Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid, anak Melayu yang lahir pada 28 Januari 1922 yang kini sudahpun berusia 95 tahun ini ialah seorang Melayu yang cukup banyak jasanya pada agama, bangsa dan negara. Siapa sangka seorang bayi yang lahir di bumi penjajah di London, di United Kingdom ini akan kembali ke negara asalnya, mengaum dan menjadi antara pencetus revolusi yang sungguh dibanggakan sehingga hari ini. Beliau ialah penerus legasi kegemilangan yang dicapai oleh nenek moyangnya ke zaman globalisasi.

Seseorang yang mempunyai darah diraja Johor ini merupakan anak kepada Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid yang merupakan seorang leftenan dalam pasukan tentera Timbalan Setia Negeri Johor. Ibunya yang bernama Hamidah Bte Abdullah merupakan seorang wanita Turki yang beragama Islam. Sepertinya, genetik kebijaksanaannya diwarisi daripada ayahnya yang merupakan bekas pelajar dari Universiti Cambridge dan mampu menguasasi Bahasa Parsi, Arab dan Sanskrit. Malangnya, anak muda ini hanya mampu merasa kasih saying daripada seorang ibu sehingga beliau berumur 2 tahun sahaja.

Pendidikan terawal yang diterima oleh beliau ialah di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Bharu, sebelum ke Sekolah Bukit Zahrah, English College Johor, Sekolah Melayu Batu Pahat sebelum menyambung pengajiannya ke Rafffles College. Beliau kemudian menyambung pelajaran ke Universiti Malaya di Singapura dan berjaya memperoleh Ijazah dalam bidang Ekonomi. Beliau kemudian memperoleh pula Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang ekonomi di Universiti Waseda di Jepun, menjadikan beliau sebagai anak Melayu pertama yang belajar di universiti tersebut. Ungku Aziz boleh sahaja membesar di London yang ternyata mempunyai sistem pendidikan jauh lebih tersusun daripada di Malaysia, tetapi ayahandanya mahu Ungku Aziz membesar dengan dan hidup sebagai seorang Melayu.

Mengasaskan Tabung Haji

Pada 30 September 1959 Professor Diraja Ungku Aziz Abdul Hamid telah menulis sebuah kertas kerja yang bertajuk “Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-Bakal Haji” kepada kerajaan dan cetusan idea itu telah melahirkan konsep Tabung Haji hari ini. Tidak lama kemudian pada bulan November 1962, idea itu dan mula beroperasi pada 30 September pada tahun 1963, maka idea yang dikemukakan oleh Profesor Di Raja Ungku Aziz ini menjadi kenyataan. Lalu, konsep tabung haji yang diperkenalkan oleh beliau diperbahurui lagi pada tahun 1969 apabila digabungkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji. Kata-kata daripada Ungku Aziz ketika ditemubual oleh Utusan Malaysia tentang langkah Ungku Aziz memperkenalkan Tabung Haji:

“Saya lihat orang kampung akan menjual kambing, kerbau atau tanah mereka untuk menunaikan haji. Sekembalinya mereka dari sana, mereka tiada ternakan dan sumber rezeki lagi. Sebab itu, saya cetuskan idea penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH). LUTH sebenarnya membantu ekonomi orang Melayu untuk jangka masa yang panjang.”

Ketika awal penubuhan Tabung Haji dahulu ketika diasaskan daripada cetusan idea Ungku Aziz, ianya sekadar mempunyai 13 orang petugas sahaja, mempunyai 1, 280 orang pendeposit. Simpanan di dalam akaun mereka sekadar mencecah RM 46, 600 serta beroperasi di pejabat kecil di Jalan Ipoh.

Untuk rekod, hari ini, Tabung Haji merupakan pengurus Dana Islam terbesar negara dengan dana melebihi RM55 billion. Hari ini, tabung Haji mengendalikan 8.3 juta pendeposit. Akibat dari hasil pelaburan dan perniagaan yang menguntungkan, tabung Haji membiayai subsidi mengerjakan haji sebanyak RM130 juta dengan jemaah kali pertama membayar sekitar RM9,900 dengan baki RM6,000 dibiayai Tabung Haji. Tabung Haji turut menampung subsidi kursus haji yang dibuat sebelum jemaah berlepas ke tanah suci berjumlah RM40 juta. Bayangkanlah daripada hasil idea seorang anak Melayu genius pada tahun 1959, hari ini tabung haji mampu membiyai kos mengerjakan haji oleh kebanyakan umat Islam. Terdapat lebih daripada 8 juta pendeposit sekarang. Ada sebanyak 119 cawangan di seluruh negara tak termasuk sebanyak 6,000 pusat perhubungan dan juga sebuah pejabat operasi di Arab Saudi.

Dasar Ekonomi Baru

Kajian yang mendalam pada Tragedi 13 Mei membawa kepada rumusan bahawa jurang ekonomi antara orang Melayu dan bukan Melayu telah mengakibatkan perasaan tidak puas hati dan diskriminasi. Lalu Tun Abdul Razak telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum. Salah seorang yang terlibat dalam perangkaan Dasar Ekonomi Baru tentunya ialah Ungku Aziz. Kajiannya mendapati bahawa sistem meritokrasi masih belum sesuai untuk diamalkan kerana jurang kemiskinan masyarakat bandar dan luar bandar sangatlah luas. DEB menurut Ungku Aziz ialah satu-satunya cara orang Melayu tidak hilang keyakinan dan terus bersaing.

Pusat Asasi Sains Universiti Malaya

Beliau merupakan pencetus kepada idea penubuhan Pusat Asasi Sains di UM. Penubuhan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya diasaskan untuk membantu golongan miskin. Pengalamannya pada tahun 1970-an menyatakan bahawa pelajar untuk kursus perubatan adalah sangat rendah dan adakalanya hanya mencecah angka 5 orang sahaja. Institut ini diasaskan untuk membantu orang Melayu dari kalangan anak-anak kampung yang miskin. Hari ini, PASUM telah berjaya mencapai 8 ribu orang ahli dan banyak antara mereka sudah menjadi pakar-pakar hebat dalam negara dan luar negara.

Anugerah Yang Diterima Ungku Aziz

Sebagai salah seorang cendekiawan Melayu terulung pada abad ini, Ungku Aziz telah menerima pelbagai anugerah sepanjang beliau menabur bakti di Malaysia. Gelaran Professor Diraja Ekonomi yang diperolehinya pada 17 Jun 1978 daripada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dalam bidang Pembangunan Luar Bandar. Selain itu, beliau juga merupakan anak Melayu pertama memperolehi Hadiah International Academic Prize of the 4th Fukuoka Asian Cultural Prizes 1993 by the City of Fukuoka dari Jepun.

Pada 1997 pula, Ungku Aziz telah ditabalkan sebagai Tokoh Maal Hijrah oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Pada 21 Julai 2002 beliau telah dianugerahkan Tokoh Koperasi Negara sempena Hari Koperasi Negara. Gelaran sebagai Tokoh Melayu Terbilang yang menjadi tajuk besar artikel ini pula sebenarnya adalah dianugerahkan oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi pada 11 Mei 2005 oleh Presiden UMNO pada ulangtahun ke-59 Umno di PWTC. Untuk rekod, beliau merupakan anak Melayu pertama memenangi anugerah itu.

Seterusnya pada 25 Jun 2005 beliau telah dianugerahkan Tokoh Ekonomi Melayu oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). Anugerah terbaru yang diterima oleh YM Profesor Diraja Ungku A. Aziz ialah Anugerah Akademik Negara 2006 sempena Majlis Pengisytiharan Universiti Penyelidikan dan Anugerah Akademik Negara 2006 pada 2 Ogos 2007 oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

Sudah terjawab mengapa beliau dianugerahkan dengan pelbagai gelaran dan anugerah yang tinggi?

Sumbangan Lain Kepada Negara

Selain daripada sumbangan mengasaskan Tabung Haji yang menjadikan nama beliau lebih harum, Ungku Aziz juga turut mempunyai perkhidmatan lain yang cukup hebat. Sebagai contoh, beliau pernah menyertai Perkhidmatan Awam Johor (JCS). Beliau juga pernah berbakti sebagai Pensyarah Ekonomi di Universiti Malaya Singapura (1949-1960). Pada tahun 1960-1965, beliau dilantik pula sebagai Pensyarah Kanan dan Ketua Jabatan Ekonomi, Fakulti Sastera, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Tidak lama kemudian, beliau dilantik sebagai Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (1965-1968), sebelum menjadi Naib Canselor, Universiti Malaya dari tahun 1969-1988. Untuk rekod, beliau merupakan Naib Canselor Universiti Malaya paling lama berkhidmat dengan universiti tersebut kira-kira 20 tahun.

Ungku Aziz juga merupakan Yang Di Pertua, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Ahli Lembaga Pengarah, Koperasi Kedai Buku Universiti Malaya Berhad (KKUM), Fellow Kehormat, Institut Sosial Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (1.10.2005 – 30.9.2008), Ahli Majlis Tadbir Urus, Pusat Pengajian Kewangan Islam Antarabangsa, Bank Negara Malaysia (INCEIF Governing Council) (2006-2009). Dalam bidang syarikat korporat pula, Ungku Aziz merupakan pengarah PLUS BERHAD, Pengerusi Cosmopoint Sdb Bhd serta pengarah Plus Expressway Berhad.

Pesanan Untuk Bangsa Melayu

1. Menurut beliau, untuk menjadi seorang Melayu Unggul atau yang Terbilang, seseorang perlu mempunyai prinsip dan halatuju hidup. Halatuju hidup Pak Ungku Aziz adalah berteraskan kepada apa yang pernah dinukilkan oleh Za’aba, “Kalau ada keyakinan diri semua boleh tercapai.”

2. Beliau menyarankan anak Melayu membaca setiap karya Zaba kerana menurut beliau, “dalam buku itu ada amanat penting Za’ba yang menunjukkan jalan bagaimana orang Melayu boleh berjaya dan menjadi unggul.”

3. Ungku Aziz berpendapat bahawa masalah utama yang membelenggu Melayu hari ini terutama golongan remaja ialah kekurangan jati diri sendiri. Jati diri mampu membentuk orang Melayu menjadi lebih hebat daripada sekarang dan menurut Ungku Aziz juga, media antara medium yang mampu mencorakkan semula jati diri Melayu yang hilang.
“Siapakah aku?”

Soalan semudah dari Socrates yang bertanyakan di atas pun masih belum mampu dijawab oleh mereka. Bayangkan bagaimana mereka mahu mencapai sesuatu yang hebat sepanjang penubuhan tamadun mereka?

4. Menurut Ungku Aziz, pendidikan mampu membentuk jati diri anak Melayu. Orang Melayu harus didedahkan dengan tokoh-tokoh Melayu yang hebat dalam sejarah yang mampu membawa kesan positif. Model untuk orang Melayu bangkit daripada lena sudah tersemat pada sejarah dan sebagai contoh, beliau memetik Hang Tuah dan menyarankan sifat-sifat positif pada batang tubuh Hang Tuah dijadikan contoh oleh orang Melayu moden. Katanya, model-model hebat Melayu pada abad silam ini mampu membina realiti, melahirkan remaja yang akan jadi pemimpin masa depan yang memberikan harapan kepada bangsa. Katanya yang menjadi tamparan buat saya sebagai penulis:

“Kita tidak akan melahirkan manusia unggul dengan bercakap-cakap saja.”

5. Beliau mengkritik bagaimana sikap orang Melayu yang tidak mempunyai perasaan ingin tahu dan budaya banyak bertanya dijadikan taboo dalam pemikiran setiap anak Melayu. Pemikiran saintifik sepertinya sudah hilang dalam masyarakat Melayu dan beliau membandingkan ketika zaman Renaissance di Eropah. Beliau dipetik pernah berkata:

“Kalau pada kurun ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya: Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk lihat apa manifestasi hantu.”

Apa yang beliau ingin sampaikan ialah perasaan ingin tahu harus ditanam jauh dalam jiwa anak Melayu sambal diselitkan dengan sedikit rasa skeptikal yang tidaklah bermasalah. Ilmu pengetahuan tidak akan lahir tanpa perasaan ingin tahu daripada anak Melayu.
Beliau menyimpulkan bahawa penyakit ini datang dari trend penjajah British yang sudah membentuk fikiran seperti ini selama beratus tahun. British tidak mahu percambahan intelektual di Malaysia akan mewujudkan bijak pandai yang akan menggulingkan pemerintahan Jepun di Malaysia. Virus yang dibawa oleh British ini masih lagi bernanah dalam setiap jiwa anak Melayu.

Akhir kata, kami berasakan bahawa pesanan daripada beliau ini sangat terbaik untuk tatapan kita:

“Rajin Berkerja, Rajin Bercakap” – Bagus
“Rajin Berkerja, Malas Bercakap” – Kena Buli
“Malas Berkerja, Rajin Bercakap” – Wayang Cina
“Malas Berkerja, Malas Bercakap” – Tak Guna
“Malas Berkerja, Suka Mengadu” – Lalat Hijau
“Malas Berkerja, Suka Ponteng” – Lebih Baik Berhenti
“Malas Berkerja, Suka Termenung” – Lebih Baik Mati

Kami juga ingin memetik pandangan Professor Emeritus Datuk Abu Bakar A. Hamid dalam bukunya bertajuk ‘The University in Pantai Valley: Glimpses of the past’.

“Seorang dari istana berkelakuan seperti orang istana itu perkara biasa. Seorang rakyat biasa berkelakuan seolah-olah ia orang istana itu luar biasa. Seorang dari istana berkelakuan seperti rakyat biasa, itulah Profesor Diraja Ungku Aziz”.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan dalam bidang perbankan dan kewangan islam. Atlet kebangsaan untuk sukan esports. Menjadi juara Asia Tenggara 3 tahun berturut turut.

Leave A Reply