Semalam, pada 18 April, merupakan hari ulang tahun kematian ahli fizik ulung, Albert Einstein. Tahukah anda, otak Albert Einstein pernah dicuri dan hilang selepas kematiannya pada umur 76 tahun. Kenapa? Mari ikuti peristiwanya.

Pada 17 April tahun 1955, Einstein telah dihantar ke hospital di Princeton kerana mengadu sakit dada. Keesokan harinya, Einstein dilaporkan meninggal dunia kerana saluran aorta pada jantungnya yang pecah.

Ketika beliau meninggal, otaknya telah dicuri dan hilang lebih daripada 40 tahun. Orang yang mencurinya ialah Thomas Stolz Harvey kerana beliaulah yang ditugaskan mengkaji punca kematian Einstein setelah Einstein meninggal dunia. Harvey membawa otak itu ke seluruh Amerika Syarikat.

7 jam selepas mengenal pasti punca kematian Enstein, Harvey telah melakukan autopsi ke atas otak Einstein. Harvey sebenarnya bukanlah seorang pakar bedah otak ataupun pakar otak sekalipun. Dia sebenarnya ahli patologi.

Ketika melakukan autopsi, Harvey telah mengeluarkan otak Einstein dari kepala, mengukur, menimbang berat dan mengambil gambar-gambar otak Einstein. Otak Einstein mempunyai berat yang sama dengan orang lain iaitu sekitar 1230 gram.

Selepas itu, beliau merendamnya di dalam cecair formaldehyde. Tidak cukup dengan itu, Harvey turut mengeluarkan biji mata Einstein dan kemudian diserahkan kepada doktor mata Einstein, Henry Adam. Sehingga ke hari ini, mata tersebut disimpan di dalam sebuah kotak di New York.

Lebih mengejutkan, Harvey tidak mempunyai kebenaran pun daripada keluarga Einstein untuk melakukan projek-projek mengeluarkan otak dan mata Einstein. Otak Einstein dibelah sebanyak 200 bahagian. Kemudian, 200 bahagian itu dibahagikan kepada 12 set.

Proses ini memakan hingga tiga bulan. Selebihnya, barulah Harvey menyerahkan jasad Einstein bagi tujuan pengebumian.

Apa yang dilakukan oleh Harvey benar-benar bertentangan dengan apa yang diwasiatkan oleh Einstein. Sebelum meninggal, Einstein telah memesan agar tubuhnya dibakar bersama-sama dengan otaknya sekali. Einstein berwasiat begini kerana beliau tidak mahu dirinya dijadikan pemujaan.

Apabila peristiwa ini diketahui oleh umum, Harvey cuba mendapatkan kebenaran (retroactive permission) daripada anak lelaki Albert Einstein iaitu Hans Einstein untuk meneruskan projek kajian otak. Hans membenarkannya tetapi dengan betul-betul bertujuan untuk penyelidikan.

25 tahun selepas Harvey mendapat kebenaran daripada Hans untuk melakukan kajian, tiada satu pun kertas kajian dikeluarkan dan ramai mula melupakan peristiwa tersebut.

Sepanjang peristiwa tersebut, Harvey kehilangan kerjanya di Hospital Princeton. Kad pengamalan perubatannya ditarik. Hospital Princeton pernah meminta Harvey memulangkan semula otak Einstein, tetapi Harvey tidak mahu.

Rumahtangganya runtuh. Isteri Harvey pernah mengugut Harvey supaya otak itu dibuang. Harvey buang, tetapi kutip semula, kemudian lari. Sepanjang tempoh 25 tahun itu, Harvey tidak dapat bangkit untuk kembali kepada kehidupan normal.

Namun, selepas itu, seorang wartawan muda, Steven Levy mencari Harvey untuk mengetahui perkembangan tentang otak Einstein. Ya, memang tiada perkembangan tetapi Levy dapat menyaksikan otak Einstein yang masih disimpan oleh Harvey.

Levy menulis berita tentang pertemuannya dengan Harvey dan Harvey mula mendapat perhatian kembali. Ramai saintis telah meminta sebahagian daripada otak tersebut bagi tujuan penyelidikan.

Ramai penyelidik ingin mengkaji otak Einstein bagi mengetahui rahsia kepintaran luar biasa yang dimiliki oleh manusia seperti Einstein. Adakah kecerdasan, kepintaran dan kepandaian lahir di sebabkan oleh genetik atau semata-mata usaha berterusan dari individu itu sendiri?

Pada tahun 90-an, sekitar 40 tahun selepas kematian Einstein, Harvey telah membawa otak Einstein di dalam bekas tupperware untuk dipulangkan kepada cucu Einstein bernama Evelyn. Namun, Evelyn tidak mahu menerimanya. Evelyn juga turut memarahi Harvey apabila beliau secara sengaja meninggalkan bekas otak Einstein di rumahnya.

Dalam tempoh 30 tahun otak Einstein dicuri, kajian ke atasnnya tidak ke mana-mana. Malah, tiada satu pun kertas kajian diterbitkan berkenaan dengannya. Harvey sendiri pernah berhubung dengan pakar otak dan neuro, tetapi tiada sambutan pada ketika itu. Yang datang kepadanya ramai wartawan.

Setelah Harvey meninggal dunia pada tahun 2007, otak Einstein telah disimpan oleh warisnya supaya diserahkan bagi penyelidikan.

Pada tahun 2010, pewaris kepada Harvey telah menyerahkan otak Einstein kepada National Museum of Health & Medicine di Washington. Selain dari National Museum of Health & Medicine, serpihan otak Einstein juga boleh dilawati di Mutter Museum, Philadelphia.

Harvey mahu melakukan kajian ke atas otak Einstein kerana inspirasinya daripada Oskar Vogt yang melakukan kajian ke atas Vladimir Lenin, penguasa Soviet Union.

Berikut merupakan beberapa dapatan kajian mengenai otak Einstein;

1. Kuatnya rangkaian (connectivity) antara kedua-dua belah otak Einstein. Penyelidik mencadangkan, ketinggian intelektual Einstein berpunca daripada komunikasi tersusun antara kedua-dua belah otak.

2. Saiz otak Einstein sama seperti orang lain. Namun bahagian otak yang berfungsi untuk kognitif lebih berkembang berbanding orang lain. Hal ini mencadangkan Einstein mempunyai daya kognitif yang tinggi. Perkara ini dapat dilihat daripada kebolehan Einsten untuk melakukan pelbagai bentuk eksperimen khayalan (thought experiment).

Bahagian yang berfungsi untuk visual pada otak Einstein pun mempunyai bentuk yang luar biasa. Perkara ini mencadangkan kemahiran matematik Einstein.

RUJUKAN:

Men, W., Falk, D., Sun, T., Chen, W., Li, J., Yin, D., … & Fan, M. (2014). The corpus callosum of Albert Einstein‘s brain: another clue to his high intelligence?. Brain, 137(4), e268-e268.

Falk, D., Lepore, F. E., & Noe, A. (2013). The cerebral cortex of Albert Einstein: a description and preliminary analysis of unpublished photographs. Brain, 136(4), 1304-1327.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Zamir Mohyedin merupakan penyelidik di i-Made, Institut Sains, UiTM. Mempunyai kepakaran dalam bidang fizik keadaan pepejal dan fizik bahan. Telah mengarang tujuh buah buku yang berkaitan dengan fizik, falsafah dan psikologi. Salah satu buku beliau - Theoretical Mechanics - telah menjadi rujukan di UiTM. Beliau juga telah mengarang beberapa jurnal saintifik.

Comments are closed.