Unsur Sejarah Yahudi VS Nazi Dalam Attack On Titan

1,407

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Di dalam siri manga/animasi SNK (Shingeki no Kyojin) atau lebih dikenali sebagai AOT (Attack on Titan) pada musim terakhir ini menunjukkan bagaimana bangsa Eldian didiskriminasi oleh bangsa Marley. Bangsa Marley mengurung bangsa Eldian di dalam sebuah penempatan atau kem tahanan yang dikenali sebagai Liberio.

BAN LENGAN BANGSA ELDIAN: BINTANG 9 BUCU.

Selain dikurung, diasingkan, dikawal tentera 24 jam oleh bangsa Marley, bangsa Eldian juga diwajibkan untuk memakai ban lengan (armband) apabila setiap kali mereka keluar dari rumah. Di dalam dunia AOT ini, ban lengan bangsa Eldian dikategorikan kepada tiga warna mengikut status iaitu kelabu/coklat, putih, kuning dan merah.

Warna coklat atau kelabu hanya dipakai oleh rakyat Eldian biasa, warna putih untuk tentera Eldian biasa, warna kuning dipakai oleh kadet Eldian yang di mana mereka akan dipilih untuk menjadi pejuang Titan lalu digunakan di medan pe-rang dan terakhir warna merah dipakai oleh para pejuang Eldian memiliki kuasa Titan.

Warna merah kiranya mendapat kedudukan istimewa dan statusnya dilayan seperti bangsa Marley. Pengikat lengan Eldian dihiasi dengan simbol bintang berbucu sembilan yang membawa maksud ‘9 Para Titan’, iaitu sembilan ekor Titan Eldian yang pernah membantai bangsa Marley.

Ban lengan ini bukanlah untuk mengangkat martabat keistimewaan bangsa Eldian, walhal ia sebagai sebuah bentuk hukuman untuk memalukan dan menghina dosa lampau para Eldian pada suatu masa dahulu

BINTANG DAVID (DAUD): DARI YAHUDI, ISLAM DAN KRISTIAN.

Tetapi jika diteliti di dalam dunia sejarah sebenar kita, sistem pengasingan atau pengenalan seperti ini pernah digunakan oleh Jerman Nazi untuk mengasingkan, mengenali dan memantau bangsa Yahudi di bumi Eropah dahulu.

Perkara seperti ini juga berlaku di bumi Eropah, jauh sebelum kedatangan Jerman Nazi. Ia juga pernah berlaku pada zaman pertengahan ketika era pemerintahan Muslim dan Kristian. Pemakaian lencana atau aksesori tertentu tidak terjadi pada bangsa Yahudi sahaja, tetapi terhadap penganut agama Islam dan Kristian juga.

Golongan dhimmi (orang bukan Islam yang dilindungi) diwajibkan memakai aksesori tertentu pada zaman pemerintahan Khalifah Harun ar-Rashid dan Khalifah al-Mutawakkil dari Bani Abbasiyah. Pengenalan seperti ini tidaklah mendiskriminasikan golongan dhimmi.

Peristiwa seperti ini juga terjadi ke atas Muslim (tidak kira bangsa) dan bangsa Yahudi pada zaman pemerintahan Kristian.

Pada tanggal 11 November 1215 M, telah berlangsungnya pertemuan para paderi, bishop dan para pemerintah Kristian dari seluruh Eropah iaitu Pertemuan Keempat Lateran yang berlangsung di Rom. Dalam perbincangan tersebut, salah satunya menyelitkan tentang peraturan pemakaian atau simbol yang dapat membezakan pakaian Muslim dan Yahudi daripada pemakaian orang Kristian.

Pada zaman pemerintahan Raja Henry III, iaitu sekitar tahun 1217 M, apabila baginda menitahkan kewajiban untuk bangsa Yahudi untuk memakai lencana yang dihiasi 10 Perintah (10 Commandments), yang mana ia diletakkan pada pakaian mereka. Ini merupakan peristiwa pertama yang berlaku di Eropah.

Raja Edward I pula memerintahkan bangsa Yahudi yang berumur 7 tahun ke atas untuk memakai kain berwarna kuning sepanjang enam jari di dada kiri mereka. Pada tahun 1290 pula, baginda mengumumkan Deklarasi Pengusiran yang menyebabkan seramai 2,000 orang Yahudi dihalau dari kerajaan England. Pengusiran ini menyebabkan bangsa Yahudi berpecah dan membawa diri ke kerajaan Perancis, kerajaan Islam di Sepanyol dan Poland.

Penggunaan lencana/aksesori Yahudi berkembang luas di Perancis, Austria dan Jerman selama beberapa abad, sehinggalah ia dimansuhkan sekitar era pemerintahan Maharaja Joseph II dari Austria. Baginda memberikan kebebasan kepada bangsa Yahudi di Austria untuk menganut agama mereka melalui Deklarasi Toleransi 1782 (Edict of Tolerance).

Setelah itu, negara-negara lain di Eropah juga mengikuti langkah Austria ini. Tiada lagi sistem sebegini, hinggalah tiba pada tahun 1939, perintah ini bermula kembali di Eropah dan disalahgunakan oleh pihak Nazi sebagai senjata politik untuk menghancurkan bangsa Yahudi.

Kelahiran semula pengunaan simbol Bintang David Kuning ini bermula setelah parti Nazi melancarkan boikot ekonomi ke atas perniagaan-perniagaan yang dimiliki oleh bangsa Yahudi pada sekitar 1 April 1933. Kejadian ini menyebabkan cermin-cermin gerai bangsa Yahudi dicat dengan simbol Bintang David berwarna kuning oleh bangsa Jerman. Perbuatan ini dilakukan supaya masyarakat mengetahui bahawasanya gerai tersebut dimiliki oleh bangsa Yahudi.

Akibat dari perbuatan bangsa Jerman ini, pemimpin Zionis Jerman, Robert Welstch menulis sebuah artikel yang bertajuk ‘Tragt ihn mit Stolz, den Gelben Fleck’ yang bermaksud ‘Pakailah simbol Bintang David Kuning ini dengan bangga’ sebagai tindak balas mempertahankan bangsa Yahudi Jerman. Artikel ini diterbitkan umum pada 4 April 1933. Dengan terbitnya artikel ini, ia secara tidak langsung memberi semangat kepada bangsa Yahudi Jerman untuk tidak takut kepada pemboikotan Nazi.

Peristiwa kemunculan simbol ini tidak lagi diaplikasikan oleh pihak Jerman Nazi.

PD II: 1939-1945

Pada 15 September 1935, bangsa Yahudi di Jerman dikecualikan daripada memperolehi kewarganegaraan Reich oleh pihak Nazi dibawah pimpinan Adolf Hitler ketika pelaksanaan undang-undang Nuremberg 1935, yang mengangkat dan melindungi keturunan berdarah sejati bangsa Jerman.

Idea untuk melahirkan kembali pengunaan simbol ini dikemukakan oleh Menteri Propaganda Nazi, Josef Goebbels, dalam suatu memorandum pada bulan Mei tahun 1938, yang mana beliau mengemukakan alasan betapa pentingnya untuk memperkenalkan sistem ini kembali supaya pihak Nazi mampu mengawal pergerakan bangsa Yahudi di Jerman. Tetapi tidak ada respons dari pihak tertinggi Nazi. Idea ini seterusnya dibawa oleh Ketua Polis Keselamatan, Reinhard Heydrich pada 12 November tahun yang sama. Dan hasilnya tetap sama. Nihil.

Sehinggalah tercetusnya PD II, setelah pihak Jerman Nazi menawan Poland pada September 1939, idea ini pertama kali dirasmikan di sebuah bandar Wloclawek pada 23 November 1939. Setelah sebulan diuji, ternyata idea sebegini memudahkan pihak Nazi Jerman untuk memantau bangsa Yahudi di bandar Wloclawek, Poland.

Berikut kronologi pelaksanaan undang-undang pemakaian ban lengan/lencana ke atas bangsa Yahudi sepanjang PD II di Eropah:

• 1939: Sistem ini pertama kali dilaksanakan oleh Gabenor Jeneral Poland, Hans Frank melalui penggunaan ban lengan pada 23 November 1939. Peraturan mandatori ini dikenakan ke atas semua rakyat Yahudi di Poland yang berumur 10 tahun ke atas, diwajibkan untuk memakai ban lengan berwarna putih dihiasi simbol Bintang David berwarna biru setiap kali keluar dari rumah. Jika sesiapa dari kalangan bangsa Yahudi yang tidak mematuhi peraturan ini, mereka akan didenda, dipaksa menjadi buruh atau yang paling sadisnya, dibu-nuh. Ban lengan ini dipakaikan di lengan atas sebelah kanan.

• 1941: Penaklukan Bulgaria, bangsa Yahudi di sana diwajibkan untuk memakai lencana butang simbol Bintang David di kerah baju mereka. Lencana Yahudi Bulgaria adalah paling kecil diantara semua lencana Bintang David.

• April 1941: Penaklukan Yugoslavia dan pihak Nazi mendirikan negara boneka (satellit state) yang dinamakan ‘Independent State of Crotia’. Bangsa Yahudi di sini diwajibkan untuk memakai ban kain kuning tertera huruf Ž yang mana dalam bahasa Crotia bermaksud Židov iaitu Yahudi.

Jun 1941: Bangsa Yahudi yang tinggal di wilayah Soviet Union ta-klukan Nazi diwajibkan memakai lencana Bintang David.

• 27 Julai 1941: Hinrich Lohse, Komiser Ostland yang mengawasi negara-negara jajahan Baltik (Lithuania, Estonia dan Latvia) mewajibkan bangsa Yahudi yang menetap di wilayah Kovno, Lithuania, untuk memakai lencana Bintang David Kuning yang dijahit/ditampal pada bahagian dada kiri pakaian atau dibelakang pakaian.

• Julai 1941: Bangsa Yahudi di wilayah Bukovina di Romania, diwajibkan untuk memakai lencana Bintang David Kuning berlatarbelakang warna hitam.

• 1 September 1941: Pelaksanaan undang-undang ‘Police Regulation on the Labelling of Jews’ di dalam Seksyen 1 menyatakan, tentang kewajiban untuk bangsa Yahudi untuk memakai lencana yang ditetapkan setiap kali keluar dari rumah (termaktub kepada semua wilayah dibawah jajahan Nazi), bangsa Yahudi yang berumur 6 tahun ke atas diwajibkan untuk memakainya, ban/lencana yang dipakai diwajibkan untuk tertera tulisan/huruf nama Yahudi. Dan mengikut Seksyen 4, jikalau mereka ditangkap untuk tidak memakainya bakal didenda sebanyak 150 Reichsmark atau dipenjara atau dise-ksa atau dibu-nuh. Lencana Bintang David Kuning diperkenalkan secara rasmi dan pada lencana ini tertera tulisan Jude iaitu Yahudi dalam bahasa Jerman. Ia dipakai oleh bangsa Yahudi yang tinggal di Jerman, Alsace, Bohemia dan Moravia.

• September 1941: Lencana Bintang David Kuning diwajibkan di Luxemborg dan Slovakia. Di Slovakia, lencana Bintang David Kuning tertera tulisan Slovakia, HZ yang bermaksud Yahudi.

• September 1941: Lencana Bintang David Kuning diperkenalkan di wilayah Romania iaitu Bessarabia dan Bukovina.

• 10 Januari 1942: Lencana Bintang David tidak diperkenalkan di Norway, tetapi bangsa Yahudi di sana diwajibkan membawa kad pengenalan berhuruf J setiap kali keluar dari rumah.

• Mei 1942: Bangsa Yahudi di Belanda diwajibkan untuk memakai lencana ini juga yang bertulisan Jew dalam bahasa Belanda. Pada waktu ini syarikat surat khabar Belanda tidak rasmi mencetak 300,000 Bintang David Kuning dengan kenyataan ‘Yahudi dan bukan Yahudi adalah Satu’ pada 1 Mei 1942 untuk menentang peraturan yang mendiskriminasikan bangsa Yahudi.

• 3 Jun 1942: Lencana Bintang David Kuning tertera huruf J diwajibkan ke atas bangsa Yahudi di Belgium.

7 Jun 1942: Lencana Bintang David diperkenalkan. Di Perancis, nama Yahudi ditulis Juif atau Juive dalam bentuk tulisan Ibrani. Tetapi rakyat Perancis bukan Yahudi, bersolidariti terhadap nasib bangsa Yahudi di sana dan mereka menjadikan Bintang David Kuning sebagai sebuah trend pemakaian di sana.

• Julai 1942: Lencana Bintang David Kuning diperkenalkan di wilayah Transnistria, Romania.

1944: Lencana Bintang David diperkenalkan di Moldava.

• 29 Mac 1944: Bangsa Yahudi di Hungary diwajibkan untuk memakai lencana tersebut.

Perintah wajib ini dikenakan ke atas semua bangsa Yahudi Jerman, bangsa Yahudi yang tinggal di dalam wilayah ta-klukan Jerman seperti di wilayah Alsace di Perancis, Bohemia-Moravia dan Warthegau di barat Poland. Selain di wilayah-wilayah ini, negara yang berada di bawah ta-klukan Jerman Nazi juga diwajibkan untuk mengikut aturan ini seperti negara Belgium, Belanda, Crotia, Norway, Republik Slovak, Bulgaria, Perancis dan Romania. Hanya satu negara sahaja peraturan ini tidak diwajibkan, iaitu negara Denmark.

Walaupun pelbagai langkah atau ekspresi yang dilakukan untuk menentang pelaksanaan undang-undang pemakaian lencana ini, tetapi penentangan mereka tidak mempengaruhi pihak Nazi, kerana ketakutan mereka terhadap hukuman yang bakal menimpa mereka apabila tidak mematuhinya. Contoh hukuman yang diterima oleh bangsa Yahudi di Poland sudah cukup untuk memberikan amaran kepada semua bangsa Yahudi di dalam jajahan pihak Nazi untuk sedia mematuhi arahan mereka tanpa banyak persoalan.

Sepertimana yang dikisahkan di atas dalam bab ‘Ban Lengan Bangsa Eldian’, mengenai ban lengan merah yang hanya dipakai oleh golongan Eldian yang menjawat jawatan penting atau dilantik sebagai pejuang Titan dan mereka mendapat kedudukan yang istimewa, tetapi bagaimana pula bentuk peraturan ini berjalan di dalam sistem pemerintahan Jerman Nazi terhadap golongan Yahudi yang mendapat pengecualian daripada mematuhi undang-undang ini?

Hanya ada lima golongan Yahudi sahaja yang tidak diwajibkan memakai ban lengan atau lencana Bintang David ini, iaitu:

1. Warga Yahudi yang datang dari negara neutral atau warga Yahudi yang datang dari negara bukan ta-klukan Jerman Nazi.

2. Bos, tauke, ketua yang mempunyai perusahaan besar yang mana ia memberi impak positif kepada pembangunan negara Jerman.

3. Pengawai atau anggota tinggi Yahudi yang berkhidmat dalam pemerintahan Jerman Nazi.

4. Warga Yahudi yang melakukan perkahwinan campur dengan bangsa Jerman atau bangsa selain Yahudi sebelum terlaksananya Undang-Undang Nuremberg 1935.

5. Warga Yahudi yang memberi kerjasama dengan pihak Jerman Nazi.

Pengasingan ini bukanlah sebuah alasan untuk pihak Nazi mengenalpasti atau memalukan bangsa Yahudi sahaja, bahkan mereka mempunyai agenda yang lain, iaitu membasmi bangsa Yahudi di benua Eropah melalui misi Ho-locaust.

Tetapi, perintah neraka ini tidak bertahan lama apabila ia berakhir setelah kekalahan pihak Nazi terhadap pihak Berikat sekaligus menamatkan PD II di benua Eropah.

RUJUKAN:

1. Jewish Badge: During The Nazi Era, Ho-locaust Encyclopedia.

2. History of the Yellow Star Inscribed With ‘Jude’, Jennifer Rosenberg, Thought. Co.

3. This Day in Jewish History 1782: Habsburg Emperor Announces Tolerance for Jews, David B. Green, Haaretz.

4. Star of David: Badges and Armbands, The National Ho-locaust Centre and Museum.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.