Ukiran ‘Pisang’ Di Tembok Besar Rom – Hadrian

1,815

Menurut rekod yang dimiliki setakat ini, hasil seni yang melibatkan gambar ‘topi Smurf’ ini telah pun mula dihasilkan oleh manusia sejak 28 000 tahun dahulu (berdasarkan penemuan Hohle phallus). Namun, Tembok Hadrian (Hadrian’s Wall) yang dibina oleh Rom pada abad ke-2M di England ini menghadirkan cerita yang agak berbeza dan boleh membuatkan kita tersengih seketika kerana tapak tembok berkenaan hampir dipenuhi dengan ukiran sebegitu.

Tembok Hadrian yang berlokasi di Hutan Gelt, Cumbria, England ini dibina pada kurun ke-2 Masehi dengan tujuan sebagai tembok pertahanan daripada gempuran puak-puak gasar yang memusuhi Rom. Dari semasa ke semasa terutama pada awal abad ke-3M, tembok ini perlu menjalani kerja-kerja pembaikpulihan.

Namun seperti kita manusia moden (sebelum kewujudan telefon pintar) yang menconteng pelbagai graffiti seperti nombor telefon entah siapa-siapa pada dinding tandas dan kerusi bas akibat kebosanan dan mahu menghabiskan masa, ternyata hal yang sama turut berlaku kepada tentera-tentera Rom yang terlibat dalam kerja-kerja pembaikpulihan ini.

Lebih menarik, memetik penulisan Claire Reid dari laman LadBible.com; “Bayangkan betapa gilanya hal ini. Anda membuat lukisan seperti ini dan 2000 tahun kemudian, sepasukan ahli arkeologi bertungkus-lumus mengerah segala usaha demi merakamkan lukisan tersebut untuk kemudiannya dipertontonkan kepada orang awam.”

Simbol-simbol sebegini menghiasi hampir kebanyakan kawasan kuari di Tembok Hadrian

Merincikan jerih-perih yang perlu dilalui oleh ahli-ahli arkeologi dari Universiti Newscastle ini, mereka terpaksa menghubungi pakar pendaki gunung untuk membantu meraih akses ke tapak berkenaan. Ekspedisi ini melibatkan penggunaan tali dan takal untuk turun sedalam 30 kaki (9 meter) sebelum dapat tiba ke kuari yang dimaksudkan. Tambahan lagi, projek arkeologi ini turut menerima saluran dana daripada sebuah agensi kerajaan, iaitu Historic England.

Walau bagaimanapun, kesemua ini agak munasabah dan berbaloi jika dibandingkan dengan signifikasi yang dimiliki oleh tapak arkeologi tersebut. Selain menemukan graffiti burung-burung yang menggelikan hati itu, para arkeologis turut menjumpai pelbagai inskripsi dan ukiran lain yang dapat menggambarkan pelbagai perkara yang berlaku pada awal abad ke-3M – atau tepatnya, tahun 207 Masehi.

Karikatur yang diukir di tapak berkenaan, diandaikan sebagai karikatur pegawai atasan yang menyelia projek pembaikpulihan

Dicatatkan bahawa tapak ini merupakan salah satu kuari milik Rom yang terdapat di England yang memiliki ukiran-ukiran sebegini. Segala maklumat yang terkandung di dalamnya melibatkan nama beberapa figura penting, termasuklah pangkat dan unit tentera yang disandang oleh mereka.

“Inskripsi-inskripsi yang terdapat di Hutan Gelt ini (merujuk kepada kuari berkenaan) merupakan penemuan yang paling penting di (sepanjang) Tembok Hadrian,” ujar pegawai nazir dari Historic England bernama Mike Collins. Tambahnya lagi, tapak ini membekalkan maklumat tentang struktur organisasi bagi sebuah projek sebesar pembaikpulihan Tembok Hadrian, di samping memiliki nilai sentimental tinggalan para tentera yang terlibat seperti wujudnya karikatur pegawai atasan dan graffiti penis yang dianggap sebagai simbol tuah pada masa itu.

Salah satu inskripsi yang dikongsikan oleh kesemua media yang membuat liputan berkenaan penemuan ini adalah petikan yang berbunyi “APRO ET MAXIMO CONSVLIBVS OFICINA MERCATI”. Inskripsi ini menyebutkan dua orang nama pegawai yang dipertanggungjawabkan menyelia kerja-kerja pembinaan yang dijalankan pada tahun 207M itu, iaitu Aper dan Maximus.

Tulisan Rom yang di ukir pada tapak berkenaan

Tapak tinggalan ini sebenarnya telah pun ditemukan buat kali pertama pada abad ke-18M. Namun, akses ke kuari tersebut tertutup pada 1980an akibat runtuhan yang berlaku pada waktu itu. Hampir 40 tahun kemudian, usaha memasuki kuari yang menjadi sebahagian dari Tembok Hadrian ini diteruskan terutama kerana para penyelidik meyakini bahawa tidak lama lagi, ukiran-ukiran yang ada bakal terhapus buat selama-lamanya.

“Inskripsi-inskripsi ini sangat terdedah kepada ancaman kehapusan secara bertahap namun pasti,” ujar Ian Haynes yang merupakan seorang profesor arkeologi di Universiti Newcastle. Menurutnya, tapak ini mengalami kehakisan pada tahun-tahun kebelakangan ini sekaligus mendorong kepada usaha perekodan secara giat. “Sekarang ini merupakan peluang terbaik untuk merakamkan keadaan mereka (tapak ini) dengan menggunakan teknologi moden yang terbaik supaya ianya dapat terus dikaji di masa akand atang.”

Oleh kerana itu, wajarlah para sejarahwan dan arkeologis ini bertungkus-lumus turun ke kedalaman sejauh 9 meter dengan menggunakan tali bagi menjalankan imbasan laser pada ukiran-ukiran berkenaan, yang antaranya melibatkan ukiran ‘burung jantan’ itu. Imbasan-imbasan itu kemudiannya diproses oleh komputer untuk mendapatkan bentuk digitalnya – model tiga-dimensi bagi tujuan kajian lanjut kelak.

Kesan-kesan goresan dan hakisan yang sedang dialami oleh kuari di Tembok Hadrian

RUJUKAN

Claire Reid. (2 Mac 2019). Archaeologists Find 1800-Year-Old Wall Carving Of A Penis. Lad Bible.
http://www.ladbible.com/news/interesting-archaeologists-find-1800-year-old-wall-carving-of-a-penis-20190302

Jasper Hamill. (27 Februari 2019), Rude Roman graffiti including an image of a huge penis discovered in Cumbria. Metro.co.uk.
https://metro.co.uk/2019/02/27/roman-graffiti-discovered-cumbria-shows-ancient-conquerors-liked-draw-big-penises-8761591/

J.D. Simkins. (28 Februari 2019). 1800-year-old Roman penis carvings discovered near Hadrian’s Wall – some things never change. Military Times.
https://www.militarytimes.com/off-duty/military-culture/2019/02/28/1800-year-old-roman-penis-carvings-discovered-near-hadrians-wall-some-things-never-change/

Marco Margaritoff. (1 Mac 2019). 1800-Year-Old Penis Carving Found Etched Into Hadrian’s Wall in England. All That Interesting.
https://allthatsinteresting.com/hadrians-wall-penis-carving

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.