Pada tahun 1821 kerajaan Siam atau Thai telah melakukan serangan mengejut ke atas Kesultanan Kedah. Penaklukan Thai terhadap Kedah yang bermula dari tahun 1821 hingga 1842 ini adalah tempoh masa yang paling getir dan paling sengsara bagi orang-orang Melayu Kedah. Ramai daripada rakyat Kedah yang kehilangan harta dan nyawa baik kaum lelaki, wanita, tua mahupun muda.

Malah ramai juga yang ditangkap oleh tentera Siam dan dibawa sebagai tawanan perang ke Ligor dan Bangkok untuk dijadikan hamba. Pendudukan Siam keatas Kedah sehingga tahun 1842 ini telah mencetuskan beberapa siri penentangan daripada orang-orang Melayu Kedah untuk memulihkan semula kedaulatan dan membebaskan negeri mereka daripada cengkaman Siam. Perang ini lebih dikenali dikalangan orang-orang Melayu Kedah sebagai Perang Musuh Bisik.

Sebenarnya pihak yang bertanggungjawab mencetuskan perang ini di peringkat awal ialah Raja Ligor. Dipercayai beliau telah menghasut pihak kerajaan Siam di Bangkok untuk menawan dan menyerang Kedah. Tindakan ini dipercayai kerana beliau mempunyai rasa tidak puas hati terhadap Sultan Kedah. Bagi menjayakan serangan ini Raja Ligor telah membuat satu muslihat bagi menipu Kedah dan memastikan bahawa tenteranya dapat masuk ke Kedah tanpa sebarang halangan.

Pasukan tentera Ligor seramai 7000 orang dikatakan telah berlepas dari Trang terus ke Sungai Kedah dengan memberi alasan untuk mendapatkan bekalan beras dari Kedah bagi melancarkan kempen ketenteraan di Burma. Namun demikian ini hanyalah helah untuk menangkap Sultan Kedah dan menawan negeri jelapang padi tersebut.

Dalam serangan mengejut pada Ahad 12 November 1821 tersebut, Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah sedang berada di Kuala Muda dalam urusan kerja menggali terusan.

Baginda dan segala isi Istana telah sempat mengundurkan diri ke Seberang Perai dan kemudiannya terus ke Pulau Pinang bagi mendapat perlindungan British. Dalam pertempuran di Kota Kuala Kedah dipercayai Dato Syahbandar, Dato Temenggung dan Dato Laksamana telah syahid dibunuh tentera Siam, manakala Dato Bendahara, Putera Sultan Tunku Yaakob dan Tunku Jam Jam telah dapat ditawan oleh tentera Siam.

Namun demikian dipercayai Dato Bendahara telah diracuni ketika dalam perjalanan ke Singgora. Dalam serangan itu dianggarkan sejumlah 1000 rakyat Kedah ditawan dan dibawa ke Bangkok untuk dijadikan hamba kepada Raja serta para pembesar Siam.

Setelah menawan Kedah, Raja Ligor telah meletakkan dua orang anaknya iaitu Phya Buri Saknuton sebagai Gabenor dan Phya Sina Nunchit sebagai Timbalan Gabenor. Pentadbiran Siam di Kedah juga dibantu oleh pihak tentera dan undang-undang tentera dikuatkuasakan. Semasa dibawah pemerintahan tentera Siam, ramai rakyat Kedah yang telah dibunuh dengan kejam.

Mana-mana rakyat Kedah yang mahu melarikan diri keluar dari Kedah akan ditangkap dan diikat lalu badannya akan dibelah dua dengan menggunakan parang besar. Kaum wanita pula ramai yang menjadi mangsa kerakusan nafsu tentera Siam. Rumah-rumah penduduk banyak yang dibakar dan sawah ladang terbiar mati.

Sultan Ahmad Tajuddin telah beberapa kali menghantar wakilnya bersama wakil pihak British ke Siam bagi membincangkan perjanjian damai dan mendapatkan kembali Kedah, namun ia tidak membuahkan sebarang hasil. Namun demikian pada tahun 1826 pihak British telah menandatangan satu perjanjian dengan Siam. Mengikut perjanjian tersebut British mengaku kedaulatan Siam terhadap Kedah dan British juga akan menghalang sebarang usaha dari Sultan Ahmad Tajuddin dan para pengikutnya daripada menyerang Kedah.

Perjanjian yang menyebelahi pihak Siam ini telah menyebabkan Sultan Kedah dan rakyat Kedah marah dan berasa terhina. Oleh kerana itu bagi memulihkan semula maruah dan kedaulatan Kedah pada tahun 1826, Syed Zainal Abidin atau lebih dikenali dengan panggilan Tunku Kudin, iaitu anak saudara kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah telah melancarkan satu kempen ketenteraan untuk merebut kembali Kedah daripada cengkaman Siam.

Pihak Siam pernah meletupkan rumah Tunku Kudin pada waktu malam untuk membunuhnya, tetapi beliau berjaya diselamatkan. Namun anak-anak serta isteri beliau telah meninggal dunia dalam letupan tersebut. Peristiwa tersebut telah menguatkan lagi motivasi dan dendam kesumat beliau terhadap Siam. Beliau bersama Tunku Long Putih, saudara ipar kepada Sultan Ahmad Tajuddin dan Tunku Sulaiman berserta para pengikut mereka telah membuat serangan mengejut keatas kubu siam di Kota Kuala Kedah. Namun demikian serangan buat pertama kali ini telah gagal.

Pada tahun 1829, sekali lagi Tunku Kudin telah bangkit memimpin rakyat Kedah untuk mengusir pihak Siam. Gerakan kali kedua ini disertai oleh Tunku Long Puteh, Tunku Jaafar dan Tunku Dagang, serta beberapa orang lagi paglima-panglima Melayu Kedah. Namun demikian nasib masih tidak menyebelahi Tunku Kudin dan orang-orang Kedah kerana dalam serangan ini mereka gagal mengusir Siam.

Pada bulan Januari 1830 sekali lagi Tunku Kudin mengumpul orang-orang Melayu untuk berjuang menentang Siam. Beliau telah berjaya mengumpulkan kira-kira 5,000 orang Melayu untuk menyerang Kedah melalui Perai. Jumlah angkatan ini semakin bertambah di Kedah kerana ramai rakyat Kedah mahu menyertai perang Jihad tersebut.

Pada 24 April 1831, Tunku Kudin dan para pengkutnya telah berjaya menawan Kota Kuala Kedah daripada tangan tentera Siam. Pasukan Siam telah lari menuju ke A1ur Ganu yang menjadi salah satu markas kuat mereka.

Kira-kira 30 orang tentera Siam telah berjaya ditawan oleh orang-orang Melayu dan diseksa sehingga mati. Sejak awal peperangan ini, dipercayai terdapatnya penglibatan orang Cina terutama dari Kongsi Gelap yang turut membantu Siam membunuh serta merampas harta benda rakyat Kedah.

Oleh itu, setelah Kota Kuala Kedah berjaya ditawan semula oleh orang Melayu, semua orang Cina yang membantu tentera Siam telah dibunuh dengan cara dijahit hidup-hidup di dalam kulit kerbau yang baru disembelih dan dibiarkan di tengah panas hingga mati.

Kejayaan Tunku Kudin merampas semula Kota Kuala Kedah dan mengusir tentera Siam telah diketahui oleh Raja Ligor. Akibatnya Raja Ligor telah mengumpulkan kira-kira 7,500 orang tentera Siam dengan 3,000 ekor gajah perang untuk menyerang Kedah.

Angkatan Siam telah masuk ke Kedah dan bergabung dengan tentera mereka yang bertahan di Alur Ganu. Dalam pertempuran ini pihak British telah memberi bantuan kepada tentera Siam dan mengishtiharkan sesiapa yang ditangkap membantu pasukan Kedah akan dianggap sebagai lanun dan akan dikenakan hukuman.

British turut memberi bantuan senjata dan ubat bedil kepada Siam. Kapal-kapal perang British telah diarahkan ke Sungai Kedah dan Sungai Merbok bagi menyekat dan memintas pasukan Tunku Kudin dan Tunku Long Puteh yang dipercayai akan mengundurkan diri daripada serangan Siam melalui laut. Perairan Kedah juga telah dikawal ketat oleh kapal-kapal perang British agar tiada bantuan daripada orang-orang Melayu dari luar Kedah boleh masuk.

Pasukan Tunku Kudin di Kota Kuala Kedah telah diserang dengan dasyat oleh tentera Siam. Walaupun Tunku Kudin telah bermati-matian mempertahankan Kota Kuala Kedah, namun akhirnya pasukan mereka dapat dikalahkan dan Tunku Kudin bersama para pengikutnya telah gugur syahid. Menurut catatan British, dalam peristiwa kebangkitan Tengku Kudin ini bukan sahaja pihak kaum lelaki yang telah mengangkat senjata malah kaum Hawa juga turut turun ke medan perang menghayun pedang dan menghunus badik serta menembak pemuras bagi mengusir Siam.

Terdapat kisah yang menyebut bahawa beliau telah membunuh diri kerana tidak mahu ditawan Siam. Pihak Siam kemudian telah memancung mayat Tunku Kudin dan kepalanya telah dipersembahkan dihadapan Raja Ligor. Peristiwa ini tak ubah seperti peristiwa William Wallace pahlawan Scotland yang menentang penjajahan Inggeris yang kepalanya turut dipancung dan dipersembahkan kepada Raja England. Walaupun beliau syahid, namun terdapat ura-ura atau kisah lisan yang menyebut bahawa beliau terselamat dan berjaya lari keluar dari kepungan Siam. Kisah ini turut dipetik dalam Singapore Cronicle.

Dalam pertempuran yang berlangsung lebih kurang lima bulan tersebut, dipercayai seramai 700 orang tentera Siam telah terbunuh dan 1,500 orang pejuang Kedah telah syahid. Setelah Kota Kuala Kedah jatuh kembali ke tangan Siam, kira-kira 4,000 hingga 5,000 orang Melayu Kedah telah ditawan. Syahidnya Tunku Kudin di Kota Kuala Kedah telah sampai ke telinga seluruh rakyat Kedah. Keperwiraan beliau dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan bangsa Melayu dikenang oleh orang-orang Melayu Kedah sehinga sekarang. Kegagalan gerakan Tunku Kudin ini tidak langsung meruntuhkan semangat orang-orang Kedah untuk menentang Siam.

Sebaliknya terdapat beberapa lagi siri peristiwa gerakan penentangan berlaku di Kedah termasuk yang dirancang oleh Sultan Kedah sendiri pada 27 Mac 1837. Walaupun racangan Baginda Sultan gagal kerana dihalang oleh British, namun obor perjuangan membebaskan Kedah daripada cengkaman Siam tetap menyala dan telah diteruskan oleh pahlawan Melayu Kedah yang lain seperti Tunku Muhammad Saad, Dato Wan Muhammad Ali, Tok Mo Ris dan Tunku Muhammad Akib serta ramai lagi, sehinggalah Kedah berjaya bebas sepenuhnya daripada penjajahan Siam pada tahun 1842 dengan helah diplomatik yang dimainkan oleh Tunku Anum. Sekian, wallah hu a’lam.

RUJUKAN:

• Abdullah Zakaria, Peribumi dan Penjajah: Gerakan Tentangan di Malaysia, Persatuan Sejarah Malaysia.

• Haji Buyung Adil, Sejarah Kedah, Dewan Bahasa dan pustaka, Kuala Lumpur, 1980.

• Abdullah Zakaria Ghazali, Sejarah Malaysia: Sorotan Masa Lalu, Iktibar Hari Ini Dan Akan Datang. Persatuan Sejarah Malaysia. 2008.

• The Asiatic Journal and Monthly Register, British and Foreign India, China and Australasia. London. 1832.

• J. T. Thomson, Some Glimpses into Life In The Far East, London.1865.

• Kingsley Bolton, Christopher Hutton, Triad Societies Volume 5, Canada and UK. 1941.

• Thomas John Newbold, Political and Statistical Account of the British Settlements in The States of Malacca, London. 1839.

• Sherard Osborn, The blockade of Kedah in 1838: a midshipman’s exploits in Malayan waters, Oxford University Press


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) UKM. Bukan pakar sejarah tetapi peminat seumur hidup.

Comments are closed.