Moving Forward As One

Unsur Budaya Austronesia & Asia Tenggara Dalam Animasi Disney Raya

5,489

Malam ini tak boleh tidur, nak study atau buat kerjapun takda mood, jadi saya cuba menulis untuk bagi mata mengantuk.

Hari Jumaat ini merupakan tarikh tayangan bagi filem animasi terbaru Disney iaitu Raya and The Last Dragon dan mereka telahpun keluarkan trailer filem ini pada 26 Januari 2021 yang lalu dan juga 2 minggu lepas.

IKLAN: Anda sedang mencari novel thriller pembunuhan bersiri? The Patriots baru terbitkan novel keempat kami. Boleh beli di Shopee kami: https://shp.ee/47yzq2k

Raya and The Last Dragon telah mendapat sentuhan penulis kelahiran Malaysia iaitu Adele Lim dan Qui Nguyen dari Vietnam. Adele Lim juga merupakan penulis bersama sebuah filem yang pernah menjadi tular pada tahun 2018 iaitu Crazy Rich Asian. Karier beliau di Hollywood bermula dengan siri TV Xena: The Warrior Princess.

Filem ini mengambil inspirasi dan pengaruh dari kebudayaan tradisional Asia Tenggara atau lebih tepat lagi bangsa Austronesia. Namun, setelah diamati dengan lebih teliti berdasarkan pada 2 trailer mereka setakat ini, pengaruhnya lebih kepada kebudayaan tradisi etnik di Filipina, dan ada sedikit campuran etnik asal Laos, Myanmar, Vietnam dan Kemboja.

1. 𝑺𝑨𝑳𝑨𝑲𝑶𝑻.
Sejenis penutup kepala yang diperbuat daripada rotan, daun mengkuang atau daun pandan ini memang terkenal penggunaannya dinegara-negara Asia. Namun kenapa saya mengatakan bahawa penutup kepala yang dipakai oleh Raya ini dari pengaruh Filipina adalah disebabkan reka bentuknya yang seakan kubah runcing (pointed dome) dan mempunyai tombol besi atau kayu diatasnya berbanding penutup kepala rotan dari negara Asia yang lain lebih kepada berbentuk kon (cone).

Nama, bahan buatan dan reka bentuknya sedikit berbeza mengikut etnik dan penggunaannya. Sebagai contoh, Salakot yang dipakai oleh bangsawan, pegawai kerajaan pangkat tinggi, atau pahlawan akan disalut dengan hiasan logam. Antara nama lain bagi Salakot mengikut etnik adalah, Turung, Sayap (Binalano), Saruk (Yakan, Sama-Bajau), Talugong (Ivatan), Sadok (Cebu, Bikolano, Mandaya) dan banyak lagi.

2. 𝑺𝑬𝑵𝑰 𝑩𝑬𝑳𝑨 𝑫𝑰𝑹𝑰

Dalam babak perlawanan pada trailer pertama ada menunjukkan Raya berlawan menggunakan 2 tongkat pendek. Senjata ini amat sinonim dengan seni bela diri dari Filipina yang dikenali sebagai Kali atau nama lainnya Arnis dan Eskrima.

Senjata tongkat ini akan diajarkan kepada pelajar seni bela diri sebelum mereka belajar bertempur tangan kosong, agak terbalik daripada kebanyakan seni bela diri yang lain kerana menurut mereka jurus tempur tangan kosong berasal daripada prinsip yang terdapat pada gerakan tongkat dan pedang.

Selain tongkat, senjata tradisional Filipina yang lain adalah seperti Kampilan, Barong, Sundang, Kerambit dan lain-lain.

3. 𝑷𝑨𝑲𝑨𝑰𝑨𝑵 𝑻𝑹𝑨𝑫𝑰𝑺𝑰

Jika dilihat secara kasar dalam trailer mereka (rujuk pada gambar), kita dapat melihat bahawa busana yang dipakai oleh watak-watak ini ada pengaruh daripada pakaian tradisi etnik-etnik di Filipina dalam wilayah Kepulauan Visaya pada era sebelum penjajahan Eropah. Bagaimanapun mungkin juga ada pengaruh daripada pakaian tradisi kaum Khmer, Mon dan Champa di Vietnam, Myanmar dan Kemboja.

4. 𝑷𝑬𝑫𝑨𝑵𝑮 𝑵𝑨𝑮𝑨

Seperti yang dapat kita lihat, Raya juga menggunakan Pedang Naga yang bentuknya tidak asing lagi adalah seperti Keris Sundang yang banyak digunakan oleh orang Melayu, Sulu, Tausug dan Bugis di Selatan Filipina dan juga Sabah. Tidak pasti jika keris sundang ini digunakan secara meluas di Semenanjung Tanah Melayu, Segenting Kra, Sumatera dan Kepulauan Jawa.

Namun, jika anda pernah menonton filem Queen of Langkasuka, terdapat seorang Hulubalang di Raja yang menggunakan Keris Sundang dan dalam persilatan Seni Silat Gayong ada menggunakan Sundang Lipas, tetapi bentuknya berbeza dan tidak berluk. Boleh rujuk pada pakar sejarah atau persilatan untuk maklumat yang lebih tepat, saya tidak begitu arif bab ini.

𝟱. 𝗦𝗜𝗦𝗨 𝗦𝗜 𝗡𝗔𝗚𝗔 𝗔𝗜𝗥.

Jika dinegara lain seperti Eropah, China, Jepun dan Korea lebih terkenal dengan naga yang boleh terbang diudara, bagaimanapun di Asia Tenggara lebih terkenal dengan naga air.
Oleh itu, satu-satunya pengaruh Asia Tenggara yang lengkap saya dapat lihat setakat ini berdasarkan trailer Raya and The Last Dragon adalah pengaruh Naga Air yang memang terkenal di Asia Tenggara.

Naga air dalam mitologi masyarakat Asia Tenggara, atau lebih tepat di Semenanjung Indochina dan Segenting Kra (sekarang dikenali sebagai Thailand) sering dilakarkan mempunyai tanduk (atau paruh?) pada hujung hidungnya.

Ini melambangkan kemegahan dan kekuatan Dinasti Tran sewaktu melawan pencerobohan Mongol. Tidak pasti jika sewaktu Dinasti ini Vietnam masih dibawah empayar Melayu Champa atau sudah dikuasai oleh bangsa Dai-Viet. Mohon betulkan jika saya silap.

Arca dan Lakaran Naga Air yang bertanduk ini kita masih dapat melihatnya sehingga kini di Wat, Tokong, dan Pagoda diserata Thailand, Laos, Myammar, Vietnam dan Kemboja.
Naga air di Kepulauan Jawa pula dilakarkan dengan memakai Mahkota Emas dikepalanya.

IKLAN: Anda sedang mencari novel thriller pembunuhan bersiri? The Patriots baru terbitkan novel keempat kami. Boleh beli di Shopee kami: https://shp.ee/47yzq2k

Terdapat 3 Jenis Naga yang menguasai Nusantara ini mengikut cerita rakyat (tolong jangan tanya saya mana dalil… haha.. ) iaitu:

𝑵𝒂𝒈𝒂 𝑺𝒆𝒓𝒊 𝑮𝒖𝒎𝒖𝒎 – 𝑷𝒂𝒉𝒂𝒏𝒈 (𝑻𝒂𝒔𝒊𝒌 𝑪𝒉𝒊𝒏𝒊)
𝑵𝒂𝒈𝒂 𝑺𝒆𝒓𝒊 𝑲𝒆𝒎𝒃𝒐𝒋𝒂 – 𝑲𝒆𝒎𝒃𝒐𝒋𝒂 𝒅𝒂𝒏 𝑺𝒆𝒈𝒆𝒏𝒕𝒊𝒏𝒈 𝑲𝒓𝒂 (𝑻𝒉𝒂𝒊𝒍𝒂𝒏𝒅 𝒌𝒊𝒏𝒊)
𝑵𝒂𝒈𝒂 𝑺𝒆𝒓𝒊 𝑫𝒂𝒊𝒌 – 𝑺𝒖𝒎𝒂𝒕𝒆𝒓𝒂 𝒅𝒂𝒏 𝑲𝒆𝒑𝒖𝒍𝒂𝒖𝒂𝒏 𝑱𝒂𝒘𝒂

Manakala di Filipina terkenal dengan naga Bakunawa (bentuknya seperti Gyarados) dan di Kepulauan Borneo pula adalah Tambuakar (mirip Loch Ness)

Begitulah pengaruh Asia Tenggara mengikut pemerhatian saya yang terdapat dalam filem terbaru Disney iaitu Raya and The Last Dragon.

Walaubagaimanapun, seperti yang saya katakan pemerhatian ini hanyalah melalui trailer mereka sahaja. Mungkin lebih banyak pengaruh Asia Tenggara dari negara-negara lain seperti Malaysia, Indonesia dan Thailand yang kita bakal lihat dalam filem penuhnya.

Maaf jika terdapat kesilapan fakta dalam penulisan saya yang hanya ada secebis ilmu sejarah ini dan harap di perbetulkan agar kita dapat sama-sama belajar.

Lihat Trailer terbaru disini:

Dan sini:

Ruangan komen telah ditutup.