Unduk Ngadau – Pertandingan Ratu Cantik Sabah

500

Menjelang bulan Mei pada setiap tahun, Negeri Di Bawah Bayu iaitu negeri Sabah akan menghimpun jelitawan yang bakal meraih gelaran Unduk Ngadau. Unduk Ngadau merupakan satu pertandingan ratu cantik yang disertai oleh anak-anak dara tempatan negeri Sabah yang berbangsa Kadazan-Dusun. Pertandingan Unduk Ngadau ini juga dibuka kepada anak-anak gadis Sabah yang tinggal di negeri-negeri yang lain dengan mewakili negeri tersebut. Walau bagaimanapun, pertandingan ini tidak dibuka kepada yang beragama Islam.

Pertandingan Unduk Ngadau mula diadakan pada tahun 1960 dan disandang oleh Yong Mee Lan dari daerah Penampang. Walau bagaimanapun, dalam tahun 1960-an, pertandingan ini dikenali sebagai Miss Kadazan. Pada era 1970-an, nama pertandingan ini ditukar kepada Miss Harvest Festival dan sekali ditukar pada era 80-an.

Bermula pada tahun 1991, nama Unduk Ngadau digunakan sebagai nama pertandingan ini dan gelaran Unduk Ngadau pada tahun 1990 ialah Julia Augustine juga dari daerah Penampang. Dalam pertandingan ini, wakil dari daerah Penampang kerap menyandang gelaran juara dan direkodkan bahawa telah menjadi juara sebanyak 28 kali. Adakah ini bermaksud anak-anak gadis Penampang jelita belaka?

Pertandingan Unduk Ngadau sangat berkait rapat dengan legenda Huminodun. Pertandingan ini memperingati pengorbanan seorang gadis yang bernama Huminodun. Menurut legenda, dikisahkan terdapat sebuah keluarga iaitu Kinoingan dan isterinya Suminundu bersama 8 orang anak; 6 lelaki dan 2 perempuan.

Malang telah menimpa apabila tanaman pada ketika itu tidak membuahkan hasil yang baik menyebabkan penduduk di perkampungan tersebut tidak mempunyai makanan yang cukup dan hampir kebuluran. Bagi mengatasi masalah itu, dikhabarkan bahawa Kinoingan perlu mengorbankan anak perempuannya, Huminodun untuk mendapatkan hasil tanaman yang lumayan. Dalam suasana yang sedih, Kinoingan dan Suminundu menerima keputusan Huminodun yang sanggup berkorban demi menyelamatkan penduduk kampung tersebut daripada kebuluran.

Pengorbanan Huminodun ini telah menyelamatkan penduduk kampung tersebut seperti yang diceritakan bahawa darahnya telah menghasilkan padi, kepalanya menjadi kelapa, tulangnya menjadi ubi kayu dan jarinya menjadi halia. Sementara giginya menjadi bijirin, keledek pula terhasil dari lututnya dan bahagian badan yang lain menghasilkan pelbagai tumbuhan yang boleh dimakan.

Pengorbanannya yang besar ini telah menghasilkan makanan yang mencukupi dan membawa kepada masyarakat suku kaum Kadazan dan Dusun untuk mengadakan Magavau iaitu satu upacara kesyukuran kepada Bambazon atau semangat padi, dan upacara inilah yang dikenali sebagai Kaamatan. Upacara kesyukuran ini juga berkait rapat dengan Sugandoi – iaitu Bobolian/Bobohizan (high priestess) mendendangkan mantera memuja semangat yang memberikan rezeki yang lumayan.

Pertandingan ini bukan setakat pertandingan yang mempamerkan kecantikan para gadis. Pertandingan ini menuntut keintelektualan dan kebijaksanaan seseorang gadis berkenaan pelbagai isu yang berkaitan dengan kaum Kadazan-Dusun. Para peserta juga mesti memahami dan menghayati konsep pakaian tradisional dan aksesori yang dikenakan oleh mereka. Warna, motif sulaman, dan jenis aksesori yang digunakan menyimpan maksud tersiratnya tersendiri. Peserta Unduk Ngadau juga harus bijak mempertingkat kehidupan golongan anak dara tempatan di samping melestarikan warisan tradisi yang ditinggalkan oleh nenek moyang.

Unduk bermaksud pucuk atau daun muda tumbuhan sementara ngadau atau tadau bermaksud matahari dalam keadaannya yang paling terang, melambangkan keremajaan yang mekar dengan kecantikan menggambarkan fizikal yang baik, kualiti kekuatan, bersemangat dan kasih sayang berada pada puncaknya. Apabila nilai ini diterjemah kepada ‘Unduk Ngadau’ wanita terpilih antara wanita jelita yang memiliki nilai yang tinggi serta maksud yang lebih mendalam bukan sekadar penampilan fizikal semata-mata. Antara soalan yang mungkin ditanya:

  1. Bahasa ibunda masyarakat etnik Sabah semakin kurang digunakan dalam pertuturan sehari-hari oleh generasi sekarang. Pada pendapat anda, bagaimanakah cara yang boleh diambil supaya bahasa ibunda ini tidak pupus suatu hari nanti?
  2. Perebutan dan pergaduhan adik-beradik disebabkan oleh tanah pusaka sudah begitu sinonim di kalangan masyarakatkita. Pada pendapat anda, bagaimana cara untuk menangani masalah ini?
  3. Masyarakat umum menyedari bahawa pendidikan sangat penting untuk menjamin masa hadapan. Walau bagaimanapun, anak perempuan selalu dinafikan hak mereka dalam mendapatkan pendidikan tinggi atas alasan “akhirnya ke dapur juga”. Sekiranya anda dalam situasi ini, bagaimanakah cara anda meyakinkan ibu bapa anda agar anda diberikan peluang yang sama untuk berjaya.

Dalam pertandingan ini juga, peserta mestilah menguasai bahasa ibunda dengan baik kerana memiliki kemahiran komunikasi yang sangat baik. Sama seperti pertandingan ratu cantik yang lain, para Unduk Ngadau juga perlu menjawab soalan yang dikemukakan dengan penuh keyakinan dan dengan jawapan yang berkualiti.           

Pada akhir bulan Mei ini, pertandingan akhir Unduk Ngadau 2019 akan menentukan siapakah penyandang Unduk Ngadau pada tahun ini. Adakah Unduk Ngadau dari daerah Penampang lagi?

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.