Pada minggu lepas, telah tular sebuah video yang menunjukkan sekumpulan wanita berhijab membawa anjing bersiar-siar di jalanan. Tanpa bertanya dengan lebih lanjut,  perakam video tersebut terus menyebarkan video tersebut di media sosial dan video tersebut menerima kecaman pelbagai pihak.

Pada hakikatnya, gadis-gadis berhijab itu  merupakan pelajar perubatan veterinar di UPM yang sedang menjalani latihan industri di pusat perlindungan haiwan PAWS. Kebanyakkan haiwan di dalam pusat perlindungan tersebut terpaksa bersesak-sesak di dalam keadaan yang sempit. Untuk menjamin kesihatan mereka,  anjing-anjing di pusat perlindungan haiwan perlu dibawa bersiar sekali sakala. Sebagai persediaan,  kesemua pelajar perubatan veterinar perlu belajar berinteraksi bersama pelbagai haiwan termasuklah anjing sendiri.

Anjing bukanlah seekor haiwan yang hina,  namun adalah agak sukar untuk kita merubah persepsi masyarakat Malaysia yang seringkali mengaitkan haiwan tersebut dengan perkara yang negatif. Malah sebagai seorang pencinta haiwan, saya sendiri sering berasa sukar untuk menerangkan kepada golongan bukan Muslim mengenai hubungan Muslim dengan anjing.

Islam merupakan sebuah agama penyayang yang menggalakkan penganutnya berbuat baik kepada kesemua haiwan. Kita sendiri pasti sudah berulang kali mendengar kisah masyur mengenai seorang pelacur yang telah dimasukkan ke dalam syurga oleh kerana tindakan beliau yang memberi air kepada seekor anjing yang dahaga. Kisah ini sahaja telah dapat menunjukkan keinginan Islam untuk meninggikan akhlak seorang Muslim dengan berbuat baik kepada semua makhluk tuhan.

Pada tahun lepas,  saya telah berpeluang untuk berkunjung ke Turki selama enam bulan di dalam sebuah program pertukaran pelajar universiti. Antara perkara yang paling mengejutkan saya adalah layanan rakyat Turki yang sangat baik terhadap haiwan jalanan.

Saya tidak pernah menemukan seekor pun anjing dan kucing yang sakit atau kurus di Turki. Malah,  majoriti daripada rakyatnya adalah sangat prihatin terhadap haiwan jalanan. Anjing jalanan di Turki hampir kesemuanya sangat jinak dan dijaga dengan baik oleh masyarakat sekeliling. Malah, kerajaan Turki juga telah memvaksin anjing jalanan sebelum melepaskan mereka semula di jalanan.

Apabila tibanya musim sejuk,  kedai-kedai di Turki akan membenarkan anjing jalanan tidur di dalam kedai mereka pada waktu malam. Saya sendiri pernah menyaksikan perkara ini sewaktu saya sedang bersiar-siar bersama sahabat saya untuk membeli belah. Ada sebuah kedai yang menjual barangan kosmestik yang membenarkan seekor anjing jalanan tidur di dalam kedai mereka kerana cuaca di luar adalah agak sejuk.

Tambahan lagi,  adalah normal juga untuk anda lihat pelbagai orang berebut-rebut memberi makan kepada kucing dan anjing jalanan di Turki. Saya pernah lihat seorang wanita Turki meletakkan makanan anjing dan kucing di luar kedai mereka untuk memberi makan kepada haiwan yang melalui kedai tersebut.

Malah, di jalanan Istanbul hampir kesemua orang adalah sangat baik kepada haiwan-haiwan jalanan. Sewaktu saya berkunjung di Hagia Sophia, saya melihat pengawal keselamatan masjid tersebut berlaku sangat baik kepada seekor kucing jalanan betina yang baru melahirkan anak-anaknya dan memberikan mereka perlindungan di bumbung beliau. Adalah sangat mudah juga untuk anda temui rumah-rumah kucing dan burung yang dibina sekitar masjid sebagai perlindungan kepada mereka.

Mesin-mesin kitar semula yang akan mengeluarkan makanan buat anjing dan kucing jalanan juga boleh ditemui di pelbagai tempat di sekitar Turki. Mesin itu akan mengeluarkan makanan percuma buat haiwan tersebut apabila kita memasukkan plastik untuk dikitar semula. Di samping menggalakkan masyarakat untuk mengitar semula,  kerajaan Turki juga menggalakkan kita untuk berbuat baik kepada haiwan jalanan.

Sebagai seorang pencinta haiwan,  saya berasa sangat terharu melihat layanan rakyat Turki terhadap haiwan jalanan apabila saya berkunjung ke Turki. Pada masa yang sama,  saya juga agak kecewa kerana adalah agak sukar untuk kita temui budaya yang sama di Malaysia. Pengalaman peribadi saya mengikuti secara rapat beberapa pusat perlindungan haiwan di Malaysia telah banyak membuka mata saya terhadap isu ini.

Namun,  layanan baik masyarakat Turki terhadap haiwan jalanan adalah perkara yang tidak mengejutkan kerana kita akan dapat lihat budaya yang sama pada zaman kegemilangan Empayar Uthmaniyyah!  Berdasarkan sumber sejarah, Empayar Uthmaniyyah telah membina sebuah yayasan khas yang memberikan makanan buat anjing jalanan, serigala di pergunungan, menyediakan air buat burung di musim panas, merawat burung yang sayapnya patah serta merawat kuda yang cedera. Rumah burung juga telah dibina di pelbagai bangunan seperti di masjid, madrasah dan istana.

Sumber sahih di dalam arkib Uthmaniyyah juga telah banyak mencatatkan catatan menarik mengenai cinta dan sifat ihsan masyarakat Islam pada ketika itu terhadap haiwan jalanan.

Seorang pemuda bernama Müreselli İbrahim Ağa yang tinggal di Izmir Turki telah mendermakan 100 kuruş setiap tahun kepada Masjid Ödemiş Yeni untuk menyediakan makanan buat bangau-bangau yang tinggal di sekitar masjid tersebut pada tahun 1307.

Dan di tahun 1544, terdapat juga rekod mengenai Lütfi Pasha yang telah mewakafkan air kolam untuk para musafir dan haiwan yang sering melewati kawasan tersebut. Selain itu, terdapat juga rekod mengenai Yayasan Çandarluzade Mehmed Bey yang telah mendermakan rumah ladang untuk menjaga burung merpati pada tahun 1707. Masjid Kediler Damsyik, Syria telah menubuhkan sebuah yayasan buat kucing jalanan. Penjaga masjid tersebut akan memberikan makanan kepada beratus-ratus kucing jalanan secara konsisten.

Kepada mereka yang ingin menyaksikan secara sendiri sifat sayang masyarakat Turki terhadap haiwan jalanan, khususnya kucing, anda boleh menonton sebuah dokumentari khas yang berjudul ‘Kedi’. Dokumentari itu telah menceritakan secara rapat sifat ihsan rakyat Turki terhadap kucing jalanan.`

Seperti makhluk-makhluk lain, haiwan juga mempunyai jiwa, hati dan perasaan. Mereka juga mampu merasai kesakitan dan kesedihan. Malah, berdasarkan kajian saintifik adalah terbukti bahawa haiwan juga mampu mengidap penyakit kemurungan. Janganlah kita pandang hina kepada anjing hanya kerana kita diarahkan untuk menyamak tangan kita selepas menyentuhnya. Layanilah mereka dengan penuh ihsan dan kasih sayang seperti apa yang diajarkan oleh agama kita pada asalnya. Antara impian saya yang terbesar adalah untuk melihat Malaysia berkembang menjadi negara yang maju dan membangun serta juga prihatin terhadap haiwan jalanan.

Anjing jinak dan sihat di sekitar Hagia Sophia dan Masjid Sultanahmed di Istanbul yang tidak diganggu oleh masyarakat sekeliling.
Kucing jalanan di Istanbul yang dijaga dengan sangat baik oleh masyarakat Turki.
Poster yang ditampal sekitar masjid di Istanbul pada bulan Ramadan. Poster ini menulis, ‘Terdapat hak ke atas setiap makhluk’.
Rumah kucing yang dibina sekitar Istanbul. (Sumber: sherwoodfamilynonsense.blogspot.com)

RUJUKAN:

1) Ekrem Ekinci (2015, January 18). The Ottomans’ exemplary treatment of street animals.

2) Pengalaman peribadi penulis di Turki.

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sakinah Jannati merupakan seorang graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di dalam bidang Sains Politik (major) dan Ilmu wahyu(minor). Seorang gadis yang mempunyai minat sangat mendalam dalam sejarah dunia, falsafah politik dan sirah Islam. Antara impiannya yang terbesar adalah untuk menjadi seorang wanita yang dapat memberi manfaat kepada ummah terutamanya melalui penulisannya.

Comments are closed.