Ulasan Siaran Youtube Langfocus

163

Setelah berpenat-lelah dalam mengharungi kehidupan setiap hari, pasti kita menginginkan waktu rehat walaupun sebentar. Antara pengisian ketika waktu tersebut adalah melayari video. Terdapat pelbagai jenis platform dalam Jejaring (Internet) yang menyediakan pelbagai isi video. Antara platform video yang menjadi kegilaan ramai adalah Youtube. Pelbagai jenis video yang terdapat di laman yang tercipta pada 14 Februari 2005. Pada hari ini, kita mampu melihat kartun, ceramah agama, lagu dan sebagainya. Antara pemilik akaun yang terdapat dalam Youtube adalah “Langfocus”.

“Langfocus” adalah sebuah pemilik akaun yang secara umumnya mengisahkan tentang pelbagai bahasa di seluruh dunia. Akaun tersebut dicipta oleh Paul, seorang lelaki berusia antara 30an hingga 40an yang berasal dari Kanada. Nama “Langfocus” dipercayai berasal daripada perkataan “Language” dan “Focus” yang masing-masing bermaksud “Bahasa” dan “Tumpuan”. Justeru, “Langfocus” mungkin secara harfiahnya bermaksud “Tumpuan Bahasa”. Artikel ini membincangkan tentang penilaian penulis tentang akaun tersebut.

Antara kelebihan Langfocus adalah daripada segi ketepatan maklumat. Kesemua maklumat yang berkaitan dengan bahasa berkenaan dan perkembangannya telah beliau perolehi daripada sumber-sumber yang diiktiraf. Sumber yang diiktiraf seperti jurnal, bahan bercetak dan sebagainya. Beliau juga meminta penutur jati bahasa berkenaan untuk memeriksa rangka kandungan videonya.

Kelemahan Langfocus adalah daripada segi audio bahasa. Kebanyakan bahasa yang beliau muatnaik itu telah menggunakan suara daripada penutur jati. Kejelasan audio berkenaan bergantung kepada kualiti peranti. Kadangkala, kita akan lebih mendengar tiupan angin berbanding suara. Kita juga tidak dapat mendengar audio dengan jelas kerana terlalu laju ucapannya.

Selain itu, kelebihan Langfocus adalah daripada segi penyampaian maklumat. Dengan video Langfocus, bukan sahaja kita dapat mempelajari tatabahasa dan bunyi bahasa berkenaan tapi perkembangannya dalam pelbagai sudut. Beliau ada menerangkan tentang tahap-tahap pembentukkan bahasa serta sejarahnya secara ringkas. Dalam sejarah, beliau juga ada menyebut tentang pertembungan dengan tamadun lain lalu saling mempengaruhi dalam pembentukan bahasa.

Kelemahan Langfocus adalah daripada segi isikandungan video. Banyak istilah yang baharu dan sukar difahami oleh kebanyakan penonton khususnya yang bukan daripada latar belakang bidang Linguistik. Antara istilah yang beliau sebut adalah “Creole”, “Pidgin”, “Coined”, “Grammatical Case”, “Diglossia” dan sebagainya. Mereka perlu menyemak maksud perkataan tersebut.

Di samping itu, kelebihan Langfocus adalah daripada segi bahasa yang digunakannya. Bahasa ibundanya adalah Bahasa Inggeris. Petuturan Bahasa Inggeris sangat jelas dan mudah difahami oleh semua pihak yang mengetahui bahasa berkenaan. Video ini tidak perlu menggunakan sarikata untuk memahami ucapannya, sekurang-kurangnya kepada penulis.

Beliau kelihatannya sedaya-upaya untuk melontarkan setiap bibit perkataan agar semua pihak dapat tangkap dengan cepat.

Kelemahan Langfocus adalah daripada segi kesopanan bahasa yang digunakan. Terdapat beberapa video terdahulu yang beliau muatnaik mengandungi perkataan yang tidak sesuai digunakan untuk kanak-kanak. Perkataan tersebut mengenai carutan, istilah lucah dan banyak lagi. Contoh perkataan yang dapat penulis tangkap adalah hell, shit, fuck, bitch dan sebagainya. Walaupun perkataan tersebut telah ditapis, namun ramai dapat tangkap perkataan berkenaan.

Akhir sekali, kelebihan Langfocus adalah daripada segi jenis bahasa yang dimuatnaik. Beliau bukan sahaja memuatnaik tentang bahasa yang terkenal, malah beliau juga pernah memuatnaik bahasa yang tidak dikenali ramai. Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis, Bahasa Mandarin, Bahasa Jepun dan Bahasa Jerman adalah antara bahasa yang terkenal di dunia. Bahasa Swahili, Bahasa Amharik, Bahasa Quechua, Bahasa Wolof dan Bahasa Afrikaans adalahantara bahasa yang kurang terkenal. Malah beliau juga pernah memuatnaik bahasa-bahasa kreol dan bahasa tiruan (Conlang) seperti Haitian Creole, Tok Pisin, Toki Pona dan Esperanto. Dengan Langfocus, kita dapat mengenali banyak bahasa di seluruh dunia.

Kelemahan Langfocus adalah daripada segi ruangan komennya. Pencemaran di ruangan komen boleh dilihat di Youtube, Facebook dan Instagram. Kadangkala ada yang meminta untuk memuatnaik tentang bahasanya. Kadangkala kita akan jumpa ketegangan kaum dan politik dalam komen berkenaan. Ketegangan tersebut boleh ditemui dalam video tentang bahasa Kurdish, Slavik dan sebagainya. Ketegangan yang tidak terkawal menyebabkan tuan punya akaun telah menyahdayakan ruangan itu.

Kesimpulannya, itu adalah penilaian penulis tentang Langfocus. Bagi penulis, akaun tersebut sangat-sangat bermanfaat. Langfocus adalah akaun kedua yang paling bermanfaat selepas akaun mengenai ceramah-ceramah agama. Jika Paul dari Langfocus terbaca artikel ini, penulis memohon seribu kemaafan jika isikandungan artikel ini menyakiti hatinya. Penulis merupakan peminat setia beliau dan beliaulah menjadi pencetus kepada minat penulis untuk mendalami ilmu tentang bahasa. Penulis berharap beliau tidak berputus asa untuk memuatnaik video tentang bahasa di sebalik kekurangan yang ada.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.