Dalam Era Keemasan Islam, ragam para pemerintahnya berbeza-beza tanpa mengira sama ada mereka berasal dari kerajaan Abbasiyyah, Umayyah Andalusia atau kerajaan-kerajaan kecil yang bertaburan di Timur Tengah. Ada yang menyokong perkembangan ilmu seperti dilakukan oleh Harun al-Rashid dan al-Ma’mun.

Ada pula yang memilih bersikap neutral atau menolak gerakan-gerakan sebegini. Tetapi ada satu pemerintah yang turut memberi input besar kepada dunia Islam sebagai cendekiawan. Inilah Ulugh Beg, pemerintah Dinasti Timurid.

Timurid

Ulugh Beg atau nama sebenarnya Mīrzā Muhammad Tāraghay bin Shāhrukh ialah cucu kepada pen4kluk hebat tapi kejam Timur/Timurlane dan anak kepada puteranya yang juga pemerintah kedua dinasti itu, Shah Rukh. Bondanya Gawhar Shad ialah puteri kepada bangsawan Turki Ghiyasuddin Tarkhan. Baginda lahir di Sultaniyeh pada 22 Mac 1394 semasa kempen pen4klukan nendanya di Parsi. Nama Ulug Bek bukanlah nama sebenarnya tetapi gelaran kehormat yang membawa maksud Pemerintah Hebat dalam Bahasa Turki moden.

Sewaktu kecil, baginda banyak mengikuti kempen perluasan kuasa yang dibuat oleh nenda dan ayahanda baginda dari Georgia hingga ke Timur Tengah. Di sebalik kegilaan Timurlane yang melancarkan kempen pembvnvhan beramai-ramai di sesebuah tempat untuk menakutkan penduduk dan kuasa-kuasa yang berkira-kira memusuhinya, baginda memilih memberi pengecualian kepada golongan cendekiawan, ulama dan artisan. Mengikut rancangan, golongan-golongan ini akan dihantar ke Samarkand bagi membolehkan ilmu-ilmu mereka dikembangkan.

Tetapi  sebelum sempat Timurlane melancarkan kempen pen4klukan ke atas China, rancangan tersebut musnah apabila baginda mangkat pada tahun 1404. Empayar Timurid dibahagikan kepada keturunan-keturunannya sekaligus membawa kepada pergeseran sesama mereka.

Bagaimanapun, Shah Rukh berjaya mengetepikan saingan mereka dan berjaya mengawal sebahagian besar empayar dari ibu kotanya di Herat. Di bawah pentadbiran Shah Rukh, maka bermulalah satu tempoh yang dikenali sebagai Renaissance Timurid yang menyaksikan disiplin-disiplin ilmu berkembang di bawah baginda dan seterusnya Ulugh Beg.

Pencinta ilmu

Tidak seperti nenda dan ayahadanya, Ulugh Beg bukanlah seorang pahlawan tetapi lebih cenderung ke arah gelanggang keilmuan. Salah seorang gurunya yang terkenal ialah seorang cendekiawan bernama Qadi Zadeh al-Rumi. Qadi Zadeh sebenarnya berasal dari wilayah Anatolia yang menjadi jajahan kerajaan Uthmaniyyah sebelum menjadi salah seorang tawanan p3rang dalam kempen Timurlane.

Selepas dibebaskan, beliau menamatkan pengajian di sebuah madrasah terkenal di Isfahan dan menjadi rujukan penting dalam pelbagai disiplin ilmu termasuk astronomi dan geografi.

Jika tidak sibuk menguruskan pentadbiran kerajaan sebagai Gabenor Samarkand atau sebagai pemerintah wilayah Transoxiana, Ulugh Beg amat komited dalam mempelajari pelbagai disiplin ilmu termasuk matematik, muzik, kesusasteraan dan kaligrafi. Seperti mana yang dilakukan Harun al-Rashid dan al-Ma’mun dalam era pemerintahan mereka,

Ulugh Beg menunjukkan komitmen terhadap pendidikan rakyat dengan membina tiga buah madrasah termasuk sebuah madrasah terbesar yang indah di Dataran Registan. Semasa era pemerintahan baginda, ramai pelajar datang dari Timur dan Barat untuk mempelajari pelbagai disiplin ilmu dari sains hingga kesusasteraan.

Rajah 1: Dataran Registan.

Semasa Renaissance Timurid berada di kemuncaknya, sesebuah madrasah di Samarkand boleh menempatkan sekurang-kurangnya 70 cendekiawan. Dan ia dibuktikan menerusi pembinaan sebuah pusat cerap gergasi yang dibina pada tahun 1424 dan siap sepenuhnya pada tahun 1429. Pusat Cerap Gergasi Ulugh Beg ini dibina dengan menggunakan model balai cerap yang wujud di Baghdad, Rayy dan Maragha ketika itu.

Balai cerap ini bersifat lain dari yang lain kerana mempunyai sebuah sekstan dengan lengkungannya terdiri daripada satu perenam dari bulatan. Sekstan yang dipanggil sekstan Fakhri ini dibuat dalam saiz sebegitu rupa bukan saja untuk mengukur altitud maksimum ufuk bintang-bintang. Malah, ia boleh juga digunakan untuk mengira penurunan objek-objek cakerawala. Balai cerap yang dibina Ulugh Beg ini merupakan balai cerap yang paling terkenal di dunia Islam ketika itu.

Rajah 2: Balai Cerap Ulugh Beg pada 2012.

Menerusi peralatan yang wujud di balai cerap berkenaan, ini membolehkan Ulugh Beg menghasilkan sebuah katalog bintang-bintang terdiri daripada 1018 bintang, kurang daripada 1029 bintang yang direkodkan oleh Ptolemy.

Berdasarkan pemerhatian baginda, banyak pengiraan bintang yang dibuat oleh cendekiawan Yunani itu salah dan kesalahan tersebut masih wujud di sebalik pelbagai karya-karya ahli-ahli astronomi Islam yang telah memperbetulkan kesalahan-kesalahan yang dibuat olehnya.

Untuk memastikan perkara itu tidak berulang, Ulugh Beg mengaplikasikan dimensi-dimensi yang digunakan ahli astronomi Abdul Rahman al-Sufi dan menggunakan analisis baru bintang-bintang menggunakan data-data baru yang diambil dari balai cerapnya.

Dan ia membawa kepada penghasilan katalog bintang-bintang yang bertajuk Zij-i-Sultani pada tahun 1437. Katalog Ulugh Beg itu bukan saja merupakan mahakarya terhebat baginda tetapi merupakan sumbangan teragung kepada dunia astronomi setanding Kitab Suwar al-Kawakib yang dikarang al-Sufi.

Menerusi Zij-i-Sultani, baginda memperbetulkan semula kedudukan 992 butir bintang termasuk 27 bintang yang disebut dalam Kitab Suwar al-Kawakib. Berdasarkan pemerhatian baginda, 27 bintang yang disebut al-Sufi diletakkan terlalu jauh di sebelah selatan dari balai cerapnya di Samarkand. Di samping itu, Ulugh Beg turut membuat pengiraan masa yang diperlukan bumi untuk mengelilingi matahari sekali pada tahun 1437.

Pada awalnya, pengiraan baginda mencatatkan tempoh 365 hari, enam jam, 10 minit dan lapan saat dengan mengambil kira penyisihan kesilapan sebanyak 58 saat. Tetapi selepas mengira kedudukan bumi dari matahari mengikut empat musim, Ulugh Beg mendapat hasil 365 hari, lima jam, 49 minit dan 15 saat dengan penyisihan kesilapan sebanyak 25 saat. Pengiraan yang dibuat baginda jauh lebih tepat berbanding kiraan yang dibuat Nicolaus Copernicus yang berpandukan nota Thabit ibn Qurra.

Dendam

Namun, tidak semua yang memahami keinginan Ulugh Beg dan ada yang melihatnya sebagai pemerintah yang lemah. Bukan satu rahsia putera sulungnya Abdul-Latif Mirza menolak pendirian bapanya yang mementingkan perkembangan ilmu dan polisi-polisi yang bersifat toleransi.

Sebaliknya yang mengikut jejak langkah baginda ialah adinda Abdul-Latif, Abdul-Aziz. Ulugh Beg bukan saja bergelut dengan musuh-musuh yang mengintai peluang menjatuhkan Dinasti Timurid tetapi juga puteranya sendiri yang melancarkan kempen dengan menyerang Samarkand pada tahun 1449.

Untuk mengelak lebih banyak pertumpahan d4rah, baginda dan Abdul-Aziz menyerah diri. Dan sebagai bukti bahawa baginda sudah tidak berminat dengan hal ehwal pemerintahan Dinasti Timurid, Ulugh Beg memohon izin agar diberi peluang mengerjakan haji.

Walaupun tahu ayahandanya tidak lagi menjadi ancaman, tetapi selagi Ulugh Beg masih bernyawa, selagi itu kedudukannya sentiasa terancam. Justeru, semasa rombongan ayahandanya dalam perjalanan menuju ke Makkah, rombongan tersebut diser4ng dengan Ulugh Beg mangkat dibvnvh atas arahan Abdul-Latif.

Abdul-Latif turut mengarahkan adindanya dibvnvh beberapa hari kemudian. Perilaku kejam pemerintah baru Transoxiana itu menyebabkan baginda digelar Padarkush yang bermaksud pembvnvh ayahandanya dalam Bahasa Parsi. Legasi Ulugh Beg turut dipadamkan dengan balai cerap yang dibina baginda dirobohkan dan hanya ditemui semula dalam satu ekspedisi arkeologi di Samarkand pada tahun 1908.

Tindakan kejam Abdul-Latif itu mendorong ramai cendekiawan ketika itu termasuk Ali al-Qushji, rakan baik Ulugh Beg untuk berpindah ke Herat, Tashkent, Tabriz dan akhir sekali Istanbul di mana beliau dinaungi oleh pemerintah Uthmaniyyah, Mehmed II.

Cubaan baginda untuk memenangi hati rakyat dengan berdamping dengan golongan agamawan dan bersikap warak dalam pemerintahan tidak dapat memadamkan unsur-unsur konspirasi yang diketuai oleh golongan bangsawan Timurid. Pemerintahan Abdul-Latif hanya bertahan selama enam bulan sebelum baginda kemudiannya dibvnvh dan digantikan oleh sepupunya Abdullah Mirza.

Walaupun menduduki takhta untuk jangka masa yang singkat, Abdullah berjaya memulihkan semula reputasi bapa saudaranya itu. Ini termasuklah mengebumikan jenazahnya di kompleks pemakaman Guri Amir di Samarkand yang turut menempatkan makam Timurlane.

Rajah 3: Kompleks Pemakaman Guri Amir.

Makam-makam anggota kerabat Dinasti Timurid ditemui oleh sepasukan pakar arkeologi Soviet pada musim panas 1941. Selain mengeluarkan jenazah Timurlane, pasukan yang diketuai Mikhail Gerasimov turut mengeluarkan j3nazah Ulugh Beg.

Hasil kajiannya mendapati bahagian kiri kepala baginda terkena pvkulan teruk sehingga melepasi bahagian rahang bawah dan mem4tahkan bahagian ketiga serviks vertebra. Penyelidikan yang dibuat Gerasimov ini menunjukkan bagaimana Ulugh Beg mangkat dibvnvh oleh pembvnvh-pembvnvh yang dihantar Abdul-Latif.

Rajah 4: Makam Ulugh Beg (bawah). Di atasnya ialah makam nendanya, Timurlane.

J3nazah-j3nazah pemerintah Timurid ini kemudiannya dikebumikan semula mengikut prinsip syarak pada November 1942, tidak lama sebelum kejayaan ketumbukan Soviet yang diketuai Georgy Zhukov berjaya mengatasi gerombolan 4skar Wehrmacht dan sekutu mereka yang diketuai Friedrich Paulus. Kini, nama Ulugh Beg terus harum di angkasaraya apabila salah satu kawah bulan dan sebuah asteroid dinamakan sempena namanya.

Rajah 5: Kawah bulan Ulugh Beg.

RUJUKAN:

Luminet, Jean-Pierre. (2018). Ulugh Beg, Prince of Stars. Laboratoire d’Astrophysique de Marseille. https://www.researchgate.net/publication/324717416_Ulugh_Beg_Prince_of_Stars


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.