Ungku Omar (1931-1969): Genius Melayu Yang Dilupakan

672

Nama beliau mungkin dikenali kerana disematkan pada salah sebuah politeknik terkenal di Malaysia, iaitu Politeknik Ungku Omar dan juga nama untuk Kolej Ungku Omar di UKM. Namun, mungkin setakat itu sahajalah kita mengenalinya. Pernahkah kita sedetik lebih terfikir selain daripada insan yang namanya terpahat menjadi nama sebuah institut pendidikan terkenal dalam negara kita, siapakah sebenarnya Ungku Omar ini?

Kepada yang tidak mengenali beliau, sudah tentu Ungku Omar bin Ungku Ahmad ini bukan calang-calang orang. Sejarah mengenalinya sebagai seorang ahli perubatan, saintis dan intelektual Melayu yang hebat dalam sejarah. Sepanjang hayat beliau, beliau sudah banyak menyumbangkan buah fikir dalam membangunkan sains dan teknologi masyarakat Malaysia, memperkasakan bahasa Melayu dan membangunkan ummah yang agak mundur pada waktu itu.

Anak jati Johor ini lahir pada 18 Januari 1931 di Johor Bharu, bersekolah awal di Sekolah Melayu Kluang, Segamat, Pontian, dan Tangkak sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar. Di sana, Ungku Omar dilantik sebagai ketua pelajar selain menghadiri Jambori PGAKAP-Pengakap di Melbourne, Australia.

Akhirnya beliau diterima masuk ke Universiti Malaya di Singapura. Oleh kerana keputusan akademiknya yang memberangsangkan, beliau terus diterima untuk masuk ke tahun ke-2. Pada tahun 1954, Ungku Omar telah dipilih sebagai “student demonstrator” kerana cemerlang dalam subjek Anatomi. Pada 1957, beliau akhirnya menghabiskan pengajian dalam ijazah Perubatan dan Bedah.

Berbekalkan kelulusannya pada waktu itu, beliau telah berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan dan Penyelidikan di Pusat Penyelidikan Perubatan Kuala Lumpur. Merasakan bahawa ilmunya masih belum cukup, Ungku Omar telah melanjutkan pelajarannya dalam bidang Patologi (ilmu perubatan yang mengkaji sebab-sebab, tanda-tanda dan cara mengubati penyakit) di Royal College of Physician London dan Royal College of Surgeons England pada tahun 1962.

Sesuai dengan gelaran genius Melayu, beliau telah berjaya mendapat Ijazah Kedoktoran (Ph.D) dalam bidang Clinical Chemistry dengan tesisnya yang bertajuk “Electrolytes in Isolated Human Leucocytes) pada tahun 1965. Pada tahun yang sama juga, beliau telah diberi penghormatan menganggotai Institute Of Biology, London. Pada tahun 1967, College Of American Pathologist Amerika Syarikat pula menerima Ungku Omar sebagai Ahli Kehormat Kolej.

Ilmu yang dituntut, kecerdasan yang menakjubkan dan pengalaman sebagai pemimpin yang dikutip pada usia belajarnya banyak membentuk dasar dan sumbangan beliau ketika dilantik sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan untuk negara. Fakta menarik, beliau merupakan anak Melayu pertama yang dilantik ke jawatan ini.

Antara kajian beliau yang pernah menggemparkan negara ialah berkaitan dengan taraf kesihatan penduduk-penduduk di luar bandar yang diabaikan. Penyelidikannya mendapati bahawa taraf kematian luar bandar adalah 6 kali ganda lebih ramai dari di bandar. Faktor-faktor yang menyumbang kepada keputusan tersebut adalah seperti kadar kemiskinan yang tinggi. Penyakit yang dikaitkan dengan kadar kematian luar biasa itu ialah seperti malaria, kepialu, untut dan pelbagai penyakit.

Kertas kerja yang dibentangkannya di Kolej Pertanian (dikenali sebagai UPM hari ini) pada Februari 1968 sangat terkenal dengan slogan “otak yang waras dalam badan yang sihat.” Menurutnya, kekurangan makanan berzat puncanya ialah wang, kekurangan wang kerana kurangnya ilmu dan mata pencarian. Jadi, untuk meningkatkan penguasaan ilmu di kalangan masyarakat ialah ilmu itu harus dipersembahkan dalam Bahasa Melayu yakni bahasa ibunda. Ini akan menaiktaraf kualiti kehidupan rakyat di luar bandar sekaligus peningkatan ilmu membuatkan mereka mencerna maklumat kesihatan yang betul.

Sepanjang hayatnya, beliau telah menyiapkan lebih 40 kertas kerja yang merangkumi karya-karya sains perubatannya, pendedahan beliau mengenai kualiti kesihatan luar bandar, sehinggalah kepada usaha beliau dalam membasmi wabak Malaria di Malaysia. Selain itu, kertas kerja beliau termasuklah dalam penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, konsep universiti Islam untuk peningkatan pendidikan Islam, dan usaha beliau dalam membentuk istilah-istilah perubatan dalam Bahasa Melayu yang diterjemahkan daripada Bahasa Inggeris.

Ungku Omar yang juga dikenali sebagai “doktor radio” ini kerana seringkali muncul dalam siaran radio tempatan dalam menyebarkan kempen kesedaran beliau mengenai perubatan juga banyak memegang pelbagai jawatan demi khidmatnya kepada rakyat. Contohnya dalam bidang perubatan, beliau ialah pengerusi atau timbalan pengerusi bagi Makmal Perubatan dan Kesihatan dan Tabung Darah Kebangsaan. Beliau juga merupakan ahli aktif dalam Persatuan Perubatan Alumni, Persatuan Perubatan Malaysia dan Persatuan Parasitologi Malaysia.

Beliau merupakan ahli dalam Jawatankuasa Kebangsaan Khas Kementerian Kesihatan, Jawatankuasa Penggubal Perlembagaan Universiti Kebangsaan Malaysia dan banyak lagi. Dalam bidang sastera pula, beliau merupakan ahli ASAS 50 yang merupakan organisasi sastera tertua negara selepas Perang Dunia Kedua. Organisasi ini ditubuhkan untuk perkembangan dunia sastera negara.

Pada peringkat antarabangsa, Ungku Omar banyak mewakili negara ke banyak persidangan antarabangsa di Australia, Indonesia, Jepun, Amerika Syarikat, Filipina, China dan Singapura berkaitan dengan bidang penyelidikan perubatan, Lembaga Penyelerasan Kerjasama Serantau dalam Perubatan Tropika (SEAMES) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pada bulan Jun 1967, beliau dikurniakan Darjah Setia Mahkota (D.S.M) oleh Yang Dipertuan Agong, dan juga Darjah Kerabat Yang Dihormati daripada Johor di atas pelbagai jasanya yang pelbagai. Malah, Universitas Indonesia juga memberikan anugerah gelaran Professor kepada beliau. Sayangnya, tuhan lebih menyayangi beliau.

Pada saat pelbagai kejayaan hebat sedang diraih dan menunggu masa untuk dicipta boleh beliau, pada saat rakyat Malaysia masih bergantung harap pada kualiti yang dimilikinya, pada usia yang dianggap muda iaitu 38 tahun, Ungku Omar meninggalkan kita semua kerana serangan jantung. Sesungguhnya, kita sehingga hari ini, masih terasa kehilangan genius Melayu seperti Professor Dato’ Dr Ungku Omar!

RUJUKAN:

Shahidan, Radiman. Ungku Omar (1931-1969) Pejuang Bangsa dan Peneroka Gagasan Sains Terbilang.

Arkib Negara. Professor Dato’ Dr Ungku Omar. http://www.arkib.gov.my/web/guest/632

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.