Ulang Tahun Pemergian Ulama Besar Syria: Sheikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti

1066
views

Semalam, 20 Mac 2018 merupakan ulang tahun ke-15 permulaan Perang Iraq. Hari ini, 21 Mac 2018 merupakan ulang tahun ke-5 kesyahidan Sheikh Muhammad Said Ramadhan al-Buti, ulama ternama di Syria.

Walaupun kedua-dua kejadian berbeza 10 tahun, namun ia saling berkaitan.

Perang Iraq membawa kepada kejatuhan Saddam Hussein. Ekoran daripada kelemahan kerajaan baru, keadaan Iraq menjadi huru hara, malah menjadi sarang pengganas seperti Al-Qaeda.

Sheikh al-Buti merupakan korban perang saudara di Syria. Disebabkan oleh pendirian beliau yang tidak mengkritik Bashar al-Assad secara terbuka dan tidak menyokong pemberontakan terhadap Assad, maka beliau dicemu dan dibenci, dilabel sebagai pengampu Assad. Akhirnya beliau dibunuh oleh pengebom berani mati ketika menyampaikan kuliah maghrib.

Keghairahan untuk menjatuhkan Saddam dan Assad telah membuka pintu fitnah, atau “Pandora’s Box” atau “can of worms”. Tidak dinafikan, mereka ini penguasa yang zalim. Tapi kalau dibandingkan dengan pengganas seperti Daesh/ISIS yang timbul dalam keadaan huru hara, mereka ialah mudarat yang lebih ringan (“lesser evils” / “ahwan al-sharrayn”).

Kata-kata Thomas Hobbes iaitu “anarchy is worse than tyranny” amat sesuai untuk menggambarkan keadaan di Iraq dan Syria (“anarchy” di sini bermaksud fitnah atau keadaan huru hara, bebudak anarchist jangan triggered pulak). Di bawah pemerintahan “tyranny” Saddam dan Assad, penduduk Iraq dan Syria sekurang-kurangnya masih mampu mencari ruang untuk hidup. Tapi dalam keadaan “anarchy” sekarang, “hidup” dah menjadi sesuatu kemewahan dan sesuatu ketidakpastian.

Sementara rakyat US bersorak atas kejatuhan diktator di Iraq, sarjana-sarjana realis seperti Stephen Walt dan John Mearsheimer mengingati orang ramai tentang mimpi ngeri yang bakal melanda Iraq. Sementara kebencian terhadap Assad semakin memuncak, Sheikh al-Buti menyeru semua bertenang dan berwaspada dengan akibat yang bakal timbul.

Kekadang di dunia ini, kita tidak boleh terlalu idealistik dan mengejar “perfection”. Ada kalanya kita perlu mengakur dengan realiti, dan memilih perkara yang lebih ringan mudaratnya. “Fiat justitia, et pereat mundus” (let justice be done, and let the world perish) akan membawa kerosakan total.

Damailah wahai jiwa-jiwa yang telah terkorban dalam fitnah. Dan semoga kita mengambil iktibar.