“Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi dan para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sesungguhnya mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bagian yang banyak.” Hadis riwayat Al-Imam At-Tirmidzi.

Di dalam kita menyelusuri kehebatan ulama-ulama Islam di kalangan Melayu Sarawak, ada 4 nama ulama tersohor yang memainkan peranan besar di dalam pengembangan syiar Islam di Sarawak. 3 daripadanya merupakan tokoh ulama yang telah memastikan bahawa syiar Islam sentiasa di asas yang betul biarpun ketika itu bumi Sarawak dibawah pemerintahan Rajah Brooke yang beragama Kristian. Dan satu-satunya ulama pada era moden adalah seorang al-ustaz yang telah menyumbangkan pemikiran di ketika Sarawak moden sehingga beliau dikagumi sepanjang zaman.

4 nama ulama besar di Sarawak yang mana sumbangan mereka diingati sepanjang zaman adalah:

1. Datuk Hakim Haji Abdul Rahman
2. Syeikh Uthman Abdul Wahab
3. Datuk Hakim Imam Abang Haji Murshidi
4. Datuk Haji Abdul Kadir bin Hassan

1. DATUK HAKIM HAJI ABDUL RAHMAN

Nama sebenar beliau ialah Abang Haji Abdul Rahman bin Abang Haji Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Datuk Hakim Keramat dilahirkan di Kuching pada tahun 1829M. Beliau mempunyai dua orang isteri iaitu Dayang Fatimah dan Datin Hajjah Mariam dan hasil perkahwinan inilah telah dikurniakan dengan 19 orang anak. Umpama bidalan orang Melayu “ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi” begitulah juga kepada anak-anak beliau yang mana telah mengikut jejak ayahandanya menjadi antara tokoh agama di Sarawak seperi Datuk Hakim Azhari, Datuk Hakim Haji Ashaari, Syeikh Syibli, Datuk Imam Haji Suhaili dan ramai lagi.

Menurut ceritanya, Datuk Hakim Keramat telah menerima galakan untuk mendalami agama Islam daripada seorang berbangsa Arab yang berasal dari Madinah yang bernama Syeikh Al-Makawi . Di ketika usianya menjangkau 12 tahun lagi, beliau bersama ayahandanya Tuan Haji Ibrahim telah berangkat ke kota Mekah Al-Mukarramah untuk mempelajari ilmu Islam dengan lebih baik lagi.

Ketika di Kota Suci Mekah ini, beliau telah mempelajari ilmu-ilmu agama antaranya fiqh, nahu, hadith, tauhid dan sebagainya. Sekitar tahun 1850M, Datuk Hakim Keramat telah kembali ke tanahairnya Sarawak dan sebagai seorang yang baru pulang dari luar negara dan mempelajari ilmu agama sudah tentu beliau menjadi tempat rujukan kepada penduduk-penduduk di kawasan perkampungannya.

Atas kebijaksanaan dan sikap beliau yang baik itu ianya telah sampai ke pengetahuan Rajah Brooke dan beliau telah diminta untuk berkhidmat dengan penduduk Sarawak pada masa itu. Sekitar tahun 1870, beliau telah dilantik sebagai Tuan Hakim yang berperanan sebagai ketua agama orang Islam dan kemudian pada tahun 1886 pula beliau telah dinaikkan pangkat menjadi Datuk Hakim.

Atas inisiatif beliau yang sedar bahawa satu-satunya benteng untuk mempertahankan sinar Islam di Sarawak pada ketika itu adalah melalui pemahaman pengetahuan yang betul di dalam ajaran Islam, beliau dengan dibantu oleh anak-anaknya telah mendirikan sebuah surau di Kampung Bandarsah, Kuching dan dijadikan pusat untuk mempelajari pengetahuan Islam yang sebenar.

Tertubuhnya surau ini beliau telah berjaya memupuk tradisi mencintai ilmu-ilmu agama di kalangan penduduk setempat. Sebagai memberikan pengajaran agama yang berkesan juga beliau sendiri telah menghantar anak-anaknya seperti Syeikh Haji Shibli, Datuk Imam Haji Suhaili, Datuk Haji Ashaari dan lain-lain ke Mekah untuk mendalami ilmu Islam dengan lebih baik lagi.
Penghantaran anak-anak beliau ke Mekah merupakan saham beliau yang sangat bernilai dalam memastikan kesinambungan perkembangan agama Islam di Sarawak. Beliau sebenarnya boleh dianggap sebagai ulama perintis Sarawak yang terkemuka yang telah membuka satu lembaran baru dalam proses pembinaan intelektual yang awal di Sarawak. Beliau meletakkan batu asas yang kukuh di dalam proses pembinaan dan perkembangan Islam di Sarawak dari dulu sehingga sekarang.

Datuk Hakim Keramat meninggal dunia pada 9 Ramadhan 1309H/1890M dan disemadikan di perkarangan Masjid Bahagian Kuching.

Perihal pemergian beliau diceritakan di dalam The Sarawak Gazzette yang menyatakan:

“His loss will be felt and lamented by all classes as he was just a man without bigotary and kind to all…it will be hard to find another to take his place, as so many brought up as he had been educated in the midst of Arab exclusiveness show a narrowness of spirit and frequently hostility to European influence”.

2. SYEIKH UTHMAN ABDUL WAHHAB

Beliau dilahirkan di Kampung Sinjan, Kuching Sarawak pada 15hb Jun 1864 dengan nama sebenarnya Syeikh Uthman bin Abdul Wahab bin Ahmad bin Petinggi Amir bin Dato’ Akbar bin Dato Qaim bin Petinggi Betung bin Bandar Tanduk bin Petinggi Kuntum bin Patih Malang bin Patih Mengadi bin Merpati Jepang. Menurut apa yang diceritakan bahawa Syeikh Uthman bukanlah dari kalangan orang kebanyakan kerana dikatakan bahawa keluarga beliau mempunyai salsilah keluarga bangsawan dari Kepulauan Jawa atau lebih dikenali sebagai Melayu Datu-datu di Sarawak.

Dilahirkan tanpa merasa kasih sayang dari seorang ayah kerana ayahandanya telah menyahut seruan ilahi sejak beliau di dalam kandungan ibunya lagi. Dan umpama sudah jatuh ditimpa tangga, nasib seorang bayi yang baru dilahirkan ini bertambah sedih apabila 3 hari selepas beliau dilahirkan, bonda tercintanya pula telah kembali ke rahmatullah. Melihat kepada nasib malang beliau, maka Datuk Hakim Keramat telah mengambil beliau sebagai anak angkat dan isteri Datuk Keramat yang bernama Fatimah menjadi ibu susuannya.

Dibesarkan di dalam keluarga yang mementingkan agama telah membentuk keperibadian Syeikh Uthman sejak dari kecil lagi. Dikala usianya menjangkau 14 tahun beliau telah menjadi Al-Tahfiz Al-Quran. Dikatakan pada usianya 16 tahun, beliau telah mula bermusafir dengan mengikuti ayah saudaranya Tuan Haji Zaman berniaga ke setiap ceruk rantau bumi Sarawak sehingga memungkin beliau begitu arif dengan warisan dan budaya etnik-etnik di Sarawak pada ketika itu.

Walaupun beliau hanya seorang anak angkat kepada Datuk Hakim Keramat namun tiada beza kasih-sayang ayahanda angkatnya kepadanya. Di ketika usianya mencapai 18 tahun, Syeikh Uthman juga turut dihantar oleh ayahanda angkat untuk mendalami ilmu agama di Kota Mekah. Dikatakan ketokohan beliau telah terserlah sejak beliau di usia remaja lagi sebagai pelapis generasi baru Sarawak bagi meneruskan perjuangan syiar Islam di Sarawak pada waktu itu.

Pemergian Syeikh Uthman ini menimba ilmu di Mekah bukanlah sekejap kerana beliau berkelana di Negara orang hampir 15 tahun lamanya. Kefasihan Syeikh Uthman ini di dalam bahasa Arab telah memungkinkan beliau untuk menjadi guru agama di Kota Mekah itu sendiri sehingga ramai ulama-ulama tersohor adalah anak murid beliau seperti Abdul Karim Amarullah, tokoh ulama terkenal di Indonesia.

Syeikh Uthman sememangnya tidak mempunyai usaha secara langsung di dalam mendidik anak bangsa Sarawak beragama Islam pada waktu itu kerana dia menetap di Mekah namun beliaulah antara guru agama bangsa Sarawak tersohor di Kota Mekah suatu waktu dahulu yang menjadi pilihan untuk bakal-bakal ulama di seluruh dunia berguru dengannya.
Syeikh Uthman telah kembali ke rahmatullah di Mekah pada tahun 1338H/1920M setelah sekembali beliau dari melawat sanak saudara di Sarawak. Jenazah beliau telah disemadikan di Kota Mekah, bandar suci umat Islam di seluruh dunia.

Bagi memberikan satu penghormatan kepada jasa tokoh Islam ini di bumi Sarawak mungkin ramai yang tidak tahu bahawa satu sekolah agama berasrama yang terletak di kaki Gunung Serapi sekarang adalah bersempena dengan nama beliau iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab.

3. DATUK HAKIM IMAM ABANG HAJI MURSHIDI

Nama sebenar beliau ialah Datuk Hakim Imam Abang Haji Murshidi bin Abang Haji Nuruddin bin Datuk Bandar Bolhassan dilahirkan pada tahun 1294H/1877M di tengah-tengah Bandar Kuching iaitu berdekatan dengan Masjid India, Jalan Gambir, Kuching. Bondanya adalah Dayang Aisyah binti Abang Pata bin Temenggong Marsal iaitu dari keluarga Melayu Sarawak yang terkenal di Kuching pada masa itu. Beliau merupakan anak keenam daripada lapan orang adik-beradik. Dan sejak kecil lagi sudah didedahkan dengan cara penghidupan orang Islam di Kuching oleh keluarganya.

Seperti tokoh-tokoh ulama Sarawak yang lain, Datuk Hakim Imam Abang Haji Murshidi juga telah berhijrah ke Mekah untuk menimba ilmu agama. Beliau dikatakan telah berguru dengan Syeikh Uthman yang mengajar di Masjidil Haram Mekah. Beliau juga sempat mengikuti pelajaran yang diberikan oleh guru kepada gurunya, Syeikh Uthman seperti Syeikh Uthman al-Fatani, Sayid Bakri Syatha dan ramai lagi. Tidak seperti gurunya Syeikh Uthman yang menetap di Mekah, beliau lebih memilih untuk kembali ke Sarawak dan menabur baktinya untuk perkembangan syiar Islam di bumi Sarawak pada waktu itu.

Sekembalinya dari tanah suci Mekah, Datuk Hakim Imam Abang Haji Murshidi telah banyak melibatkan diri dalam pengajaran ilmu-ilmu agama di Masjid India di Jalan Gambir, Kuching iaitu berdekatan dengan rumah keluarganya. Di kala inilah Masjid India telah menjadi pusat dakwah dan pusat pendidikan Islam yang penting di Kuching pada zaman pemerintahan Brooke.

Atas minat dan kecenderungan beliau dalam bidang pendidikan agama telah memberi inspirasi kepada beliau untuk memulakan satu bentuk pengajian Islam yang lebih formal dan tersusun di Sarawak melalui penubuhan Madrasah al-Musrhidiyyah di Kuching pada awal abad ke-20an. Sebelum ini, bentuk pendidikan Islam di Sarawak adalah secara tidak formal di mana kelas-kelas agama diadakan di rumah guru-guru agama.

Di samping itu, Datuk Hakim Imam Abang Haji Murshidi juga dikatakan telah memberi perhatian terhadap pendidikan Islam bagi kaum wanita. Beliau bersama-sama dengan dua orang sahabatnya Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah dan Abang Haji Bolhassan telah berusaha menubuhkan sebuah sekolah khas bagi kaum wanita mempelajari ilmu-ilmu agama seperti pengajian al-Quran, fiqh, tauhid, hadith dan sebagainya Sekolah tersebut dikenali sebagai Sekolah Kajang. Ini menunjukkan bahawa kaum wanita beragama Islam di Sarawak juga telah mendapat peluang untuk mempelajari ilmu-ilmu agama walaupun tidak sehebat kaum lelaki pada waktu itu.
.
Seperti Datuk Hakim Keramat, Datuk Hakim Imam Abang Haji Murshidi juga banyak memainkan peranan penting dalam pentadbiran Brooke terutamanya dalam hal ehwal yang berkaitan dengan umat Islam di Sarawak. Sebelum berkhidmat dengan kerajaan, beliau penah berkhidmat sebagai pendaftar perkahwinan Islam di samping mengajar ilmu agama kepada komuniti Melayu di Kuching. Atas perkhidmatan ini, beliau dinaikkan pangkat sebagai Datuk Hakim pada 23 Februari 1925 dan sebagai ahli Majlis Tertinggi serta Council Negeri.

Pada tahun 1932 pula, beliau dilantik pula sebagai Datu Imam. Datuk Hakim Imam Abang Haji Murshidi juga telah mengasaskan Majlis Syuyukh Islam yang kemudiannya dikenali sebagai Majlis Islam Sarawak pada 1 Mei 1955. Pada peringkat awal penubuhan majlis tersebut, beliau telah menjemput beberapa orang alim ulama untuk berbincang mengenai hal-hal yang berkiatan dengan agama Islam dan kebajikan umat Islam di Sarawak. Antara orang-orang yang dijemput oleh beliau ialah Mufti Abang Haji Nawari, Tuan Haji Badaruddin, Abang Haji Julaihi dan Tuan Haji Salleh. Penubuhan majlis ini merupakan usaha yang penting ke arah perkembangan agama Islam di Sarawak dalam bentuk yang lebih tersusun dan sistematik.

Datuk Hakim Imam Haji Murshidi meninggal dunia ketika berusia 62 tahun pada 16 Julai 1939. Jenazah beliau juga dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Bahagian Kuching.

4. DATUK HAJI ABDUL KADIR BIN HASSAN

Datuk Haji Abdul Kadir bin Hassan dilahirkan pada tanggal 6 Ogos 1928 di Kampung No.6, Kuching Sarawak merupakan seorang tokoh ulama moden bagi Sarawak. Memulakan pendidikan formalnya di sebuah sekolah rakyat iaitu Sekoleh Rakyat Merpati Jepang sehingga ke Standard 4. Kemudian atas minatnya untuk mendalami selok-belok agama Islam telah menyambung persekolahannya di Madrasah Melayu, Kuching. Pendidikan formal di sekolah madrasah tidak pernah puas baginya apabila di waktu terluang, beliau juga turut berguru dengan pendakwah-pendakwah Islam di Kuching seperti Tuan Guru Haji Sulong bin Hussein dan Tuan Guru Haji Yusuf bin Abdul Ghani.

Di ketika Datuk Iman Haji Abang Mursyidi membuka Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, beliau juga turut menyambung persekolahannya di situ. Tamat persekolahannya, ilmu agama tidak puas baginya kerana beliau telah berkelana ke bumi Singapura. Di Singapura, beliau telah belajar di Madrasah Al-Juneid yang mana disinilah beliau berguru dengan anak-anak Syeikh Uthman dari Sarawak seperti Tuan Guru Haji Syeikh Sharkawi bin Syeikh Uthman dan Tuan Guru Haji Syeikh Sazali bin Syeikh Uthman yang turut mengajar di madrasah tersebut.

Tamat pembelajarannya di Singapura, Datuk Haji Abdul Kadir tidak pulang ke tanahairnya sebaliknya beliau berkelana dahulu di bumi Singapura. Di ketika itulah beliau ditawarkan untuk berkhidmat sebagai seorang guru agama di Sekolah Latihan Polis, Singapura. Selain menjadi guru agama di ketika itu juga beliau turut bersama-sama dengan pendakwah-pendakwah di Singapura, memperjelaskan syiar Islam kepada penduduk Islam Singapura. Di Singapura juga beliau diberi penghormatan untuk menjadi penyampai khutbah Jumaat di Masjid Sultan yang terletak di Jalan Muscat berdekatan dengan Kampung Glam, Singapura.

Setelah puas berkelana di Negara orang, akhirnya Datuk Haji Abdul Kadir pulang jua ke tanahair tercinta. Di Sarawak, beliau tetap meneruskan kerjayanya sebagai guru agama dan menjadi pendakwah bebas. Banyaklah kawasan ceruk rantau pendalaman Sarawak yang sudah beliau kunjungi hanya untuk memastikan syiar Islam itu terus berkembang di bumi Sarawak. Azam yang kuat dan ikhlas beliau ini menyebabkan seorang ahli politik di Sarawak bernama Tan Sri Abang Ikhwan Zaini telah membantu beliau untuk mendapatkan biasiswa bagi beliau melanjutkan pelajarannya ke Kolej Islam Malaya.

Di Kolej Islam Malaya ini, Datuk Haji Abdul Kadir sentiasa menjadi penuntut yang cemerlang lebih-lebih lagi beliau berguru bukan dengan calang-calang orang iaitu barisan ulama yang disegani di Malaya seperti Dr. Zaki Badawi, Ustaz Nik Mohd Mahyuddin, Tan Sri Jalil Hassan dan ramai lagi. Tamat pengajian pada tahun 1959, beliau seharusnya melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar tetapi akibat kengkangan politik yang didominasi oleh Koloni British menyebabkan hasrat beliau terbatal.

Kerana ditidakkan untuk melanjutkan pelajaran ke Mesir, Datuk Haji Abdul Kadir kembali ke Sarawak dan meneruskan kerjayanya sebagai guru agama dan pendakwah bebas. Namun di dalam masa itu juga, beliau terus mentelaah kitab-kitab karya para ulama terdahulu. Di sinilah beliau sering bermuzakarah dengan para ulama-ulama lain dan memberikan buah fikirannya di dalam pemikiran Islam di Sarawak.
Kitab-kitab ulung seperti Sabilal Muhtadin I’anatuth Tholibin dan Buahyatuh Mustarsyidin ditelaahnya dan kerana ketika itu ianya tiada di pasaran, beliau mengambil inisiatif sendiri dengan menyalin kitab-kitab tersebut untuk rujukannya. Kesungguhannya itu sememangnya sesuatu yang amat mengkagumkan.

Sekitar tahun 1963an, atas kesungguhannya telah melayakkan beliau berkhidmat sebagai antara penjawat awam di dalam pentadbiran Kerajaan Koloni British Borneo Sarawak pada waktu itu. Akhirnya pada 1 Mei 1967 setelah Sarawak membentuk Gagasan Malaysia, khidmatnya yang cemerlang telah menyebabkan Kerajaan Negeri Sarawak pada masa itu melantik beliau sebagai Mufti Negeri Sarawak.

Di dalam mengurus tadbir menjadi Mufti Negeri Sarawak, Datuk Haji Abdul Kadir tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai pendakwah bebas mahupun guru agama. Surau-surau di seluruh Kuching saban malam dikunjungi untuk memberikan ceramah agama. Di ceritakan bahawa beliau sentiasa khatam Al-Quran setiap 10 hari kerana beliau di dalam waktu wiridnya sahaja beliau membaca 3 juzuk Al-Quran setiap hari.

Sikap beliau yang merendahkan diri walaupun penuh ilmu di dada menyebabkan beliau dipandang tinggi oleh masyarakat Islam Sarawak pada waktu itu. Walaupun beliau tidak pernah menulis apa-apa juga karya untuk dijadikan rujukan namun begitu pemikiran beliau seperti di dalam tulisan ringkas, skrip soal-jawab radio dan pengajaran agama Islam telah banyak memberi kesan terhadap masyarakat Islam di Sarawak.

Di ketika beliau menjadi Mufti Negeri Sarawak, kejayaan beliau di dalam menyusun atur hal-hal zakat di Sarawak telah diiktiraf sehingga ke hari ini. Penulisan beliau iaitu “Zakat Dan Fitrah serta Kegunaannya” telah banyak mencorak sistem pungutan zakat Baitulmal Sarawak sehingga sekarang. Banyak idea-idea yang telah dijana oleh beliau menjadi amalan untuk pengaturcaraan Baitulmal Sarawak yang lebih sempurna digunapakai sehingga sekarang. Selain daripada itu satu dokumentasi yang merujuk kepada fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh beliau semasa beliau menjadi Mufti Negeri Sarawak juga masih lagi dijadikan rujukan.

Bagi mengenang sumbangan beliau inilah di Kuching, Sarawak diabadikan sebuah sekolah agama atas namanya yang bernama Sekolah Kebangsaan Agama Datuk Haji Abdul Kadir bin Hassan atau lebih dikenali sebagai Sekolah Madrasah Abdul Kadir Hassan yang telah melahirkan ramai generasi-generasi baru rakyat Sarawak yang meneruskan pendakwah Islam di Sarawak sekarang.

Datuk Haji Abdul Kadir bin Hassan telah kembali ke rahmatullah pada hari Jumaat, 15 Januari 1988 di Kuching, Sarawak

Bagi mengenang sumbangan beliau inilah di Kuching, Sarawak diabadikan sebuah sekolah agama atas namanya yang bernama Sekolah Kebangsaan Agama Datuk Haji Abdul Kadir bin Hassan atau lebih dikenali sebagai Sekolah Madrasah Abdul Kadir Hassan yang telah melahirkan ramai generasi-generasi baru rakyat Sarawak yang meneruskan pendakwah Islam di Sarawak sekarang.

Inilah 4 tokoh Islam Melayu Sarawak yang telah banyak memainkan peranan besar di dalam memastikan syiar Islam di bumi Sarawak melalui pendekatan pembelajaran agama yang betul serta tersusun serta melahirkan ramai individu yang menjadi ulama terkenal di Sarawak suatu waktu dahulu. Jasa-jasa mereka akan tetap menjadi ingatan kita sepanjang zaman.

Semoga roh tokoh-tokoh Ulama Islam Sarawak ini ditempatkan di kalangan para syuhadah. Sesungguhnya perjuangan mereka di dalam memastikan syiar Islam di bumi Sarawak adalah satu perjuangan yang murni dan kerana merekalah syiar Islam di bumi Sarawak berterusan.

Al-fatihah. Amin.

#KamekSayangSarawakBah!

Rujukan:

1. Buku berjudul “Islam Di Brunei, Sarawak Dan Sabah” suntingan Ismail Mat dibawah tajuk kecil “Peranan Ulama Di Dalam Perkembangan Islam Di Sarawak” oleh Muda @ Ismail Abdul Rahman dan Rasli bin Saharan. (1989)

2. Makalah “Sepuluh Tahunan BINA” 1979 halaman 103 bertajuk “Memperingati Ulama-ulama Sarawak” olahan Johari Bojeng

3. Kajian Tesis oleh Habid’s Buhigiba bin Mohammad Bostaman, (1995) bertajuk “Perkembangan Islam Di Sarawak 1946-1991) Latihan Ilmiah, Jabatan Sejarah, Fakulti Sains Kemasyarakatan Dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia

4. Sekitar Bicara Tokoh Agama Sarawak: Satu Catatan
http://akhienaim.blogspot.my/2009/03/sekitar-bicara-tokoh-agama-sarawak-satu.html

5. Utusan Online bertarikh 09/08/2004 oleh Wan Mohd Shaghir Abdullah bertajuk; Imam Haji Mursyidi – Tokoh pentadbir Islam Sarawak
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info

6. Datuk Haji Abdul Kadir bin Hassan oleh Abu Mohammad of Bahrus Sohfah

http://www.bingregory.com/archives/2010/03/08-datuk-haji-abdul-kadir-hassan/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Memartabatkan sejarah Sarawak dan Borneo agar mampu diketahui sebaik mungkin oleh masyarakat Malaysia merupakan visi dan misi yang utama di dalam penulisannya. Seorang jurutera automatif yang terjun ke dunia penulisan bagi memvariasikan kebolehan dirinya.

Leave A Reply