Turki Uthmaniyah: Penyelamat Kota Suci Makkah, Kota Madinah Dan Al-Quds Daripada Portugis

0
1233
views

Konflik ini amat menarik untuk dibincangkan kerana melalui konflik kita dalam melihat perlawanan yang sengit anta dua armanda laut yang terkuat di dunia pada waktu itu dan kesungguhan kerajaan Turki Uthmaniyah dalam mempertahankan dunia Islam daripada serangan Portugis.

Pada tahun 1415, armada kerajaan Portugis di bawah pimpinan Putera Henry telah mara ke Barat jauh. Armanda ini telah mencapai kemenangan seperti penaklukan pelabuhan Sabtah (Ceuta). Penyerangan ini merupakan permulaan kepada siri serangan yang berterusan. Kemaraan Portugis di Afrika Utara tidak terhenti di situ sahaja apabila mereka menawan Asilah, Araish (larache) dan Tanger pada tahun 1471. Kejayaan menyebabkan Portugis dapat menumpukan untuk menakluk kawasan yang lebih strategik seperti Safi, Agadir, Azemour dan Masah.

Langkah Portugis merentasi Lautan Atlantik mengelilingi dunia Islam berpunca daripada sikap Portugis yang anti kepada agama Islam dan semangat sentimen Perang Salib yang kuat. Kerajaan Portugis juga menganggap mereka sebagai pejuang dan pelindung Kristian daripada Islam. Mereka melihat Islam sebagai “orang Moor” yang perlu diperangi di mana jua mereka berada. Sikap fanatik ini dapat dilihat dengan jelas dengan sikap Putera Henry sendiri mendapat restu daripada Pope Nicholas V ke atas hak penerokaan sehingga ke India. Pope itu pernah berkata:

“Kami amat berbangga apabila mengetahui putera kami Henry putera Portugis kini meneruskan jejak langkah ayahandanya yang hebat Raja John I. Semangatnya yang tinggi telah menjadi perangsang menjadikan baginda seorang tentera Kristian yang gagah perkasa. Dengan nama tuhan, baginda merentas ke pelbagai negara yang belum pernah kita ketahui. Malah baginda juga membawa masuk ramai di kalangan musuh Islam dan musuh Jesus seperti arab dan orang kafir ke dalam pelukan Katolik.”

Perkara ini juga turut dibuktikan lagi melalui ucapan yang disampaikan oleh Alburqurque apabila Portugis menawan kota Melaka:

“Meminggirkan kaum Arab daripada perdagangan rempah merupakan satu cara yang diharapkan Portugis dalam melemahkan kuasa Islam.”

Alburqurque turut berkata berkata:

“Khidmat mulia yang kita sumbangkan kepada Tuhan setelah kita usir Arab daripada negara ini dan kita padamkan sinar pengikut Muhammad, kerana tiada lagi cahaya yang akan mempertahankannya di sini. Saya amat yakin sebabnya setelah kita rampas Perdangangan Melaka daripada mereka (orang Islam) nescaya Kaherah dan Makkah akan merasakan kesannya tidak lama lagi. Perdagangan rempah akan menyekat pembelian senjata. Kerana kesemua pedagang perlu ke Portugis untuk membelinya di sana.”

Malah beliau juga dalam memoirnya pernah mencatat:

“SASARAN KAMI IALAH MEMASUKI TEMPAT-TEMPAT SUCI ISLAM DAN MENCEROBOH MASJID NABAWI SERTA MENGAMBIL JASAD MUHAMMAD SEBAGAI TEBUSAN UNTUK BERUNDING DENGAN ARAB BAGI MENGAMBIL SEMULA AL-QUDS.”

Raja Portugis yang bernama Manuel II turut berkata:

“Tujuan meneroka laut ke India ialah menyebarkan Kristian dan meraih kekayaan Timur.”

Melalui ucapan-ucapan di atas Al-Shalabi telah merumuskan bahawa faktor agama adalah faktor utama yang mendorong Portugis meredah dan menngelilingi dunia Islam. Tanda Salib dan meriam merupakan simbol yang dilakarkan oleh mereka yang bermaksud orang Islam harus memeluk Kristian atau akan diserang oleh meriam mereka. Faktor ekonomi menurut Al-Shalabi hanyalah faktor sampingan dalam penjelajahan Portugis.

Kejayaaan Vasco de Gama yang menjumpai Tanjung Harapan di Afrika pada tahu 1497 M telah memudahkan Portugis memperolehi hasil timur jauh untuk pasaran Eropah tanpa perlu melalui jalan Mesir. Tindakan mereka ini akan melalui perdagangan ini secara tidak langsung akan melumpuhkan kuasa islam. Buktinya kejayaan Portugis ini merupakan punca kejatuhan ekonomi kerajaan Mamluk di Mesir.

Persoalannya apakah rancangan Portugis dalam melaksanakan matlamat mereka mengelilingi dan mengusai dunia islam serta menawan kota2 suci seperti Makkah, Madinah dan Baitulmaqdis?

Seperti yang dijanjikan marilah kita melihat strategi yang dilakukan oleh Portugis untuk menguasai dan menghancurkan dunia islam khususnya penawanan kota suci Makkah dan Madinah yang bertujuang untuk membongkar makam Nabi Muhammad SAW agar mereka boleh memaksa umat islam menyerahkan Al-Quds.

  1. Kerajaan Portugis telah menggunakan khidmat orang Yahudi untuk melakukan perisikan kerana bangsa ini mampu berbahas Arab. Buktinya menurut Al-Shalabi, Raja John II telah wakilnya yang diringi oleh seorang Yahudi ke Mesir, India dan Habsyah untuk mendapatkan laporan yang mengandungi beberapa peta dunia arab di lautan hindi
  2. Mereka juga telah mengintip memakai pakaian Uthmaniyah di Makkah. Hal ini berlaku pada zaman pemerintahan Makkah yang bernama Al-Syarif Al-Barakat apabila beliau mengarahkan penangkapan 3 individu yang mencurigakan memasuki Makkah. Didapati 3 individu ini beragama Kristian setelah mendapati mereka tidak berkhatan. Siasatan yang dijalankan menunjukkan bahawa perisik ini ditugaskan untuk menunjuk jalan kepada tentera Portugis agar mereka dapat memasuki Makkah. Al-Syarif Al-Barakat telah menghantar perisik ini kepada Sultan Qansuh al-Ghawri pemerintah Mamluk pada waktu itu.
  3. Menguasai Selat Hurmuz (berdekatan teluk oman) dan selat Bab El-Mandeb (berdekatan teluk aden) yang mendekati Jazirah Arab. Hal ini bertujuan agar mereka dapat memberikan tekanan kepada ekonomi dunia Islam dan menyerang dunia Islam dari belakang serta memudahkan penyebaran agama Kristian.

Segala perancangan jahat Portugis membuahkan hasil apabila mereka berjaya menguasai perairan Afrika, teluk Arab dan Laut Arab. Kejayaan ni menyebabkan mereka berkuasa untuk menyekat produk Timur ke Eropah.

Ketiadaan pesaing yang hebat pada waktu itu menyebabkan Portugis dapat menguasai kedudukan strategik itu dengan mudah. Penduduk di wilayah yang dikuasai Portugis telah mengalami penderitaan apabila kerajaan Portugis melakukan pelbagai aksi pembunuhan, pemusnahan dan pembakaran di wilayah itu. Kejayaan menakluk kawasan strategik itu menyebabkan kerajaan Portugis menghalang umat islam menunaikan ibadah haji dan masjid-masjid dibakar oleh mereka.

Keadaan bertambah parah apabila kerajaan Mamluk pada waktu itu tidak dapat memberikan pertolongan kerana masalah ekonomi dan sibuk mengendalikan masalah dalaman seperti menghadapi kerajaan Turki Uthmaniyah dan Kestria Salib di Timur Laut Mediterranean. Kegagalan ini menyebabkan penduduk di perairan Afrika, Teluk Arab dan India terpaksa menangani sendiri konflik ini.

Penduduk ini telah menyerang kesemua kubu Portugis di Muscat, Bahrain, Qaryat dan Aden namus serangan ini dapat dipatahkan oleh Portugis yang memiliki kekuatan berkali ganda berbanding penduduk ini. Keadaan ini tidak berkekalan lama apabila kerajaan Mamluk di bawah Pemerintahan Sultan Qansuh Al-Ghawri mula berusaha untuk mempertahankan kota suci Islam dari ditawan angkatan Armada Portugis.

Sultan Qansuh telah menghantar angkatan laut yang memiliki yang memiliki 13 buah kapal perang yang menampung 1500 orang tentera yang dikeruai Hussein Al-Kurdi bagi menyekat kemaraan Portugis. Angkatan ini tiba di Pulau Diu sebelum berangkat ke Chaul kemudian mencapai kemenangan pada tahun 1508 apabila bertembung dengan angkatan armada Portugis dipinpim Lourenco De Almeida. Namun bergitu armada Portugis berjaya mengalahkan mereka 1509 apabila armada Portugis melaksanakan serangan balas.

Kerajaan Turki Uthmaniyah pada peringkat awal menghadapi kesulitan untuk melawan Portugis kerana kedudukan mereka yang agak jauh dari medan petempuran kerana kedudukan mereka dipisahkan oleh kerajaan Mamluk dan Syiah Safawi. Namun begitu usaha kerajaan Uthmaniyah untuk memberikan bantuan kepada kerajaan Mamluk memang ada apabila Sultan Bayezid II (bapa sultan Selim I) memberikan bantuan kepada kerajaan Mamluk pada Tahun 1511 dengan beberapa kapal yang membawa muatan ubat, anak panah dan 40 tong belerang serta pelbagai jenis kelengkapan perang.

Namun begitu, usaha ini gagal apabila bantuan ini diserang dan dirampas oleh kesatria John Baptist. Apabila kerajaan Turki Uthmaniyah berjaya menguasai wilayah kerajaan Mamluk pada zaman Sultan Selim I (kisah peperangan dua kerajaan Islam telah saya kongsikan di artikel sebelum ini) iaitu di Mesir, Sham dan wilayah Arab barulah mereka boleh melancarkan serangan terhadap Portugis di laut, teluk Arab serta pada zaman Sultan Sulaiman al-Qanuni (1520-1566M). Serangan ke atas Portugis menjadi lebih penting lagi apabila penguasaan Portugis ke atas Laut Merah, Teluk Arab dan Samudera Hindia menyebabkan perdagangan di mediteranean mencapai satu titik yang lemah.

Sultan Sulaiman Al-Qanuni juga berpendapat bahawa Kerajaan Turki Uthmaniyah bertanggung jawab sepenuhnya dalam mempertahan kota-kota suci Islam daripada diserang tentera salibis. Oleh itu Sultan Sulaiman telah mengadakan satu perikatan dengan pemerintah calicut dan cambay di India bagi menghadapi Portugis.

Sultan Sulaiman telah mengarahkan agar armada Uthmaniyah dibangunkan di Suez Mesir yang diketuai oleh Gabenor Jeneral Mesir yang bernama Sulaiman Pasha. Baginda telah menghantar surat kepada Sulaiman yang bertulis:

“Beylarek Mesir Sulaiman Pasha, anda bertanggung jawab sebaik sahaja perintah kami untuk menyediakan beg dan segala keperluan anda, anda juga dikehendaki menyediakan kelengkapan di Suez untuk Jihad di Jalan Allah. Jika anda berjaya menyediakan satu armanda dan melengkapkan segala kelengkapan, makanan ,senjata serta tentera yang mencukupi, anda hendaklah berangkat ke India dan menguasai kemudia memelihara wilayah tersebut, jika anda berjaya merentas jalan tersebut dan menguasai laluan ke Makkah al-Mukarramah, ia bermakna ancaman daripada Portugis dan menghilangkan mereka di sana.”

Pada tahun 1538, sebuah armada Uthmaniyah yang berpusat di Suez terbentuk di bawah Sulaiman Pasha , beliau telah berjaya mengalahkan Portugis dengan menguasai Aden serta terus menuju ke pelabuhan Portugis di Diu namun serangan ini tidak berhasil. Pada tahun 1541, Portugis telah melaksanakan serangan balas ke atas Armada Turki di Suez namun serangan ini mencapai kegagalan. Kejayaan kerajaan Uthmaniyah menawan dan membina pertahanan di area pantai Aden dan Yaman menandakan pembentukan perbatasan pertama Uthmaniyah terhadap Portugis. Pada tahun 1547 dan 1552, kerajaan Uthmaniyah telah berjaya menawan Ta’izz dan san’a di dataran tinggi Yaman.

Pada awal 1540, Sultan Sulaiman al-Qanuni berusaha melakukan rundingan dengan Raja Portugis iaitu Raja John untuk lintas damai kepada kapal-kapal dagang kaum Muslim dengan dibentuk Jalur Shir-Aden-zeila’ sebagai pembatas antara Kerajaan Uthmaniyah dan Portugis. Namun rundingan ini tidak berjaya. Walaubagaimanpun, operasi Sulaiman Pasha di pantai Arab sebelum ini telah berjaya memulihkan perdagangan rempah diĀ Mediterranean pada pertengahan abad ke 16.

Penaklukan empayar Uthmaniyah Iraq dari empayar Syiah Safawi telah memberikan kerajaan Uthmaniyah sebagai jalan kedua ke Samudera Hindia melalui teluk. Pada tahun 1546, Kota Basra di Iraq dapat dijadikan sebagai wilayah strategik untuk pengkalan tentera menghadapi Portugis. Namun Basra tidak dapat berkembang sebagai pusat perdagangan kerana penguasaan Portugis ke atas Hormuz pada tahun 1515 mampu mencegah kapal-kapal melintasi wilayah di antara teluk dan samudera Hindia.

Namun pada tahu 1546, Gabenor Jeneral Uthmaniyah di Basra iaitu Ayas Pasha berusaha menjadikan Basra sebagai pusat perdagangan. Untuk menhadapi Portugis di Hormuz, beliau telah meguasai Hasa’ yang terletak di pantai Barat Teluk. Kerajaan Uthmaniyah berjaya menawan Qatif daripada Portugis dan berjaya mematahkan Blockade Portugis di Hormuz.

Pada tahun 1548 dan 1552, ketua Armada Uthmaniyah iaitu Piri Reis telah mengalahkan Portugis di Aden (kawasan ini pernah dirampas kembali oleh Portugis) dan merebut benteng kecil Portugis di Muscat. Beliau telah menuju ke Hormuz dengan 30 buah kapal setelah berjaya mengalahkan Portugis di Laut Arab. Namun pengepungan ke atas Hormuz mencapai kegagalan dan Piri Reis telah berundur Ke Basrah dan Suez. Piri Reis telah dihukum bunuh kerana dituduh lari dari medan peperangan.

Pada tahun 1557, angkatan Tentera Uthmaniyah telah berjaya menawan perlabuhan Portugis di Masawwa serta wilayah-wilayah di Habsyah. Kejayaan ini telah memperkuatkan kedudukan kerajaan Uthmaniyah di Teluk. Pada tahun 1559, Gabenor Jeneral Uthmaniyah di Al-Hasa telah berusaha untuk menawan Pulau Bahrain namun Portugis telah memberi serangan balas sehingga kerajaan Uthmaniyah berakhir dengan kegagalan.

Sehingga 1560, sejarawan yang bernama barat yang bernama Collin Imber merumuskan bahawa Portugis tidak dapat mengusir Uthmaniyah dari Basra, Al-Hasa’ dan Qatif di bahagian kepala Teluk mahup dari laut Merah. Demikain juga Uthmaniyah tidak dapat mematahkan sekatanĀ Portugis di Hormuz mahupun megalahkan Portugis di lautan.

Demi untuk menjamin perdagangan terus berlangsung, kedu-dua kerajaan ini telah melakukan rundingan. Pada tahun 1562, Gabenor Jeneral Uthmaniyah di Basra telah menghantar duta ke Hormuz untuk berbincang akan pengembalian perdagangan melalui Teluk.

Pada tahun 1564, Sultan Sulaiman Al-Qanuni telah telah menulis surat kepada Raja Portugis bahawa baginda menginginkan Raja portugis “menjamin pelintasan di daratan dan laut untuk orang-orang dan pedagang dari kerajaan Uthmaniyah yang berdagang dari dan ke pulau-pulau di bawah dominasi Portugis.”

Kesimpulan

Terdapat 4 kesan pertembungan dua kerajaan yang telah dirumuskan oleh Al-Shalabi iaitu:

  1. Uthmaniyah menguasai tempat suci dan laluan haji.
  2. Uthmaniyah menjaga sempadan darat dari semua serangan Portugis sepanjang kurun 16 Masihi.
  3. Laluan perdaganan menghubungkan India dan Kepulauan Melayu berjaya dihubungkan melalui teluk Arab dan Laut Merah.
  4. Pertukaran barangan India dengan pedagang Eropah terus berjalan di pasaran Halab, Kaherah dan Istanbul. Pada tahun 1554, pedagang Venice sahaja membeli 6 ribu tan rempah. Dalam masa yang sama sebanyak 20 kapal yang membawa barangan dari India seperti rempah pewarna dan tekstil tiba di pelabuhan Jeddah.

Meskipun Kerajaan Uthmaniyah tidak berjaya menghalau Portugis dri Samudera Hindi dan kawasan teluk (hormuz) namun mereka berjaya menghalang cita-cita Portugis memasuki Hijjaz. Kerajaan Uthmaniyah telah mengamankan jalan-jalan yang menuju ke tanah suci Islam. Laut Merah juga dijadikan laluan khas kepada pedagang Islam sahaja. Menurut Al-Shalabi kejayaan Uthmaniyah menyekat ancaman Portugis terhadap dunia Islam wajar diberi penghargaan.

Rujukan:

  1. Bangkit Dan Runtuhnya Khilafah Uthmaniyah terjemahan tulisan Prof DR. Ali Muhammad Ash-Shalabi
  2. The Ottoman Empire 1300-1650 oleh Collin Imber
  3. Sejarah Umat Islam oleh Hamka 2016
  4. The Ottoman empire Classical age 1300-1600 oleh Halil Inalchik