Menjelang Ramadhan yang bakal kunjung tiba, InsyaAllah kami bawakan kepada sidang pembaca rencana berhubung fikh puasa. Semoga bermanfaat dan dapat ulangkaji sebaiknya. Para pembaca boleh bertanya soalan di ruangan komen.

Adalah penulisan fiqh ini di dalam mazhab Syafie yang dirujuk dari kitab Mazhab syafie terutama dari At Taqrirat dan buku terjemahan At Taqrirat dari Bahasa Arab ke Bahasa Melayu oleh saya sendiri. Saya Angah Sunan, admin yang bertanggungjawab akan penulisan fiqh ini akan menjawab dengan taufik dan bantuan dari Allah.

Gambar buku terjemahan fiqh puasa oleh Angah Sunan

Mula-mula sekali dalam pembelajaran fiqh, apa jua bab kita akan belajar takrif sesuatu itu dari segi bahasa dan syarak. Seperti juga solat, solat dari segi bahasa adalah bermakna doa sementara dari segi syarak bermakna perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang dimulai dengan takbir beserta niat dan diakhiri dengan salam dengan syarat-syarat tertentu. Demikian juga ibadah puasa ada takrif pada bahasa dan juga syarak.

TAKRIF PUASA DARI SEGI BAHASA

Takrif puasa dari segi bahasa ialah semata-mata menahan.

TAKRIF PUASA DARI SEGI SYARA’

الامساك عن جميع المفطرات من طلوع الفجر الى غروب الشمس بنية مخصوصة

“Menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari dengan niat yang khusus.”

(Perkara membatalkan puasa seperti berikut : murtad, haid nifas dan wiladah, pitam dan mabuk sepanjang hari, bersetubuh, masuk sesuatu ke dalam rongga, onani, muntah dengan sengaja. Adapun makan dan minum sudah termasuk kategori memasukkan sesuatu ke dalam rongga – Insya Allah aka nada artikel khsusus membahaskan lebih ‘detail’.

DALIL PUASA

“Wahai orang-orang yang beriman! telah diwajibkan berpuasa ke atas kalian sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. SURAH AL-BAQARAH:183

SEJARAH PUASA

Allah Taala memfardhukan puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban, tahun kedua Hijrah. Rasulullah s.a.w sempat berpuasa sembilan kali Ramadhan sahaja. Bilangan hari kesemua 9 kali Ramadhan yang di lalui Baginda s.a.w sebanyak 29 hari (kurang 30 hari) kecuali satu Ramadhan sahaja cukup 30 hari.

DEFINISI BULAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan ialah bulan yang kesembilan daripada bulan-bulan Arab. Ia adalah bulan yang paling mulia. Bulan ini dinamakan Ramadhan kerana mengikut cerita, ketika orang Arab mencari nama-nama bulan, kebetulan mereka berada di suatu bulan yang sedang mengalami panas terik. Lalu mereka memberi nama bulan tersebut ‘ramadhan’ ( رمضان ) dan ia Ramadhan berasal daripada perkataan  (الرمضاء) iaitu panas yang bersangatan dan pendapat lain berpendapat, orang arab menamakan bulan tersebut ‘ramadhan’ kerana bulan tersebut menghancurkan dosa (يرمض الذنوب).

KELEBIHAN PUASA

Ayat al Qur’an dan hadis-hadis banyak menunjukkan kelebihan berpuasa antaranya :

Firman Allah Taala,

dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar” . SURAH AL-AHZAB:35

Hadis Qudis, Allah berfirman,

“Setiap kebaikan dibalas 10 hingga 700 kali ganda ganjaran kecuali puasa, kerana puasa adalah untuk Aku dan Aku sendiri memberi ganjaran (iaitu ganjaran tidak terhad”.

Diriwayatkan oleh Imam Malik di Muwatho’ ( الموطأ ) dan Imam Bukhari di bab As Soum.

Sabda Rasulullah,

“Diam orang berpuasa adalah tasbih, tidur mereka adalah ibadah, doa mereka di makbulkan dan amal mereka di ganda-gandakan”.

 Dikeluarkan oleh Imam Dailami di dalam Musnad al Firdaus.

“Puasa adalah perisai dan benteng yang menghalang dari api neraka”.(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad)

HUKUM HAKAM PUASA

Hukum-Hakam Puasa Hukum-hukum puasa terbahagi kepada empat hukum:

1. Wajib

2. Sunat

3. Makruh

4. Haram

Lihat syarahan hukum dibawah –

Wajib : Enam Keadaan Diwajibkan Berpuasa

  1. Puasa bulan Ramadhan
  2. Puasa qadha’ (ganti)
  3. Puasa kerana kaffarah seperti kaffarah zihar atau kaffarah bunuh atau kaffarah bersetubuh di bulan Ramadhan
  4. Berpuasa ketika haji dan umrah sebagai ganti penyembelihan untuk bayar fidyah
  5. Berpuasa ketika hari Istisqa’(hari meminta hujan) apabila diperintah oleh pemerintah
  6. Puasa nazar

Sunat : Terbahagi kepada tiga

  1. Berulang dengan berulang tahun

Seperti puasa hari ‘Arafah, hari Tasuua’, hari Asyura, hari ke-11 bulan Muharram dan 6 hari bulan Syawwal, puasa di bulan-bulan haram (Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab), puasa 10 hari awal bulan Zulhijjah dan lain-lain.

  1. Berulang dengan berulang bulan-bulan

Puasa Hari Putih (13, 14, 15 haribulan Hijrah setiap bulan), Puasa Hari Hitam (28, 29, 30 haribulan Hijrah setiap bulan)

  1. Berulang dengan berulang minggu

Hari Isnin dan Khamis

Puasa sunat paling afdhal : Puasa sehari, berbuka sehari (Puasa Nabi Daud a.s)

Makruh

    i. Puasa hari Jumaat, Sabtu atau Ahad secara bersendirian16.

   ii. Puasa setahun bagi mereka yang bimbang berlaku kemudharatan atau bagi mereka  yang khuatir gugur hak sunnat.

Haram : Terbahagi kepada 2 jenis

Haram tetapi SAH :

    i.Puasa seorang isteri tanpa izin suami (merujuk kepada puasa sunat)

    ii.Puasa seorang hamba tanpa izin tuannya

Haram serta TIDAK SAH Ada 5 waktu :

   i. Puasa hari raya Aidilfitri iaitu hari pertama bulan Syawwal

  ii. Puasa hari raya Aidiladha (hari ke-10 bulan Zulhijjah)

iii. Puasa hari Tasyriq (11, 12, 13 bulan Zulhijjah)

iv. Puasa separuh/pertengahan akhir bulan Sya’ban (16, 17, 18 sehingga akhir bulan Sya’ban)

v. Puasa hari Syak iaitu hari ke-30 bulan Sya’ban, jika manusia bercakap-cakap tentang melihat bulan atau penyaksian  oleh mereka yang tidak diterima penyaksiannya untuk melihat anak bulan, seperti seorang wanita atau kanak-kanak melihat anak bulan.

Dalam kitab Matlain al Badrain:

“Hari syak adalah hari ke-30 Sya’ban, apabila tiada dilihat bulan pada malam yang ke-30 serta cuaca dan berkhabar-khabar manusia dengan melihatnya dan tiada diketahui seorang yang adil melihatnya atau menyaksi dengan melihat akan dia bilangan yang di tolak syahadahnya seperti beberapa kanak-kanak atau beberapa sahaya atau beberapa orang fasiq”

SOALAN : Bilakah waktu harus berpuasa pada hari Syak atau pertengahan akhir bulan Syaban? JAWAPAN Harus berpuasa pada kedua-dua hari tersebut pada tiga waktu berikut

  1. Sekiranya puasa itu wajib seperti puasa qadha’, puasa kaffarah atau puasa nazar
    1. Sekiranya seseorang itu biasa mengamalkan puasa sunat (sudah menjadi rutin) seperti puasa hari Isnin dan Khamis
    1. Sekiranya bersambung pertengahan akhir bulan Sya’ban dengan sebelumnya

Seseorang berpuasa pada hari ke-15, oleh itu dia harus berpuasa selepas pertengahan hari akhir bulan Sya’ban iaitu hari ke 16. Dia boleh berpuasa pada hari ke-17 pula (selepas sambung dari 15hb dan 16hb) dan begitulah seterusnya dalam keadaan bersambung.

Tetapi, jika dia berbuka puasa satu hari, haram ke atasnya berpuasa baki hari-hari bulan Sya’ban. Contohnya, dia sudah berpuasa 15hb, 16hb dan 17hb, 18hb tidak berpuasa, maka haram memulakan balik pada 19hb Syaaban.

Intaha, bersambung pada rencana akan datang berhubung syarat sah, syarat wajib dan rukun puasa.

RUJUKAN:

  1. Syamsuddin Muhammad Bin Ahmad al Ramli al Ansari As Syafie As Soghir, Ghoyat al Bayan Syarh Zubad Ibn Ruslan, Tahqiq oleh Khalid Abdul Fatah Syabl, Mausu’ah al Kutub al Tsaqafiah, Cetakan Keempat
  2. Al Allamah al Faqih Al Syarif Umar bin al Habib Hamid Ibn Umar Ibn Abdul Rahman Ba’alawi al Husaini, Fath al Aliyy Bijam’i al Khilafi Baina Ibn Hajar Wa Ibn Ramli, Tahqiq oleh Doktor Syifa’u Muhammad Hasan Heeto, Dar al Manhaj, Cetakan Pertama, 2010M/1431M
  3. Al Habib Hasan bin Ahmad bin Muhammad al Kaf, At Taqrirat as Sadidah Fi al Masail al Mufidah, Qism Ibadat, Dar al Mirath an Nabawiy, Cetakan Pertama, 2003M/1423H
  4. Imam Zakaria Mahyudin Bin Syaraf al Nawawiy, Minhaj At Tholibin Wa Umdah al Muftin, Darul Minhaj, Cetakan Awal, 2005M/1426H) Muhammad Ismail Daud al Fathani, Matla’ al badrain, Cetakan Darul Fikir

Angah Sunan,

Kolumnis The Patriot,

Pengajar bertauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

ANGAH SUNAN merupakan pendakwah bebas, penerbit dan penulis prolifik. Anak Jati Pulau Manis, Terengganu ini telah menghasilkan beberapa buah buku merangkumi bidang fiqh, tauhid - tasauf, travelog sejarah dan terjemahan (arab - melayu). Selain itu, pengajar bertauliah Majlis Agama Islam Selangor ini juga pernah terlibat dalam pembikinan Dokumentari Merah Laut Sulu di Jolo, Selatan Filipina pada tahun 2015. Link FB : www.facebook.com/angahsunan

Comments are closed.