika menubuhkan satu agama baru yang menjadi ikutan ramai bernama The People’s Temple. Setelah dia berjaya mengumpul ramai pengikutnya, pada tahun 1963, dia menyatakan bahawa pada bulan Julai 1967, seluruh bumi akan terkena letupan nuklear, di mana alasan demikian diwujudkan untuk mengalihkan para pengikutnya ke San Fransisco, California.

Jim Jones (gambar) mempunyai personaliti yang mampu membuatkan orang ramai tertarik dengan ucapan-ucapan yang diberikan yang mana kebanyakkan pengikutnya adalah dari kalangan kaum minoriti di Amerika Syarikat. Dia memperjuangkan kesaksamaan kaum serta sanggup berkorban demi mempertahankan kaum-kaum yang ditindas serta orang kurang upaya.

Dalam usahanya untuk membuktikan dia benar-benar tidak mempunyai sifat perkauman, maka dia mengambil beberapa orang anak angkat dari pelbagai bangsa yang bukan berkulit putih antaranya dari bangsa Korea (Korean-American), American Indian dan juga African-American. Konsep ‘Rainbow Family’ menjadi agenda utamanya untuk meraih lebih ramai pengikut, di mana dia menjadi orang putih pertama untuk mengambil anak angkat berbangsa African American.

Di balik seorang yang beragama dan taat kepada tuhannya, realitinya tidak seindah itu. Kebanyakkan perkara sebenar mengenai dirinya yang dihebohkan selepas kejadian pada tahun 1978 menceritakan sikapnya yang sebenar iaitu dia sering melakukan seks bersama pelacur, seks bersama lelaki lain, dan dia juga mengalami masalah ketagihan dadah dan sanggup menipu demi meraih wang ringgit untuk agendanya yang tersendiri.

Caranya meraih wang adalah dengan teknik yang digelar sebagai ‘Faith healing’ di mana dia memberitahu sesiapa pengikutnya yang sakit serta mempunyai masalah perubatan boleh disembuhkan olehnya dengan kata-kata sambil berdoa dan memegang kepala mana-mana pesakit yang sememangnya merupakan pengikutnya yang tegar.

Dia menjaja idea untuk menubuhkan satu bandar yang khas untuk dirinya dan pengikut-pengikutnya. Eden atau konsep utopia, di mana para pengikutnya boleh hidup dengan harmoni tanpa ada apa-apa keganasan, perkauman dan penindasan. Lokasi yang dipilih adalah di Guyana, sebuah negara yang terletak di Amerika Selatan. Nama asal bandar ini adalah ‘People’s Temple Agricultural Project’, dan kemudiannya ditukarkan namanya kepada Jonestown.

Lebih kurang 1000 orang penganut termasuk dirinya berpindah ke Jonestown, sebuah bandar yang diwar-warkan sebagai satu tempat paling suci untuk pengikutnya yang dianggap paling suci di antara manusia lain, Tempat ini dicanangkan oleh Jim Jones sendiri sebagai syurga, yang mana rata-rata pengikutnya percaya kepadanya. Namun, apabila mereka tiba di Jonestown, realitinya berbeza. Jonestown dijadikan tempat sebagai satu kurungan, yang mana Jim meletakkan undang-undang dan polisi untuk tidak membenarkan sesiapa untuk keluar daripada situ. Sesiapa yang keluar secara senyap-senyap dianggap seorang pembelot, dan akan ditembak mati.

Salah seorang pengikutnya, yang bernama Tim Stoen berjaya melarikan diri, setelah isterinya, Grace mengadakan hubungan seks bersama Jim Jones ini sendiri sehingga dia mengandung dan melahirkan seorang anak bernama John. Walaupun akhirnya Grace dan Tim berjaya melarikan diri, di mana mereka kemudiannya bercerai selepas itu, Tim masih inginkan anaknya yang bernama John, yang secara terpaksa dikurung oleh Jim Jones dan pengikutnya di Jonestown.

Terdesak, Tim menubuhkan satu kumpulan bernama Concerned Relatives, di mana mereka menggesa supaya Amerika Syarikat untuk mengambil tindakan kepada Jim Jones atas pelbagai isu di sana. Para pengikut Jim ini sudah mulai goyah apabila tak semena-mena dia mengaku dirinya sebagai tuhan, dan ‘ayah’ kepada semua pengikutnya. Selain itu, dia juga mengalami ketagihan dadah yang teruk di mana dalam negara Guyana ini, menghidap dadah bukanlah satu kesalahan. Jim menjadi paranoid kesan daripada pengambilan dadah, yang mana membuatkan dirinya bertindak ganas secara tiba-tiba.

Pada bulan November, 1978, seorang congressman bernama Leo Ryan (gambar) terbang ke Guyana daripada Amerika Syarikat untuk menyiasat apakah yang sebenarnya berlaku di Jonestown ini. Bersamanya adalah beberapa orang wartawan dan jurugambar daripada pelbagai syarikat media televisyen yang turut hadir demi membuat satu dokumentari mengenai Jonestown ini.

Kedatangannya tidak disukai oleh Jim Jones, tetapi dia tidak berbuat apa-apa terhadap mereka pada awalnya. Setelah Leo Ryan ini berjumpa dengan semua pengikut Jim Jones, seramai 15 orang daripada penganutnya ingin keluar daripada bandar Jonestown kerana mereka tidak tahan terkurung serta mempunya risiko dicabul oleh Jim Jones ini sendiri.

Pautan dokumentari: https://www.youtube.com/watch?v=lJSv0gDPVLA

Setelah mereka bersedia untuk berlepas di lapangan terbang Port Kaituma, tidak semena-mena mereka dihadiri oleh pengawal bersenjata Jim Jones yang digelar sebagai Red Brigade. Mereka melepaskan beberapa das tembakan, membunuh congressman, serta 4 orang lain yang rata-ratanya adalah kru daripada syarikat NBC.

Pada hari yang sama, Jim Jones menghimpunkan kesemua pengikutnya di mana dia akan menjalankan upacara yang digelar sebagai Revolutionary Suicide. Dia menjanjikan syurga buat para pengikutnya yang turut serta dalam ritual itu. Dia meyakinkan pengikutnya dengan menjaja cerita bahawa Amerika Syarikat akan menghantar para-troopers mereka dan membunuh semua pengikutnya. Dia mengatakan lebih baik mati dengan cara membunuh diri kerana sekurang-kurangnya dapat ke syurga bersamanya.

304 orang kanak-kanak dan bayi dibunuh terlebih dahulu dengan memberi mereka air berperisa (Kool-Aid) yang dicampur dengan racun bernama cyanide. 605 orang dewasa kemudiannya minum air tersebut, menjadikan jumlah kematian dalam ritual ini seramai 909 orang. Apa yang mengerikan adalah bukan semua orang mati dengan cara membunuh diri, ada beberapa orang yang melawan keputusan untuk membunuh diri ini, tetapi malangnya ada antara mereka yang mati akibat diberi racun melalui intravena, ada yang mati akibat ditembak dan lebih menyedihkan ada yang mati akibat dicekik oleh penganut Jim Jones yang fanatik ini.

Jim Jones kemudiannya membunuh diri dengan menembak kepalanya sendiri. Jumlah mangsa yang mati dalam upacara ini menjadikannya sebagai satu peristiwa yang membunuh paling ramai warga Amerika Syarikat (walaupun mereka berada di Amerika Selatan).

Daripada mengikuti kisah-kisah sebegini, kita berjaya memahami bahawa tidak susah untuk mendapatkan sokongan daripada manusia lain asalkan seseorang itu tampak yakin, berkarisma serta pandai bercakap. Tidak dinafikan juga bahawa seorang manusia seperti Jim Jones ini tapak mempunyai ciri-ciri psikotik, iaitu dia mempunyai gejala Grandiose Delusion (merasakan dirinya tuhan, atau sesuatu yang lebih hebat daripada manusia lain), paranoid, sadist dan psychopath. Hal sebegini boleh terjadi sekiranya seseorang itu mengambil dadah yang boleh merosakkan otak serta meletakkan dirinya berada dalam khayalan (hallucination) dan delusion.

Kita boleh lihat sendiri yang pada awalnya, dia bersikap baik serta mempunyai idea yang mana boleh melindungi etnik-etnik minoriti daripada ditindas. Namun, kita boleh lihat setelah dia berjaya mendapatkan ramai pengikut, dia mulai untuk mengambil dadah serta mengadakan hubungan seks kepada tak kira lelaki atau wanita bagi memenuhi kepuasan dirinya yang menjadi tidak terkawal.

Apapun, di Malaysia ini, muncul juga seorang dua yang bersikap lebih kurang sama dengannya antaranya adalah dengan memberitahu dia seorang nabi, seorang rasul mahupun seseorang yang mempunyai kerajaan di langit. Kita sebagai masyarakat moden perlu peka akan tindak-tanduk seseorang serta melaporkan dengan kadar segera kepada pihak yang bertanggung jawab andai kata kejadian seumpama ini berlaku.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.