Tun Sri Lanang – Negarawan Ulung Johor Dan Acheh

1,076

Baru-baru ini, wujud satu video yang tular di mana ada seorang tokoh akademik melabel penulis Sejarah Melayu/Sulatus Salatin Tun Sri Lanang sebagai pengkhianat dan tali barut penjajah. Bagi saya sebagai seorang anak Melayu yang lahir di bumi Johor, tuduhan sebegitu amat berat dan mengarut. Ini kerana beliau bukan saja seorang pujangga yang menghasilkan Sejarah Melayu/Sulatus Salatin tetapi juga seorang negarawan Melayu yang menjadi kebanggaan Johor dan Acheh serta dikagumi pihak Belanda sendiri.

Latar belakang

Tun Seri Lanang dilahirkan di Seluyut, Johor pada tahun 1565. Ketika itu, Kesultanan Johor yang mewarisi Kesultanan Melaka berpusat di Batu Sawar. Beliau mempunyai darah keturunan Bendahara Melaka melalui Tun Tahir, adik Bendahara Tun Mutahir, Melaka. Susur-galur keturunannya adalah keturunan Melayu-Kling seperti dirumuskan dalam Sejarah Melayu naskhah William Shellabear (1967), “Tun Muhammad namanya, Tun Seri Lanang timang-timangannya, Paduka Raja gelarannya, Bendahara, anak Orang Kaya Paduka Raja, cucu Bendahara Seri Maharaja, cicit Bendahara Tun Nara Wangsa, piut Bendahara Seri Maharaja, anak Nara Di Raja Tun Ali, anak baginda Mani Purindam qaddasallaahu-Sirrahum, Melayu bangsanya dari Bukit Seguntang Mahameru, Malakat negerinya, Batu Sawar daru’l-salam.”

Huraian ini jelas menunjukkan Tun Seri Lanang berdarah bangsawan istana dan berkait rapat dengan keturunan kerabat diraja Melaka. Bonda Tun Seri Lanang bernama Tun Genggang binti Tun Jenal bin Tun Mat Ali bin Tun Hasan Temenggung bin Tun Mutahir bin Tun Ali bin Mani Purindam. Sebelah bapanya juga masih berkerabat susur galurnya dengan keturunan Mani Purindam iaitu Tun Seri Lanang bin Tun Ahmad bin Tun Isap bin Tun Ali bin Mani Purindam (Pucot Haslinda, 2008). Berdasarkan susur galur daripada kedua-dua belah ibu bapanya, jelas menunjukkan bahawa kedua ibu dan bapa Tun Seri Lanang bersaudara dan mempunyai darah keturunan Kling sebelah Mani Purindam.

Jadi, siapa sebenarnya Mani Purindam ini? Mani Purindam atau nama sebenarnya Sheikh Amir Badaruddin/Sheikh Matraludin merupakan putera kedua kepada Sultan Pahili (Gujerat) dari benua Kling bernama Raja Nizamul Muluk Akbar Syah yang memerintah sekitar tahun-tahun 1335-1388 (Teuku Syahbuddin Razi, 1991). Asal-usul Mani Purindam ada disebut dalam Sulalas-Sulatin suntingan A. Samad Ahmad (2003) seperti berikut, “Alkisah maka tersebutlah perkataan ada sebuah negeri di benua Kling, Pahili namanya, Nizamul Muluk Akbar Shah nama rajanya, ada pun raja itu Islam dalam agama Nabi Muhammad s.a.w, maka baginda beranak tiga orang, dua lelaki dan seorang perempuan, yang tua Mani Purindam namanya, dan yang tengah, Raja Akbar Muluk Shah namanya, dan yang perempuan Damia Seri Wandhi namanya,”

Mani Purindam telah mengembara dan berdagang ke Pasai (Pase) dan Melaka serta mengembangkan zuriatnya di kedua-dua tempat itu. Dalam perjalanan ke Pasai, kapalnya telah mengalami kerosakan di Sungai Jambu Air. Semasa di sana, beliau telah menikahi Puteri Candan Dewi, puteri Sultan Muhammad Said Malikus-Zahir yang merupakan Sultan Samudera-Pasai keenam. Perkahwinan Mani Purindam dengan Puteri Candan Dewi melahirkan keturunan yang berkerabat dengan Kesultanan Deli dan Serdang.

Dalam Sejarah Melayu (Shellabear, 1967), Tun Sri Lanang pernah menyebut bahawa Mani Purindam telah datang ke Melaka sebagai pedagang permata dengan tujuh buah kapal dagang beserta pengawal. Beliau telah disambut dengan baik oleh Sultan Muhammad Shah (1424- 1444). Di Melaka pula, Mani Purindam telah berkahwin dengan puteri bangsawan Acheh bernama Tun Ratna Sendari.

Perkahwinan ini melahirkan dua orang cahaya mata iaitu Tun Ratnawati dan Tun Ali. Tun Ratnawati telah berkahwin pula dengan Sultan Muhammad Shah dan dari perkahwinan ini mereka mendapat seorang putera bernama Raja Kassim yang menjadi Sultan Melaka Ke-5 bergelar Sultan Mudzaffar Shah yang menggantikan abangnya Raja Ibrahim (Seri Parameswara Dewa Shah). Sultan Mudzaffar Shah memulakan keturunan Melayu-Kling bagi kerabat raja-raja Melayu di Melaka, Johor dan Perak. Jelasnya, pada abad ke-15 lagi telah berlaku ikatan perkahwinan campur antara bangsawan Melayu dengan pedagang, pendakwah dan bangsawan dari luar seperti dari India dan mungkin Semenanjung Tanah Arab. Toleransi dari segi perkahwinan yang berasaskan kahwin sama agama membentuk keturunan kacukan yang merupakan fenomena biasa di Melaka hingga ke hari ini.

Bagaimanapun, perkahwinan golongan bangsawan Melayu dengan Kling turut memulakan persaingan kuasa politik antara orang Melayu dengan Kling atau Tamil-Muslim. Kemuncak kepada konflik ini apabila Sultan Muhammad Shah mangkat pada tahun 1444. Bendahara Seri Wak Raja dan kerabat diraja Melayu yang lain telah melantik Raja Ibrahim sebagai sultan Melaka keempat, tetapi kerabat diraja berdarah Kling mahukan Raja Kassim yang berketurunan Kling di sebelah ibunya menjadi raja dengan alasan Raja Ibrahim mula mengembalikan pengaruh Hindu di dalam istana. Apabila dilantik menjadi sultan, ternyata Raja Ibrahim menggelarkan dirinya dengan nama Hindu iaitu Seri Parameswara Dewa Shah. Akibat dari konflik ini, baginda mangkat kerana dibunuh selepas memerintah selama 17 bulan. Sementara Bendahara Seri Wak Raja dibunuh selepas diracun pihak-pihak yang memusuhinya.

Bagi meredakan suasana politik yang tegang, Raja Kassim atau nama barunya selepas menaiki takhta Sultan Mudzaffar Shah telah mengahwini Tun Kudu iaitu puteri Bendahara Seri Wak Raja. Seterusnya, untuk mengelakkan berlakunya perang saudara dan perpecahan empayar yang luas, baginda juga mengarahkan bapa saudaranya Bendahara Tun Ali meletakkan jawatan dan digantikan oleh kekanda Tun Kudu iaitu Tun Perak sebagai bendahara Melaka baharu. Kebijaksanaan baginda telah meredakan konflik politik Melayu-Kling. Lagipun, Tun Perak adalah seorang yang berkaliber sebagai pemimpin, penasihat raja dan panglima perang.

Perlibatan golongan Kling dalam politik, ekonomi dan sosial Kesultanan Melayu Melaka berlarutan dan amat aktif melibatkan tokoh-tokoh lain seperti Nina Chatu, Nina Sura dan Raja Mudaliar hinggalah kepada kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511. Tun Perak meninggal dunia pada tahun 1498 dan telah meninggalkan empayar Melaka yang luas di samping berupaya mengawal keseimbangan kuasa antara Melayu-Kling. Jawatan bendahara disandang oleh adiknya Tun Puteh tetapi hanya dalam masa singkat sahaja. Apabila beliau meninggal dunia, jawatan bendahara jatuh semula ke tangan bendahara keturunan Kling iaitu Tun Mutahir.

Penguasaan Tun Mutahir dalam pentadbiran Melaka menyebabkan perdagangan Melaka hampir dimonopoli oleh golongan pedagang Kling, satu perkara yang mencetuskan semula konflik Melayu-Kling yang akhirnya membawa kepada pembunuhan Tun Mutahir sekeluarga akibat fitnah Raja Mudaliar dan Si Kitul. Pada tahun 1509 Laksamana Diego Lopez De Sequeira tiba di pelabuhan Melaka dan kedatangannya menandakan satu perubahan besar bagi empayar Melaka dan kawasan berdekatan dengannya. Kerajaan Melayu Melaka runtuh pada tahun 1511 dan Sultan Mahmud Shah iaitu sultan Melaka terakhir telah berundur ke Muar dan seterusnya ke Bentan bagi merancang operasi pembebasan Melaka. Turut serta dalam pengunduran tersebut ialah ayahanda Tun Seri Lanang iaitu Bendahara Paduka Raja Tun Ahmad.

Konflik tiga segi Acheh, Johor dan Portugal

Jika anda baca tajuk ini, anda menyangka ia seperti satu kisah cinta tiga segi yang cliche. Tetapi ini realiti yang dihadapi ketiga-tiga kuasa di Selat Melaka pada abad ke-16 Masihi. Perang ini berlaku kerana ketiga-tiga pihak berkenaan mempunyai kepentingan yang sama iaitu mahu menguasai Selat Melaka yang merupakan jalan perdagangan yang sangat penting antara timur dengan barat dan menyambungkan benua Eropah dengan Asia. Di Asia, Selat Melaka merupakan jalan perdagangan yang menghubungkan Semenajung

Arab, benua Kling dan China. Sebelum kemunculan Melaka lagi, Selat Melaka telah menjadi tunjang asas kepada kekuatan Acheh dan negeri-negeri lain di pesisir Sumatera seperti Haru, Pedir, Perlak dan Pasai. Pendek kata, penguasaan Selat Melaka adalah penentu kepada kekuatan ekonomi negeri-negeri berkenaan. Berdasarkan alasan inilah juga yang mendorong Sultan Melaka memeluk Islam dan mengahwini puteri Perlak pada tahun 1414. Apabila Melaka jatuh ke tangan Portugal pada tahun 1511, percaturan penguasaan Selat Melaka menjadi sengit kerana melibatkan kuasa Barat lain yang juga pesaing Portugal iaitu Belanda dan Inggeris.

Sebelumnya, kuasa-kuasa Melayu dapat menyelesaikan masalah persaingan kuasa melalui tolak ansur berdasarkan perpaduan agama dan keturunan iaitu agama Islam dan melalui perkahwinan politik. Apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511, Sultan Mahmud Shah telah berundur ke Muar dan selepas itu ke Bentan. Persaingan merebut kepentingan di Selat Melaka bertambah sengit kerana melibatkan usaha Sultan Melaka untuk mengembalikan kekuasaannya di Melaka. Apabila usaha tersebut gagal, baginda mangkat di Kampar pada tahun 1528 dan usaha tersebut kemudiannya diteruskan oleh Sultan Alauddin Riayat Shah II, pengasas Kesultanan Johor.

Portugal terus menyerang Johor pada tahun-tahun 1518, 1520, 1521, 1524, 1536 dan 1587 untuk memantapkan kawalan perdagangan di Selat Melaka dan kawasan sekitarnya yang kaya dengan rempah ratus. Di sebalik semua itu, Johor masih berupaya membina empayar dengan menguasai Sungai Kelang, Kuala Linggi, Sungai Siak, Kampar, Bengkalis, Ungara, Karimon, Bentan, Lingga, Temasek (Singapura), Batu Pahat dan Muar. Buktinya, kekayaan Kesultanan Johor yang melimpah ruah dan pernah dicatatkan dalam satu artikel The Patriots tidak lama dahulu.

Serangan Johor ke atas Melaka sentiasa dilakukan, termasuk semasa pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah II. Serangan ini dilakukan serentak dengan bantuan kekandanya, Sultan Mudzaffar Shah dari Perak. Peperangan Johor-Portugal pada masa itu bertujuan mengembalikan kegemilangaan Kesultanan Melayu Melaka. Bagi Acheh pula, serangan-serangan yang dilakukannya terhadap Melaka dan Johor mempunyai matlamat yang sama dengan Portugal iaitu untuk menguasai perdagangan di Selat Melaka. Siri peperangan ini berlarutan selama hampir 80 tahun.

Tatkala tiga kuasa ini terus bercakaran bagi menentukan siapa layak menguasai Selat Melaka, Belanda yang mengintai dari jauh mula memainkan jarum pengaruhnya dan pada akhirnya, penguasaan Selat Melaka. Acheh yang sudah masak dengan permainan mereka bertindak menguasai Aru (Deli), Batu Bara, Siak dan Inderagiri pada awal abad ke-17. Kesultanan Acheh juga berusaha menekan Johor untuk menyertai mereka kerana tahu kedudukan kerajaan tersebut yang tersepit antara dua kuasa Barat itu.

Tetapi bagi Johor, itu tidak berlaku apatah lagi ketika itu, ibu kota mereka di Batu Sawar menjadi tumpuan ramai pedagang luar. Untuk meneruskan rancangan mendapatkan semula Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah III membuat perjanjian dengan Belanda pada Mei dan September 1606. Empat tahun selepas itu, Johor turut mengadakan perjanjian damai dengan Portugal pada Oktober 1610 bagi menamatkan sekatan yang dikenakan kuasa Barat tersebut. Perkembangan ini nyata menggusarkan Acheh kerana jika ia dibiarkan berterusan, Johor boleh saja mengancam kedudukan mereka di Selat Melaka.

Logik ini yang mendorong kesultanan tersebut melancarkan serangan besar ke atas Batu Sawar pada tahun 1610. Dengan kekuatan askar seramai 4,000 orang, Kesultanan Johor tidak dapat menahan asakan tentera Acheh yang dikatakan berjumlah empat kali ganda. Selepas Batu Sawar musnah, ramai dijadikan tawanan Acheh termasuk Sultan Alauddin Riayat Shah III, adindanya Raja Abdullah dan pembesar-pembesar Johor-Pahang termasuk Tun Sri Lanang, Raja Hussain dan Puteri Kamaliah. Lihat sarakarta dari Kesultanan Acheh ini:

Sarakata-sarakata itu tadinya disusun oleh ulamak-ulamak yang menjadi penasihat sultan. Sutar keputusan di bawah ini yang salinannya dikeluarkan oleh sultanah al Alam Safiayat alDin Syih – diterbitkan pada tahun 1022H, bersamaan dengan tahun 1613M dan dengan demikian sarakata itu telah ditetapkan pada tahun keenam pemerintahan sultan Iskandarmuda.

Pada tahun tersebut Johor ditaklukkan oleh Sultan Iskandar Muda dan dalam bulan Juni 1613. Setelah kota itu dihancurkan – telah dibawa ke Aceh al Sultan Johor dan Raja Abdullah yang lebih dikenal dengan raja Sabrang. Menurut sarakata ini yang nampaknya pada kertas perkanon – ternyata bahwa kepada seorang besar kerajaan bernama Datuk Bahra, seorang raja besar kemungkinan berasal dari Melaka y.i. seorang ternama dari seberang yang telah dihadiahkan daerah Samar Lenga yang sekarang merupakan kenegerian Samarlanga. (Tichelman, 1997)

Pasukan Acheh dan tawanannya tiba di Banda Acheh pada bulan Julai 1613 dan diberi sambutan hangat. Para tawanan telah dibicarakan dan diberikan pengampunan oleh Mahkota Alam. Raja Abdullah diberi peluang untuk pulang ke Batu Sawar dengan alasan baginda tidak pro-Portugal dan baginda juga bersetuju menerima pengawasan Acheh. Baginda juga telah diikat melalui hubungan kekeluargaan dengan mengahwini adinda Mahkota Alam, iaitu Puteri Jamilah. Raja Abdullah kembali ke Batu Sawar dengan 2000 orang pengiring diketuai oleh Orangkaya Raja Lelawangsa. Batu Sawar kemudiannya dibangunkan semula dengan bantuan orang Acheh.

Sungguhpun begitu, hubungan kedua-duanya menjadi dingin semasa merancang untuk menyerang Portugis di Melaka pada tahun 1615. Bagaimanapun, usaha tersebut tidak berjaya kerana Portugis baru sahaja menerima sepuluh buah kapal perang untuk mengukuhkan kedudukan mereka. Raja Abdullah yang murka kemudiannya menghantar pulang Puteri Jamilah ke Acheh dan menceraikannya. Mahkota Alam sangat murka dengan peristiwa itu dan menyerang Batu Sawar bagi kali kedua. Baginda melarikan diri dan cuba mendapatkan perlindungan di Lingga, tetapi mangkat di Pulau Tembelan pada tahun 1623.

Puteri Kamaliah berasal dari Pahang, disebut sebagai Putroe Phang di Acheh dan menjadi tokoh penting dalam sejarah Acheh. Setibanya di Banda Acheh, baginda dikahwini oleh Mahkota Alam sebagai isteri ketiga baginda. Mahkota Alam sangat menyayanginya sehinggakan sanggup menceraikan isteri pertamanya bagi membolehkan baginda menjadi permaisuri Acheh. Menurut Buyung Adil, perkara ini bermula dengan rentetan peristiwa kerjasama Sultan Alauddin Riayat Shah III dengan Portugal di Melaka bagi merajakan anaknda baginda Raja Bujang di Pahang.

Sebagai tindak balas, Acheh telah menyerang Johor pada tahun yang sama disusuli dengan serangan ke atas Pahang pada tahun 1617, menawan kerabat diraja Pahang termasuk Puteri Kamaliah dan membawa mereka ke Acheh. Tindakan menyerang, menawan dan membawa tawanan pulang ke Acheh adalah tindakan biasa bagi Mahkota Alam. Walau bagaimanapun, sumber sejarah ini tidak sama dengan sumber yang diketengahkan oleh Muhammad Adli Abdullah yang mengatakan bahawa Putroe Phang ditawan bersama-sama Tun Seri Lanang pada tahun 1613.

Penawanan kerabat di Raja Johor dan Pahang dilakukan serentak dengan usaha Mahkota Alam menggalakkan penduduk dari jajahan takluknya berpindah ke Acheh kerana Acheh mengalami kekurangan penduduk kesan daripada kempen peperangannya bukan saja dengan Portugal tetapi juga dengan kerajaan-kerajaan Melayu yang lain seperti Johor, Kedah, Perak dan Pahang. Bagi mengisi kekosongan itu, penduduk dari Sumatera Barat, Kedah, Pahang, Johor, Melaka, Perak dan Deli digalakkan berpindah ke Acheh dengan bilangan yang dibawa kadangkala seramai 10,000 orang. Insiden ini berlaku semasa pemerintahan Sultan Iskandar Mahkota Alam.

Tiada siapa dapat membayangkan bagaimana keadaan rakyat seramai itu dipaksa berpindah ke negeri lain dengan perjalanan dan pengangkutan yang amat sukar, termasuk berjalan kaki serta menaiki perahu selama berminggu-minggu. Korban bagi penghijrahan ini juga besar kerana kekurangan keperluan asas dan perjalanan jauh terutama melibatkan kanak-kanak dan golongan wanita. Catatan Kapten Best, wakil Belanda di Acheh pada tahun 1600 menunjukkan impak dari polisi ini:

“The whole territory of Acheh was almost depopulated by war, execution, and oppression. The king endeavoured to repeople the country by his conquests. Having ravaged the kingdoms of Johor, Pahang, Kedah, Perak and Deli, he transported the inhabitants from

those place to Acheh to the number of twenty tousands person. But this barbarous policy did not produce the effect he hoped for the unhappy people being brought naked to his dominions and not allow any kind of maintenance on their arrival and died hunger in thestreets.”

Ahli sejarah Acheh menjelaskan bahawa penghijrahan itu berlaku dalam keadaan biasa sahaja, malah ketibaan mereka di Acheh seolah-olah diterima dengan baik. Sejarawan Mohammad Djamil Yunus misalnya, menulis bahawa Mahkota Alam mempunyai sikap terbuka terhadap orang-orang dari Tanah Melayu dan Patani, malah, mereka diberikan kampung-kampung khas sebagai tempat untuk menetap seperti catatannya,

“Pembesar-pembesar (raja) dan orang-orang yang berasal dari Tanah Melayu dibawa ke Aceh itu, mereka disantuni, diberi tempat tinggal yang juga diberikan daerah perkampungan yang disukai seperti Kampung Kedah, Kampung Phang (Pahang), Kampung Perak (Pantee Perak), Kampung Patani (Pentanoe) dan Kampung Johor (Hooho).”

Namun, itu masih tidak menjelaskan korban akibat polisi sebegini.Kesan migrasi penduduk dari negeri-negeri Melayu di Semenanjung Tanah Melayu ini masih jelas kelihatan hingga ke hari ini, misalnya sebahagian besar penduduk Pulau Kampai (Aru) dan Tamiang sehingga kini masih bertutur menggunakan Bahasa Melayu dialek Kedah. Di Banda Acheh sendiri wujud satu kawasan yang dipanggil Kampung Keudah dan Pasar Keudah. Penduduk Tamiang dan Pulau Kampai juga meneruskan adat istiadat perkahwinan, keraian dan kematian sama seperti adat istiadat Melayu Kedah kerana mereka berada dalam kelompok yang besar menyebabkan penyerapan terhadap budaya tempatan sukar berlaku walau pun mereka telah lama berada di sana.

Kehidupan Tun Sri Lanang di Acheh

Tiada siapa menyangka perlantikannya sebagai Raja Samalanga atau sebagai orang penting dalam pentadbiran Acheh. Tetapi itulah yang berlaku kepada Tun Sri Lanang di mana beliau dimasyhurkan sebagai Raja Samalanga sambil disaksikan oleh ramai pembesar dan ulama Acheh sebanyak dua kali iaitu semasa Sultan Iskandar Mahkota Alam dan Sultanah Safiatuddin Shah. Proses perajaan ini dipengaruhi oleh nasihat Puteri Kamaliah kepada baginda yang melihat Tun Sri Lanang sebagai aset yang boleh membantu Acheh sebagai sebuah kerajaan yang lebih kuat.

Peristiwa bagaimana Tun Seri Lanang terpilih sebagai raja juga sangat menarik seperti yang dihuraikan oleh Adli Abdullah dan Pucot Haslinda, dan lebih menarik apabila di Acheh, peristiwa itu disebut sebagai “peristiwa di laut”. Semasa pembesar Samarlanga hendak memilih raja, penduduk Samarlanga mencalonkan sebelas orang calon tetapi jari mereka tidak sesuai untuk manyarung cincin khas yang ditempa bagi penentuan terhadap perlantikan Raja Samalanga.

Hanya jari kelengkeng Tun Seri Lanang sahaja yang sesuai dengan saiz cincin tersebut, dengan itu Tun Seri Lanang telah dilantik sebagai Raja Samarlanga. Isu dan peristiwa penyarungan cincin ini hanyalah usaha yang dilakukan sebagai peneguhan betapa layaknya Tun Seri Lanang menjadi Raja Samarlanga dan cerita penyarungan cincin ini juga mempunyai persamaan dengan banyak cerita rakyat di Kepulauan Melayu. Dalam perjalanan ke Samarlanga, sebelas calon lain telah membuang Tun Seri Lanang ke tengah laut di Laweung tetapi diselamatkan oleh Maharaja Lela Keuroeun Tjoereh bersama Teuku Nek Meuraksa. Seterusnya, Panglima Nyak Dom telah mengadap Mahkota Alam dan mengkhabarkan peristiwa itu. Mahkota Alam telah murka dan memerintahkan sebelas pembesar tersebut dipancung. Mulai hari itu, Tun Seri Lanang telah memerintah Samarlanga antara tahun 1615 hingga 1658.

Cabul sungguh mulut-mulut yang mengata beliau dengan pelbagai label mengarut. Hakikatnya, Tun Seri Lanang bukan calang-calang orang kerana pernah menjadi bendahara kerajaan Johor, pentadbir istana dan juga seorang yang alim. Perlantikan Tun Seri Lanang menunjukkan bahawa Mahkota Alam adalah seorang yang berfikiran terbuka dan sanggup menerima ‘orang luar’ sebagai anggota pemerintahnya, sama dengan amalannya yang mengumpulkan ulama dari semua negara Islam seperti Semenanjung Arab untuk memakmurkan Acheh sebagai serambi Makkah. Berdasarkan kajian ini, selain Tun Sri Lanang, ada juga beberapa orang kenamaan dari negeri lain juga pernah dilantik sebagai pembesar Acheh seperti yang dihurai oleh Muhammad Junus Djamil:

“Orang-orang sudah sadar dan insaf diberi jabatan di dalam pemerintahan Aceh. Di antaranya yang ada yang dijadikan Menteri Seri Paduka Raja, Orangkaya Besar dari Perak, menjadi Temenggung, Seri Panglima Berkuda dari Perak menjadi Panglima Angkatan berkuda (Seri Raja Panglima Berkuda), dari Melaka menjadi Bentara/Kepala Jawatan (Jawatan Mahaban/Sekaut), Angkatan Kepolisian (Bintara Raja Laila Perkasa) dari Asahan, Bentara Seri Laila Raja dari Perak dan Kenjruen Raja Laila dari Kedah.”

Bukti ini menunjukkan bahawa Mahkota Alam menerima pembesar-pembesar Melayu untuk berkhidmat di Acheh berdasarkan semangat agama, serumpun bangsa dan sudah tentu yang paling penting ialah mempunyai ketokohan tanpa prasangka dan atau dilitup tebal oleh semangat kedaerahan serta sama etnik yang tidak memberi faedah langsung. Sama seperti yang diamalkan oleh sultan-sultan Melaka, Mahkota Alam turut menerima pendatang asing sekali pun tidak berasal dari rumpun Melayu. Baginda dengan hati terbuka menerima orang Arab, Kling, China, Turki sebagai penduduk tetap Acheh. Setiap bangsa ini tinggal di kawasan penempatan tersendiri dan berlaku toleransi antara kaum yang sangat hebat melalui perkahwinan campur dengan penduduk Acheh.

Selepas diberi amanah mentadbir Samarlanga, Tun Seri Lanang dan pengikutnya telah memulakan aktiviti pertanian dengan membuka ladang secara beramai-ramai dan hasilnya dikongsi untuk keperluan bersama. Usaha-usaha mengembangkan pertanian telah diteruskan oleh penduduk yang berasal dari Johor dan Pahang. Mereka juga mula membangunkan usaha membuat kapal dan perahu, turun ke laut bagi aktiviti menangkap ikan dan semua hasil laut. Tun Seri Lanang juga menggalakkan penduduk Samalanga meneruskan usaha membina perahu dan kapal untuk keperluan pelayaran dan nelayan ke laut.

Selain itu, beliau juga memperkemas dan menggalakkan perkembangan pendidikan agama berasaskan sistem sekolah pondok di Samarlanga, terutama di Kota Blang. Beliau turut membina masjid di wilayah Samalanga di mana reka bentuk Masjid Kota Blang ini sama seperti reka bentuk masjid-masjid di Semenanjung Tanah Melayu yang mempunyai satu sahaja kubah besar dengan bahagian atas kubah masjid itu pula berbentuk tirus tiga segi landai. Reka bentuk sebegini tidak sama dengan reka bentuk masjid-masjid Acheh yang biasanya mempunyai lebih dari satu kubah berbentuk bawang potong. Masjid Kota Blang masih kekal dan boleh dilihat hingga kini, tidak jauh dari lokasi makam dan istananya.

Selain memainkan peranan sebagai pemerintah Samalanga, Tun Sri Lanang juga merupakan penasihat utama tiga pemerintah Acheh iaitu Sultan Iskandar Mahkota Alam, Sultan Iskandar Thani dan Sultanah Safiatuddin Shah dengan gelaran Orang Kaya Maharaja Lela (kedudukan sama seperti Bendahara/Perdana Menteri). Gelaran ini dipegang beliau sehinggalah tahun 1644. Semasa pemerintahan Sultanah Safiatuddin pula, beliau dikurniakan gelaran Panglima Bandar sehinggalah meninggal dunia pada tahun 1659.

Semasa beliau mengisi dua peranan ini, situasi politik di Nusantara boleh dianggap tidak stabil. Selepas berjaya merampas Melaka dari tangan Portugal pada tahun 1641, Belanda mengintai peluang menguasai Selat Melaka. Dan dengan Johor kembali semula sebagai kuasa di Selat Melaka, situasi sebegini nyata mencemaskan Kesultanan Acheh. Atas sebab itulah, peranan para pembesar seperti Tun Sri Lanang sangat penting bagi mengekang pengaruh Belanda.

Satu situasi yang mencerminkan kepentingan Tun Sri Lanang ialah pertikaian Acheh-Belanda berkenaan permata berharga yang dibeli Sultan Iskandar Thani dari pedagang-pedagang Belanda untuk permaisurinya, Sultanah Safiatuddin. Untuk menyelesaikan situasi ini, baginda diminta pihak Belanda untuk datang. Permintaan ini dibawa oleh Pieter Sourij, wakil khas Gabenor Hindia Timur Belanda di Betawi, Antonio van Diemen yang diiringi Tun Sri Lanang ketika itu.

Jika Amsterdam menyangka Acheh boleh diperlakukan seperti patung mainan, mereka salah. Seminggu selepas itu, Sourij dikejutkan dengan berita penilaian permata itu hanya bernilai 5,900 tahil dan bukannya 15,000 tahil mengikut nilai pedagang Belanda. Beliau membantah penilaian tersebut sebagai tidak munasabah dan mengugut akan membatalkan pembelian permata tersebut. Namun, ugutan Sourij langsung tidak menakutkan Tun Sri Lanang dan Acheh tetap berpegang teguh dengan pendirian mereka.

Akhirnya pada 3 Ogos 1642, permata tersebut dapat dibeli dengan harga 10,000 tahil atas cadangan Tun Sri Lanang dan bukan harga mati yang ditetapkan Belanda. Bayaran dibuat dalam bentuk penolakan yuran kemasukan sebanyak 4,000 tahil ke atas pedagang Belanda yang berlabuh di Acheh dan 6,000 tahil dibayar dalam tempoh dua musim. Menurut sejarawan Belanda, proses rundingan yang dijalankan Tun Sri Lanang itu bukan bertujuan menunjukkan pendirian keras terhadap orang luar tetapi sebagai cubaan memelihara hubungan Acheh-Belanda yang sedia terjalin ketika itu. Walaupun ada masanya hubungan Acheh-Amsterdam diuji dengan pelbagai cabaran tetapi di bawah pemantauan beliau, hubungan itu terus berjalan dengan baik.

Pada masa sama, Belanda juga cuba menggugat kekuasaan Acheh dengan menggunakan pelbagai taktik untuk menarik negeri-negeri Melayu membebaskan diri dari kekuasaan kesultanan tersebut. Untuk mengelak usaha tersebut dapat melemahkan kerajaan berkenaan, jawatan Orang Kaya Maharaja Lela dipecahkan kepada dua jawatan. Urusan keselamatan dan pertahanan diserahkan kepada Orang Kaya Laksamana Seri Maharaja (kekanda/adinda tiri Sultana Safiatuddin).

Sementara urusan pelabuhan dan perdagangan negara diberi gelaran Panglima Bandar dan diserahkan kepada Tun Sri Lanang. Ini menjadikan beliau sebagai antara orang penting dalam pentadbiran Acheh. Selepas Tun Sri Lanang meninggal dunia pada tahun 1658, jawatan Panglima Bandar dan pemerintah Samalanga disandang oleh Tun Rembau/Teuku Syik. Ini sebagai tanda penghargaan kepada jasa Tun Sri Lanang kepada Kesultanan Acheh. Pemerintahan Samalanga di bawah waris Tun Sri Lanang hanya berakhir pada awal abad ke-20 selepas campur tangan Belanda di Acheh.

SUMBER

  1. Arifin, Azmi dan M. Adli Abdullah. (2017). Universiti Sains Malaysia dan Universitas Syiah Kuala Darussalam. THE HISTORY OF “TUAN SEBERANG” (TUN SERI LANANG) BASED ON ACEH AND DUTCH SOURCES. http://malayliterature.dbp.my/wordpress/wp-content/uploads/2017/12/2-Tuan-seberang.pdf
  2. Talib, Johari, Mamat, Maharam dan Ibrahim, Maznah. (2017). Unitar International University dan Universiti Kebangsaan Malaysia. TUN SERI LANANG: DARI ISTANA BATU SAWAR KE NAGGAROE ACHEH DARUSSALAM. http://journalarticle.ukm.my/10402/1/18103-51378-1-SM.pdf

 

 

 

Anda mungkin juga berminat

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.