1-Umum sudah mengetahui bahawa Vladimir Putin merupakan bekas perisik KGB yang kemudiannya diangkat sebagai Presiden Russia. Disebabkan kerjaya beliau di dalam pasukan risikan, beliau memang amat memahami keadaan politik dunia dan memberikan kelebihan kepada beliau menguasai pentadbiran negara dan selok-belok percaturan politik dalaman amnya.

2-Tapi tahukah anda Malaysia juga mempunyai seorang perisik yang kemudiannya menjadi seorang pemimpin iaitu sebagai Perdana Menteri? Beliau adalah bekas perisik yang dilatih secara mendalam dan efektif oleh Yeop Mahidin. Siapa pula Yeop Mahidin? Beliau yang digelar “Singa Melayu” merupakan seorang Hakim yang amat patriotik terhadap negaranya dan merupakan pengasas kepada Tentera Wataniah. Sila baca sumber untuk mengetahui secara mendalam mengenai Yeop Mahidin.

3-Berbalik kepada Pemimpin Malaysia yang pernah menjadi perisik. Beliau yang dimaksudkan adalah Allayarham Tun Abdul Razak, juga digelar bapa Pembangunan Malaysia. Disebabkan pernah menjadi perisik, amat mudah bagi beliau untuk menghidu komplot golongan kiri yang secara tersirat wujudnya campur tangan Komunis untuk menguasai pemerintahan negara.

4-Risikan itu benar dan berasas kerana, berikutan daripada penolakan Perlembagaan Rakyat dan selepas peristiwa All Malayan Hartal (1947) yang dianjurkan oleh Gabungan PUTERA-AMCJA, Pihak Parti Komunis Malaya (PKM) telah melancarkan pemberontakan bersenjata terhadap Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu (dipendekkan kepada Malaya) yang tetap ditubuhkan oleh Pihak British, Majlis Raja-raja Melayu dan UMNO.

Perjalanan Tun Abdul Razak Sebagai Perisik

1-Perang Dunia Kedua berlaku ketika Tun Abdul Razak sedang belajar di Kolej Stamford Raffles di Singapura. Disebabkan perang meletus, beliau dipanggil balik ke Kuantan. Pada masa yang sama tentera Jepun mula mengambil golongan “buruh paksa” untuk dihantar ke Siam. Buruh paksa dari Malaysia selalunya akan dihantar di tempat yang ekstrim untuk membina laluan landasan keretapi.

2-Tun Abdul Razak bertemu Yeop Mahidin yang masih menjadi Hakim sewaktu berkhidmat di dalam Perkhidmatan Awam Malaya. Kerana perasaan cinta akan negara yang tinggi, Tun Abdul Razak berasa perlu untuk beliau menyertai Rejimen Melayu tetapi dihalang oleh pihak atasan atas sebab mungkin kedudukan Abdul Razak yang merupakan waris kepada Ketua Bangsawan Bugis dan ketua bagi suku di Pahang yang perlu diberi pelindungan.

3-Apabila Askar Wataniah Pahang ditubuhkan dengan perkenan sultan akibat perang mula tercetus, Yeop Mahidin dengan segera mengambil Tun Abdul Razak untuk berada dibawah tunjuk ajarnya dalam bidang ketenteraan berikutan betapa bersungguhnya Tun Abdul Razak ingin berkhidmat kepada negara.

4-Yeop Mahidin mempunyai rancangan yang rapi terhadap Tun Abdul Razak. Disebabkan taraf intelektual yang tinggi dan berkebolehan mempelajari sesuatu dengan cepat, beliau tidak melatih Tun Abdul Razak untuk berperang di hutan sahaja, tetapi turut dilatih secara mendalam berkenaan ilmu risikan di bawah tunjuk ajarnya dan memberi arahan supaya beliau kembali menyertai Perkhidmatan Awam Malaya untuk menjadi pemberi maklumat kepada Askar Wataniah Pahang.

5-Bukan mudah untuk meletakan perisik dalam kalangan Askar Jepun. Umum sudah mengetahui bahawa betapa cekap Agensi Perisikan Jepun memainkan peranan penting dalam proses Jepun untuk  muncul sebagai kuasa penting pada abad ke-20. Malah, aspek perisikan menjadi satu keutamaan dalam dasar luar Jepun untuk mendapatkan maklumat tentang kekuatan dan kelemahan pihak musuh. Masih ingatkah lagi dengan Insan Jepun bernama Yutaka Tani?

6-Disebabkan taraf kedudukan keluarga beliau, menyenangkan lagi operasi ini dijalankan. Dengan perancangan yang disusun kemas, beliau kemudiannya dihantar kembali ke Pahang oleh pentadbiran Jepun. Dengan pengalaman sebelum ini dan watak yang sempurna membuat mereka melantiknya sebagai pembantu di pejabat Pegawai Daerah.

7-Sebagai Pembantu Pegawai Daerah, Tun Abdul Razak perlu menyelaraskan banyak aktiviti dengan pasukan Imperial Jepun. Beliau berjaya membina rangkaian persahabatan ketika itu bersama Jepun dan dengan ini mudah bagi Tun Abdul Razak mendapat maklumat pengerakan tentera Jepun dari segi logistik dan sebagainya untuk diberikan kepada Pasukan Wataniah.

8-Tiada dicatatkan, bagaimana Tun Abdul Razak menyalurkan maklumat risikan kepada pihak atasan beliau, bayangkan bekerja dalam suasana sentiasa diperhatikan segala tindak tanduk dalam pengerakan. Walaupun hanya ingin ke pantry membuat kopi. Siapa yang pernah bekerja di kilang Jepun, bolehlah serba sedikit merasai betapa banyaknya peraturan tertentu dibuat untuk mengawal pengerakan pekerja dan pada waktu itu tiada dokumen salinan lembut yang boleh dipindahkan ke pemacu pena untuk diselinap keluar seperti filem perisikan moden.

8-Disebabkan  pada masa yang sama Tentera Jepun mengambil pengkhianat dalam kalangan rakyat tempatan, tidak ramai dari Pasukan Wataniah mengetahui Tun Abdul Razak memihak kepada mereka dan justeru itu melihat Tun Abdul Razak sebagai pengkhianat disebabkan beliau bekerja dengan orang Jepun waktu itu. Kerahsiaan dalam risikan amatlah perlu dijaga rapi supaya niat Tun Abdul Razak tidak dihidu dan boleh menyebabkan beliau kehilangan nyawa.

9-Wataniah akhirnya menjadi sebahagian daripada pasukan Force 136 apabila British mula mempercayai orang Melayu untuk melawan orang Jepun. Ini mungkin kerana kenyataan British menyedari bahawa sama ada mereka suka atau tidak, lebih separuh daripada penduduk Malaya adalah Melayu.

10-Aktiviti pasukan Wataniah mula memberikan kesan kepada tentera Jepun, Tentera Jepun mula mengesyaki barisan Perkhidmatan Awam Malaya yang ditugaskan menangani penggerakan Angkatan Tentera Jepun melakukan kebocoran maklumat. Ini kerana dalam satu serangan, Pasukan Wataniah dengan kekuatan 20 anggota mampu membuat serangan hendap dan membunuh 30 orang tentera Jepun. Rentetan kekalahan seperti ini membuatkan Tentera Jepun mengesyaki sesuatu.

10-Salah seorang daripada askar Jepun adalah rakan kepada Yeop Mahidin yang merupakan Hakim ketika itu. Tidak mahu Yeop Mahidin tertangkap, dia memberi amaran supaya berhati-hati dengan Tun Abdul Razak. Askar Jepun itu tidak menyedari bahawa Yeop Mahidin adalah pemimpin bagi Askar Wataniah. Yeop Mahidin dengan cepat membuat satu pelan yang melibatkan “penculikan” Tun Abdul Razak, seolah-olah seperti beliau hendak dibunuh. Yeop Mahidin juga risau terhadap keselamatan Tun Abdul Razak yang seperti telah dihidu aktiviti risikannya.

11-“Penculikan” tersebut berjaya, kerana askar Wataniah tidak tahu Tun Abdul Razak adalah ejen mereka dan misi mereka sebenarnya adalah misi menyelamat. Mereka mulai sedar kedudukan Abdul Razak ketika keluar dari kem Komandan dan barulah mereka menyedari bahawa beliau adalah salah seorang daripada mereka.

12-Ketika khabar angin mengatakan Jepun menyerah kalah, Wataniah mendapat tahu khabar angin lain bahawa Sultan Abu Bakar telah diculik. Dan ketika Tun Abdul Razak dan pasukannya tiba untuk menjemput Sultan, anggotanya menemukan risalah yang ditinggalkan Jepun mendakwa bahawa orang Cina telah membunuh Sultan. Dengan marahnya, Tun Abdul Razak mengarahkan anggotanya untuk mengutip dan menghapuskan risalah tersebut.

13-Tindakannya itu mungkin telah menyelamatkan orang Cina di Kuantan daripada diserang oleh orang Melayu yang berang kerana sultan mereka dibunuh. Akhirnya Sultan Abu Bakar ditemui selamat. Tun Abdul Razak bukan sahaja menjadi perisik kepada Askar Wataniah Pahang, tetapi juga menyelamatkan sultan dan menghentikan orang Melayu daripada terpedaya dengan helah Jepun untuk memecah belahkan negara.

Masih menanti sisi lain Tun Abdul Razak sebagai perisik dapat difilemkan.

Beliau bukan sahaja “Bapa Pembangunan Malaysia” tetapi boleh dikatakan “Bapa Perisik Malaysia”.

Al-Fatihah

SUMBER:

Red Star Over Malaya – Resistance and Social Conflict During and After the Japanese Occupation of Malaya, 1941-46
by Cheah Boon Kheng

Learning the ‘seishin’ – Written by Akashi Yoji
http://www.malaysiahistory.net/v2/?p=103

Abdul Razak, Tun bin Hussein | BIOGRAPHY
http://www.rmaf.org.ph/newrmaf/main/awardees/awardee/biography/77

Tun Ibrahim Ismail, a Special Operations Executive officer who pulled off a daring 10-month triple-cross while a prisoner of the Japanese during the Second World War; he later went on to be head of Malaysia’s armed forces.
http://www.telegraph.co.uk/news/obituaries/military-obituaries/special-forces-obituaries/8284728/Tun-Ibrahim-Ismail.html

Southeast Asia: A Historical Encyclopedia, from Angkor Wat to East Timor …, Volume 1, page 1418 – Wataniah, A Malay Anti Japanese Force
by Keat Gin Ooi

Sejarah Pahang, Buyong Adil 1972


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sebelum ini merupakan penulis artikel berbentuk "copywriting" dalam membantu perniagaan dalam talian. Seorang yang mempunyai kelulusan kejuruteraan Elektronik tetapi amat meminati sejarah. Gemar menulis kembali artikel sejarah yang mula dilupakan. Seorang penulis yang terkesan dengan hilangnya jati diri anak bangsa yang tidak tahu menilai kehebatan bangsa dan ikhlas dalam membantu menarik minat golongan muda kembali menghayati sejarah.

Comments are closed.