Aww I heart this. Emmanuel Macron dan Angela Merkel mencipta semula babak gencatan senjata Perancis-Jerman yang menamatkan Perang Dunia Pertama pada 11 am, 11.11.1918, sempena ulang tahun ke-100 penamatan perang.

Semalam, 100 tahun yang lalu, acara penandatanganan perjanjian gencatan senjata diadakan di atas sebuah gerabak keretapi di Compiegne, Perancis. Orang Jerman menganggap itu sebagai satu penghinaan besar. Jadi, 21 tahun kemudian (1940), sampai Jerman punya turn pula menyuruh Perancis menandatangani perjanjian gencatan senjata atas gerabak yang sama, di tempat yang sama, sebagai simbol “balas dendam”.

Perang Dunia Pertama ialah sebuah tragedi yang diakibatkan oleh kehilangan keseimbangan kuasa (balance of power) dalam hubungan antara lima kuasa utama Eropah: Britain, Perancis, Prussia/Jerman, Austria dan Rusia.

Tempoh di antara tahun 1815 (tahun berakhirnya Perang Napoleon) dan 1914 (tahun bermulanya Perang Dunia Pertama) dikenali sebagai “100 Years of Peace” dalam sejarah kerana kelima-lima kuasa besar ini jaga betul-betul hubungan mereka supaya tidak berlaku konflik. Selain Perang Crimea pada tahun 1853-1856 (Prussia dan Austria tak terlibat), Perang Prussia-Austria (1866) dan Perang Prussia-Perancis (1870-1871), tiada peperangan yang melibatkan kelima-lima kuasa besar sekali.

Dengan berkembangnya teknologi dan perdagangan, tempoh 100 Years Peace ini juga dinamakan sebagai “Era Globalisasi Pertama” (First Age of Globalization). Orang anggap dah tak mungkin dah berlaku perang. Idealisme merupakan “zeitgeist” (spirit of the time – maaf terpaksa guna istilah super-intelektual), segala bagai parlimen antarabangsa, mahkamah antarabangsa, Nobel Peace Prize semua wujud pada zaman ini. Manusia betul-betul anggap mereka boleh menamatkan peperangan melalui kerjasama dan undang-undang. Naifnya.

Punca Perang Dunia meletus ialah keinginan Perancis untuk membalas dendam terhadap Jerman atas kekalahan Perancis pada tahun 1871 dan juga ketakutan Britain dengan kebangkitan Jerman.

Jerman ialah sebuah negara yang lahir daripada memerangi dua kuasa besar lain (Austria dan Perancis). Sebelum 1871, tak wujud negara bernama Jerman, tapi Prussia berjaya menyatukan negara-negara berbahasa Jerman menjadi sebuah Empayar Jerman dengan merampas tanah daripada Austria dan Perancis. Itu sebabnya bapa pengasas Jerman, Otto von Bismarck memesan raja-raja Jerman supaya berhati-hati dalam dasar luar, jangan buat Rusia dan Britain rasa terancam kerana once mereka buat pakatan dengan Perancis, Germany is finished.

Tapi raja Jerman, Wilhelm II tak nak dengar nasihat dengan berlumba-lumba dengan Britain dan menceroboh kepentingan Rusia. Akhirnya Britain, Perancis dan Rusia membentuk pakatan Entente. Jerman tiada pilihan selain mengikatkan diri dengan Austria. Dan sebuah peristiwa pembunuhan putera mahkota Austria di Bosnia pada 28 Jun 1914 akhirnya mencetuskan perang antara lima kuasa.

Hasil daripada kekalahan Jerman dan Austria (dan juga Bulgaria dan Khilafah Uthmaniyah yang menyertai pakatan kemudian), Persidangan Keamanan Paris diadakan di Istana Versailles pada tahun 1919 untuk menggariskan semula sempadan negara berdasarkan prinsip “national self-determination” yang diusul oleh Woodrow Wilson, presiden US (US menyertai pakatan Britain pada tahun 1917, jadi latecomer).

Bekas wilayah Jerman, Austria dan Uthmaniyah dibahagi-bahagikan. Negara-negara baharu lahir: Poland, Czechoslovakia, Hungary, Yugoslavia, Syria, Iraq, Jordan, Palestin dan sebagainya. Sebuah “Liga Bangsa” (League of Nations) juga ditubuhkan untuk menjaga keamanan dunia. Namun ia gagal untuk memainkan peranan selepas rakyat AS membakul-sampah Perjanjian Versailles sepertimana mereka membakul-sampahkan TPP pada tahun lepas. Ia gagal dengan segagalnya selepas ahli tetap Majlis Keselamatan Liga Bangsa itu sendiri–Jepun dan Itali–telah memulakan pencerobohan ke atas negara lain dan menarik diri dari Liga Bangsa.

Di Turki, Mustafa Kemal Ataturk bangkit melawan negara-negara pemenang yang cuba membahagi-bahagikan wilayah Anatolia dalam Perang Kemerdekaan Turki (1919-1923). Itu sebab orang Turki masih sayang kat Ataturk walaupun dia sekular sebab dia menyelamatkan Turki daripada dijajah sepenuhnya oleh kuasa-kuasa asing.

Di Jerman, “resentment” ke atas kehilangan wilayah Jerman, keadaan ekonomi pasca-perang yang kacau-bilau akhirnya membolehkan Hitler berkuasa. Hitler yang pada asalnya ingin “menebus” maruah Jerman, akhirnya menghumban Jerman ke dalam penghinaan dan kemusnahan yang lebih besar. Tapi itu adalah cerita Perang Dunia Kedua.

Pada asalnya Perang Dunia Pertama cuma dikenali sebagai “Perang Besar” (The Great War”), “The War to End All Wars”. Tak ramai dapat jangka, 21 tahun kemudian, ada Perang Dunia Kedua yang jauh lebih dahsyat.

Proses pembentukan orde dunia baharu yang dimulakan oleh Wilson hanya lengkap selepas Perang Dunia Kedua tamat. Di bawah naungan US, Liga Bangsa dihidupkan semula sebagai PBB, dan sehingga hari ini ia masih membentuk “sistem” orde dunia.

Dah 73 tahun dunia tidak menyaksikan perang antara kuasa-kuasa besar. Tapi jangan take for granted. Perlu sentiasa bersiap siaga. “If you want peace, prepare for war”. Dua perang dunia dalam sejarah ini ialah peringatan kepada manusia, bahawa perang adalah sunnatullah. Idealisme tentang sebuah dunia yang akan bebas daripada peperangan dan konflik akan memakan diri.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.