Sebelum seorang anak watan sendiri yang memimpin pasukan keselamatan utama negara kita, Polis Diraja Malaysia, seorang individu asal England bernama Tan Sri Sir Claude Harry Fenner yang telah memimpin pasukan Polis Diraja Malaysia selama lebih 7 tahun dari tahun 1958 hingga tahun 1966.

Selepas tamatnya perkhidmatan beliau, barulah seorang anak Melayu menjawat jawatan nombor satu dalam pasukan Polis Diraja Malaysia iaitu pangkat Ketua Polis Negara itu sendiri yang bertanggungjawab memimpin pasukan ini dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan tanah air yang kita cintai ini.

Tanpa mereka semua yang berada dalam pasukan keselamatan negara ini, belum tentu kita mampu untuk tidur lena pada waktu malam dan melaksanakan rutin harian pada sebelah siangnya pula.

Anak Melayu Pertama Yang Menjadi Ketua Polis Negara

Dilahirkan pada 7 Julai 1917 di Bukit Mertajam Pulau Pinang, Tun Mohamed Salleh bermula daripada bawah dalam sistem hierarki pasukan Polis Diraja Malaysia. Memulakan tugas sebagai seorang Konstabel Polis pada 25 September 1935.

Tun Mohamed Salleh yang cukup terkenal dengan sifat kerja keras dan berwawasannya itu telah berusaha keras sehinggalah berjaya dinaikkan pangkatnya ke jawatan yang lebih tinggi. Tambahan pula, pasukan polis pada ketika memerlukan kepakaran anak tempatan dalam kepimpinan pasukan itu sendiri.

Hal ini dibuktikan apabila beliau dilantik setelah beliau dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada tanggal 1 Mac 1966, kira-kira 3 dekad sesudah berkhidmat sebagai pegawai polis. Sebelum menjawat jawatan tertinggi dalam hierarki pasukan polis itu, beliau juga telah menjawat jawatan Pesuruhjaya Polis Persekutuan Tanah Melayu.

Pemantapan Pasukan Polis

Setelah dilantik sebagai Ketua Polis Negara, Tun Mohamed Salleh giat melaksanakan usaha-usaha bagi memantapkan lagi pasukan polis. Hal ini kerana pada ketika itu, Malaysia sedang menghadapi ancaman kuat daripada pengg4nas komun1s.

Beliau melihat bahawa sistem sedia ada yang digunakan oleh pasukan polis bagi menentang penularan aktiviti jenayah di negara ini adalah kurang berkesan dan perlu diperbaiki dan diperhalusi supaya keselamatan negara dapat dikawal dengan baik dan rapi oleh pasukan Polis Diraja Malaysia lebih-lebih lagi apabila kes jenayah yang berlaku pada ketika itu berada pada tahap yang agak tinggi dan membimbangkan.

Oleh itu, Tun Mohamed Salleh sebagai Ketua Polis Negara merangkap individu yang bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan negara dan orang awam terjamin telah mengarahkan pengwujudan sebuah sistem yang baru.

Justeru itu, Cawangan Penyelidikan dan Perancangan Polis  telah dipertanggungjawabkan bagi merangka sebuah sistem atau langkah pembasmian jenayah baharu bagi menggantikan sistem sedia ada yang impaknya kurang mendalam terhadap pembasmian jenayah di negara ini.

Hasilnya, Cawangan Penyelidikan dan Perancangan Polis berjaya menyelidik dan merancang sebuah sistem baharu yang diberi nama Sistem Salleh bersempena dengan nama Tun Mohamed Salleh yang merupakan Ketua Polis Negara pada ketika itu.

Sistem baharu yang diberi nama Sistem Salleh ini telah diberi tempoh cubaan yang dilaksanakan di daerah Petaling Jaya, Selangor bagi melihat keberkesanan sistem tersebut dalam mengurangkan kadar jenayah di daerah tersebut sebelum ianya digunapakai di seluruh negara.

Sistem yang digunapakai di Petaling Jaya, Selangor sebagai cubaan pertama bermula awal tahun 1968 ini ternyata berkesan dalam mengurangkan kadar jenayah dalam tempoh masa yang boleh dikatakan singkat. Hasilnya, Sistem Salleh ini mula berkuatkuasa di semua cawangan Kontinjen Polis di seluruh negara bermula tarikh 7 Jun 1968.

Selain daripada idea pengwujudan Sistem Salleh yang dicetuskan oleh Tun Mohamed Salleh, beliau juga telah mencetuskan idea untuk meningkatkan kesedaran bermula daripada peringkat akar umbi rakyat Malaysia pada ketika itu di mana ianya masih berkuatkuasa sehinggalah ke hari ini.

Tun Mohamed Salleh telah mencetuskan idea penubuhan Pasukan Kadet Polis yang tujuannya adalah bagi mendidik murid-murid sekolah menengah berkenaan kesedaran terhadap jenayah dan undang-undang selain daripada bagi meningkatkan dan memantapkan disiplin mereka.

Idea beliau ini kemudiannya telah diluluskan oleh Majlis Gerakan Negara yang menjadi kerajaan setelah parlimen dibubarkan hasil daripada rusuhan kaum yang telah tercetus pada ketika itu.

Pasukan Kadet Polis ini kemudiannya diperkenalkan secara rasminya bermula 2 Mac 1970 kepada lebih 2000 orang murid di lebih 50 buah sekolah menengah di seluruh negara pada ketika itu. Pasukan Kadet Polis ini masih lagi beroperasi di sekolah-sekolah menengah di seluruh negara sehingga ke hari ini.

Pelaksanaan Sistem Salleh

Pelaksanaan Sistem Salleh yang idea awalnya dicetuskan oleh Tun Mohamed Salleh ini adalah bagi memupuk semangat persahabatan di antara pegawai-pegawai polis dan orang awam dalam menumpuskan kegiatan jenayah seterusnya mengurangkan kadar jenayah yang berlaku di seluruh negara.

Selain itu, Sistem Salleh ini menekankan semangat tanggungjawab terhadap negara dalam kalangan pegawai-pegawai polis. Hal ini adalah kerana supaya pegawai-pegawai ini dapat merasakan perasaan bangga dalam diri mereka semasa melaksanakan tugas lalu meningkatkan lagi tahap keefisyenan dalam menumpaskan kegiatan jenayah.

Selain daripada pelaksanaan langkah-langkah yang melibatkan jiwa raga individu-individu terbabit, tidak kiralah pegawai polis mahupun orang awam, Sistem Salleh ini juga menekankan terhadap langkah-langkah fizikal dalam usaha membasmi dan menumpaskan kegiatan jenayah di negara ini.

Langkah-langkah fizikal yang dilaksanakan di bawah pelaksanaan Sistem Salleh ini adalah dengan seperti membahagikan kawasan di bawah seliaan balai-balai polis. Hal ini dilaksanakan dengan pengwujudan garis sempadan kawasan-kawasan yang kemudian diletakkan di bawah balai-balai polis berkenaan.

Seiringan dengan itu, pegawai-pegawai polis yang ditempatkan di sesebuah kawasan juga dikehendaki untuk mempelajari dan mengarifkan diri terhadap selok belok dan persekitaran kawasan di mana mereka ditugaskan bagi memudahkan pergerakan mereka di waktu rondaan mahupun di waktu kecemasan.

Tidak terhenti di situ, pondok-pondok polis juga telah diperkenalkan dan dibina di kawasan-kawasan tumpuan bagi mempercepatkan pergerakan pegawai-pegawai polis ke lokasi kecemasan yang berdekatan.

Bukan setakat mempercepatkan pergerakan pegawai-pegawai polis ke lokasi kecemasan, kehadiran pondok-pondok polis ini juga dapat menimbulkan perasaan takut di dalam diri individu-individu mahupun pihak-pihak yang berniat hendak melakukan sebarang kegiatan jenayah di kawasan berkenaan di samping meningkatkan keyakinan orang awam terhadap keselamatan diri mereka dengan kehadiran pegawai polis yang bertugas.

Selain itu, pegawai-pegawai polis yang bertugas juga telah dilengkapi dengan alat komunikasi bagi memudahkan sebarang aktiviti komunikasi di antara mereka dalam saat-saat penting terutamanya sewaktu kecemasan.

Selain daripada pelaksanaan langkah-langkah ini dan banyak lagi, terdapat juga langkah-langkah fizikal lain di mana pegawai-pegawai polis diminta untuk merapatkan hubungan mereka bersama dengan orang awam di kawasan mereka bertugas bagi meningkatkan semangat persahabatan di antara orang awam dan pihak polis pada ketika itu.

Tun Mohamed Salleh, Seorang Tokoh Berjasa Besar

Tidak boleh dinafikan lagi, jasa yang dicurahkan oleh Tun Mohamed Salleh terhadap negara melalui penglibatannya dalam pasukan Polis Diraja Malaysia amatlah besar. Dengan cetusan mindanya, pasukan polis kita dapat dimantapkan lagi hasil usahasama dengan pelbagai pihak lain di dalam pasukan polis itu sendiri.

Kadar jenayah di dalam negara kita sewaktu perkhidmatan beliau juga dapat diturunkan hasil daripada pelaksanaan Sistem Salleh itu. Selepas itu, masyarakat juga telah berjaya dirapatkan dengan pihak polis sebagai usaha untuk menumpaskan kegiatan jenayah dengan lebih berkesan bersama penglibatan masyarakat.

Setelah lebih 6 tahun menyumbang bakti dan keringat, Tun Mohamed Salleh telah menghembuskan nafasnya yang terakhir semasa masih dalam perkhidmatan polis pada tanggal 31 Januari 1973 sebelum tempatnya diganti oleh Tan Sri Abdul Rahman Hashim.

Semoga roh Tun Mohamed Salleh dicucuri rahmat dan ditempatkan di dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah.

RUJUKAN :

  1. My Metro (8 Oktober 2016). Mengenali KPN Kedua. https://www.hmetro.com.my/node/172270
  2. Portal Rasmi PDRM (n.d.) Sistem Salleh. https://www.rmp.gov.my/infor-korporate/polis-diraja-malaysia/sejarah/sistem-salle

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Sangat berminat menulis mengenai tokoh-tokoh negara/melayu dalam terutamanya bidang sukan dan keselamatan.

Comments are closed.