Unsur-Unsur Sejarah China Dalam Filem Mulan Disney

544

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Artikel hari ini bukan mahu mengulas jalan cerita filem Mulan terbitan syarikat Disney ini, apatah lagi mahu mengkritik tetapi di dalam penulisan serba ringkas kali ini kita akan mempelajari beberapa fakta daripada filem tersebut, yang mana ia mempunyai kisah sejarahnya tersendiri di dalam ruang lingkup dunia realiti kita.

1. Ballad of Mulan.

Hua Mulan membawa maksud Hua (bunga) dan Mulan (Magnolia), iaitu bunga Magnolia. Perlu diketahui, kisah Hua Mulan ini diinspirasikan daripada sebuah lagu yang ditulis pada zaman Dinasti Wei Utara (386 M- 557 M) yang bertajuk Ballad of Mulan atau Mùlán Cí (木兰辞) di dalam satu kompilasi buku lagu yang bertajuk Gǔjīn Yuèlù (Catatan Muzik Lama dan Baharu). Catatan ini ditulis oleh seorang sami Zhijiang pada abad ke-6 M.

Pada abad ke-11 M/abad ke-12 M, seorang penulis, Guo Maoqian, menghasilkan sebuah buku puisi yang bertajuk Yuèfǔshījí (Koleksi Biro Muzik) yang mana diinspirasikan daripada buku Gǔjīn Yuèlù. Pada akhir era Dinasti Ming, seorang seniman, Xu Wei, menciptakan sebuah drama tentang kisah Mulan yang bertajuk ‘The Female Mulan’ atau ‘The Heroine Mulan Goes to War in Her Father’s Place’ yang mana pementasan drama ini mempunyai dua babak. Dalam drama ini, Xu Wei mengubah nama keluarganya Mulan menjadi Hua yang mana sebelum ini, keluarga Mulan memakai gelaran Zhua atau Wei. Sebab utama nama Hua dikekalkan pada keluarga Mulan sehingga ke hari ini, kerana maknanya yang lebih puitis daripada nama gelaran keluarga sebelum ini. Setelah itu, karakter Mulan dimasukkan di dalam ke dalam sebuah karya novel sejarah yang ditulis oleh Chu Renhuo pada abad ke-17 M yang bertajuk Romance of Sui-Tang.

Ada pelbagai versi kisah yang meriwayatkan kehidupan Mulan, tetapi kesemua versi membawa plot cerita yang sama iaitu menggantikan posisi ayahnya untuk menyertai tentera, menyamar sebagai lelaki, bertempur di medan p3rang, kenaikan pangkat, mengaku dirinya perempuan, ditawarkan menduduki posisi penting di dalam ketenteraan, menolak tawaran, pulang ke kampung halaman dan hidup kembali bersama keluarganya. Tetapi versi ceritanya lain dalam karya Romance of Sui-Tang, yang mana Mulan membunuh dirinya setelah pulang ke kampung halamannya. Kalau di dalam animasi dan filem Mulan, Mulan mempunyai adik perempuan tetapi di dalam Ballad of Mulan, beliau mempunyai seorang kakak dan seorang adik lelaki.

Kisah Hua Mulan diangkat kembali sekitar tahun 1930an sebagai pemangkin semangat dan inspirasi kepada anak muda China mempertahankan negaranya apabila mereka menghadapi pep3rangan dan pen4klukan daripada pihak Empayar Diraja Jepun dan sehingga kini, Hua Mulan menjadi simbol keberanian bangsa China, khususnya bagi kaum wanita mereka.

Adakah Mulan watak sebenar yang diinspirasikan atau hanya watak mitos semata-mata? Tidak ada sumber yang tepat menyatakan kewujudan sebenar Mulan, tetapi yang ada hanyalah rekod catatan dari Dinasti Tang yang mencatatkan tentang seorang pahlawan wanita yang berani di medan pertempuran pada sekitar tahun 621 M. Munculnya teori kemungkinan dua watak ini, pahlawan wanita Tang dan Mulan saling berkait rapat.

2. Pedang Jian: Pedang Bermata Dua.

Dalam filem ini, watak pratagonis, Mulan membawa lari pedang yang dimiliki oleh ayahnya, Hua Zhou, ke medan p3rang untuk menyertai angkatan pasukan tentera diraja Kaisar Shang untuk memerangi ancaman serangan puak gasar Hun. Nama yang ditempa pada pedang tersebut masing-masing membawa maksud Kesetiaan/Zhong (忠), Keberanian/Yǒng (勇) dan Kebenaran/Zhēn (真).

Di dalam dunia sebenar, pedang tersebut dikenali sebagai pedang Jian. Pedang Jian pertama kali muncul melalui rekod catatan pada abad ke-7 M, iaitu rentang waktu Musim Bunga dan Luruh (770-350 SM). Pada awal penciptaan Jian, ia ditempa dalam bentuk saiz sederhana, diperbuat daripada gangsa (sebelum ditukar kepada besi), bermata dua dan dikawal dengan satu tangan sahaja.

Pedang Jian melalui beberapa fasa perubahan sepanjang 2,500 tahun lamanya dan ia mempunyai dua versi saiz iaitu kecil yang panjangnya 45 cm dan besar yang panjangnya mencapai 80 cm dan berat keduanya mencapai sekitar 700-900 gram.

Pengeluaran pedang Jian semakin meluas pada zaman Negara-Negara Berp3rang (W4rring States Period sekitar 501 SM-350 SM). Pada zaman pemerintahan Dinasti Qin, pedang Jian dipanjangkan daripada saiz biasa, mata pedangnya diasah dua kali ganda kerana pada waktu ini, pedang Jian diutamakan untuk menikam daripada menebas. Pada zaman Dinasti Han pula, teknik penempaan pedang Jian dipertingkatkan yang mana pedangnya lebih ringan dihayun dan lebih lasak daripada sebelumnya.

Melalui sumber turun-temurun China, pedang Jian terkenal dengan gelaran ‘The Gentleman Weapons’. Pedang Jian termasuk dalam senjata utama di China selain Gùn (kayu galah), Qiang (lembing) dan Dao (pedang melengkung).

Contoh sebenar pedang Jian yang masih dalam kondisi baik adalah Pedang Goujian yang telah ditulis sebelum ini:

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=876718989188794&id=181500092044024

Fungsi pedang Jian diperkembangkan dan ia dicipta untuk kegunaan dua tangan pula, tetapi pedang Jian untuk dua tangan hanya digunakan di dalam seni bela diri, bukannya di dalam medan pertempuran. Sehingga kini, pedang Jian masih digunakan oleh ahli seni bela diri China sahaja.

3. Fenghuang: Oriental Phoenix.

Perasan atau tidak, di dalam kisah Mulan dalam bentuk animasi tahun 1998, Mulan didampingi oleh seekor naga yang bernama Mushu tetapi mengapa di dalam filem Mulan 2020, watak Mushu digantikan dengan seekor burung Phoenix?

Mengikut kenyataan pelakon filem Mulan, Jimmy Wang, dalam ciapan akaun Twitter miliknya, dinyatakan antara sebab burung Phoenix dipilih menggantikan posisi watak Mushu kerana di dalam kepercayaan China, burung Phoenix dikenali sebagai Fenghuang dan ia selalunya digambarkan sebagai entiti feminim, kekuatan dari syurga dan melambangkan kesetiaan dan kejujuran. Sebenarnya, makna simbol daripada pedang Jian milik Mulan seperti yang diceritakan di atas melambangkan sifat-sifat Fenghuang.

Menurut Profesor Stanley Rosen, watak naga kecil Mushu dikatakan sebagai bentuk penghinaan ke atas kebudayaan China. Maka dengan penukaran ke burung Fenghuang, ia digambarkan lebih gah dan sesuai dengan jalan cerita filem Mulan yang serius.

Fenghuang merupakan seekor entiti makhluk mitos suci yang mana kehadirannya terlalu langka di atas dunia ini. Menurut legenda, kemunculan Fenghuang berlaku sekali sebelum kewafatan Maharaja Huangdi (Yellow Emperor) yang memerintah China pada abad-27 SM. Pada zaman pemerintahan Dinasti Zhou (1064 SM-256 SM), Fenghuang diabadikan sebagai lambang kepentingan politik dan kekayaan.

Pada mulanya, Fenghuang bukanlah satu entiti, tetapi mewakili dua entiti iaitu Feng (burung jantan) dan Huang (burung betina) yang mana menggambarkan simbol falsafah Ying Yang dan mewakili antara kewujudan kaum lelaki dan perempuan. Lama-kelamaan entiti Feng dan Huang digabungkan sebagai seekor burung syurga yang membawa sifat betina dan ia menjadi haiwan yang berpasangan dengan naga yang lebih jantan. Kaisar China selalu digambarkan sebagai naga dan permaisurinya pula digambarkan sebagai Fenghuang. Suatu kombinasi yang agung. Pada zaman pemerintahan Dinasti Qin, permaisuri kaisar menyandang mahkota Fenghuang.

Kombinasi Ying Fenghuang dan Yang Naga sehingga wujudnya pepatah China yang menyatakan:

“Rén zhōng lóng fèng (人中 龍鳳)”.

Terjemahan: “Manusia yang mempunyai bakat yang berdiri bagaikan Naga dan Fenghuang di antara para manusia”.

Dan dari sinilah, Fenghuang selalu digambarkan sebagai simbol kewanitaan dan sebab inilah mengapa burung Phoenix lebih ideal menggantikan watak si naga Mushu. Fenghuang diyakini membawa sifat kesetiaan, merendah diri, baik hati dan pembawa kebenaran yang mana sifat ini lebih sesuai digunakan ke atas watak Mulan.

Maka berakhirlah penyampaian fakta yang serba ringkas dari pandang sudut sejarah kisah Hua Mulan. Jadi, bagi sesiapa yang sudah menonton filem Mulan terbitan Disney ini dan berasa tidak puas nafsunya, disarankan untuk menonton filem Unparalleled Mulan/Matchless Mulan (2020) yang mana adegannya lebih ke arah PG13. Filem p3rang tanpa darah bagaikan hati tanpa cinta.

RUJUKAN:

1. The Dramatic True Story Behind Disney’s Mulan, Ancient Origins.

2. Pa Kua and Study of the Jian (Chinese Sword), Pa Kua International League.

3. The Phoenix: An Unnatural Biography of a Mythical Beas, Joe Nigg.

4. Why Mulan 2020 doesn’t have Mushu – director’s three reasons for the change, RadioTimes.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.