(Solidariti resistance Al-Aqsa terhadap kebiadaban Israel yang diredhai Amerika, pada 14 Mei 2018).

“Luka ialah wadah masuk cahaya.”  -Mevlana Rumi-

Kalau roboh Kota Melaka,

Papan di Jawa hamba dirikan,

Kalau sungguh bagai dikata,

Jasad dan nyawa hamba berikan.

Pantun ini membuktikan persaudaraan serantau nusantara. Sekaligus memaparkan semangat jihad kaum Muslimin yang tidak padam, pantang menyerah kalah, biar putih tulang jangan putih mata, meskipun dilanggar kuat oleh kuasa imperialis dari pelbagai arah. Sepanyol, Portugis, Belanda, British dan Amerika semuanya menghurung kita seperti anjing-anjing neraka. Sedang nusantara tetap tabah menerjang berbekal kitabullah.

Sebenarnya, nasib umat Islam sedunia saling berkait.

Seperti pesan al-Syahid Sultan Khairun kepada anaknya Sultan Baabullah dari Ternate, Maluku sebelum mati syahid mempertahankan daulah daripada serangan Portugis:

“Antara Islam dan (Kristian) Katolik terdapat jurang pemisah yang besar. Sejarah kemenangan Islam di Andalusia membuat mereka membenci dan iri hati dengan kebesaran Kesultanan Ternate. Mereka menderita penyakit dendan kesumat serta pemusnahan di mana saja setiap melihat negeri-negeri Islam, baik di Gowa, Melaka, Jawa dan kita di Maluku sini. Kalau kita di Ternate kalah maka nasib kita akan sama dengan negeri-negeri Islam di Jawa, Sulawesi dan Sumatra.”

Laskar jihad kerajaan Ternate bersemangat menggempur penjajah sambil berdendang:

Moro-moro se maku gise

No kakoro siwange ma buluke

Si wange ma sosiru

Jo mapolo sara sekore mie

Ini formini Bismillah!

Maksudnya: “Jika panggilan jihad telah diumumkan, wajiblah diteruskan oleh rakyat. Tatkala matahari naik dan tatkala matahari terbenam. Bersatulah dengan rakyat di angin selatan. Dan rakyat di utara, bangkitlah berperang. Dengan niat Bismillah!”

Diimbau kembali, Abad ke-13 masihi ialah era yang getir.

Tentera Salib sedang mara di utara. Mereka membakar setiap masjid yang ditemui, menyiksa orang Islam agar murtad dan bertekad merampas Baitulmaqdis. Tentera Tatar pula sedang menggempur di timur. Mereka tidak mempunyai belas kasihan. Perempuan, bayi atau orang tua tidak dipedulikan. Istana, menara dan kota semuanya menjadi rata. Umat islam sedang bermandi darah. Seakan harapan musnah. Ketika inilah tiba Mevlana Rumi yang bangkit dengan cinta sebagai lantera jiwa.

Di abad ke-21 kini, tragedi berulang lagi.

Amerika, Israel dan sekutunya menghalalkan pertumpahan darah umat Islam. Seperti kita juadah, diratah tanpa maruah. Perang saudara laungan Daesh, Isis merobek dari dalam. Seperti barah, mematikan sel kebangkitan. Lumpuh menunggu sakarat. Pertempuran dari luar dan dalam membunuh harga diri umat Islam. Mereka merealisasikan prophecy dari Nabi, iaitu kita menjadi buih di lautan. Ramai, sayangnya tidak bernilai.

Jika jatuh dengan hina, maka bangkitlah dengan cinta.

Khilafah Uthmaniah tidak mensia-siakan Mevlana Rumi.

Semangat sufi dijadikan urat belikat dalam jihad. Puisi Mathnawi menjadi tabuh tauhid di hati mujahid. Jikalau ada satu perkara saja yang mampu kita belajar dari Uthmaniah, ianya ialah kebangkitan bukan didasari semangat memekik semata-mata. Kesepaduan Tauhid, Fiqh dan Tasawuf yang jitu mesti padu. Tauhid dari Ahl Sunnah wal Jamaah, Feqh dari Hanafi, Maliki, Syafie atau Hanbali dan Tasawuf dari Syeikh yang muktabar seperti Imam Ghazali, Junaid al-Baghdadi, Bahauddin Naqsyabandi, Mevlana Rumi, dll.

Sultan Uthmaniah sentiasa mempertahankan Baitulmaqdis.

Berkata Sultan Abdul Hamid II:

“Jikalau tentera Uthmaniah berundur daripada Baitulmaqdis, sungai darah takkan berhenti.”

Ya. Kita memang di titik terendah sekarang.

Tetapi, bacalah sejarah.

Abad ke-13 ialah episod tragis kita. Pada 1258 masihi, kota khilafah Abbasiah iaitu Baghdad jatuh ditawan Monggol.  1 800 000 nyawa terkorban. Peradaban agung islam diranapkan. Sungai Dajlah berubah hitam dari dakwat timbunan kitab-kitab yang dihumban. Perpustakaan Darul Hikmah dibakar.

Kita menjadi lemah apabila alpa dengan hiburan. Roda sejarah pasti berulang.

Menurut Ibnu Ath-Thuqtuqa penulis Al-Fakhri menggambarkan sifat khalifah Abbasiah iaitu Al-Musta’shim, “Dia orang yang sangat menggemari hiburan. Suka mendengarkan musik dan nyanyian, Bahkan ketika tentera monggol sampai di luar tembok kota, Sultan masih bersenang lenang menikmati tarian perempuan.” Ayah kepada Mevlana Rumi, iaitu Sultan Ulama’ Syeikh Bahauddin Walad sendiri enggan menerima jemputan undangan ke istana Sultan di Baghdad kerana khalifah islam tersebut gemar meminum arak. Amalan maksiat juga giat diadakan di istana.

Wasiat Sultan Mansur Shah kepada anaknya Sultan Alauddin Riayat Shah:

السلطان ظل الله في العلم

‘Sultan ialah bayangan Allah di muka bumi’

Bukanlah frasa ini bermaksud menyekutukan Allah. Jauh sekali mempertuhankan raja. Tetapi sebenarnya ia menyimpan falsafah penting dalam pembinaan negara. Konsep kemakmuran rakyat bergantung pada kesolehan raja terangkum dalam kalimat ini.

Jika sultan soleh, nescaya rakyat dihujani rahmat.

Jika sultan rosak, nescaya rakyat dihenjar musibat.

Frasa ‘Seri Paduka Baginda’ dan ‘Duli Yang Maha Mulia’ wajar difahami bersumberkan etimologi. Generasi baru sering keliru berkenaan makna besar di sebalik kalimat ini.

Menurut Ajie Yusop dan Institute Of Traditional Islamic Studies,

“ ‘Duli’ itu membawa maksud DEBU atau abu di kaki. Jadi, perkataan Duli Yang Maha Mulia itu menunjukkan bahawa seluas manapun tanah jajahan seorang Sultan, tarafnya hanyalah seperti debu-debu di kaki Yang Maha Mulia iaitu ALlāh ‎ﷻ.

‘Paduka’ membawa maksud SEPATU atau alas kaki dan baginda merujuk kepada RasūluLlāh ‎ﷺ. Jadi, secara tepatnya gelaran ini menunjukkan walau betapa tingginya darjat seseorang Sultan itu, tinggi lagi darjat RasūluLlāh ‎ﷺ di sisi ALlāh ﷻ”

Tak dinafikan Malaysia, sekarang berhadapan dengan pelbagai krisis.

Di sebalik terhakisnya sistem kesultanan, kita jangan lupakan signifikan raja sebagai perisai agama dan nusa. Demokrasi boleh dipengaruhi arus liberalism, sekularism dan pluralism. Tetapi, Kesultanan Melayu seteruk mana pun rajanya, tetap berdiri teguh di atas sumpah raja-raja Melayu.

Alam Nusantara sendiri tidak miskin daripada Sultan-Sultan yang soleh.

Sejarah peradaban kita sendiri bukan baru semalam bermula.

Di Tanah Melayu kita ada Sultan Alauddin Riayat Shah (Melaka), Sultan Sulaiman Shah (Selangor), Sultan Zainal Abidin III (Terengganu), Sultan Mansur (Kelantan) dan Sultan Iskandar Shah (Perak).

Di Borneo kita ada Sultan Muhammad Shafiuddin II (Sambas), Sultan Syarif Abdul Rahman al-Qadri (Pontianak), Raja Gusti Jamiril (Mempawah) dan Sultan Syarif Ali (Brunei).

Di Filipina kita ada Sultan Syariful Hashim (Sulu) dan Sultan Kudarat (Maguindanao).

Di kepulauan Maluku kita ada Sultan Baabullah (Ternate) dan Sultan Nuku (Tidore).

Di kepulauan Sulawesi kita ada Sultan Idrus Qaimuddin (Buton) dan Sultan Hasanudin (Goa).

Di kepulauan Jawa kita ada Sultan Abdul Faqih (Giri), Raden Pati Unus (Demak), Sultang Agung (Mataram) dan Sultan Syarif Hidayatullah (Cirebon).

Di Sumatra kita ada Sultan Mahmud Badaruddin II (Palembang), Raja Haji Fi Sabilillah (Riau-Lingga) Sultan Iskandar Muda (Acheh) dan Sultan Malik Azzahir Thani (Samudera Pasai).

Merekalah lantera syariat islam dan khalifah jihad memerangi penjajah.

Bak kata Hang Tuah, “Takkan melayu hilang di dunia!”

Sultan Abdul Faqih (Sunan Giri) ada meninggalkan bait-bait syair:

Padhang-padhang bulan,

Ayo gage dha dolanan,

Dolanane ana ing latar,

Ngalap padhang ilar-ilar,

Nundhung begog hangetikar

Maknanya: Malam terang bulan, bermain di halaman, mencari-cari cahaya trrang benderang, mengusir gelap pergi dengan cepat.

Menurut Hasanuddin Yusof, “Terang bulan yang dimaksudkan dalam tembang ini ialah kedatangan agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah. Dengan memeluk Islam, manusia dapat mengusir keburukan seperti lenyapnya gelap malam kerana datang cahaya rembulan.”

Dalam masa sama, berwaspada bila Sultan melakukan maksiat. Tiada istilah ‘dosa peribadi’ buat seorang Sultan. Dosa yang dilakukan raja akan terpalit sama pada rakyatnya. Apabila sultan sendiri meraikan maksiat, bayangan Allah diangkat. Seperti berdiri di tengah panas terik, tanpa bayangan daripada teduhan, begitulah umat islam. Dibakar api murka. Allah ialah مالك الملك  iaitu sultan kepada sekalian sultan. Allah pasti murka apabila titah-Nya dilanggar. Itulah apa yang terjadi kepada Baghdad dan Melaka. Sultannya sendiri dibuai lalai. Allah datangkan bencana buat menyentap umat yang leka.

Pada 1207 masihi, lahirlah Mevlana Rumi. Dia hidup dalam zaman kekacauan. Kehancuran dunia islam tidak melemahkan semangat. Pilihan yang ada hanyalah hidup mulia ataupun mati syahid. Rumi meniupkan roh spiritual, membebas jiwa dari sengsara.

Dalam surat-surat serta khutbahnya kepada kerajaan Seljuk, Rumi tidak berputus asa meyakinkan bahawa harapan masih ada. Islam akan menyinar kembali. Asalkan kebangkitan itu bermula dengan diri sendiri. Dari iman yang sejati.

Dalam Fihi Ma Fih, oleh Mevlana Rumi:

Gabenor berkata: “Sepanjang malam, setiap hari saya berniat beribadat sepenuhnya kepada Allah, tetapi kerana tanggungjawab saya dalam hal ehwal memerangi Tatar, saya tidak mempunyai masa untuk beribadat.”

Rumi menjawab: “Berkhidmat mentakbir negara juga adalah pekerjaan yang dilakukan untuk Tuhan, kerana ia menyediakan keamanan dan keamanan untuk negara. Anda mengorbankan diri anda, harta benda anda, masa anda, sehingga disebabkan anda orang lain berasa aman untuk mematuhi kehendak Tuhan. Jadi ini juga merupakan kerja yang baik. Tuhan telah menarik minat anda terhadap kerja yang baik ini, dan kasih sayang anda terhadap apa yang anda lakukan adalah bukti berkat Tuhan. Walau bagaimanapun, jika cintakan pekerjaan anda menjadi lemah, ini akan menjadi tanda rahmat yang ditolak, kerana hanyalah orang-orang yang mempunyai sikap yang betul, akan mendapat ganjaran rohani daripada Allah.”

Pada 1299 masihi, Osman Ghazi mengasaskan Khilafah Uthmaniah. Ia disatukan daripada kerajaan Seljuk. Dengan pimpinan guru muryid iaitu Syeikh Adibali, tradisi sufi yang dilakar Mevlana Rumi berterusan. Siapa kata sufi tidak pandai membangun negara? Setiap khilafah Uthmaniah dipengaruhi budaya Rumi, sehinggakan serban sultan itu sendiri.

Sultan Osman Ghazi ialah seorang murid yang taat kepada Syeikh Adibali. Pada suatu hari, dia mahu menemui syeikhnya. Apabila sampai di zawiyah syeikh tersebut, rupa-rupanya guru itu masih di luar. Osman tidak mau menyusahkan gurunya, dia tidak mahu memanggil gurunya datang. ‘Ilmu itu didatangi, bukan mendatangi’, wasiat Imam Malik. Maka dia pun menunggu. Tiba-tiba dia terlihat satu mushaf. Dia pun bertanya kepada pembantunya

“Apakah ini?”

“Oh, inilah al-Quran kalamullah”

Inilah pertama kali dalam hidup dia melihat al-Quran. Dek kerana rasa takjub, dia mengangkat mushaf tersebut lalu mengucup dan menjunjungnya. Lebih mengagumkan lagi, akibat rasa takzim yang amat terhadap kitab wahyu itu, dia berdiri sepanjang malam dan memandang dengan penuh sayu. Hinggalah apabila dia penat barulah dia duduk. Dan ketika dia duduk, satu mimpi bertandang.

Esoknya, dia menemui Syeikh Adibali.

“Wahai Sultan, khabarkan kepada aku, mimpi semalam.”

Osman Ghazi berasa terkejut. Bagaimana syeikhnya mengetahui. Namun, bagi murid yang mengikut jalan suluk, ini bukanlah suatu yang aneh. Firasat orang mukmin memandang dengan cahaya Allah.

“Wahai Syeikh, pada malam itu aku bermimpi tumbuh suatu pohon yang besar daripada dadaku. Kemudian aku lihat bulan purnama yang terang bertandang.”

Syeikh Adibali lalu menafsirkan mimpi tersebut.

“Wahai Sultan, ketahuilah bahawa makna dari mimpi ini, ialah engkau akan menubuhkan suatu kerajaan besar yang bakal memayungi sekalian umat Islam. Makna bulan purnama jatuh kepadamu pula bermakna, dari keturunanmu akan lahir ali bait. Dengan ini aku perintahkan engkau menikahi anak perempuanku.”

Syeikh Adibali berketurunan Rasulullah. Justeru selepas itu, semua sultan Uthmaniah adalah dari darah Rasulullah. Ia juga rahsia mengapa mereka begitu memuliakan jasad baginda di Madinah. Sehinggakan apabila rel keretapi dari Istanbul dibuat, belakang keretapi itu tidak sesekali berpusing menunjukkan punggung kepada baginda. Tradisi menghormati maqam Rasulullah diteruskan oleh Khilafah Uthmaniah.

Jika benar cinta, akan lahirlah akhlak mahmudah kepada bumi bersemadinya jasad Rasulullah.

Sultan Murad IV seorang penakluk timur dan barat, memakai bulu merak di kepala. Ianya berpunca daripada suatu peristiwa. Ketika dia berjaya membuka Mesir, dia datang menziarahi Rasulullah. Bukan dengan berjalan mendabik dada, bahkan dengan merangkak. Ketika tiba di hadapan maqam, selawat dan salam dikumandangkan. Sewaktu itu dia melihat penyapu untuk maqam tersebut yang diperbuat daripada bulu merak. Dia lalu mengambil sedikit bulu tersebut dan meletakkannya di kepala. Lambang semegah apa pun seorang sultan, hakikatnya hanyalah debu di bawah telapak kaki Rasulullah.

Bapa kepada pengasas Khilafah Uthmaniah yang juga pemimpin Bani Kayi bangsa Turki, Ertugrul berkahwin dengan Halime Hatun, seorang puteri diraja Kerajaan Seljuk, anak kepada Mesud III. Melalui pernikahan ini, bersambunglah rantai-rantai perjuangan. Dari kerajaan Bani Seljuk sehinggalah khilafah Turki Uthmaniah, ia tidak terpisah daripada tradisi Rumi. Syeikh yang mengajar di Yenikapı Mevlevihane (zawiyah Mawlana Rumi) biasanya mengajar Sultan-sultan Uthmaniah di Istana Topkapi.

Menurut ulama’ Istanbul, terdapat tiga kitab rujukan agama yang paling penting selepas Quran:

  1. Sahih Bukhari oleh Imam Bukhari.
  2. al-Syifa bi Ta’rif Huquqil Mushtafa oleh Qadhi Iyadh.
  3. Mathnawi oleh Mawlana Jalaluddin Rumi.

Kita masih boleh mengulangi kebangkitan Islam. Sepertimana umat Islam di zaman Turki Uthmaniah berjaya bangkit daripada kehancuran Abbasiah di Baghdad, seperti itulah kita juga bisa kembali memacak panji di puncak tertinggi. Rumi mengajar kita, bahawa derita tidak selamanya. Esok lusa kan muncul dari luka, cahaya.

Sebagai mercu suar kebangkitan, Sultan Iskandar Muda dari Acheh ada mewasiatkan enam perkara kepada sekalian raja-raja. Eloklah kita ambil iktibar.

  1. Kepada para Wazir, Hulubalang, Pegawai, dan Rakyat Acheh agar selalu ingat kepada Allah dan memenuhi janji yang telah diucapkan.
  2. Kepada Sultan janganlah menghina alim Ulama’ dan ahli Bijaksana (Professional).
  3. Kepada Sultan janganlah percaya terhadap apa yang datang dari pihak musuh.
  4. Kepada Sultan diharapkan banyak membeli senjata. Untuk meningkatkan kekuatan dan pertahanan kerajaan dari kemungkinan serangan musuh.
  5. Kepada Sultan bersifatlah pemurah. Perhatikanlah nasib rakyat.
  6. Kepada Sultan jalankanlah hukum berdasarkan al-Quran dan Sunnah Rasulullah, Qiyas dan Ijma’ ‘Ulama’. Kemudian barulah berpegang pada hukum kerajaan dan adat resam

Kita masih ada harapan untuk ke hadapan. Seperti syair Prof Syed Naquib al-Attas:

Sifat sejarah, menurut orang,

Ibarat pentas, bermain wayang,

Cerita lampu dihurai dalang,

‘Pabila tamat segera diulang.

 

Jika demikian mustahil pantang,

Giliran Islam pula mendatang,

Lakonan lama indah gemilang,

Di layar dunia semula terbentang.

Dalam memukul beduk kebangkitan, Mevlana Rumi menitip hikmah merempuh cabaran:

“Jangan bersedih, orang yang memukuli karpet dengan tongkat tidaklah bermaksud untuk menyiksa karpet tersebut tetapi membersihkannya dari debu dan kotoran. Demikianlah juga Allah, dengan memberimu kesulitan, Dia hendak membersihkanmu dari debu dan kotoran.

“Ketika engkau berani melangkah

Terbukalah jalan-jalan untukmu

Kalau engkau mati akhirnya

Terbanglah rohmu menemui Tuhan

Kalau engkau tak diterima di dunia

Tetah cahayamu menerangi alam

Menyinar inspirasi selepas engkau tiada lagi.”

“Apabila dugaan & cabaran mencengkam,

 jangan melarikan diri, hadapilah ia!”

 

 -Mevlana Rumi-

Rujukan:

  1. AlQuran
  2. Hadis Nabawi
  3. Sultan-Sultan Soleh Di Nusantara. Hasanuddin Yusof.

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Penceramah Bebas dan Guru Al-Quran Tauliah Khas. Aktif memenuhi jemputan kuliah agama di 10 buah masjid dan surau dalam sebulan. Bertugas mengajar kelas tahfiz di Pondok At-Tanzil serta mengajarkan al-Quran kepada orang ramai dalam Kelas Al-Quran Dewasa Kg Kelantan dan Kelas Al-Quran Dewasa TIC Kota Tinggi. Diijazahkan sanad 10 Qiraat Al-Quran termasuklah Riwayat Hafs an Asim dari Mesir. Graduan Diploma Qiraat & Tahfiz Al-Quran, Darul Quran JAKIM. Mahasiswa Sarjana Muda Usuluddin & Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Comments are closed.