Ulasan Filem: Polis Evo 2 Wajarkah Diboikot?

2711
views

Aku menghormati pandangan pihak yang nak boikot filem ni, tapi aku ada sisi pandangan lain yang lebih open, rasional dan positif. Kita tak boleh hidup dalam sindrom penafian dan terperangkap dalam sentimen emosional sahaja. Kita tak perlu marah bila ada filem menggambarkan perkara sebegini kerana pada hakikatnya, memang wujud pun pengganas yang menunggang agama Islam.

Pandangan peribadi aku, Polis Evo 2 tak hina Islam. Filem ni bukan kisah Non-Muslim adalah hero melawan Muslim antagonis. Tetapi filem ini menunjukkan perseteruan antara Muslim yang bertanggungjawab (Polis) melawan penunggang agama (Teroris). Ini bukti bahawa kita umat Islam sendiri pun menolak keganasan.

Kita akan dapat tau pengorbanan Polis untuk negara dan bagaimana cara mereka handle isu Terrorisma. Realitinya, banyak isu pengganas yang telah terjadi di Malaysia seperti al-Maunah, Lahad Datu, ancaman Daesh dan lonewolf. PDRM juga banyak mematahkan cubaan mengebom tempat awam, cumanya tidak dihebahkan pada khalayak kerana taknak masyarakat panik lalu ketenteraman dan perjalanan ekonomi terencat.

Di Malaysia dulu pernah orang awam tersalah faham serta memandai-mandai dalam urusan Polis dek kerana ketaksuban dan kejahilan. Kata mereka, “Perempuan tu baca buku je, takkan itu pun nak kena tangkap?”. Orang kita taktau SOP, Prevention, Controlling, Propaganda dan lain-lain gerak kerja Polis. Kalau keganasan berlaku, kita kata Polis tak buat kerja. Tapi bila Polis bertindak sebelum keganasan berlaku, kita pertikai pulak. Apa yang kita nak sebenarnya ni?

Jika nak dibandingkan dengan plot filem ni, isu sebenar Terrorisma dalam dunia realiti adalah lebih mengelirukan untuk orang awam fahami. Ke-realistik-an filem ni hanya sekitar 60% sahaja dari realiti sebenar dunia Terorisma. Dalam dunia sebenar, terkadang boleh jadi seseorang yang popular, nampak baik dan ada kedudukan penting sebenarnya merupakan salah satu punca ideologi pengganas tersebar. Bahkan dalam mafhum Hadis sendiri telah nyatakan, pengganas (khawarij) ini solat mereka lebih hebat dari solat kita. Puasa mereka lebih kuat dari puasa kita. Mulut mereka tak lekang konon hanya mengikut al-Quran dan Hadis.

Filem ini menerangkan dimensi baru kepada masyarakat tentang apa itu “Ajaran Sesat”. Pola pemikiran ajaran sesat di Malaysia kini umumnya terbahagi kepada tiga jenis iaitu :-
1) Mistik-Batiniyyah (contoh : Ayah Pin)
2) Modernis-Sufastaiyah (contoh : Liberal)
3) Militan-Takfiri (contoh : ISIS)

Bila sebut pasal ajaran sesat, orang kita selalunya akan menggambarkan seperti contoh 1 itu sahaja. Kadang-kadang tergambar yang jenis contoh 2. Tapi orang kita amat jarang nak gambarkan Terrorisma juga adalah sebuah bentuk ajaran sesat yang perlu dibendung. Jadi filem ini menerangkan kepada kita bahayanya ajaran sesat jenis contoh 3 dan membongkar kenapa ramai orang boleh terkeliru dengan ajaran sebegini.

Filem ini tentang Persahabatan, Prinsip, Disiplin, Pengorbanan, Taktikal, Critical Thinking, Keberanian, Ideologi, Psikologi, Emosi dan Realiti. Storyline dan plot yang kemas. Berat tapi tak terlampau tricky untuk difahami. Unsur aksi dari awal filem hingga hujung. Juga diselitkan dengan unsur komedi bahkan sedikit seram.

Watak SAC Dato’ Azizat Mansor (SAC DAM) mengingatkan aku kepada seorang lagi SAC DAM di dunia realiti polis iaitu SAC Dato’ Ayub Mydin, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Khas Unit E8 Counter Terorism PDRM Bukit Aman. Cuma watak ni diubah menjadi seorang wanita iaitu lakonan primadona Erra Fazira. Lakonan sebagai seorang perempuan berjawatan pegawai tinggi yang amat kerek begitu menjadi. Sampai naik rasa menyampah aku tengok lakonan beliau, nak-nak scene dia sergah pegawai-pegawai suruh buat kerja. Poyo betul!

Watak Hafsyam a.k.a. Saif lakonan mantap Hasnul Rahmat memang kelihatan diktator! Saif sebagai regent leader militan pengganas al-Minnas menggantikan Imam Husyairi. Saif suka mengkafir dan mensyirikkan orang yang tak sependapat dengannya (takfiri). Saif juga suka menggunakan dalil quran dan hadis tetapi dengan tafsiran yang songsang untuk menipu orang. Bermula dengan ideologi mengkafirkan orang secara “ilmiah”, diakhiri dengan tindakan ganas membunuh manusia awam yang dilabel “kafir-murtad”.

Cerita ini ada iras-iras realiti sebenar dimana seseorang yang merupakan pensyarah di sebuah Universiti menjadi tonggak pengganas. Digambarkan dia ada dua PhD iaitu dalam bidang Kejuruteraan-Fizik dan Pengajian Islam. Memang di dunia realiti, orang yang terlibat dengan aktiviti pengganas ni ada dari golongan terpelajar. Tokoh teroris kebanyakkannya bukan orang biasa-biasa.

Watak heroik Saheizy Sam selaku Inspektor Khai memang terbaiklah dengan pakej badannya yang sado. Zizan Razak selaku Inspektor Sani juga ada peranan sendiri dalam filem ini. Yang paling aku geram, lakonan yang amat menjadi dari Syafie Naswip sebagai anggota Polis baru yang agak noob!

Yang paling menarik, watak Polis Indonesia bernama Rian lakonan Raline Shah. Cantik banget kamu sih. Aku harap kamu enggak apa-apa. Risau banget kamu cedera. Sebagai Polis yang menyamar ke dalam kumpulan Ricky berkegiatan dadah, kemudian mula terjebak dalam misi yang lebih besar dalam menumpaskan pengganas. Sangat energetik lakonannya. Aku mula menjadi fans kamu dong…. Hahaha

Skala Polis Evo 2 lebih besar dari Polis Evo. Misi yang lebih berat. Impak, letupan, shot, cinematografi yang lebih feel. Konflik filem ini sederhana saja, tetapi dialognya boleh tahan deep. Konflik 4 penjuru antara pengganas al-Minnas, PDRM, POLRI dan Sindiket dadah Ricky. Aku taknak dedahkan spoiler, pergi dan tonton lah sendiri. Jangan judge filem ini berdasarkan trailer tanpa menonton full movie nya. Filem Malaysia kini di level yang semakin tinggi!

Rating : 8.5/10 ⭐️