Uber akan menjual milikan perniagaan mereka di Asia Tenggara kepada Grab (ditubuhkan di Malaysia tetapi kini beribupejabat di Singapura), sama seperti apa yang Uber telah laksanakan bersama Didi Dache di China, dan Yondex di Russia.

‘Decentralization’ dalam pemilikan syarikat adalah tindakan yang akan mengurangkan liabiliti, risiko, tanggungjawab dan memberi kebebasan kepada entiti perniagaan, dalam kes ini mengurangkan liabiliti perniagaan buat Uber.

Tindakan Uber menjual milikan syarikat mereka kepada pesaing tempatan dikatakan untuk memperkemas dan memberi mereka lebih ruang untuk fokus kepada penyenaraian di IPO, seperti yang diperkatakan oleh CEO Uber Dara Khosrowshahi.

Penjualan perniagaan dan inventori mereka kepada entiti tempatan akan memberi lebih peluang kepada syarikat tempatan dan dalam masa yang sama Uber tidak lagi perlu menanggung libiliti perniagaan mereka di satu-satu tempat itu. Penjualan milikan ini akan menyaksikan peningkatan milikan pasaran kepada Grab Malaysia, sebelum ini terpaksa dikongsi bersama Uber. Pemilikan perniagaan akan menyaksikan Grab bakal menguasai terus pasaran Asia Tenggara mereka di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia, Vietnam, Kemboja dan Filipina.

Namun, kerugian yang dialami oleh Uber meningkat sehingga 60% tahun lalu antaranya pasti disebabkan faktor munculnya syarikat-syarikat ‘ride-sharing’ seumpanya di setiap pelusuk dunia. Syarikat ini dikatakan lebih berdaya saing, kompeten, memperbaiki kelemahan dan kekurangan Uber selain menyediakan perkhidmatan lebih ‘bercitarasa tempatan’ berbanding Uber yang bersifat antarabangsa.

Jika diselusuri khidmat Uber, perjalanan mereka juga bukanlah mudah. Sebagai syarikat yang benar-benar mempopularkan khidmat ride-sharing ini, mereka seringkali terlibat dengan kontroversi dengan penguasa tempatan tentang lesen dan permit. Perancis misalnya mengharamkan terus Uber di sana.

Rungutan bertali arus dari pemandu yang merungut tentang bayaran yang mereka terima serta dari pengguna tentang masalah di dalam aplikasi yang menyaksikan ramai yang mengelak dari menggunakan Uber. Ada ketikanya apabila dibandingkan dengan penyedia khidmat tempatan, Uber meletakkan harga yang lebih tinggi berbanding pesaing membuatkan pengguna lebih berhati-hati dengan Uber.

Ia lebih mencabar apabila syarikat seumpanya namun bercitarasa tempatan dan dibangunkan oleh syarikat milik tempatan sendiri ditubuhkan dan memberi khidmat sama. Syarikat-syarikat tempatan ini berjaya mengurangkan masalah yang selama ini terpaksa mereka hadapi dengan Uber, menyebabkan pengguna teramai semakin beralih arah.

Sememangnya mutakhir ini, walaupun diakui bahawa Uber adalah antara pelopor terawal (masih lagi boleh dibahaskan; kerana ada khidmat ride-sharing lebih awal wujud sebelum Uber) ia bagaimanapun kini terpaksa gigih bersaing lautan perkhidmatan yang sama yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat tempatan.

Selain pesaing Uber di Amerika sendiri iaitu Lyft dan Gett, Uber terpaksa bersaing dengan syarikat seumpanya di banyak negara lain di serata dunia. Perancis yang mengharamkan Uber hanya membenarkan Zaleou dan Le Cab sahaja beroperasi. Di India pula ada Ola, dengan UK dan Ireland pula memiliki Hailo. China dengan Didi Dache dan Korea Selatan pula memiliki Kakao Taxi. Di Jepun lebih ramai memilih Takkun, kerana citarasa dan naratif tempatan yang ditawarkan lebih menarik minat ‘riders’ tempatan. Di Turki mereka memiliki Bitaksi, dan di Australia Uber perlu bersaing dengan Ingogo dan goCatch. Malah terdapat sebuah syarikat beribu pejabat di Brazil, membangunkan Easy Taxi yang kini telah beroperasi di lebih 30 negara dan 420 bandar seluruh dunia, kini sedang bersaing merebutkan kek pasaran yang sama serata dunia.

Dan ini belum disenaraikan lebih banyak lagi syarikat atau pembangun aplikasi ride-sharing yang benar-benar ‘localized’ dan benar-benar sesuai dan kena dengan citarasa dan citra tempatan.

Jelas, perkembangan ini juga pastinya disebabkan kebebasan yang ditawarkan oleh ‘open source’, juga perkembangan internet dalam era revolusi industri 4.0. Ini membuktikan bahawa ia membenarkan sesiapa jua yang berkemampuan dalam memiliki capaian kepada ‘pengetahuan’ tentang sumber, pengaturcaraan aplikasi, pemasaran atas talian dan memanfaatkan teknologi terkini untuk memacu perniagaan, berkongsi pasaran dalam industri yang sama.

Ironi sekali apabila Uber, antara syarikat yang mendapat manfaat terawal hasil perkembangan teknologi dan letusan Revolusi Industri 4.0 sendiri kini seakan goyang dan masih perlu terus berusaha untuk meletakkan diri mereka supaya lebih relevan di dalam pasaran yang serba mencabar hari ini. Uber ‘dimakan’ pemain kecil dan tempatan dengan menggunakan model perniagaan yang sama, tetapi pastinya lebih meyakinkan pengguna tempatan.

Jika kini, Uber mungkin terkesan dengan pesaing di dalam pasaran yang sama, mungkin akan datang, dengan perkembangan teknologi yang lebih maju seperti kenderaan tanpa pemandu, bahan api yang lebih efisien atau pengangkutan awam lebih cekap dan murah, tiada siapa yang dapat benar-benar pasti apa yang berlaku. Siapa tahu, teknologi ini dan yang masih belum ditemui akan memberikan lebih banyak ketidaktentuan dan kemungkinan di masa hadapan, malah mungkin akan menggagalkan Uber dan lain-lain syarikat seumpamanya jika mereka ini tidak terus berusaha untuk kekal relevan.

Di dalam Revolusi Industri 4.0, ia bukannya tentang soal siapa lebih cepat, maka dia akan dapat lebih banyak, tetapi siapa lebih bijak, maka dia akan dapat lebih banyak.

Maka, ada tiga persoalan yang lebih penting, kita sekarang di mana, mahu pilih apa, dan adakah kita bersedia?


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pensyarah yang minatnya pada sejarah dan warisan Melayu. Membaca kerana hobi dan menulis kembali untuk terus berkongsi.

Comments are closed.