Salah satu tips untuk menjadi pemain catur yang baik adalah kebolehupayaan seseorang untuk melihat kesemua kemungkinan yang bakal berlaku di atas papan catur. Kerana itulah catur merupakan suatu permainan yang digilakan oleh mereka yang meminati permainan berbentuk stratergi, dan kebanyakan pemain catur yang berjaya mempunyai kebolehan untuk melihat banyak kebarangkalian yang bakal terjadi serentak, menyebabkan mereka terpaksa mengambil tindakan paling baik (best possible move) dalam pertarungan mereka.

Hal yang sama juga terjadi sewaktu Dr. Strange menyerahkan time stone kepada Thanos dalam filem Infinity War. Ramai yang bertanya “Kenapa?”, namun setelah melihat sekitar 14 juta kebarangkalian pada masa hadapan, dia ternyata menyerahkan batu hijaunya itu, dan mengatakan kepada Tony Stark bahawa ia terpaksa dilakukan, dan mereka kini berada dalam Endgame.

Endgame dalam catur merujuk kepada fasa di mana kedua-dua orang pemain sudah hampir kehabisan buah. Sewaktu dalam fasa Endgame, apa yang pemain catur akan lakukan adalah cuba untuk menggerakkan askar mereka untuk menaikkan taraf buah askar mereka ke tahap lebih tinggi. Dalam fasa Endgame juga, pemain akan mula melakukan pengorbanan, mengorbankan buah yang berpangkat besar, demi untuk mencapai matlamat asal dalam catur: iaitu untuk melakukan check mate terhadap Raja pihak lawan.

Kesedihan selepas Infinity War

Sewaktu Infinity War, watak Thanos berjaya melenyapkan separuh makhluk dalam alam semesta dengan bersumberkan 6 biji Infinity Stone, ditambahkan dengan satu petikan jari.

Di satu sudut yang lain, Hawkeye dan keluarganya sedang berkelah dan anak perempuan Hawkeye dilihat mempunyai kelebihan yang sama seperti Hawkeye dalam sukan memanah. Sewaktu sedang bergembira, seluruh ahlu keluarga Hawkeye tiba-tiba hilang dek penangan Thanos. Hawkeye kehilangan seluruh ahli keluarganya hari itu.

Selepas Thanos Snap berlaku, team Avengers kemudiannya menerima ahli baru, iaitu Captain Marvel. Dengan bantuan Captain Marvel, mereka berjaya menyelamatkan Tony Stark dan Nebula dari terus sesat di angkasaraya yang luas.

Mereka tidak berhenti di situ. Mereka kemudiannya pergi mencari Thanos di sebuah planet lain, di mana Thanos dilihat sedang menjadi petani yang berjaya. Thanos ditangkap oleh Avengers, namun Thanos mengakui bahawa dia telah memusnahkan kesemua Infinity Stone tersebut selepas matlamat asalnya untuk menyaksikan kemusnahan separuh galaksi ini berjaya. Thor, yang pada asalnya tidak berjaya membunuh Thanos sewaktu perang di Wakanda, kali ini memenggal terus kepala Thanos, tanpa banyak bicara.

Di satu sudut yang lain, sewaktu di dalam filem Ant Man and The Wasp, Scott Lang tengah berada dalam alam kuantum (Quantum Realm) bagi mencari sumber tenaga untuk diberikan kepada Ghost. Pym dan anaknya yang ketika itu sedang mengawal mesin Quantum Realm juga terkesan akibat petikan jari Thanos, dan mereka juga hilang menjadi debu. Hasilnya, Scott Lang terperangkap di dalam Quantum Realm, sehinggalah seekor tikus secara tidak sengaja membebaskan beliau dari Quantum Realm, 5 tahun selepas Thanos Snap berlaku.

Menyedari bahawa 5 tahun telah berlalu dan dunia yang dia diami kelihatan suram dan tidak ramai orang, Scott pergi mencari maklumat, sebelum menyedari bahawa berlakunya kematian beramai-ramai sewaktu dia melawat satu Memorial Park. Disebabkan dia mempunyai anak perempuan, anak perempuannya adalah nama pertama yang dia cari, sebelum dia terjumpa dengan namanya sendiri yang diisytihar mati akibat Thanos Snap.

Dia segera bergerak ke rumah bekas isterinya, dan di sana, dia dapati bahawa anaknya masih hidup, dan kini, telahpun menjadi remaja.

Scott kemudiannya pergi ke markas Avengers, di mana pasukan Avengers yang kini diketuai oleh Black Widow masih lagi dalam kesedihan akibat kekalahan mereka terhadap Thanos. Scott kemudian berjumpa Natasha dan Captain America, di mana dia menerangkan bahawa mereka boleh menukarkan semula apa yang telah terjadi dengan melakukan pengembaraan masa. Masa, menurut Scott, adalah lain di Quantum Realm kalau dibandingkan dengan masa di dunia. 5 tahun di dunia nyata terasa seperti 5 jam sahaja di sana. Mereka bertiga kemudian meminta pandangan dua orang ahli Avengers paling pintar, Tony Stark dan Bruce Banner.

Sewaktu di rumah Tony, idea mereka ditolak mentah-mentah oleh Tony, mungkin kerana Tony faham risiko yang akan terjadi apabila pengembaraan masa berlaku. Risikonya adalah: anak perempuannya mungkin tidak akan lahir sekiranya mereka tersilap langkah.

Perkara ini dikenali sebagai Grandfather Paradox, dan ia merupakan satu bentuk causal loop yang tidak diketahui bagaimana pengakhirannya. Kitarannya sebegini: katakan kau pergi ke masa lampau. Sewaktu berada di masa lampau, kau tidak sengaja membunuh atuk kau, menyebabkan mak atau ayah kau tidak lahir.

Akibat daripada mak atau ayah kau tidak lahir, kau juga sepatutnya tidak lahir. Maka, apabila kau tidak lahir, kau tidak akan mampu pergi ke masa lampau untuk menyebabkan kematian kepada datuk kau in the first place. Sebab kau tidak mampu membunuh atuk kau, maka atuk kau akan hidup, dan mak atau ayah kau akan hidup, dan kau pun akan hidup juga.

Nampak rumit kan?

Ia dipanggil sebagai closed timeline curve.

Tony Stark sedar bahawa untuk pengembaraan masa terjadi tanpa menjejaskan masa sekarang, dia perlu mencari satu model closed timeline curve mampu terjadi. Sebab itu, sewaktu dia membuat model dengan dibantu oleh Friday, dia mencuba model yang dipanggil sebagai Mobius Strip.

Secara topologinya, Mobius Strip adalah objek yang unik. Kita boleh conteng pensil di satu bahagian Mobius Strip, dan sekiranya kita terus menconteng di sepanjang Mobius Strip tersebut, kita akan kembali ke tempat asal kita bermula.

It is a loop, at which you can come back to where you have started.

Sewaktu perbincangan dengan Banner pula, Captain America, Natasha dan Scott terkejut apabila mendapat tahu bahawa Banner telah berjaya berdamai dengan Hulk yang berada dalam badannya. “Sebelum ini, aku menganggap bahawa Hulk merupakan penyakit, dan aku cuba mencari penawar. Sekarang tak lagi.” kata Professor Hulk.

Professor Hulk, Captain America, Natasha dan Scott kemudian mula melakukan pandu uji untuk melihat keberkesanan pengembaraan masa dalam Quantum Realm, namun mereka tidak berapa berjaya. Selepas menyedari mereka tidak mampu meneruskan projek tersebut tanpa bantuan Tony, Stark datang menghulur bantuan dengan alatan baru yang membolehkan mereka melakukan pengembaraan masa dengan jayanya.

Pengembaraan masa versi Marvel.

Terdapat tiga keadaan di mana kita tidak tahu bagaimana masa berfungsi.

Keadaan pertama adalah apabila kita bergerak amat laju, menghampiri kelajuan cahaya. Apabila bergerak amat laju, objek di sekeliling kita akan menjadi amat perlahan, dan Einstein telah meletakkan limit kelajuan iaitu pada halaju cahaya; apa-apa yang melebihi kelajuan cahaya, kita takkan mampu cerap. Maka benda ini digunapakai dalam konsep pengembaraan masa The Flash The Flashpoint Paradox.

Keadaan kedua adalah ketika graviti tinggi. Orang yang berada dalam medan graviti tinggi akan merasa masa yang berlainan dengan orang yang berada dalam medan graviti rendah. Perkara ini digunapakai oleh Christopher Nolan dalam Interstellar, di mana Cooper bermula dengan anaknya masih kecil, namun selepas pengembaraan angkasanya berakhir, anak Cooper telah menjadi lebih tua dari dirinya sendiri.

Keadaan ketiga di mana kita tidak tahu bagaimana masa berfungsi adalah dalam skala Quantum. Beberapa kajian saintifik yang dilakukan telah mengesahkan bahawa masa telah dapat dibalikkan pada skala Quantum, namun kajian itu mungkin boleh dijelaskan dengan lebih lanjut pada masa akan datang.

Endgame ternyata menggunapakai keadaan yang ketiga. Kesemua ahli Avengers yang berbaki berkumpul di markas Avengers untuk mencuri batu-batu Infiniti sebelum batu tersebut dikumpulkan oleh Thanos. Scott Lang memanggil ini sebagai Time Heist.

Mereka pergi ke beberapa lokasi berbeza dalam lipatan sejarah di mana batu tersebut masih wujud, dan kemudian “meminjamnya” untuk menghidupkan kembali orang yang telah mati, dan memulangkan semula selepas semua perkara selesai.

Ant Man, Iron Man dan Captain America pergi ke zaman Avengers sedang bertarung dengan Loki di New York (Filem Avengers pertama) untuk mendapatkan Teserract dan Loki Scepter (Space Stone dan Mind Stone). Hulk, pada masa yang sama, pergi bertemu The Ancient One untuk meminjam Time Stone.

War Machine dan Nebula pergi ke planet di mana Quill pertama kali menjumpai Power Stone dalam filem Guardian of Galaxy pertama, manakala Thor dan Rocket pergi ke Asgard untuk mencari Reality Stone dari filem Thor Dark World. Akhir sekali, Hawkeye dan Black Widow pergi ke planet yang menyimpan Soul Stone sepertimana dalam filem Infinity War.

Endgame pemula Marvel Cinematic Multiverse?

Pada hujung tahun lepas, Marvel telah berjaya mendapat hakcipta kepada beberapa karya komik mereka seperti X Men dan Fantastic Four. Jadi, mungkinkah dengan pengenalan terhadap konsep pengembaraan masa ini akan menyebabkan berkembangnya Marvel Cinematic Universe kepada Marvel Cinematic Multiverse?

Ayuh fahami logik penulis.

Menurut Professor Hulk, konsep pengembaraan masa yang berlaku dalam MCU adalah: apabila kita kembali ke masa lampau, masa lampau kita akan menjadi masa sekarang, dan masa sekarang kita tadi akan menjadi masa lampau.

Agak rumit sebenarnya ayat itu. Namun dalam filem Doctor Strange, Wong dan Mordo telah mengingatkan bahawa mengacau masa akan mengakibatkan timbulnya branch, atau timeline baru.

Pengenalan konsep timeline (diambil dari konsep pengembaraan masa The Flash) harapnya dapat membantu.

Dalam filem Endgame, sewaktu mereka kembali ke masa lampau, terdapat beberapa ketika di mana mereka mengganggu timeline bagi perjalanan Infinity Saga yang asal.

  1. Sewaktu di New York, Iron Man tidak sengaja telah melepaskan Loki. Event Loki terlepas itu kini akan membuka kepada timeline baru di mana Loki sekarang bersembunyi dari ditangkap oleh kumpulan Avengers. Berkemungkinan besar ini adalah pemula kepada drama bersiri Loki yang Disney cadangkan nanti.
  2. Sewaktu di planet yang menempatkan Soul Stone, Natasha telah mengorbankan dirinya sendiri demi untuk mendapatkan Soul Stone. Akibat daripada perkara ini, sekiranya Thanos pada timeline itu datang untuk mendapatkan Soul Stone, Soul Stone itu tidak akan ada di planet tersebut, kerana ia telah diambil oleh pasukan Avengers. Nasib akhir Soul Stone juga tidak diketahui, kerana batu yang dipulangkan ke masa lalu oleh Captain America adalah Space Stone, Mind Stone dan Time Stone. Namun menurut The Ancient One, kesemua Infinity Stone harus wujud bersama dalam satu timeline, jadi mungkin nanti akan ada anggota Avengers yang memulangkan Soul Stone di timeline tersebut.
  3. Captain America messed up big time apabila dia bergaduh dengan diri dia sendiri pada masa lampau. Berkemungkinan besar diri dia pada masa lampau yang kalah akan berada pada timeline yang sama dengan timeline Loki yang melarikan diri, kerana pada asalnya Captain America lampau memang ingat itu Loki.
  4. Timeline yang terhasil ini adalah timeline di mana Quill tidak pernah berjumpa dengan Power Stone, dan akibatnya, berkemungkinan besar, team Guardian of Galaxy tidak wujud pada timeline tersebut.
  5. Timeline di mana Thanos hilang sebab pergi ke masa hadapan dan mati. Ini adalah timeline paling aneh, kerana hakikatnya adalah Thanos pergi ke masa hadapan dan menjadi debu. Di timeline yang sama, peristiwa besar di sepanjang Infinity Saga tidak akan berlaku, seperti petikan jari Thanos tidak akan berlaku, kerana Thanos telahpun mati sebelum dia sempat mengutip Infinity Stone!
  6. Captain America juga telah menimbulkan kerumitan kerana dia kembali ke masa lampau dan tinggal di sana pada penghujung Endgame. Ramai yang tanya, eh, kenapa Captain America jadi tua? Sebab dia pergi pulangkan tiga Infinity Stone (Time Stone dan Mind Stone dekat New York waktu Avengers pertama), dan Tesseract waktu zaman perang dia. Lepas dia pulangkan Teserract, dia berkemungkinan besar tinggal di zaman tu untuk membina kehidupan dengan awek dia, Peggy Carter. Dekat sini, ada dua kebarangkalian terjadi: Peggy pada asalnya memang berkahwin dengan Captain America (tapi merahsiakan perkahwinan tersebut) ataupun Capt. Sendiri telah mengakibatkan berlakunya pertambahan timeline baru. Ramai peminat yang yakin dengan pandangan pertama, namun aku agak yakin kalau Captain America masib hidup zaman pasca Perang Dunia Kedua, satu dunia akan tahu. Dia ikon Amerika kot.

Peperangan pada babak akhir sewaktu kesemua ahli Avengers berkumpul melawan Thanos dari masa silam itu amat epik. Ia mengimbau kenangan filem Lord of The Ring waktu angkatan tentera Wraith datang. Meremang bulu roma. Ditambah pula sewaktu Captain America menjerit “Avengers, assemble”. Kami bertepuk tangan di dalam panggung wayang.

Kematian Thanos adalah suatu kematian yang telah diagak. Namun kematian Natasha demi mendapatkan Soul Stone, dan kematian Tony Stark sewaktu menggunakan Infinity Stone bagi menghapuskan angkatan tentera Thanos, bagi aku, cukup tragis. Benar kata orang, Robert Downey Jr adalah wajah Iron Man, dan memberi beliau satu exit yang amat bermakna bagi peminat adalah satu pengalaman yang tak dapat dilupakan. Terdengar esak tangisan usai babak Avengers meratapi pemergian Tony.

Jadi apa selepas Endgame? Jujurnya, Doctor Strange dilihat akan memainkan peranan besar bagi membetulkan timeline yang terjejas akibat kesemua time travel yang berlaku. Mungkin selepas ini, akan ada timeline yang “bertemu” dengan timeline dari filem X Men? Kita tak tahu lagi.

Dan bagi watak-watak baru Marvel seperti Spiderman, Captain Marvel dan Black Panther, mereka ada legasi besar yang perlu mereka teruskan.

8.5 bintang daripada saya.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Universe in a Nutshell, salah satu video yang membuka minda pemikir muda ini untuk mula meminati fizik. Setelah menamatkan pengajian di peringkat Sarjana, dia kini sedang berusaha untuk merakyatkan sains kepada pelajarnya dan masyarakat umum. Minat utamanya adalah fizik moden, termasuk relativiti dan teori kuantum, di samping falsafah, ekonomi dan tasawuf

Comments are closed.