Ukraine: Pohon Cantik, Akar Racun, Pucuk Mati

886

Apabila Viktor Yanukovych berjaya diusir daripada Kiev, sejarah dilihat bakal berulang. Seorang ahli politik yang tewas dalam pilihanraya 2010 kembali bebas. Yulia Tymoshenko yang juga merupakan bekas Perdana Menteri dilihat berjalan penuh keyakinan dengan rambut perang diikat unik. Dalam suatu perspektif, Tymoshenko menjadi sebutan seperti penyelamat politik, bagaikan ikon yang boleh memelihara Ukraine daripada Rusia selepas setelah sekian lama berjuang dalam perjuangan yang sebenarnya konflik dibuat-buat.

Namun dalam pilihanraya yang menyusul, Tymoshenko sedar bahawa rakyat tidak menganggapnya sepertimana Afrika Selatan memandang Nelson Mandela. Tymoshenko juga sedar bahawa beliau bukan Aung San Suu Kyi yang berjaya mengetuai kerajaan Myanmar. Sejarah tidak berulang. Prestasi Tymoshenko dalam Pilihanraya Presiden 2014 sangatlah teruk sampaikan jika dua penjuru sekalipun beliau tidak mampu tewaskan Petro Poroshenko.

Akhirnya Ukraine mendapat seorang pemimpin yang komited dengan perjuangan pro-Eropah. Poroshenko merupakan seorang hartawan yang membina aset melalui jenama-jenama terkemuka seperti coklat Roshen dan siaran televisyen. Malah beliau juga mempunyai pegangan dalam sektor kewangan, pertanian dan pengeluaran. Kepimpinan Poroshenko digelumangi dengan krisis di Timur Ukraine yang lebih cenderung dengan Vladimir Putin selepas Rusia berjaya mengambil Crimea dengan tumbukan bagaikan tepat di hidung Kiev.

Mendapat bantuan ekonomi, politik dan sosial daripada Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, Ukraine tidak berubah pun. Poroshenko (dan sekali lagi Tymoshenko) tewas dua kali kepada seorang pelawak bernama Volodymyr Zelensky. Pada usia 41 tahun, Zelensky menampilkan wajah anak muda bebas politik atau dengan erti kata lain “rakyat marhaen”. Isterinya pula seorang arkitek dan penulis.

Namun masalah di Ukraine sebenarnya bukanlah bagaikan demam sahaja. Ukraine sedang menghidapi barah kronik yang simtomnya membelit dari kerajaan ke rakyat. Sejak merdeka daripada Kesatuan Soviet pada tahun 1991, Ukraine mempunyai tujuh presiden dan 17 orang perdana menteri. Setiap seorang yang memimpin negara dan kerajaan tidak mampu menghentikan penguncupan dalam ekonomi dan populasi. Bermakna selama 28 tahun (sebenarnya lebih lama sebelum kemerdekaan), ekonomi Ukraine berdepan dengan kesusahan.

Pucuk kepada masalah sosial Ukraine datang daripada ekonomi. Pucuk kepada masalah ekonomi Ukraine datang daripada sosial. Ukraine merupakan sebuah republik yang mandul. Setepatnya bukan rakyatnya mandul, tetapi seluruh negara sendiri. Sepanjang kemerdekaan, Ukraine kehilangan 10 juta daripada populasinya. Antonim kepada pepatah sedikit demi sedikit lama-lama menjadi bukit merupakan kenyataan bagi Ukraine. Rakyat hidup dalam keadaan penuh sengsara atas masalah ekonomi dan juga peperangan. Maka mereka mengambil jalan untuk beremigrasi.

Kadar kelahiran yang tidak menandingi kadar kematian juga secara perlahan-lahan mengurangkan populasi Ukraine. Lebih-lebih lagi apabila Crimea keluar dari Ukraine, melenyapkan lebih kurang 2.5 juta rakyat secara sekelip mata, dengan status politik di wilayah-wilayah Donbas menjadi persoalan. Peperangan saudara Ukraine telah berlarutan selama hampir lima tahun – tetapi angkatan ketenteraannya masih lagi tidak berupaya untuk menundukkan barisan pemisah yang begitu bersemangat menentang Ukraine.

Saban hari peluang luar negara menarik rakyat Ukraine ke luar. Barisan anak muda Ukraine juga tidak begitu bertoleransi kepada amalan korupsi, yang merupakan asam garam kepada kehidupan Soviet. Maka suara mereka disaring sehabis mungkin oleh golongan atasan. Bagaikan menyapu garam kepada luka, wanita-wanita Ukraine pula lebih ramai berbanding lelaki pada skala 86:100. Mereka juga tidak begitu aktif untuk berkahwin dan memulakan keluarga atas tekanan ekonomi dan kecenderungan lelaki ke arah alkohol.

Disebabkan itu juga ramai dalam kalangan wanita Ukraine rela berkahwin dengan sesiapa sahaja dari luar negara. Revolusi Ukraine telah gagal. Semangat pro-Eropah tidak mengubahkan apa-apa. Penggulingan Yanukovych pun sia-sia, malah bazir lagi membazirkan pun kerana pemerintahan Poroshenko juga tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah-masalah utama. Ketandusan demokrasi sebenar juga menghancurkan minat politik anak muda, yang mungkin boleh berubah dibawah Zelensky.

Ukraine tidak berupaya untuk berubah selagi mana kebergantungannya kepada Rusia kekal tinggi. Sampai hari ini, walaupun perlembagaan dan perisytiharan kemerdekaannya telah sah, Ukraine boleh mencium wangian syurga ekonomi jika berbaiah kepada Moscow. Ia telah setelah sekian lama sejak pemerintahan monarki Rusia lagi berfungsi sebagai negeri. Mungkin perkara ini akan berubah apabila darah-darah Soviet dalam kepimpinan Ukraine dibasmi secara sepenuhnya.

RUJUKAN:

Eastern Europe Feeds on a Shrinking Ukraine – https://www.bloomberg.com/opinion/articles/2019-02-20/eastern-europe-feeds-on-a-shrinking-ukraine

Nolan Peterson: Why Is Ukraine’s Population Shrinking? – https://www.newsweek.com/nolan-peterson-why-ukraine-population-shrinking-559697

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.