Tuntutan Vietnam Ke Atas Laut China Selatan

667

Vietnam merupakan antara negara yang turut sama menuntut kepulauan-kepulauan di Laut China Selatan lebih-lebih lagi Kepulauan Paracel dan Spratly. Dalam isu tuntutan terhadap Kepulauan Paracel, Vietnam terpaksa berdepan dengan China yang telah menduduki kepulauan terbabit.

Manakala bagi tuntutan terhadap Kepulauan Spratly, Vietnam perlu berdepan dengan China, Taiwan, Malaysia dan Filipina. Seperti mana China, Vietnam turut menggunakan sejarah lampau bagi menjustifikasikan tuntutannya terhadap Kepulauan Paracel dan Spratly. Dalam hal ini, Vietnam mempunyai nama sendiri bagi Kepulauan Paracel yang dikenali sebagai Hoang Sa, manakala kepulauan Spratly pula ialah Truong Sa.

Gambar 1: Nama Kepulauan Spratly dan Paracel dalam bahasa Vietnam.

Asas Tuntutan Vietnam

Menurut sebuah rekod yang bertajuk Tuyen tap Thien Nam Tu Chi Lo Do Thu (A Route Map from the Capital in the Four Directions) yang ditulis dan dilukis oleh Do Ba pada abad ke-17 menunjukkan bahawa Dinasti Nguyen di Vietnam menubuhkan sebuah pasukan tentera laut khas untuk melakukan rondaan dan pemantauan di Hoang Sa.

Pasukan peronda ini bukan setakat melakukan rondaan dan pemantauan di Hoang Sa malah sehingga ke Truong Sa. Begitu juga dalam sebuah dokumen rasmi Dinasti Nguyen bertajuk Phu bien tap luc (Miscellaneous Records of Pacification in the Border Area) yang ditulis oleh Le Quy Don pada tahun 1776 M yang menyebut bahawa Hoang Sa dan Truong Sa sebahagian daripada wilayah Dinasti Nguyen.

Terdapat banyak lagi rekod yang mencatatkan kedaulatan wilayah Dinasti Nguyen turut merangkumi Hoang Sa dan Truong Sa antaranya ialah Kham dinh Dai Nam hoi dien su le (Dai Nam Administrative Repertory) dan Lich trieu hien chuong loai chi (Classified Rules of Dynasties) yang disusun oleh Phan Huy Chu, Viet su cuong giam khao luoc (A Brief History of Vietnam) ditulis oleh Nguyen Thong, Hoang Viet dia du chi (Geography of Imperial Vietnam) dan Dai Nam nhat thong chi (History of the Unified Dai Nam) oleh Pejabat Pensejarahan Kebangsaan Dinasti Nguyen serta dokumen rasmi Dinasti Nguyen ketika pemerintahan Raja Minh Mang (1820-1840) dan Raja Thieu Tri (1841-1847).

Ketika dibawah pemerintahan Raja Gia Long kerja-kerja penerokaan, pengurusan dan rondaan terhadap Hoang Sa dan Truong Sa giat dijalankan. Ini diteruskan oleh pemerintah-pemerintah Vietnam selepas baginda seperti Raja Minh Mang dan Thieu Tri yang masih menghantar tentera ke Hoang Sa dan Truong Sa bagi melaksanakan kerja-kerja pemetaan dan peninjauan.

Walaupun sewaktu pemerintahan Raja Tu Duc yang berdepan dengan penjajahan Perancis namun Hoang Sa tidak pernah dilupakan. Hal ini kerana Hoang Sa telah dipetakan dalam sebuah buku bertajuk Dai Nam Nhat ThongChi (the Geography of Unified Great Vietnam) ketika era pemerintahan baginda. Walaupun Vietnam dijajah Perancis, namun pihak Perancis telah mengambil alih beberapa buah pulau di Spratly dan Paracel yang selama ini menjadi sebahagian daripada wilayah Dinasti Nguyen.

Selepas tamat penjajahan Perancis, Vietnam terbahagi kepada dua iaitu Vietnam Utara dan Vietnam Selatan. Kerajaan Vietnam Selatan mengeluarkan satu kenyataan melalui Kementerian Luar pada 16 Jun 1956, menegaskan kedaulatan Vietnam di Kepulauan Spratly. Pada tahun yang sama juga pihak Vietnam Selatan telah membantah pendudukan China di timur Kepulauan Paracel.

Sebaik sahaja tentera Perancis berundur dari beberapa buah pulau di Paracel dan Spratly, tentera Vietnam Selatan segera menduduki pulau-pulau tersebut. Dengan bantuan tentera laut Vietnam Selatan, Jabatan Industri Kecil, Teknologi dan Perlombongan melaksanakan tinjauan di 4 buah pulau di Paracel iaitu Pattle (Hoang Sa), Money (Quang anh), Robert (Huu Nhat) dan Drumond (Duy Mong). Kemudian pada 22 Oktober 1956, pentadbiran Saigon meletakkan Pulau Spratly dibawah pentadbiran Wilayah Phuoc Tuy. Seterusnya pentadbiran Saigon meletakkan bidang kuasa Kepulauan Paracel dari Wilayah Thua Thien ke Wilayah Quang Nam.

Manakala Vietnam Utara pula telah mengiktiraf tuntutan China terhadap Paracel dan Spratly. Pada 15 Jun 1956, Timbalan Menteri Luar Vietnam Utara, Un Van Khiem mengatakan bahawa Paracel dan Spratly merupakan sebahagian daripada wilayah China sejak dahulu lagi. Begitu juga dengan kenyataan Le Loc yang merupakan Acting Director of the Asian Department of the Vietnamese Foreign Ministry mengatakan bahawa pulau-pulau terbabit sememangnya sebahagian daripada wilayah China sejak zaman dinasti Song.

Pada 4 September 1958, kerajaan China mengeluarkan pengisytiharan berkaitan laut wilayah China yang menjelaskan bahawa keluasan laut wilayahnya ialah sejauh 12 batu nautika atau lebih 22 kilometer. Peruntukan pengisytiharan ini terpakai terhadap semua wilayah milik Republik Rakyat China yang merangkumi tanah besar & pulau-pulau berdekatan dengan pantai China, Taiwan & pulau-pulau berdekatan dengannya serta Kepulauan Penghu, Dongsha, Xisha, Zhongsha, Nansha dan semua pulau milik China yang terpisah dengan tanah besar dan pulau-pulau berdekatan dengan pantai negaranya oleh laut lepas.

Kemudian pada 14 September 1958, Perdana Menteri Vietnam Utara, Pham Van Dong dalam satu nota yang dihantar kepada Perdana Menteri China, Zhou Enlai menyatakan bahawa Vietnam mengiktiraf dan menyokong pengisytiharan Republik Rakyat China berkaitan laut wilayah yang diisytiharkan pada 4 September 1958 dan kerajaan Republik Demokratik Vietnam (Vietnam Utara) menghormati keputusan itu.

China menggunakan perkara ini untuk membuktikan bahawa kerajaan Vietnam sebelum penyatuan telah lama mengiktiraf tuntutan China terhadap Paracel dan Spratly. Pengiktirafan dan sokongan Vietnam Utara terhadap tuntutan China di Laut China Selatan harus difahami dalam konteks perang dingin.

Vietnam Utara terhutang budi kepada China atas latihan dan bantuan ketenteraan yang diberikan oleh pihak Beijing ketika meletusnya Perang Indo-China Pertama yang merupakan perang menentang penjajah Perancis. Selepas tamat perang, Vietnam masih memerlukan bantuan dan sokongan China lebih-lebih lagi apabila berlakunya Perang Vietnam yang menyaksikan campur tangan Amerika Syarikat bagi membantu sekutunya Vietnam Selatan.

Oleh sebab itu, selepas penyatuan Vietnam Utara dengan Vietnam Selatan yang akhirnya membawa kepada penubuhan Republik Sosialis Vietnam pada tahun 1975, Hanoi mula menggunakan undang-undang laut antarabangsa di samping asas sejarah dalam menuntut Kepulauan Paracel daripada China. Kepulauan Paracel hanya dikuasai sepenuhnya oleh China apabila tentera laut Beijing menang dalam pertempuran dengan tentera laut Vietnam Selatan pada 19 Januari 1974.

Kawasan barat daya Kepulauan Paracel yang selama ini dikuasai Vietnam Selatan telah dikuasai oleh China. Isi kandungan UNCLOS seperti Perairan, Zon Ekonomi Esklusif, zon berdampingan dan pentas benua diguna pakai oleh Vietnam dalam menuntut Kepulauan Paracel. Resolusi Sesi ke-5 Perhimpunan Kebangsaan Republik Sosialis Vietnam ke-9 pada tahun 1994 telah menerima pakai UNCLOS 1982 dalam undang-undang lautnya. Maka bermulalah pertikaian wilayah dengan China di Paracel dan Spratly serta dengan beberapa buah negara yang lain.

Kini, Vietnam telah menduduki beberapa buah pulau dan terumbu di Spratly antaranya ialah Southwest Cay (Song Tu Tay), South Reef (Da Nam), Petley Reef (Nui Thi or Da Thi), Sand Cay (Son Ca), Namyit Island (Nam Yet), Discovery Great Reef (Da Lon), Sin Cowe Island (Sinh Ton), Collins Reef (Co Lin), Lansdowne Reef (Len Dao), Sin Cowe East Island (Sinh Ton Dong), Ladd Reef (Da Lat), Spratly Island (Truong Sa atau Truong Sa Lon), West Reef (Da Tay), Central Reef (Truong Sa Dong), East Reef (Da Dong), Pearson Reef (Phan Vinh), Allison Reef (Toc Tan), Cornwallis South Reef (Nui Le), Pigeon atau Tennent Reef (Tien Nu), Barque Canada Reef (Thuyen Chai) dan Amboyna Cay (An Bang).

Aktiviti Vietnam di Laut China Selatan

Tindakan China yang mengatur gerak pasukan pesawat Shenyang J-11, Xian JH-7 dan sistem peluru berpandu Hong Qi 9 dan sistem peluru berpandu anti kapal YJ-62 di Pulau Woody telah menyebabkan Vietnam menempatkan sistem pertahanan udaranya di lima buah pulau di Kepulauan Spratly. Sistem pertahanan udara Vietnam, Extended Range Artillery Rocket System (EXTRA) telah ditempatkan di lima buah pulau milik Vietnam di Kepuluan Spratly.

Pada bulan Jun 2016, Timbalan Menteri Pertahanan Vietnam, Nguyen Chi Vinh mengatakan bahawa Vietnam mempunyai hak untuk menempatkan sistem pertahanan udara tersebut kerana ia sebagai langkah mempertahankan diri.  Vietnam telah memperolehi sistem pertahanan udara EXTRA sejak tahun 2015 lagi.

Israel yang merupakan negara pengeluar sistem pertahanan udara EXTRA telah menghantar 20 peluru berpandu EXTRA kepada Vietnam untuk tujuan pertahanan pantai negara tersebut. Sistem pertahanan udara EXTRA mampu diletakkan pada trak-trak mudah alih atau stesen-stesen kekal. Peluru berpandu EXTRA dilengkapi dengan sistem GPS mampu menembak sasaran sejauh 150 km.

https://1.bp.blogspot.com/-sebDzQOIiP8/VtLBvfiwuRI/AAAAAAAAF2k/ix7uz8_FIjw/s1600/Vietnam%2BKRaZ%2Btruck.jpg
Gambar 2: Sistem EXTRA buatan Israel yang dimiliki oleh Vietnam.

Vietnam turut menambak pulau-pulau dan terumbu-terumbu miliknya di Laut China Selatan sehingga mampu membina infrastruktur tentera dan menghantar aset-aset tentera ke sana. Pulau Spratly milik Vietnam sebagai contoh, mempunyai lapangan terbang sepanjang 550 meter yang telah dibina pada tahun 1976 dan mampu menampung pesawat kargo atau pengangkut dan pengawasan.

https://static.businessinsider.my/sites/3/2017/06/5739f7bf910584716f8c2e1d.jpg
Gambar 3: Penambakan Pulau Spratly oleh Vietnam dan kemungkinan Vietnam akan memanjangkan lagi laluan pendaratan dan penerbangan di lapangan terbang sedia ada. Jika kepanjangan laluan pendaratan dan penerbangan melebihi 1000 meter, Vietnam akan mampu menghantar pesawat pejuang.
https://static.businessinsider.my/sites/3/2017/06/5739f88e52bcd0320c8c3184.jpg
Gambar 4: Seperti mana China, Vietnam turut menambak terumbu-terumbu miliknya sehingga menjadi sebuah pulau yang mampu menampung infrastruktur. Pada masa akan datang, Vietnam akan menjadi negara yang mempunyai kehadiran tentera yang tinggi di Laut China Selatan selepas China.

RUJUKAN:

Artikel Jurnal

Teh Kuang Chang. 1991. China’s claim of sovereignty over Spratly and Paracel Islands: A historical and legal perspective. Case Western Reserve Journal of International Law 23 (3): 399 – 420.

Internet

Bender, J. 2016. China isn’t the only one building islands in the South China Sea. https://www.businessinsider.my/vietnam-building-islands-in-south-china-sea-2016-5/?r=US&IR=T [15 Julai 2019].

Catama, M. 2016. Israel has delivered 20 EXTRA surface-to-surface guided rockets to Vietnam for coastal defence. http://www.aseanmildef.com/2016/02/israel-has-delivered-20-extra-surface.html [15 Julai 2019].

Do Danh Huan. 2015. Vietnam’s sovereignty over Hoang Sa and Truong Sa established at least since the 17th century. http://vietnamlawmagazine.vn/vietnams-sovereignty-over-hoang-sa-and-hoang-sa-established-at-least-since-the-17th-century-5134.html [14 Julai 2019].

Do Danh Huan. 2016. Vietnam’s sovereignty over Hoang Sa and Truong Sa archipelagos under Nguyen dynasty. http://vietnamlawmagazine.vn/vietnams-sovereignty-over-hoang-sa-and-truong-sa-archipelagos-under-nguyen-dynasty-5216.html [14 Julai 2019].

Le Hong Hiep. 2016. Understanding Vietnam’s rocket launcher deployment in the Spratlys. http://www.straitstimes.com/opinion/understanding-vietnams-rocket-launcher-deployment-in-the-spratlys [14 Julai 2019].

Nguyen Minh. 2015.  Firm evidence proves Vietnam’s sovereignty over archipelagoes. http://vietnamlawmagazine.vn/firm-evidence-proves-vietnams-sovereignty-over-archipelagoes-4905.html [14 Julai 2019].

VietNamNet Bridge. 2011. Historical documents on Vietnam’s sovereignty over Paracel and Spratly islands. http://english.vietnamnet.vn/fms/special-reports/9481/historical-documents-on-vietnam-s-sovereignty-over-paracel-and-spratly-islands.html [14 Julai 2019].

Artikel dikirimkan oleh Zulfiqar Mohd Yusof untuk The Patriots.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.