Tunku Puan Besar Kurshiah: Permaisuri Penuh Bakti

8833
views

Puteri diraja kelahiran Negeri Sembilan yang berperibadi sederhana serta luhur pekertinya ini tidak pernah menyangka bahawa dirinya bakal menjadi seorang Permaisuri Agong yang pertama, malah turut menabur budi untuk seluruh rakyat di Malaysia. Baginda yang dimaksudkan adalah Al-Marhumah YTM Tunku Puan Besar Kurshiah binti Al-Marhum Tunku Besar Burhanuddin. Tunku Puan Besar Kurshiah merupakan puteri sulung kepada Al-Marhum Tunku Besar Burhanuddin ibni Al-Marhum Tuanku Antah, iaitu Tunku Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Sejarah Awal

Nama sebenar baginda adalah Tunku Kurshiah binti Al-Marhum Tunku Besar Burhanuddin dan telah diputerikan pada 16 Mei 1911, di Istana Baroh, Seri Menanti, Negeri Sembilan. Bapa baginda, iaitu Tunku Besar Burhanuddin merupakan putera kedua kepada DYMM Tuanku Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Antah Ibni Almarhum Tuanku Nasiruddin dan YM Cik Puan Besar Halimah Binti Uggoh.  Bonda Tunku Kurshiah bernama Yang Mulia Tunku Sharifah Alawiyah binti Sayyid Abdul Hamid, dan baginda mempunyai tujuh orang kekanda lelaki serta enam lagi adinda perempuan. Selain daripada Tunku Kurshiah sendiri yang menjadi Permaisuri, dua orang adinda baginda, iaitu Tunku Ampuan Durah dan Tunku Najihah turut menjadi Permaisuri di Negeri Sembilan.

Tunku Kurshiah telah mendapat pendidikan awal baginda di Sekolah Melayu Seri Menanti, Negeri Sembilan. Baginda seterusnya telah memperoleh bimbingan dan pembelajaran Bahasa Inggeris secara peribadi di istana melalui seorang guru khas yang berbangsa Inggeris. Keadaan ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh faktor keadaan Tanah Melayu pada waktu itu yang dikuasai oleh kerajaan Inggeris dan ia sekaligus tidak memungkinkan baginda untuk mendapat pendidikan Bahasa Inggeris secara formal di sekolah.

Perkahwinan dan Perlantikan sebagai Permaisuri

Pada usia 18 tahun, Tunku Kurshiah telah bertemu jodoh dengan sepupu baginda sendiri, iaitu Tuanku Abdul Rahman ibni Al-Marhum Tunku Besar Muhammad, yang merupakan putera sulung kepada Yamtuan Besar Negeri Sembilan pada waktu itu. Majlis perkahwinan diraja di antara Tunku Puan Besar Kurshiah dengan Tuanku Abdul Rahman ini telah dilangsungkan pada 21 Mac 1929 bertempat di Seri Menanti. Status Tunku Kurshiah pada ketika itu adalah sebagai isteri ketiga kepada Tuanku Abdul Rahman, yang mana isteri pertama baginda bernama Cik Maimunah (Dulcie Campbell) yang dikahwini pada tahun 1919, manakala isteri kedua baginda, iaitu Tunku Maharun binti Tunku Mambang pula dikahwini pada tahun 1920. Namun, perkahwinan Tuanku Abdul Rahman dengan kedua-dua isterinya ini telah berakhir dengan perceraian.

Hasil perkongsian hidup antara Tunku Kurshiah dengan Tuanku Abdul Rahman telah dikurniakan dengan kehadiran dua orang puteri, iaitu Tunku Bahiyah dan Tunku Shahariah. Tunku Bahiyah, iaitu puteri sulung baginda kemudiannya telah mengahwini Sultan Kedah, Tuanku Al-Haj Abdul Halim Mu’adzam Shah dan bergelar sebagai Sultanah Kedah. Puteri bongsunya pula, iaitu Tunku Shahariah kemudiannya menjadi Tunku Puan Bendahara di Negeri Johor.

Pada Ogos 1933, Tunku Besar Muhammad, iaitu Raja dan Yamtuan Besar Negeri Sembilan telah mangkat dan putera sulung baginda, iaitu Tuanku Abdul Rahman telah dilantik oleh para pembesar Adat Perpatih bagi menggantikan Al-Marhum ayahanda baginda sebagai Yamtuan Besar Negeri Sembilan yang baru. Hampir setahun setelah peristiwa pertabalan baginda, akhirnya pada tanggal 25 April 1934, Tunku Kurshiah sebagai isteri ketiga kepada Tuanku Abdul Rahman telah ditabalkan sebagai Permaisuri dan memakai gelaran Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan.

Tunku Ampuan Besar Kurshiah telah berada di singgahsana kerajaan Negeri Sembilan sebagai Permaisuri selama 24 tahun, dan sepanjang waktu tersebut baginda telah banyak mencurahkan bakti buat seluruh rakyat di Negeri Sembilan terutamanya buat kaum wanita dan kanak-kanak. Peribadi baginda yang sederhana dan pekertinya yang luhur menjadikan baginda seorang Permaisuri yang rela mencemar duli dan tidak kekok untuk bergaul mesra dengan rakyat kebanyakan. Meskipun Tunku Ampuan Besar Kurshiah tidak pernah mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke luar negara, namun pengalaman baginda dalam mengiringi suami ke negara-negara luar telah banyak memberi pendedahan serta pengetahuan baru bagi baginda melaksanakan aktiviti bagi membangunkan kedudukan wanita.

Perlantikan Sebagai Permaisuri Agong

Tanggal 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu telah mendapat kemerdekaan dan akhirnya bebas daripada belenggu penjajah British. Hasil persetujuan yang dicapai melalui Majlis Raja-Raja, maka pada 13 September 1957, Tuanku Abdul Rahman telah ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong yang pertama di Tanah Melayu. Serentak dengan itu, Tunku Ampuan Kurshiah juga telah dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang pertama.

Melalui gelaran sebagai Raja Permaisuri Agong ini, serta sebagai wanita utama bagi sebuah negara yang baru mendapat kemerdekaan, Tunku Ampuan Besar Kurshiah telah memberikan satu imej baru yang wajar dibanggakan bagi seluruh wanita di Tanah Melayu pada waktu itu. Malah, dengan kedudukan baginda sebagai Raja Permaisuri Agong ini telah merancakkan lagi penglibatan baginda dalam pelbagai badan kebajikan, sosial serta aktiviti-aktiviti bagi membangunkan wanita di seluruh negara.

Sumbangan dan Penglibatan Sosial

Tunku Ampuan Besar Kurshiah amat dikenali sebagai seorang Permaisuri yang begitu aktif dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan sosial. Pada tahun 1954, melalui kerjasama pelbagai golongan wanita di Negeri Sembilan, Tunku Ampuan Besar Kurshiah telah melancarkan penubuhan Persatuan Pandu Puteri Negeri Sembilan dan baginda sendiri telah dilantik sebagai presiden pertama bagi persatuan berkenaan. Meskipun penubuhan persatuan ini telah berjaya dan banyak aktiviti yang telah dianjurkan demi kebaikan masyarakat, namun Tunku Ampuan Besar Kurshiah tetap merasakan bahawa masih banyak yang harus baginda lakukan demi kesejahteraan rakyat, khususnya golongan wanita. Ini telah membawa baginda untuk mengasaskan penubuhan satu lagi organisasi, iaitu Perkumpulan Perempuan atau lebih dikenali sebagai WI (Women’s Institute). Baginda turut menjadi Penaung seumur hidup kepada pertubuhan tersebut.

Pada Mei 1961, Tunku Ampuan Besar Kurshiah telah mengasaskan Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) dan baginda telah menjadi Yang Dipertua pertama pertubuhan tersebut dan ahli seumur hidup sehinggalah akhir hayat baginda. Bangunan Tunku Ampuan Besar Kurshiah yang terdiri daripada asrama serta pejabat LKPIM merupakan antara peninggalan baginda buat seluruh masyarakat. Tunku Ampuan Kurshiah juga telah menjadi penaung kepada Persatuan Kebajikan Haiwan PAWS kerana keprihatinan baginda terhadap kebajikan haiwan peliharaan. Pada 27 Oktober 1974, Tunku Ampuan Besar Kurshiah telah diberi anugerah Pingat Emas Tun Fatimah oleh Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) bagi mengenang segala jasa baginda terhadap kebajikan serta pendidikan wanita dan kanak-kanak di negara ini.

Pada tahun 1962, Maktab Perempuan Melayu telah ditukarkan kepada nama Kolej Tunku Kurshiah, sebagai satu simbolik dan tanda keprihatinan Tunku Ampuan Kurshiah terhadap bidang pendidikan gadis-gadis muda. Kolej yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan ini merupakan sebuah sekolah berasrama penuh yang kini amat terkenal dengan reputasi dan presatsi cemerlangnya serta telah ramai melahirkan tokoh-tokoh wanita berkaliber di Malaysia.

Kemangkatan Tunku Puan Besar Kurshiah

YTM Tunku Puan Besar Kurshiah telah kembali ke rahmatullah dalam tidurnya pada tanggal 2 Februari 1999, iaitu pada usianya 88 tahun. Jenazah baginda telah disemadikan di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan. Kemangkatan baginda ini amat dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat dan Tunku Puan Besar Kurshiah akan sentiasa dikenang sebagai ibu pertiwi yang telah banyak menabur budi.

Kesimpulan

Penglibatan Tunku Puan Besar Kurshiah dalam pelbagai aktiviti kebajikan khususnya demi kepentingan golongan wanita, gadis dan kanak-kanak merupakan antara sumbangan terbesar beliau dalam memperkasakan peranan wanita di Malaysia. Azam baginda hanyalah untuk melihat golongan wanita dapat berdiri di atas kaki mereka sendiri dan mampu untuk menyumbang demi pembangunan negara. Secara asasnya, Tunku Puan Besar Kurshiah telah membuka jalan dan memberi inspirasi kepada wanita-wanita di Malaysia untuk terus mengorak langkah dalam mengejar impian mereka. Semoga segala sumbangan dan bakti baginda akan terus dihargai dan dikenang dalam diri setiap wanita di negara ini.

Rujukan

Amirul, I. (2011). YMM Almarhum Tuanku Puan Besar Kurshiah: Lambang Kedaulatan Wanita Melayu. Retrieved November 25, 2018, from http://warisanpermaisuri.blogspot.com/2011/11/ymm-almarhum-tuanku-puan-besar.html

Siti Rosnah, H. A. (2006). Raja Permaisuri Agong: Payung Mahkota Ibu Pertiwi. Kuala Lumpur, Malaysia: Golden Books Centre Sdn Bhd.