Uluburun adalah nama yang diberikan kepada sebuah b4ngk4i kapal berusia 3,300 tahun yang dijumpai di dasar pantai Uluburun (Teluk Besar), Kaş, barat daya Turki. Dianggap sebagai antara kapal tertua pernah ditemui, Uluburun turut memuatkan banyak artifak dari Zaman Gangsa Lewat dengan ukuran beratnya mencecah lebih 20 tan. Secara keseluruhan, sebanyak 18,000 artifak dijumpai, termasuklah barangan kemas, bahan-bahan mentah, dan mohor emas Ratu Nefertiti.

Kapal Uluburun ditemui buat pertama kali pada tahun 1982 oleh seorang penyelam tempatan bernama Mehmed Çakir pada kedalaman 44-52 meter, dengan artifak-artifaknya pula berserakan pada kedalaman 61 meter. Sememangnya, agak sukar untuk melakukan kerja-kerja ekskavasi ke atas Uluburun.

Sebanyak sebelas ekspedisi arkeologi terpaksa dilakukan secara berturut-turut, dengan setiap satunya memakan masa selama tiga hingga empat bulan. Ekspedisi tersebut dijalankan oleh Institusi Arkeologi Nautica dengan melibatkan seramai 22,413 orang penyelam, bermula pada tahun 1984 sehingga 1992.

Kapal Uluburun berukuran 15 meter panjang dan ia merupakan contoh kapal terawal yang dibina menggunakan teknik tanggam. Kayunya dikenal pasti sebagai kayu cedar Lebanon yang hanya tumbuh di pergunungan Lebanon, selatan Turki, dan wilayah tengah Cyprus. Rajah utama di atas menunjukkan gambaran-semula keadaan kapal sewaktu ia mula-mula dijumpai.

Tapak penemuan b4ngk4i kapal Uluburun

Ketika kapal Uluburun karam, ia mengangkut muatan seberat lebih 20 tan yang boleh dirangkumkan kepada dua kategori; barangan mentah dan barangan siap. Kesemua barangan tersebut didapati mempunyai hubungan dengan setidak-tidaknya tujuh buah tamadun, iaitu Mycenaea, Syro-Palestin (tamadun yang mendahului Phoenicia), Cypriot, Mesir, Kassite, Assyria, dan Nubia.

Kargo utamanya mencecah sekitar 10 tan, terdiri daripada 354 jongkong tembaga Cyprus dan 175 jongkong kaca berbentuk cakera berwarna biru kobalt, turquoise dan lavender. Barangan mentah lain yang turut diangkut oleh Uluburun adalah damar terebinth yang disimpan di dalam 150 buah balang dari Kan’an, kayu-kayu jati dari Mesir, kulit telur burung unta, gading gajah, gigi badak air, cengkerang laut, dan cengkerang penyu.

Jongkong kaca berbentuk cakera terawal pernah ditemui

Barangan siap yang dibawa oleh Uburun juga mewah belaka. Antaranya, barangan dari Mesir yang terdiri daripada emas, elektrum, perak, dan batu berharga; barangan kemas dari Kan’an; ribuan manik yang diperbuat daripada kaca, batu akik, batu karnelia, batu quartz, tembikar berbunga, dan batu anbar; dan patung-patung yang diukir sempurna, yang antaranya termasuklah tugu wanita yang bertatahkan emas, berasal-usul dari Syro-Palestin. Bagaimanapun, barangan yang paling unik dan berharga dalam kargo Uluburun ialah cop mohor Ratu Nefertiti.

Mohor emas Ratu Nefertiti

Terdapat juga beberapa artifak lain seperti bekas kosmetik yang diperbuat daripada gading gajah, trumpet yang dihasilkan daripada gigi badak air, perkakasan dan persenjataan gangsa, jaring plumbum, jarum pembaiki jaring, pancing ikan, tempuling, trisula gangsa, dan papan tulis daripada kayu. Bagaimanapun, barangan siap paling banyak yang diangkut oleh Uluburun adalah barangan seramik dari Cyprus.

Sebahagian barangan seramik Cyprus yang ditemui

Sebuah kajian turut dijalankan ke atas artifak-artifak milik kru kapal, merangkumi alat-alat navigasi, lampu minyak, dan papan tulis. Hasil kajian mendapati anak-anak kapal Uluburun kebanyakannya adalah warga Kan’an dan/atau Cyprus, dan sekurang-kurangnya terdapat dua orang warga Mycenaea.

Penemuan artifak-artifak dari kapal Uluburun ini mengisyaratkan kepada kita bahawa Laut Aegean pada Zaman Gangsa Lewat merupakan sebahagian daripada laluan perdagangan antarabangsa, yang antara lain dipicu oleh hubungan diplomatik antara raja-raja di Timur Dekat. Laluan perdagangan yang dimaksudkan ini bertitik mula dari Syro-Palestin lalu menuju ke Cyprus dan memasuki Aegean atau adakalanya sejauh Sardinia, sebelum kemudiannya pulang melalui Afrika Utara dan Mesir.

Laluan perdagangan di Mediterranean Timur pada Zaman Gangsa

Sehingga kini, kapal Uluburun dianggap sebagai salah sebuah kapal paling signifikan pernah dijumpai. Ia membekalkan banyak maklumat tentang tamadun silam di Mediterranean, termasuklah teknologi pembinaan kapal, laluan laut, aktiviti perdagangan, dan aktiviti pembuatan pada Zaman Gangsa. Pada hari ini, kapal Uluburun dan segala kargonya disimpan di Muzium Arkeologi Lautan Dalam Bodrum.

TERJEMAHAN
April Holloway. (12 Ogos 2014). Uluburun, one of the oldest and wealthiest shipwrecks ever discovered. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/ancient-places-asia/uluburun-one-oldest-and-wealthiest-shipwrecks-ever-discovered-001962


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.