Ulang Tahun Revolusi Iran

746
views

Hari ini ialah ulang tahun ke-40 “Hari Kemenangan Revolusi Islam Iran” yang menjadi sambutan kebangsaan di Iran. Dalam Bahasa Parsi ia disebut sebagai “ruz-i piruzi-i inqilab-i Islami-i Iran” (روز پيروزي انقلاب اسلامي ايران), kalau Bahasa Arab sebut “yawm intisar al-thawra al-Islamiyyat fi Iran” (يوم إنتصار الثورة الإسلامية في إيران). Jauh beza bahasa, sebab tu Parsi dan Arab susah nak ngam. 

Revolusi Iran merupakan peristiwa bersejarah yang bukan saja mengubah wajah Iran malah ia juga mengubah lanskap geopolitik serantau. Kerana revolusi ini, Iran berubah dari negara paling pro-US kepada negara paling anti-US di serantau. Revolusi inilah yang menjadi asbab kepada “perang dingin” antara Arab Saudi dan Iran pada hari ini yang membawa kepada Perang Syria dan Perang Yaman.

Revolusi Iran merupakan kebangkitan massa selama setahun dari tahun 1978 hingga 1979 yang akhirnya menumbangkan pemerintahan Shah Muhammad Reza Pahlavi, raja kedua dan terakhir Dinasti Pahlavi (1925-1979) yang juga merupakan raja Iran yang terakhir. 

Ia bermula pada 9 Januari 1978 dengan demonstrasi oleh beberapa pelajar madrasa di Qom yang bersimpati dengan Ayatollah Ruhollah Khomeini (atau Khumayni), seorang agamawan Syiah yang dibuang negeri sejak tahun 1964 akibat mengkritik dasar White Revolution yang diperkenalkan oleh Shah. Beberapa pelajar telah terbunuh dalam pertempuran dengan polis, dan insiden itu mencetuskan lebih banyak demonstrasi.

Mula-mula hanya ribuan orang, tapi semakin hari semakin ramai yang tak puas hati dengan pemerintahan Shah. Kemuncak kebangkitan massa ini adalah pada 11 Disember 1978, Hari Ashura di mana Ayatollah Mahmoud Taleqani dan Karim Sanjabi (menteri luar) telah berjaya rally 2 juta orang berdemo di Tehran. Akhirnya Shah akur dengan tekanan rakyat dan melantik Shapour Bakhtiar dari pembangkang sebagai perdana menteri. Shah turun takhta dan meninggalkan Iran pada 16 Januari 1979.

Pelantikan Bakhtiar yang moderat ditolak oleh Khomeini dan revolusioner. Pada 1 Februari, Khomeini kembali ke Iran dan melantik Mehdi Barzagan sebagai perdana menteri. Bakhtiar cuba mempertahankan kuasa, namun tentera pada 11 Februari meletak senjata dan mengisytiharkan neutral. Maka dengan itu berakhirlah kerajaan Pahlavi. Sebuah referendum diadakan pada 30-31 Mac 1979 untuk menukar kerajaan monarki Iran kepada “Republik Islam Iran”. 

Aku tak minat untuk membincang teologi Syiah secara mendalam, walaupun pemahaman tentang teologi Syiah membantu dalam menganalisa kejadian Revolusi Iran. Aku lebih minat untuk mengkaji Revolusi Iran dalam konteks “comparative revolution” dengan membandingkan ia dengan revolusi-revolusi lain seperti Revolusi Perancis 1789 dan Revolusi Rusia 1917. 

Antara karya comparative revolutions yang terkenal ialah “The Old Regime and the Revolution” oleh Alexis de Tocqueville dan “On Revolution” oleh Hannah Arendt. Kedua-dua mengkaji pasal Revolusi Amerika 1776 dan Revolusi Perancis 1789. Pasal Revolusi Iran tak ramai yang kaji, kalau ada pun kebanyakannya berbau bias, misalnya “Blood of Revolution: From the Reign of Terror to the Rise of Khomeini” oleh Erik Durschmied dan “Parallelism in Revolution: The Cases of France, Germany, and Iran” oleh Matthew C. Wells.

Nak pendekkan cerita, kita sebenarnya boleh nampak satu tren dalam semua kejadian revolusi ini: revolusi yang bermula dengan idealisme tinggi untuk mencipta masyarakat lebih baik dengan menumbangkan pemerintah jahat selalunya akan melahirkan “greater evil”. Revolusi yang digerakan oleh gabungan beberapa puak yang berbeza ideologi akhirnya akan di-hijack oleh golongan oportunis untuk merealisasi agenda mereka. 

Kejatuhan Louis XVI membawa kepada “Reign of Terror” Maximilien Robespierre, kejatuhan Tsar Nicholas II membawa kepada pemerintahan komunis. Aku bukan nak kata pemerintahan Khomeini lebih teruk daripada pemerintahan Shah, cuma Iran pasca-revolusi tidak serupa apa yang dibayangkan oleh ramai revolusioner yang menggerakan revolusi.

Di kalangan revolusioner ada golongan kiri-radikal (seperti Parti Tudeh yang komunis dan Mojahedin-e Khalq yang sosialis), golongan tengah yang berideologi liberal hingga ke kanan-konservatif yang terdiri daripada agamawan. Mereka mengangkat Khomeini sebagai pemimpin revolusi kerana Khomeini mempunyai kewibawaan di kalangan rakyat, tapi mereka tidak bersetuju dengan pembentukan Republik Islam apatah lagi dengan idea velayet-e faqih (wilayah al-faqih) Khomeini yang merupakan pemerintahan oleh agamawan.

Perbezaan ideologi mereka pada asalnya diatasi oleh matlamat yang sama untuk menjatuhkan Shah. Tapi selepas Shah dijatuhkan, konfrontasi akhirnya terjadi antara mereka. Namun Khomeini dengan skillful-nya mencantas semua musuhnya satu per satu. 

Antaranya ialah Taleqani dan Sanjabi yang paling berjasa dalam menjatuhkan Shah. Namun mereka juga yang terawal menentang Khomeini dan dengan itu mereka ditangkap. Mehdi Barzagan juga disingkirkan dengan tuduhan sebagai tali barut kepada US. Bukan liberal dan sekular je yang kena, agamawan yang menentang velayet-e faqeh juga ditimpa nasib yang sama, seperti Ayatollah Kazem Shariatmadari.

Skripnya lebih kurang sama seperti Perancis di mana Robespierre dengan liciknya mencantas golongan pendukung raja berperlembagaan (Feuillant), diikuti dengan penangkapan dan pembunuhan ke atas golongan moderat (Girondin), sebelum menyingkirkan rakan seperjuangan seperti Danton dan Desmoulins. Di Rusia, Josef Stalin menyingkirkan Leon Trotsky sebelum mencantas “komrad-komrad” dia melalui The Great Purge 1930-an. 

Kalau kita meneliti kisah-kisah revolusi ini, kita akan mendapati bahawa orang yang akan menjadi pemenang dalam apa-apa “power struggle” bukan mereka yang mempunyai idea yang lebih bernas, atau mereka yang lebih cekap mentadbir. Mereka yang berjaya mestilah orang yang “ruthless” dalam menekan lawannya serta mempunyai kebolehan untuk capture imaginasi massa. 

Kata George Santayana, orang yang tidak belajar dari sejarah pasti akan mengulanginya. Orang yang bersifat romantis dengan revolusi ini selalu pandang rendah terhadap sejarah dan tidak mahu mengambil pelajaran darinya. Dan itulah sebab episod yang sama sentiasa berulang, dengan aktor yang berbeza.