Unsur Politik Dalam Gurindam Dua Belas

707

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Raja Ali Haji merupakan seorang tokoh yang masyhur dengan kebolehannya mengarang pelbagai kitab ilmu pengetahuan (1809-1972). Bahkan beliau merupakan seorang pujangga terakhir dalam peradaban Melayu lama.

“Pujangga adalah suatu tokoh seorang intelektual dalam dunia klasik: beliau bukan sahaja seorang penulis ataupun seorang sejarawan, tetapi seorang yang memberikan pendorongan intelektual kepada istana di mana beliau berkhidmat”.

(Hassan Sham, Puisi-Puisi Raja Ali Haji).

Raja Ali Haji memenuhi kuota takrifan pujangga dengan menghasilkan pelbagai karya yang luar biasa. Ini meliputi karya-karya berkisarkan sejarah, ketatanegaraan, tatabahasa (kamus) dan berbakat tinggi dalam penulisan puisi.

Pada tahun 1846, beliau mencipta “Gurindam Dua Belas” yang sarat dengan pelbagai nilai-nilai moral bahkan masih dikaji sehingga dewasa ini. Apa yang menariknya adalah, beliau merupakan sarjana Melayu pertama yang mendefinisikan “Gurindam” kepada dunia. Beliau menyatakan:

“Adapun gurindam itu iaitu perkataan yang bersajak juga pada akhir pasangannya tertapi sempurna perkataannya dengan syarat dan sajak yang kedua itu seperti jawab.”

Dalam erti kata yang mudah, gurindam terdiri dari dua baris yang berpasangan dan berima serta ideanya lengkap terzahir pada baris yang kedua. Menurut Abu Hassan, baris kedua gurindam adalah jawapan kepada baris pertama yang membezakannya dengan syair.

UNSUR POLITIK DALAM GURINDAM 12 (FASAL 11)

Jika kita telusuri, kita mendapati beberapa unsur politik diterapkan dalam lirik-lirik gurindam dua belas diantaranya:

“Hendaklah berjasa,
kepada yang sebangsa.”

Secara umumnya, dapat diketahui bahawa lirik tersebut menggariskan kepentingan setiap pihak yang  berada  dalam  komuniti sama ada rakyat atau pemimpin untuk  menabur  jasa  dan  kepada masyarakatnya.

Menurut Muhammad Lazim, dalam kerangka taat kepada pemerintah dan dan berwawasan untuk menabur jasa, rakyat  dan  para pemimpin seharusnya berfikiran kritis terhadap setiap polisi  kerajaan. Ini kerana sikap patuh tanpa bersikap  kritis  akan membawa kepada implikasi yang mendatar serta  tidak  menuju pencapaian yang mapan.

Apabila semua individu berfikiran kritis serta ghairah menyumbang kepada pembangunan bersama, maka barulah suatu komuniti akan seiring menuju kemajuan. Misalannya, Bandar Z ingin menjadikan bandarnya sebagai hub ilmu-ilmu agama, maka suatu polisi perlu diletakkan dan sekiranya terdapat kekurangan perlulah ditambah baik (setelah dipertimbangkan dan tidak melanggar mana-mana undang-undang yang lebih tinggi). Kemudian, barulah sumbangan-sumbangan jasa dapat dilaksanakan sama ada daripada para pemimpin dengan pelbagai kempen dan rakyat dengan menyokong atau memberi sumbangan dana. Barulah akan lahir masyarakat yang mempunyai wawasan yang sama.

Contoh kedua pula adalah terkait dengan keperluan akhlak dan nilai-nilai positif dalam diri pemimpin. Ini kerana tugas seorang pemimpin  merangkumi tanggungjawab yang bernafaskan amanah yang berat. Seorang Pemimpin itu  merupakan  panutan  kepada mereka yang  dipimpinnya.  Maju  mundurnya  suatu kelompok  masyarakat  banyak  bergantung kepada  akhlak  pemimpinnya. Oleh itulah, Raja Ali Haji menukilkan:

“Hendaklah jadi kepala,
buang perangai yang cela.”

Justeru kita dapat melihat betapa besarnya pemahaman Raja Ali Haji terhadap permasalahan politik ini. Barangkali pada firasat penulis, ini disebabkan kesedarannya terhadap sejarah-sejarah dan peristiwa-peristiwa yang ditulisnya. Misalnya:

“(Maka) pada suatu masa baginda beradu, maka datang orang persembahkan Nangka masak. Maka ditaruhkan oleh penghulu istana (kerana menantikan baginda itu jaga. Tiba-tiba datang bini Megat Seri Rama yang bunting, mengidam hendak makan Nangka, lalu dipintanya sehulas kepada penghulu istana itu). Maka penghulu istana mengambil sehulas, diberikan kepada bini Megat Seri Rama itu, maka ia pun baliklah.

Maka apabila baginda itu bangun, hendak santaplah akan Nangka itu, lalu dipersembahkan oleh penghulu istana itu kepada baginda. Maka kata penghulu istana kepada baginda ‘ada yang tidak baik tadi, patik berikan kepada bini Megat Seri Rama daripada terbuang sahaja’. Apabala ia mendengar/ sembah penghulu istana itu/ maka baginda pun murkalah, lalu disuruhnya panggil bini Megat Seri Rama itu lalu/dibelah/nya perutnya, dikeluarkan ananknya dari dalam perutnya itu.”

(Matheson Hooker, Tuhfat Al-Nafis, 46-47).

Kepentingan menghapuskan sikap-sikap keji ketika menjadi pemimpin adalah suatu yang fundamental kerana menjadi pemimpin bermakna menjadi ketua yang menjalankan fungsi sesebuah kerajaan. Sekiranya dihiasi kotoran-kotoran pada hati sudah tentulah membantutkan perkembangan negara bahkan terpalit kepada rakyatnya.

*Unsur politik dalam gurindam dua belas fasal ke-12 akan dibincangkan dalam artikel seterusnya.

RUJUKAN:

Abu Hassan Sham. Puisi-Puisi Raja Ali Haji. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993.

Muhammad Lazim, “Corak Pemikiran Politik Raja Ali Haji (1808-1873)”, Perada: Jurnal Studi Islam Kawasan Melayu 2(2), 2019. 153-174.

Virginia Matheson Hooker. Tuhfat Al-Nafis. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan dan DBP, 1998.

Zubir Idris, “Komunikasi Moral Lewat Gurindam Dua Belas Raja Ali Haji”, Jurnal Komunikasi 31(2), 2015. 601-616

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.